Kuala Lumpur: Malapetaka menimpa atlet lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Paralimpik Tokyo apabila kemenangannya menerusi acara itu pada hari ini dibatalkan.
Ia selepas dia serta dua lagi peserta lain dari Ecuador dan Australia difahamkan menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki 'call room' atau bilik persediaan atlet sebelum turun beraksi.
Bagaimanapun sehingga jam 8 malam tadi, sumber memberitahu sekretariat Malaysia melakukan protes semula terhadap tindakan kem Ukraine itu.
"Sekretariat Malaysia masih berada di stadium dan sedang melakukan protes semula kerana Ziyad dan dua peserta dari negara lain itu sudah pun mendapat kebenaran daripada pengadil untuk lambat sedikit memasuki call room," katanya.
Berdasarkan laman web rasmi Paralimpik Tokyo, penyertaan Ziyad dibatalkan sekali gus menyaksikan peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang sebelum ini menduduki tempat kedua, meraih pingat emas dengan catatan 17.34m sekali gus rekod baharu dunia.
Rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi yang melakukan balingan terbaik 17.30m pada percubaan ketiga, meraih pingat perak manakala gangsa milik Efstratios Nikolaidis yang melakukan balingan 15.93m.
Terdahulu pada aksi di Stadium Olimpik, Ziyad mencetuskan kegembiraan buat kontinjen negara apabila mengungguli acara berkenaan dengan melakar rekod dunia 17.94m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Balingan emas itu dilakukan Ziyad pada percubaan ketiga namun percubaan keempat 17.62m juga tidak mampu ditandingi peserta lain pada aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik itu.
Ziyad juga sebenarnya sudah memecahkan rekod dunia miliknya seawal balingan pertama lagi dengan 17.31m.
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan