01 Julai 2021

Ubah strategi PPN, longgarkan syarat negeri yang kurang kes Covid 19


KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam menggesa kerajaan mengubah pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan menggunakan strategi intervensi berasaskan sempadan negeri, daerah, mukim atau zon.

Kerajaan juga disaran mengubah indikator peralihan fasa PPN, daripada menggunakan penurunan jumlah kes harian sebagai penanda aras kepada kadar insiden bagi setiap 100,000 penduduk seperti disaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menerusi strategi itu, kelonggaran ekonomi dan sosial dalam peralihan fasa PPN boleh dilaksanakan terlebih dulu di negeri dan kawasan bebas COVID-19 atau mencatat jumlah kes yang kecil, berbanding perlu menunggu kes harian nasional menurun.

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata kerajaan perlu melaksanakan sekatan pergerakan bersasar bersandarkan kajian epidemiologi, mengikut sempadan intervensi ditetapkan, sama ada negeri, daerah, mukim atau zon.

Ahli Kumpulan Penasihat Rangka Kerja Kesiapsiagaan Pandemik Influenza WHO itu berkata, penularan COVID-19 ketika ini bersifat fokal, setempat dan tidak seragam.

"Kaedah intervensi dan fasa pemulihan mesti mengikut sempadan intervensi. Indikator fasa dua PPN mesti mengikut sempadan geografi yang paling praktikal untuk kawalan sempadan seperti daerah, negeri dan negara.

"Banyak daerah dan mukim yang tidak pernah melaporkan kes COVID-19 sejak awal pandemik, kenapa mereka perlu turut terkesan dengan sekatan pergerakan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sempadan daerah boleh dikawal untuk pergerakan keluar masuk. Sekarang, kerana keadaan tidak terkawal, penularan merebak merentasi sempadan daerah dan zon seperti Lembah Klang, jadi memang wajar PKP dilaksanakan di kawasan ini," katanya kepada BH, semalam.

Beliau diminta mengulas kelemahan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu, yang menyaksikan kes COVID-19 harian masih gagal mencecah bawah 4,000 kes walaupun sudah 30 hari dilaksanakan.

Trend penularan kes harian juga dilihat kembali meningkat sejak beberapa hari lalu, dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 kembali melepasi paras ambang 1.0 untuk dua hari berturut-turut sejak Selasa lalu.

Satu daripada tiga indikator ditetapkan untuk peralihan ke fasa kedua PPN adalah kes harian di bawah 4,000 untuk tujuh hari berturut-turut, selain 10 peratus populasi menerima suntikan lengkap vaksin COVID-19 dan sistem kesihatan awam tidak lagi di paras kritikal.

Dr Lokman Hakim yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, dari segi epidemiologi, angka 4,000 kes yang dijadikan indikator itu tidak membawa makna, sebaliknya lebih wajar digantikan dengan kadar insiden bagi setiap 100,000 penduduk.

"Nilai 4,000 kes itu bersamaan kadar insiden sebanyak 12.5 per 100,000 penduduk. Mana-mana daerah dan negeri yang sudah mencapai kadar itu sepatutnya sudah boleh dibuka.

"Kerajaan juga disaran berpandukan pada garis panduan WHO dan mengadaptasikannya secara realistik.

"Contohnya WHO menyarankan 'Transmisi Komuniti Tahap 1 (CT1) pada kadar insiden kurang 20 bagi setiap 100,000 penduduk, tetapi kadar kita pada 12.5 bagi setiap 100,000 jauh lebih ketat," katanya.

Berdasarkan data kadar insiden kes aktif COVID-19 bagi setiap 100,000 penduduk di negeri dipaparkan dalam Dashboard dan Informasi Wabak COVID-19 di portal kerajaan Selangor, Perlis mencatatkan kadar 8.25 setakat kelmarin.

Sekiranya peralihan fasa dalam PPN dilaksanakan mengikut indikator itu, ia bermakna aktiviti ekonomi dan pergerakan penduduk Perlis sudah boleh dilonggarkan, manakala Terengganu (30.32) dan Sabah (64.51) semakin menghampiri ke peralihan fasa seterusnya. BH/-

Tiada ulasan: