Malah misi bantuan ini akan lebih meriah dengan keterlibatan Parlimen pembangkang mahupun kerajaan. Prihatin PEMULIH yang melangkaui sempadan politik dan bendera ini perlu diambil serius oleh seluruh pimpinan masyarakat tidak kira pembangkang mahupun kerajaan. Tiada lagi alasan untuk melihat ada rakyat yang tercicir kebajikannya. Pembangkang dan kerajaan sehati sejiwa menggerakkan segala kepakaran yang ada untuk memastikan bantuan ini hadir ke ribaan rakyat yang memerlukan. Gencatan bendera sengketa perlu disegerakan demi rakyat.
Mungkin ada yang melontarkan cukup ke bakul makanan itu? Memang bagi anda rasa sedikit, tapi ianya amat bermakna buat mereka yang memerlukan. Gerak kerja kebajikan ini bukan baru di pihak wakil rakyat PAS. Kami tidak pernah tidur, kami tidak pernah berpeluk tubuh sejak PKP 1.0. Atur gerak penghulu-penghulu setiap Kawasan dikolaborasikan gerak kerja bersama NGO, Majlis Agama, Pusat-pusat Zakat dan pelbagai agensi-agensi lain yang turut menyumbang.
Bayangkan jika putaran kebajikan yang digerakkan melalui penghulu-penghulu, penggawa-penggawa, DO-DO, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis-masjlis Agama, seterusnya wakil-wakil rakyat malah NGO-NGO yang turut serta pasti senyuman kegembiraan dan kedamaian buat rakyat akan terserlah.
Ada pihak mendakwa, ‘ala baru sekarang nak bantu?’. Bukan baru sekarang tapi dah bermula sejak PKP 1.0 lagi. Anda semak sendiri pakej-pakej bantuan yang telah disalurkan. Ada lagi yang komentar, ‘baru sekarang nak sebar poster talian ‘Hotline’ DUN?’. Bukan baru sekarang disebarkan, cuma diperkasakan lagi sebaran agar lebih ramai dapat manfaat. Biar lebih ramai boleh salurkan maklumat jika ada keciciran mahupun ketidakcanaan. Itulah gerak-kerja pantas yang dibuat di saat pengumuman bantuan PEMULIH diumumkan Perdana Menteri. Segera entiti kerajaan mahupun parti digerakkan. Lihat sahaja ‘Tentera Merah’ yang serata tempat gembleng kekuatan mereka di lapangan untuk mencari, membantu rakyat yang memerlukan.
Masih ada yang tercicir? Jika ada, andalah sebahagian mata telinga kami untuk sampaikan maklumat. Salurkan informasinya untuk pastikan tetangga dan kejiranan serta sanak saudara anda tidak terbeban dan terkesan dengan suasana sukar ini.
Anda kempen bendera, kami kempen poster talian. Saling menguat dalam kebajikan. Apa silapnya? Apa kurangnya? Apa lembabnya?. Kita gembleng untuk bantu rakyat yang memerlukan. Biar bendera berkibar, akhirnya rakyat juga yang segar. Ibarat ‘seikat bagai sirih, serumpun bagai serai’. Bukan ada agenda lain dalam sebarang kempen.
Kita kembalikan sistem kitaran insani. Jiran yang baik yang mengerti dan memahami tetangga dalam kesulitan atau tidak. Jiran yang hulurkan sifat insani di kala tetangga kesulitan pasti memekarkan rasa indah dan damai jiwanya. Dibantu semampu kudratnya. Kitaran terus berputar andai tetangganya tiada upaya, disalurkan perihal tersebut kepada Penghulu atau yang lebih berkemampuan. Kitaran damai terlarutan hingga ke pengetahuan YB setiap tempat dan kawasan.
Andai ianya kembali subur, pasti tiada insan yang derita, pasti tiada jiwa yang teraniaya, pasti jua tiada dapur yang tidak berasap, apatah lagi tiada perut yang berkeroncong. Kita saling membina naluri insan di saat kepayahan. Itulah bendera kemenangan insan bermasyarakat. Bukan agenda ambil kesempatan di kala rakyat kian sulit.
Bendera insan yang memukau ini pasti akan menguatkan kita untuk menghadapi kesukaran yang mendatang. Siapa pun anda, pembangkang mahupun kerajaan. Rakyat tidak peduli. Asalkan mereka disantun, asalkan mereka dilindung, asalkan mereka dihargai. Ayuh, rakyat perlu di bantu jangan biar mereka naik hantu. Anda semua YB (Yang Berhormat) bukan YB (Yang Bercakaran) akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Jika kelihatan apa jua bendera dinaikkan di mana-mana rumah walau apa simbolnya, apa warnanya, santunilah mereka kerana mungkin mereka memerlukan. Namun jika kelihatan ada pihak yang naikkan bendera putih di simpang-simpang, di tempat-tempat yang bukan tempatnya, segeralah balutilah mereka dengan bendera tersebut. Kerana mereka meminta untuk di kafankan kerana sengaja mencari kesempatan dikala kesulitan rakyat.
Rakyat menanti mereka disantuni di saat beban memeluk diri, hulurkan tangan serlahkan insani, lebihkan simpati dalam mengerti, di dalam doa kita sulami, biar beban diangkat illahi.
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000629532241/posts/4364578030239805/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan