04 Oktober 2021

Kerajaan Melaka tumbang, empat ADUN kerajaan tarik sokongan

 

Dari kiri: Datuk Norhizam Hassan Baktee, Datuk Seri Idris Haron,  Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Nor Azman Hassan. - NSTP/Syafeeq Ahmad
Dari kiri: Datuk Norhizam Hassan Baktee, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Nor Azman Hassan. - NSTP/Syafeeq Ahmad


MELAKA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat-kuasa hari ini.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan Idris, Noor Effandi dan Norhizam Hassan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi tadi.

Bercakap pada sidang media di sebuah hotel, di sini, Idris yang mewakili keempat-empat ADUN itu berkata, mereka menghantar surat menarik sokongan itu kepada pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang berkata, penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang `flip-flop' serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

"Banyak keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana (meskipun) sudah diputuskan. Seolah-olah ada dua singa atas satu gunung', jadi menimbulkan keresahan kami dan menyedarkan kami untuk mengubah keadaan yang ada sekarang ini.

"Setakat ini, saya menyatakan, empat orang kami ini bersama dengan 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) memang tidak percaya dan tidak menyokong kepemimpinan kerajaan negeri, sekali gus membuktikan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman sudah hilang majoriti sokongan.

"Saya melihat kepentingan rakyat di atas segala-galanya. Kalau semua tindakan kerajaan negeri tidak tepat dan tidak objektif dalam membela nasib rakyat terutama dalam suasana COVID-19 yang begitu mengekang, ditambah pula suasana ekonomi yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan, inilah tindakan kita.

"Insya-Allah, kita akan ada satu gagasan yang akan memberikan peluang lebih dalam soal kemajuan dan kebajikan rakyat," katanya.

Kerajaan Melaka yang diterajui BN dibentuk pada Mac tahun lalu selepas PH tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.

Kerajaan Melaka ketika ini diwakili 17 ADUN, dengan 14 daripadanya diwakili UMNO, diikuti dua daripada BERSATU dan satu Bebas, manakala pembangkang pula 11 kerusi.

Idris, yang juga EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, sebelum ini menafikan terbabit dalam gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan menegaskan tiada sebarang masalah dengan kepemimpinan Ketua Menteri.

"No such thing (tiada perkara sebegitu). Saya tidak faham mengapa saya dikaitkan (dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri), (namun) saya rasa mungkin ada gerakan seperti itu daripada pihak lain tetapi yang pastinya bukan inisiatif saya," katanya.

Idris sebelum ini dikaitkan dengan empat ADUN kerajaan yang akan menyokong Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri baharu bersama PH, malah mereka turut didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong PH.

Empat ADUN umum hilang kepercayaan  terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Foto fail NSTP
Empat ADUN umum hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Foto fail NSTP

Tiada ulasan: