05 Julai 2021

2 lelaki menyelinap keluar PKPD PPR Pantai Ria diburu

 RAKAMAN video menunjukkan dua lelaki dipercayai penagih dadah melarikan diri dari PPR Pantai Ria, Pantai Dalam. - Foto ihsan pembaca

RAKAMAN video menunjukkan dua lelaki dipercayai penagih dadah melarikan diri dari PPR Pantai Ria, Pantai Dalam. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai penagih dadah sedang diburu polis selepas melarikan diri dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam di sini yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pantai susulan tular di media sosial satu rakaman video berkaitan kejadian itu, hari ini.

"Sepasukan anggota polis kini menjalankan operasi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek yang dipercayai penagih dadah.

"Buat masa ini suspek belum dapat ditangkap dan semakan mendapati mereka melarikan diri ke arah kawasan sungai di bahagian belakang PPR terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 2 minit 5 saat dua lelaki tidak berbaju menyelinap keluar daripada bawah pagar kawat berduri yang dipasang di sekeliling PPR terbabit.

Sebaik berjaya menyusup keluar, kedua-duanya dilihat memanjat pagar PPR dan melarikan diri.

Mengulas lanjut, Anuar berkata pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil tindakan membaiki kerosakan yang berlaku pada kawat duri akibat tindakan dua lelaki itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PPR Pantai Ria serta Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam dikenakan PKPD bermula Khamis lalu hingga 14 Julai depan. BH/-

Tiada ulasan: