MANCHESTER – Cristiano Ronaldo sekali lagi mempamerkan kelas tersendiri untuk menutup mulut para pengkritiknya apabila meledak gol kemenangan Manchester United 2-1 ke atas Villarreal di Old Trafford awal pagi semalam.
Ia adalah kemenangan yang cukup bermakna buat Ronaldo, 36, selepas mencipta rekod baharu sebagai pemain paling banyak membuat kemunculan di pentas Liga Juara-Juara iaitu 178 penampilan sejak 2003.
Pemenang lima Ballon d’Or itu kini memintas pemegang rekod terdahulu iaitu legenda Real Madrid, Iker Casillas yang membuat 177 penampilan Liga Juara-Juara dari 1999 hingga 2019.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan, beliau sentiasa yakin skuad bimbingannya mampu mencari jalan untuk meraih kemenangan kerana memiliki khidmat mesin gol seperti Ronaldo.
“Pasukan anda akan sentiasa ada peluang untuk menang apabila ada Ronaldo di atas padang. Dia boleh meninggalkan impak hebat kepada semua orang termasuk pemain dan penyokong di stadium.
“Dia pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti dan kurang memegang bola ketika bersama Portugal menentang Ireland tetapi akhirnya dia juga individu yang berjaya menjaringkan dua gol melalui tandukan pada minit-minit akhir.
“Saya tak pernah menafikan kemampuannya kerana dia telah membuktikannya sepanjang karier. Saya mahu dia terus menjadi sebahagian perancangan pasukan kerana karakternya sebagai seorang pemenang,” katanya.
The Red Devils terlebih dahulu ketinggalan satu gol kepada Villarreal menerusi Paco Alcacer pada minit ke-53 sebelum bek kiri, Alex Telles menyamakan kedudukan berselang tujuh minit kemudian.
Hasrat Villarreal untuk membawa pulang satu mata dari Old Trafford tidak kesampaian apabila Ronaldo bangkit meledak gol kemenangan United pada hujung tambahan masa kecederaan. –AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan