08 September 2021

69.6 peratus populasi dewasa lengkap imunisasi COVID-19

 

KUALA LUMPUR: Sejumlah 69.6 peratus atau 16.2 juta populasi dewasa di Malaysia sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, lebih 20.8 juta atau 88.9 peratus populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin itu.

Dari segi populasi keseluruhan pula, 63.7 peratus penduduk Malaysia sudah menerima dos pertama, manakala 49.9 peratus pula lengkap divaksin.

Angka itu diperoleh selepas 326,476 suntikan diberikan di seluruh negara, semalam, meliputi 134,307 dos pertama dan 192,169 dos lengkap.

Setakat semalam, data JKJAV juga menunjukkan Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, mendahului jumlah keseluruhan populasi divaksin.

Lembah Klang mencatat 82.6 peratus atau lebih 6.95 juta penduduk sudah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin, dan 71.6 peratus (6.02 juta) lengkap divaksin.

Ia disusuli Labuan dengan 70.5 peratus dos pertama dan 65.8 peratus dos lengkap; Sarawak (66 peratus dos pertama, 63.7 peratus dos lengkap); Negeri Sembilan (71 peratus dos pertama, 60.7 peratus dos lengkap) serta Perlis (65.4 peratus dos pertama, 51.3 peratus dos lengkap).

Sementara itu, tiga negeri yang merekodkan peratusan terendah populasi keseluruhan lengkap vaksinasi ialah Kedah (35.4 peratus), Kelantan (32.3 peratus) dan Sabah (32.6 peratus).

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dilaporkan berkata fasa endemik di Malaysia dijangka bermula akhir Oktober depan, dengan kadar imuniti kelompok diharap mencapai 80 peratus.

BH/-

Tiada ulasan: