PETALING JAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, jawatankuasa khas itu bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Adib.
Katanya, ia akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Idrus Harun.
“Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Selain itu, Ismail berkata , Jemaah Menteri turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Katanya, pasukan petugas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.
“Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urusetia.
“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya.
Ismail berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang mengenai permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.
“Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara,Mohamed Apandi Ali.
“Pada masa sama, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,” katanya.
Ismail berkata, ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.
Pada 25 Sept, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kes Adib akan ditutup buat masa ini.
Zuraida menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada masa kejadian, dan memegang portfolio sama selepas itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Adib, 24, anggota bomba dan penyelamat dari balai Subang Jaya mengalami kecederaan parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, pada 27 Nov 2018.
Dia meninggal dunia pada 17 Dis, iaitu 21 hari selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan kritikal.
Pada 19 Sep 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan lebih daripada dua individu yang tidak dikenal pasti menyebabkan kematian Adib.
Katanya, terpulang kepada polis dan Peguam Negara untuk membuat pendakwaan.
Pada 13 Julai tahun lalu, bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, tiada saksi kukuh dalam kejadian itu, namun usaha masih diteruskan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.
Manakala, pada 5 Feb lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung buku Tommy, “My Story: Justice in the Wilderness”.
Menerusi kenyataan, Ahmad berkata laporan itu dibuat selepas mendapati buku itu mempunyai kesalahan fakta dan unsur hasutan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang antara kaum di Malaysia yang mendorong kepada tindakan berbaur perkauman ke atas kerajaan atau Raja.
FMT/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan