19 Ogos 2021

Setakat ini PH tidak dipanggil menghadap Agong

 


SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan setakat ini ahli Parlimen Pakatan Harapan tidak dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.

Perkara itu disahkan seorang ahli Parlimen PKR kepada Sinar Premium sebentar tadi.

"PH setakat ini telah mendapat sokongan sebanyak 105 ahli parlimen bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," katanya kepada Sinar Premium.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara telah memanggil parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu untuk mengesahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri baharu pada Khamis.

Pengesahan itu disampaikan Ahli Parlimen Pontian itu melalui mesej kiriman WhatsApp kepada Sinar Premium sebentar tadi.

Hal ini susulan Sinar Premium menerima berita penularan satu mesej tular yang mengatakan semua ahli Parlimen UMNO bakal bergerak daripada Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur ke Istana Negara menaiki bas pada jam 10 pagi Khamis.

Ahmad juga memaklumkan parti-parti lain yang dipanggil ke Istana Negara bermula jam 10 pagi terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta terakhir adalah Pas.

SH/-

Tiada ulasan: