02 Januari 2022

Jemaah batal pakej bimbang Omicron, kos kuarantin

  Foto NSTP/Aswadi Alias (hiasan)

Foto NSTP/Aswadi Alias (hiasan)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 peratus jemaah umrah yang akan berlepas ke Tanah Suci sebelum 8 Januari membatalkan pakej pemergian mereka.

Selain bimbang penularan varian Omicron COVID-19, ada yang membatalkan umrah kerana masalah penambahan kos apabila syarat baharu menetapkan jemaah perlu dikuarantin di pusat kuarantin ditetapkan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KRS Travel Sdn Bhd, Mohamad Ssunaibari Mohd Khalib, berkata 30 peratus daripada kira-kira 800 jemaah yang mengambil pakej umrah syarikatnya dan dijangka berangkat mulai Selasa ini sudah membatalkan niat mereka.

Katanya, selain bimbang dengan penularan varian Omicron, ada yang menyatakan mereka tidak mampu membayar kos tambahan pakej umrah.

"Difahamkan kos untuk kuarantin adalah antara RM100 hingga RM350 semalam untuk seorang dan jika dikira untuk tujuh hari maka kosnya antara RM700 hingga RM2,450 seorang jemaah.

"Pada masa ini, kami belum menerima maklumat lanjut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penangguhan kebenaran umrah ini, namun kita jangka memang akan membabitkan pertambahan kos," katanya kepada BH.

Semalam, kerajaan menangguhkan kebenaran mengerjakan umrah bermula 8 Januari bagi membendung penularan varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, ia susulan kebimbangan penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di kediaman masing-masing menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

Mohamad Ssunaibari menjelaskan pihaknya akur dengan keputusan kerajaan tetapi terpaksa menanggung kerugian.

Katanya, selain kos untuk kuarantin, juga dibimbangi mengenai kos visa umrah.

"Visa ini biasanya diberikan tempoh sebulan sah lakunya dan ada bayaran dikenakan. Maka jika ditangguhkan dan tidak diberikan tempoh masa kita bimbang visa ini tamat tempoh dan perlu diperbaharui.

"Kita terpaksa caj jemaah kos visa umrah ini dan pastinya ini akan membebankan mereka," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa MKN segera memberikan maklumat lanjut berhubung penangguhan itu bagi memudahkan urusan berkaitan terutama visa umrah yang perlu dipohon lebih awal.

"Bagi syarikat besar seperti saya mungkin tidak ada masalah, namun sukar bagi syarikat kecil dan baharu kerana mereka baru saja memulakan operasi dua bulan ini.

"Maklumat kos kuarantin juga perlu diberitahu dengan segera untuk memudahkan urusan bagi jemaah yang akan pulang ke tanah air," katanya.

Sementara itu, pengusaha syarikat pelancongan yang mahu dikenali sebagai Hatem berkata, penangguhan secara mendadak itu adalah satu berita sedih buat syarikatnya yang baru dua bulan beroperasi kembali.

Katanya, banyak kerugian yang ditanggung sedangkan bayaran untuk visa, penginapan dan pengangkutan di Tanah Suci sudah pun dibayar kepada ejen di Arab Saudi.

"Ini belum lagi kos kuarantin untuk jemaah yang pulang dari Tanah Suci.

"Kita akur penangguhan demi keselamatan rakyat seluruhnya, tapi ia perlu dilaksanakan berperingkat dan notis sekurang-kurangnya sebulan," katanya yang mana syarikatnya mendapat tempahan kira-kira 500 jemaah sehingga Mac depan.

Seorang jemaah Siti Khadijah Mahrof berkata, dia sangat sedih menerima perkhabaran penangguhan umrah itu kelmarin.

Katanya, dia sudah merancang sejak awal tahun lalu tetapi tertangguh kerana sekatan ke Tanah Suci.

"Saya termenung sekejap dan terkedu macam hendak menangis pun ada tapi kemudiannya akur kerana ini demi keselamatan semua.

"Namun berkat doa dan rasa lapang dada itu, saya menerima berita gembira ditawarkan penerbangan lebih awal untuk ke Tanah Suci," katanya yang akan menunaikan umrah pada Khamis ini selepas ada jemaah membatalkan pakej berikutan arahan kerajaan itu.

Siti Khadijah berkata dia akan berangkat ke Tanah Suci bersama bapa, suami dan sepupunya selain akur dengan kos tambahan bagi kuarantin.

Tiada ulasan: