KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa, hari ini.
"Jemaah umrah pula perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel tertentu seperti dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula 3 Januari (Isnin ini).
"Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini hingga 7 Januari depan, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel seperti dikenal pasti oleh NADMA apabila tiba di Malaysia.
"Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri). Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.
"Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Susulan keputusan penangguhan umrah, Khairy berharap ia berupaya memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah, sebelum ibadat berkenaan dibenarkan semula.
Bagi jemaah yang bakal pulang ke tanah air, beliau berkata beberapa perkara perlu dipatuhi, merangkumi arahan ujian saringan sebelum pelepasan dan ketika ketibaan di Malaysia.
"Jemaah perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum tarikh berlepas dan ujian RT-PCR pada hari ketibaan.
"Menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama tujuh hari di stesen kuarantin dan sekiranya bergejala, perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen kendiri.
"Mereka kemudian dikehendaki melakukan ujian RT-PCR pada hari kelima dan jemaah umrah hanya akan diberi pelepasan perintah pengawasan dan pemantauan pada hari kelapan, sekiranya tiada pelanjutan kuarantin serta keputusan ujian RT-PCR pada hari kelima adalah negatif COVID-19," katanya.
Menyentuh perincian mengenai kos kuarantin, Khairy berkata jemaah umrah akan diberikan pilihan sama ada ingin ditempatkan di hotel sekiranya bersedia untuk menanggung bayaran sepenuhnya atau memilih kemudahan kerajaan untuk yang kurang berkemampuan.
Jelasnya, NADMA akan mengenal pasti stesen kuarantin yang selesa untuk menempatkan jemaah umrah dalam tempoh dua hari ini.
"Kita sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) mengenai bagaimana untuk uruskan mereka yang terkesan ini (dengan arahan penangguhan umrah).
"Antara pertimbangan yang diutarakan adalah menjadualkan semula penerbangan mereka atau memulangkan wang jemaah, dan ini sedang dilakukan dalam kalangan agensi pelancongan berkaitan.
"Justeru, saya minta sangat kepada mereka yang ingin mengerjakan umrah untuk tangguhkan buat sementara waktu kerana mudarat lebih besar terhadap aspek kesihatan awam," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan