29 November 2021

Indonesia tawar 8 blok baru penerokaan minyak dan gas

 Gambar hiasan. - Foto AFP

Gambar hiasan. - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia membuka tawaran bagi lapan blok minyak dan gas baharu yang terletak di seluruh kepulauan itu, menurut Ketua Pengarah Minyak dan Gas di Kementerian Tenaga, Tutuka Ariadji.

Tawaran itu dibentangkan dalam Persidangan Tenaga, di mana Ariadji memberitahu blok minyak dan gas itu berupaya menghasilkan sekurang-kurangnya 500 juta tong minyak dan 6.2 bilion meter padu gas.

"Kami mempelawa bakal pelabur yang berminat, mempunyai keupayaan teknikal dan kemampuan kewangan yang baik untuk menyertai pusingan bidaan ini," katanya.

Blok yang ditawarkan ialah Palmera Barat dan Bertak Pijar Puyuh di Pulau Sumatera, pesisir pantai Paus di Natuna, Ketapang Utara dan Agung I di Jawa Utara, Karaeng dan Agung II di Sulawesi Selatan, serta Maratua di Kalimantan Timur.

Blok Bertak Pijar Puyuh, Ketapang Utara, Agung I dan Agung II akan ditawarkan melalui 'tender runding terus' manakala selebihnya akan ditawarkan menerusi tender biasa, kata Ariadji.

Semua kecuali blok Bertak Pijar Puyuh belum diterokai.

Tender runding terus akan menggunakan 'skim perkongsian pengeluaran', yang mana kontraktor menanggung kos penerokaan dan pengeluaran sebagai pertukaran untuk memiliki sebahagian besar minyak dan gas yang mereka peroleh.

Tender terbuka biasa pula membolehkan kontraktor memilih antara skim perkongsian kos pengeluaran atau perkongsian keuntungan pengeluaran.

Di bawah perkongsian keuntungan pengeluaran, kerajaan membayar balik kos cari gali serta pengeluaran ditanggung oleh kontraktor sebagai pertukaran untuk bahagian yang lebih besar daripada pendapatan minyak dan gas syarikat.

Ini adalah pusingan kedua bidaan blok minyak dan gas yang dikeluarkan Indonesia sejak pandemik COVID-19.

Indonesia menganugerahkan blok minyak dan gas kepada syarikat tenaga tempatan, Energi Mega Persada dan Husky Energy dari Kanada pada September lalu, dalam tender pertama seumpamanya sejak hampir dua tahun. - AGENSI

Tiada ulasan: