17 Ogos 2021

Ahli Parlimen diminta calonkan PM sebelum 4 petang esok

 Istana Negara. - Foto NSTP

Istana Negara. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan secara terang dan jelas mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum jam 4 petang esok, untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Notis mengenai perkara itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini dan notis berkenaan disahkan oleh pegawai Parlimen kepada BH ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurut surat itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

"Pada melaksanakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan menyatakan secara terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Kesembilan," katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta selepas Muhyiddin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Baginda kemudian berkenan melantik Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Menurut surat itu, walaupun surat akuan berkenaan tidak mempunyai format tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran, termasuk identifikasi Ahli Dewan Rakyat terbabit secukupnya, identifikasi yang secukupnya seorang saja Ahli Dewan Rakyat diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri dan pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

Selain itu, tandatangan Ahli Dewan Rakyat berkenaan, tandatangan dan cop rasmi saksi, sama ada seorang peguambela dan peguamcara, Pesuruhjaya Sumpah, Notari Awam atau jawatan yang setanding Ahli Dewan Rakyat itu yang berada di luar negara serta tarikh surat akuan.

Surat akaun berkenaan perlu diserahkan melalui faks, emel dan salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp kepada nombor telefon yang dinyatakan, dan tidak dibenarkan secara serahan tangan kerana Istana Negara masih dalam kawasan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta mengelakkan penularan pandemik COVID-19 di istana.

"Semua Ahli Dewan Rakyat juga diingatkan supaya menjaga kerahsiaan surat akuan itu sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri.

"Perlu dijelaskan mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara di atas (yang disyaratkan) atau pun diterima lewat tidak akan diambil kira," katanya.

BH

Tiada ulasan: