BEIJING: China semalam melaporkan jumlah harian tertinggi kes COVID-19 dalam gelombang penularan terbaru wabak itu, disebabkan lonjakan jangkitan tempatan.
Negara itu melaporkan 124 kes baru kelmarin, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional, meningkat daripada 85 kes sehari sebelumnya.
Pihak berkuasa kesihatan berkata daripada jumlah jangkitan baru yang disahkan itu, 80 disebarkan secara tempatan berbanding 62 kes tempatan sehari sebelumnya.
Kes penularan tempatan berlaku disebabkan oleh peningkatan jangkitan di wilayah timur Jiangsu, yang melaporkan 61 kes baru kelmarin, kebanyakannya di bandar Yangzhou, meningkat daripada 40 kes sehari sebelumnya.
Secara keseluruhan, China melaporkan 58 kes coronavirus baru tidak bergejala, yang tidak diklasifikasikan sebagai jangkitan disahkan, berbanding dengan 54 kes sehari sebelumnya.
Sehingga kelmarin, China mencatat 93,498 kes yang disahkan manakala angka kematian kekal 4,636 kes.
Didorong perkembangan itu, China melaksanakan sekatan perjalanan baru berikutan perebakan wabak yang disebabkan virus varian Delta yang menular dan meningkat kepada lebih 500 kes bergejala yang tersebar di separuh negara itu.
Ancaman terus meningkat walaupun kerajaan melaksanakan kaedah pencegahan yang agresif selain bergantung kepada tahap vaksinasi penduduknya yang tinggi iaitu 61 peratus.
Perkhidmatan pengangkutan awam dan teksi dihadkan di 144 kawasan paling terjejas di seluruh negara, sementara pegawai pemerintah menghentikan khidmat kereta api biasa dan kereta api bawah tanah di Beijing, di mana tiga kes baru dilaporkan Rabu lalu.
China masih berpegang pada rejim ujian besar-besaran dan sekatan bersasar yang sebelum ini berjaya menghapuskan lebih 30 penularan jangkitan, tanpa membezakan sama ada seseorang sudah atau belum diberi vaksin.
Walaupun jumlah kes masih terlalu rendah untuk menjadi ujian besar sama ada vaksin buatan China berjaya mencegah penyakit serius dan kematian akibat varian Delta, pemerintah tidak berlengah mengambil langkah sekatan tegas.
Timbalan Pengarah Pasukan Tindak Balas COVID-19 Beijing, Qi Jinli, mengingatkan penduduk supaya tabah berdepan dengan sebarang kesukaran ekoran sekatan itu.
"Vaksinasi tidak sama dengan memasuki peti besi atau membawa azimat, langkah perlindungan diri masih belum dapat dilonggarkan dan vaksinasi tidak dapat menggantikan tindakan pencegahan.
"Mari kita tabah bertahan sehingga kita mencapai kemenangan menyeluruh menentang wabak ini," katanya. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan