19 Julai 2021

Lebih 14 juta dos vaksin COVID-19 diberikan sejak Februari

 - Foto hiasan

- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lebih lima bulan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 (PICK), lebih 14 juta dos vaksin diberikan kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas sehingga semalam.

Melalui perkongsian infografik di Twitter, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba memaklumkan pemberian dos vaksin mencecah 14,002,324 dengan 9,570,974 daripadanya penerima dos pertama manakala 4,431,350 melengkapkan dos kedua.

Melalui laporan harian pemberian dos vaksin, sebanyak 380,400 dos suntikan diberikan semalam membabitkan 253,830 dos pertama dan baki 126,610 dos kedua.

"Bagi jumlah kumulatif pemberian dos vaksin hingga semalam, jumlah pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur paling tinggi iaitu lebih 4.9 juta membabitkan 3,752,686 dos pertama dan 1,181,173 lengkap dos kedua.

"Sarawak pula menerima lebih 2.4 juta iaitu 1,545,402 dos vaksin pertama dan 859,906 diikuti Johor dengan lebih 1 juta membabitkan 658,820 dos pertama dan 374,919 dos kedua," katanya dalam kenyataan di Twitter itu.

PICK mula dilancarkan pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19.

Berdasarkan infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jumlah vaksin yang diberikan di tempat lain iaitu Wilayah Persekutuan Labuan ialah 100,131, Perlis (151,580), Negeri Sembilan (578,384), Melaka (355,458).

Terengganu pula 403,246, Pahang (509,754), Kelantan (511,097), Perak (856,175), Pulau Pinang (701,556), Kedah (628,821) dan Sabah (833,216).

Bagi laporan harian pula, sehingga semalam, Selangor menjadi negeri tertinggi penerima vaksin iaitu sebanyak 101,661 membabitkan 75,881 dos pertama dan 25,780 dos kedua.

Kuala Lumpur pula di kedudukan kedua dengan 64,097 membabitkan 40,748 dos pertama dan 23,349 dos kedua; Sarawak dengan 64,573 iaitu 23,065 dos pertama dan 41,508 dos kedua.

Johor dengan 22,190 suntikan vaksin, Perlis (194), Kedah (13,143), Pulau Pinang (19,168), Perak (13,919), Putrajaya (2,303), Negeri Sembilan (18,615), Melaka (13,103), Kelantan (1,974), Terengganu (16,051), Pahang (6,723), Sabah (20,697) dan Labuan (2,029). BH/-

Tiada ulasan: