BAITULMAQDIS: Polis Israel semalam menahan 10 rakyat Palestin dalam rusuhan di pekarangan masjid Al-Aqsa dengan sembilan yang lain cedera ketika penunjuk perasaan melontar batu, sementara polis melepaskan peluru getah, menurut polis dan pasukan perubatan.
Kira-kira 1,000 orang berkumpul di pekarangan masjid itu selepas solat Jumaat, melaungkan 'Allah Maha Besar' dengan sebahagiannya mengibar bendera Palestin.
Beberapa penunjuk perasaan melemparkan batu ke arah polis, yang menyerbu ke kawasan itu, kata seorang wartawan AFP.
Bulan Sabit Merah Palestin mengatakan sembilan individu cedera, termasuk tiga dirawat di hospital ekoran rusuhan itu, dengan kecederaan disebabkan pukulan, terkena peluru getah dan letupan.
Konfrontasi tercetus susulan protes rakyat Palestin terhadap nasionalis Yahudi yang berarak melalui timur Baitulmaqdis pada Selasa, melaungkan penghinaan kepada Islam dan 'kematian kepada orang Arab'.
Al-Aqsa adalah masjid ketiga paling suci dalam Islam.
Kekerasan polis terhadap penduduk Palestin terus meningkat sejak awal Mei, sehingga menjadi pertempuran berdarah selama bertahun-tahun, dengan konflik meletus antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza.
Gencatan senjata yang longgar antara Israel dan penguasa Hamas di Gaza dicapai pada 21 Mei, mengakhiri pertempuran berdarah 11 hari.
Kompleks Al-Aqsa terletak di Baitulmaqdis diceroboh Israel pada 1967, tidak dipersetujui kebanyakan masyarakat antarabangsa.
Semalam menandakan hari kedua tunjuk perasaan oleh rakyat Palestin.
Sehari sebelumnya, polis berkata mereka menahan lapan individu yang berdemonstrasi di Gerbang Damsyik sebuah pintu masuk ke Kota Lama Baitulmaqdis yang mana perarakan Yahudi nasionalis berkumpul.
Juga pada Jumaat, rakyat Palestin melakukan demonstrasi berhampiran Nablus di Tebing Barat bagi membantah pencerobohan di tanah perkampungan Beita.
Bulan Sabit Merah mengatakan 47 cedera ketika pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah. - AFP/BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan