RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan selang masa 10 hari untuk pengeluaran permit antara dua ibadah umrah merangkumi semua peringkat umur jemaah.
Saudi Gazette, yang memetik kenyataan kementerian itu di Twitter, melaporkan jemaah boleh membuat tempahan untuk umrah kedua melalui aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna selepas tempoh 10 hari menunaikan umrah pertama.
Keputusan itu dibuat selepas kementerian itu kembali melaksanakan langkah berwaspada dan protokol kesihatan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di Masjidil Haram, Makkah serta Masjid Nabawi, Madinah.
Tindakan itu didorong kebimbangan kerana lonjakan kes jangkitan COVID-19 terutama penularan varian Omicron yang semakin meningkat.
Sebelum ini, selang masa 15 hari ditetapkan antara dua umrah, namun ia dibatalkan pada Oktober lalu selepas pelonggaran sekatan COVID-19.
Ini termasuk membenarkan had kapasiti penuh untuk jemaah berusia 12 tahun ke atas menunaikan solat di kedua-dua masjid suci dan menziarahi Raudhah di Masjid Nabawi. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan