16 November 2021

PRN Melaka: 11,557 pengundi awal tunai tanggungjawab

 

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD|Foto SYAHIRAH SALLEH

MELAKA: Seramai 11,557 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.

Jumlah pengundi awal ini terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis. 

Proses pengundian awal juga disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding.

Tinjauan Harakahdaily seawal pagi di Pusat Mengundi Awal berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak mendapati pusat undian berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Harakahdaily kongsikan suasana undi awal di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak.

Tujuh lokasi mengundi bagi tentera dan pasangan sedang dijalankan di Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di DUN Durian Tunggal serta Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah membabitkan DUN Bukit Katil.

DUN Sungai Udang merekodkan jumlah pusat pengundian awal terbanyak iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I, SK Kem Terendak II dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak serta Dewan Borhan.

Perikatan Nasional meletakkan semua calon di 28 DUN dengan lapan daripada PAS yang terdiri daripada Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Tiada ulasan: