11 September 2008

Sila simpan koleksi gambar ini

Sila simpan dua koleksi gambar ini yang saya kira menarik untuk menjadi tatapan anak cucu kita di masa hadapan.Koyak gambar (terbaru)




Tunjuk keris (lama)

Ahmad digantung tiga tahun

Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memutuskan Datuk Ahmad Ismail digantung keahliannya dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun.

Keputusan itu dibuat selepas MT mengadakan mesyuarat khas selama tiga jam di ibupejabat Umno ibunegara di ibunegara hari ini.

MT yang mempunyai 48 anggota dan merupakan badan pembuat keputusan tertinggi Umno itu, dijadual mula bermesyuarat jam 2.30 petang.Mesyuarat khas itu diadakan ekoran kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Ahmad telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam memutuskan untuk menyerahkan kepada Umno untuk memutuskan tindakan terhadap Ahmad.

Ketika mengumumkan keputusan itu mesyuarat MT hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno berkata, MT memandang serius perkara itu kerana kenyataan dan tindakan Ahmad telah mencetuskan ketegangan dan menimbulkan bantahan.

Katanya, parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menjejaskan kesejahteraan kaum.Menurutnya, situasi hubungan kaum di Malaysia kini mula menunjukkan tanda-tanda yang kurang baik.Ditanya sama ada tindakan tegas akan diambil terhadap pihak-pihak yang membangkitkan isu perkauman, Abdullah berkata tindakan mungkin diambil melalui undang-undang.

Perdana menteri juga ditanya sama ada kerajaan akan mengguna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang berbuat demikian.Menurut Abdullah, kerajaan akan berbuat demikian sekiranya ia perlu dan tindakan itu difikirkan wajar.Ditanya sama ada tindakan menggunakan ISA itu melanggarkan kebebasan bersuara, perdana menteri berkata tidak wujud kebebasan tanpa sekatan.Menurutnya, undang-undang mesti dihormati dan "kita tidak boleh buat apa sahaja atas nama kebebasan."

Boleh merayu
Abdullah juga berkata, Ahmad mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan MT itu.Beliau juga memberitahu pemberita bahawa anggota juga kabinet telah berbincang mengenai hubungan kaum dalam mesyuarat mingguannya pagi tadi.Menurutnya, kabinet berpendapat bahawa terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hubungan antara kaum tidak baik dan terdapat ketegangan antara kaum.

Keadaan itu, katanya, diburukkan dengan banyak isu-isu dan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan isu-isu yang kebiasaannya tidak dibangkitkan. Sehubungan itu, kata perdana menteri, kerajaan tidak akan membiarkan keadaan itu berterusan.

sumber : malaysiakini

MB Perak Umum Bonus

Hari ini seluruh warga pegawai kakitangan awam negeri Perak menyambut gembira pengumuman bonus sebulan gaji dengan kadar minima RM 1200 yang diumumkan oleh YAB MB Perak ,Dato' Seri Ir Hj Nizar Jamaluddin sewaktu berucap dalam majlis penyampaian bubur lambuk di bangunan Perak Darul Ridzuan.

Pembayaran bonus tersebut akan diterima penuh sebelum hariraya ini. Pengumuman ini membuktikan kepekaan kerajaan PR kepada rakyatnya terhadap kesan kos hidup yang semakin tinggi.

Pemberian ini juga berlainan dengan pemberian bonus kepada pegawai persekutuan yang diberikan secara beperingkat sebanyak dua kali.
Bonus ini juga merupakan penerusan dasar Kerajaan Persekutuan dalam pembentangan belanjawan 2009 yang di buat oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

Ihya Ramadhan di Pejabat SUK Ipoh.

IPOH, 10 Sept : - Pusat pentadbiran Negeri Perak melakarkan satu lagi sejarah tersendiri di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat apabila majlis tazkirah Ramadan diadakan setiap pagi selama 20 minit di bangunan Perak Darul Ridzuan melalui siaraya yang didengari semua pegawai dan kakitangan pejabat.

Program tazkirah ini disampaikan secara bergilir-gilir oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin, EXCO Agama, Haji Zainuddin Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan kerajaan Negeri, Mufti Negeri Perak, Dato' Harussani Zakaria, Imam Besar Masjid Negeri, Dato' Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz dan lain-lain termasuk para ulama.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Misbahul Munir Masduki sewaktu dikunjungi wartawan Harakah semalan.

Menurut beliau, tazkirah zohor juga turut diadakan setiap hari di surau bangunan SUK, disampaikan juga secara bergilir-gilir oleh Menteri Besar, EXCO Agama, pegawai-pegawai Khas Menteri Besar dan penceramah dari Jabatan Agama Islam Perak.

"Suasana ini mengambarkan suasana Islamik di bangunan pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus menjawab tohmahan BN kononnya Menteri Besar Perak dari PAS dihalang oleh DAP dalam melaksanakan imej Islam dalam kerajaan negeri.

Suasana seperti ini tidak wujud ketika Barisan Nasional menerajui Kerajaan Negeri dan rata rata kakitangan kerajaan melahirkan rasa gembira dengan program penghayatan Ramadan yang dijalankan di sini.

Kerajaan Perak bantu SAR

Perjuangan selama hampir 10 tahun menuntut hak bantuan perkapita dikembalikan semula kepada SAR, kini tuntutan perjuangan mereka menjadi satu kenyataan apabila kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengembalikan semula hak mereka.
Suatu ketika beberapa buah SAR hampir kepupusan murid dan guru akibat tekanan dan penderaan ini.Para guru berbulan-bulan tidak dibayar gaji, kalaupun dbayar pendapatan mereka hilang separuh, akibat tekanan ini, ada guru yang terus meninggalkan sekolah, mencari rezeki di tempat lain, akibatnya Ibubapa hilang keyakinan kepada SAR, anak-anak mereka ditukarkan ke sekolah.
Mereka diugut dengan berbagai tekanan dan ancaman, SAR dilabel melahirkan manusia ganas, masa depan yang gelap dan berbagai lagi.Saya sendiri pernah berkhidmat di SAR sejak tahun 2000 hingga 2004, dan turut merasai penderitaan ini, bayangkan SAR hanya mampu membayar gaji RM 350 sebulan selepas perkapita dibekukan, RM 350 sebulan itu pula bukan dibayar setiap bulan, dibayar setelah SAR dapat duit dari merata sumber.
Begitulah nasib SAR ketika itu.Kini Alhamdulilah, kerajaan PR yang suatu ketika dulu menjadi pembangkang yang menentang tindakan zalim ini, akhirnya setelah diberi mandat oleh rakyat bagi mengambil alih kuasa ini telah mengembalikan semula hak mereka bagi membolehkan SAR mengurus tadbir dengan baik dan mengembalikan semula zaman kegemilangan SAR.
Petang semalam, buat sekian lamanya penantian yang penuh penyeksaan ini diakhiri dengan penyerahan cek-cek bantuan perkapita kepada 14 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat oleh ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah Raja Muda Perak Darul Ridhuan di Masjid Ehsaniah Kg. Kelan, Slim River sempena majlis Perasmian Masjid tersebut. Sebahagiannya akan diserahkan pada majlis yang lain.
Sekolah-sekolah tersebut ialah SMAR Abbasiah , Sungkai sebanyak RM 183,600, Taufiqiah, Behrang RM 35,700. Idrisiah, Kuala Kangsar RM 268,770, Al Hidayah, Ipoh RM 117,300, Darul Quran, Chenderong Balai RM10,200, Yusoffiah, Pengkalan Hulu RM91,800 dan Tahfiz Wal Qiraat Ad Din, Tualang Sekah RM 51,000.Manakala SRAR pula ialah Sekolah Islam Pintar, Kinta RM 20,400, Tarbiyyah Islamiah (SRATI), Kinta RM 13,200, Al Furqan, Kuala kangsar RM 18,000, Al Hidayah, Kinta RM 45,780,Al Ummah, Kinta RM 25,260, Madrasah Ulumul Syariah Wal Quraniah, Kuala Kangsar RM 40,940, Madrasah Tarbiyyah Islamiah, Taiping RM 5,760 dan Madrasah Tarbiyyah Islamiah Tapah RM 2,106.
Malahan dalam ucapan YAB Dato’ Seri Ir Hj Nizar Jamaluddin sewaktu berucap bagi mengalu-alukan majlis telah mengumumkan bahawa kerajaan PR akan turut menganugerahkan tanah seluas yang bersesuai kepada SAR untuk diusahakan bagi menjana pendapatan dan ekonomi SAR.Sekarang terserlahlah bahawa segala tohmahan jahat dan sangkaan buruk kepada kerajaan PR hanyalah suatu dendam kesumat BN yang masih lagi tidak menerima hakikat kekalahan dalam PRU yang lepas.

Thailand akan pilih PM baru

Dewan Perwakilan Thailand akan mengadakan sidang untuk memilih Perdana Menteri baru lusa. Demikian diumumkan oleh Speaker Dewan Perwakilan negara itu, Chai Chidchob semalam.

Perdana Menteri Thailand, Samak Sundaravej kehilangan kelayakannya sebagai perdana menteri kerana tindakannya terus menjadi hos rancangan memasak di televisyen sebagai mencabuli Perlembagaan.

Menurut undang-undang Thailand, Samak Sundaravej hilang kelayakannya sebagai Perdana Menteri serta-merta ketika keputusan tersebut diumumkan.

Parti Kuasa Rakyat Thailand semalam meluluskan resolusi untuk mencalonkan semula Samak Sundaravej sebagai Perdana Menteri.

Parti itu juga memaklumkan, selepas Samak Sundaravej kehilangan kelayakan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Somchai Wongsawat dilantik sebagai Perdana Menteri Sementara negara itu.

10 September 2008

Pemuda Gerakan letak jawatan dalam BN negeri

Tiga pemimpin Pemuda Gerakan Pulau Pinang telah meletak jawatan dalam jawatankuasa Barisan Nasional (BN) negeri sebagai membantah tindakan beberapa pemimpin Umno mengoyak gambar pemangku presiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Mereka ialah ketua Pemuda, Huan Cheng Guan; naib ketua, Yew Khean Siang; setiausaha, Oh Teong Keong dan penolong setiausaha, Heng Thee Wey.

Huan meletak jawatan sebagai ketua Pemuda BN negeri, manakala Yew, Oh dan Heng melepas jawatan dalam jawatankuasa Pemuda BN Pulau Pinang.

Yew, Oh dan Heng akan menyerahkan surat perletakan jawatan mereka kepada sekretariat BN esok. Huan pula telah menghantar surat peletakan jawatannya dari Taiwan melalui SMS kepada pengerusi Pemuda BN, Datuk Hishammuddin Hussein pagi ini.

Huan menyatakan beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak lagi dapat bertolak ansur melihat gambar pemimpin parti itu dihina oleh sekumpulan ahli Umno.

“Saya meletak jawatan sebagai ketua Pemuda BN Pulau Pinang berkuatkuasa serta merta," kata bekas ahli Parlimen Batu Kawan kepada Malaysiakini melalui SMS.

Beliau yang kini berada bersama 41 ahli parlimen BN yang menyertai lawatan sambil belajar di Taiwan atas kapasitinya sebagai setiausaha kerja Kelab Penyokong BN (BBC), menolak desakan supaya beliau pulang segera.

“Sebagai setiausaha kerja, saya bertanggungjawab untuk berada di Taiwan bagi menjalankan kerja-kerja penyelarasan bagi lawatan tersebut.

"Saya bukan seorang yang bertanggungjawab jika meninggalnya dan pulang sekarang," jelasnya.

Tiga lagi pemimpin Pemuda Gerakan negeri mengikut jejak langkah Huan kerana kecewa dengan kegagalan pucuk pimpinan BN untuk mengambil tindakan tegas terhadap ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Oh berkata, Ahmad berterusan membuat kenyataan yang didakwanya berunsur hasutan yang boleh mengancam keharmonian dalam BN dan di kalangan rakyat."Penyokongnya mengoyak dan memijak potret pemimpin parti kami. Tetapi pucuk pimpinan Umno dan BN masih teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadapnya," kata Oh.
sumber: malaysiakini

09 September 2008

Gerakan P Pinang putus hubungan dengan Umno negeri

Gerakan Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar semalam ekoran sidang akhbar yang diadakan oleh ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail di mana seorang pemimpin Umno bertindak mengoyak gambar bekas ketua menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dalam mesyuarat tergempar itu, kata Dr Koh, Gerakan Pulau Pinang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Umno negeri tersebut.

Beliau turut membidas Ahmad yang didakwa membuat kenyataan yang menyinggung orang Cina kerana "telah menukar kesilapan peribadinya kepada konflik dan krisis antara parti-parti komponen BN dan yang paling teruk lagi, antara masyarakat".

Menurut Dr Koh lagi, tindakan penyokong Ahmad menurun, mengoyak dan memijak gambarnya, bukan sahaja dilihat sebagai tindakan yang tidak menghormati dan menghina beliau, tetapi juga keseluruhan parti dan BN.

Dalam sidang akhbar pada jam 10.30 malam tadi, Dr Koh berkata, pemimpin dan ahli Gerakan amat terperanjat dan marah dengan perbuatan tersebut.

Menurutnya, mereka kecewa dan sedih kerana ramai pemimpin badan perhubungan Umno negeri yang hadir di situ, telah membiarkan kenyataan dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab seumpama itu.

Dr Koh juga berkata, amaran Ahmad supaya masyarakat Cina tidak bersikap seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan politik, sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak harus dibangkitkan sama sekali.

sumber : malaysiakini

Khairy si penyibuk !

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kelemahan kerajaan negeri itu amat ketara dengan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin sehingga kini tidak dapat menjelaskan mengapa tindakan penggantungan itu tidak dilaksanakan.''Bagi saya, pakatan pembangkang di Perak sebenarnya sedang bermasalah.

Khairy berkata, tindakan menggantung tugas pegawai tinggi kerajaan termasuk ahli politik yang berjawatan menteri kerana terlibat kes rasuah adalah amalan biasa dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

''Ini amalan biasa di dalam BN. Apabila pemimpin kita dituduh di mahkamah mereka akan ambil cuti dan contoh yang jelas ialah pada 2004 apabila Tan Sri Kasitah Gadam mengundur diri daripada Kabinet kerana ada tuduhan rasuah di mahkamah," katanya.

Syabas kepada Khairy yang membuat ulasan mengenai negeri kami dan tumpang menyibuk walaupun nampak tidak cerdik dalam banyak hal.

Ulasan Khairy menampakkan Pemuda UMNO dan UMNO sudah kehilangan isu di Perak. Tidakkah kita sama-sama berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi mahkamah tidak menentukan dia bersalah.

Sekiranya mengantung tugas seseorang sebelum ada keputusan dan dengan alasan sekadar didakwa dimahkamah ini adalah sesuatu yang tidak betul walaupun Khairy ada mengemukakan satu contoh, namun mana dia contoh-contoh lain yang berjela-jela yang tidak disebut.

Baik sangatkah seorang yang didapati melarikan duit keluar negara dengan nilai jutaan ringgit tetapi akhirnya diangat menjadi menteri. BPR tidak pernah siasat dari mana wang sebanyak itu dikumpulkan.

Sayalah antara orang yang akan sentiasa mendokong YAB Menteri Besar Perak untuk mempertahankan prinsip 2 Exco kami yang mesti meneruskan tugasnya.

Saya menegaskan mereka di perangkap oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab demi melangsungkan hajat besar mereka untuk memporak perandakan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Sebenarnya yang bermasalah adalah UMNO bukannya kami, khususnya di Perak. Segala usaha mereka gagal . Terakhir dakyah untuk menumbangkan Kerajaan Perak pada 31 Ogos lepas ternyata meleset dan gagal.

Tajol semakin hilang taringnya, rakyat semakin tidak percaya dengan ucapan pemimpin UMNO.

InsyaAllah Ramadhan terus membawakan Rahmat, keberkatan dan keampunan kepada orang-orang yang beriman di bumi bertuah ini.

Kenyataan Media

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada hari ini 8 September 2008 dengan ini menegaskan penolakan kami terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh Umno akhir-akhir ini.

Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.

Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar Umno-BN. Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Sehubungan ini kami membantah ucapan yang dibuat oleh Dato' Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin Umno Pulau Pinang.

Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman Umno yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang Melayu.
Sekian, terima kasih.

YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum KeADILan.

YB Dato' Husam Musa
Naib Presiden PAS.

YB Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen DAP.

China sediakan ruangan lebih luas untuk pelabur asing

XIAMEN, 8 Sept. :-China akan terus menyempurnakan dasar pelaburan asing untuk menyediakan ruangan yang lebih luas bagi perkembangan pelaburan asing di negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Naib Perdana Menteri, Wang Qishan dalam Forum Pelaburan Antarabangsa 2008 yang diadakan di bandar Xiamen hari ini.

Wang Qishan menyatakan pihaknya akan terus menyediakan persekitaran pasaran bagi persaingan yang adil, mengamalkan undang-undang yang terbuka dan telus serta dasar yang stabil untuk pelabur asing di China.

Selain itu, China juga menggalakkan pelaburan asing dalam bidang industri teknologi canggih, pertanian moden, industri menjimat tenaga dan perlindungan alam sekitar serta industri perkhidmatan moden.

Di samping itu, peniaga asing digalakkan menyertai pengaturan semula perusahaan milik negara dengan pelbagai cara, menubuhkan syarikat di China supaya menjalankan kerjasama yang lebih erat dengan koperasi China.

Kenapa ke Taiwan ?

Seramai 49 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berlepas ke Taiwan hari ini bagi melakukan lawatan sambil belajar mengenai teknologi pertanian yang diamalkan di negara kepulauan itu.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin berkata selain beliau sendiri, anggota rombongan terdiri daripada Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Tiong King Sing, 10 anggota Parlimen Sabah, 12 anggota Parlimen Sarawak dan selebihnya dari Semenanjung.

Bung Mokhtar juga menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya lawatan itu ada kaitan dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat daripada menubuhkan kerajaan persekutuan pada 16 September ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Jumaat lepas menjelaskan bahawa program lawatan itu tidak perlu dikaitkan dengan penubuhan kerajaan oleh Pakatan Rakyat.
“Kalau mereka nak pergi, biarlah mereka pergi, apa nak hubung kaitkan dengan 16 September. Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN,” katanya.

Yang menjadi tanda tanya saya kenapakah lawatan itu dilakukan ke Taiwan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Keduanya dakwaannya taiwan adalah dekat dan untuk mengadaptasikan segala pengetahuan yang diperoleh di Taiwan untuk membangunkan industri pertanian di kawasan Parlimen masing-masing. Adalah kurang tepat sedangkan yang lebih maju teknologi pertaniannya sekarang adalah China dan beberapa distenasinya lebih dekat dengan Taiwan ditambah kita memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan China.

Ketiganya tahniah dengan usaha mengeluarkan biaya poket peribadi yang didakwa olah mereka untuk melakukan lawatan ini sebagaimana yang didakwa oleh Bung Mokhtar.

Kalaulah lawatan ini tidak melibatkan tarikh 16 September ianya tidak jadi menarik, kerana rombongan ini akan balik pada 17 September banyak yang mempersoalkan lawatan tersebut. Apalagi rakyat sangat berharap untuk bertemu dengan wakil rakyatnya terutama yang beragama Islam pada Bulan Ramadhan yang mulia ini.

Mahkamah batal kemenangan Joseph Kurup

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Seri Joseph Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, batal dan tidak sah.

Joseph Kurup adalah timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk David Wong Dak Wah yang membuka kemungkinan pilihanraya kecil diadakan di kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi oleh Kurup tanpa bertanding.

Bagaimanapun, pindaan pada undang-undang pilihanraya membolehkan Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Petisyen itu difail oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai, yang juga calon bagi kerusi tersebut.Beliau menamakan Kurup, pegawai pengurus pilihanraya Bubudan OT Majalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.

Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 24 Februari lalu apabila keras pencalonan Andipai ditolak kerana diserahkan selepas jam 10 pagi (masa tamat penyerahan borang).

Pada hari penamaan calon, Andipai dan seorang lagi calon, Saimeh Usau, terlepas masa menyerahkan borang dan mahu menyerahkannya selepas masa itu tamat.

Kedua-duanya mendakwa bahawa perjalanan mereka ke pusat penamaan calon telah dihalang.Mereka kemudiannya dibenarkan berbuat demikian - borang pencalonan Andipai diterima pada jam 10.25 pagi dan borang pencalonan Saimeh lima minit kemudian.

Bagaimanapun, sewaktu tempoh bantahan, Kurup membuat bantahan dan ianya diterima oleh pegawai pengurus pilihanraya. Beliau kemudiannya membatalkan pencalonan Andipai dan Saimeh.

Kurup kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah. Beliau juga merupakan bekas timbalan ketua menteri Sabah.
sumber : malaysiakini

Mahkamah batal kemenangan MP BN Parlimen Pensiangan

KOTA KINABALU, 8 Sept. :-Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini hari ini mengisytiharkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Seri Joseph Kurup (gambar) bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu batal dan tidak sah.

Joseph Kurup adalah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan wilayah.


Ketika penamaan calon, Kurup diistiharkan menang tanpa bertanding kerana calon KeADILan , Danny Anthony Andipai dikatakan mengemukakan borang pencalonannya selepas waktu yang ditetapkan.

Tetapi dalam petisyen nya, Anthony berkata dia sampai daslam waktu yang ditetapkan, tetapi Pegawai Pengurus SPR, Bubudan OT Majalu sibuk menghabiskan masa melayan calon lain menyebabkan dia tidak berpeluang mengemukakan borang sehinggalah pencalonan ditutup pada 9.55 pagi.

Danny juga mendakwa Pegawai Pengurus Pilihanraya itu merancang menggunakan hanya satu kaunter penerimaan kertas pencalonan bagi ketiga-tiga kawasan itu bagi mengelakkan penyerahan kertas pencalonan calon-calon lain supaya Kurup menang tanpa bertanding.Oleh itu dia mahukan mahkamah mengistiharkan kemenangan Kurup sebagai tidak sah dan batal kerana Bubudan tidak menurut prinsip yang digariskan di bawah peruntukan (perilaku Pilihan raya) pilihan raya 1981.

ADUN Titi Serong dan Isteri Lawat Tokoh Perniagaan Cina meninggal dunia.

TITI SERONG , 7 Sept. :- Dalam kesibukan tugas seharian, ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim dan Isteri telah melawat seorang tokoh perniaga Cina yang terkenal di Kuala Bagan Tiang. Beliau adalah pemilk kepada syarikat yang berasaskan perikanan iaitu Tong Sheng Marine.



Lawatan tersebut diiringi sama oleh Ketua Kampung Kuala Bagan Tiang, Hj. Bakhtiar dan Imam mesjid Bagan Tiang, Ust. Sani.


Kehadiran mereka disambur oleh keluarga si mati dan ADUN titi serong berada disana selama sekitar 1 jam disamping meninjau masalah setempat dan bertukar pandangan dengan anak-anak Mendiang yang rata-ratanya adalah ahli perniagaan yang berjaya.

ADUN Titi Serong juga sempat melawat jenazah seorang nelayan yang mati lemas di Kuala Gula DUN Selingsing yang hilang sejak pagi jumaat lepas dan ditemui hari ini.

Hadir sama ialah ADUN Selingsing, Hussin Din yang meninjau mayat yang berada dalam keadaan yang tidak sempurna setelah usaha mencari oleh pasukan pencari menemui mayat tersebut di kelompang.