19 Mac 2009

Semua calon patut disiasat - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua calon yang bertanding pada pemilihan Umno, termasuk dirinya sepatutnya disiasat.

Calon Naib Presiden Umno itu berkata sekiranya ada bukti kukuh maka tindakan daripada Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlulah adil kerana kredibiliti mereka sentiasa diuji.

"Saya harap semua termasuk diri saya sendiri perlu disiasat. Dengan syarat bahawa siasatan itu adil dan tidak ada syak wasangka bahawa calon tertentu sahaja disiasat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Menara Parlimen di sini hari ini.

Keputusan yang dibuat mestilah bersandarkan bukti, hujah dan saksi kukuh, kata Hishammuddin sebagai mengulas dua calon ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin, yang disiasat Lembaga Disiplin Umno.

Hasilnya, Khairy diberikan amaran namun layak bertanding manakala Dr Mohamad Khir didapati tidak bersalah.

Mengenai Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikenakan tindakan tidak boleh bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana politik wang, Hishammuddin berkata persoalan tentang jawatan Mohd Ali sebagai Ketua Menteri Melaka tidak timbul.

"(Ini) kerana apa (tindakan) diambil adalah di bawah (kuasa) parti... Apa yang didesak (supaya Mohd Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka) bagi saya tak perlu dipertimbangkan dalam konteks Lembaga Disiplin," katanya.

Beliau berkata Mohd Ali pada mesyuarat Jawatankusa Pengurusan hari ini dilihat tenang, tabah dan beliau menyatakan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu.

Hishammuddin berkata perkara itu sentiasa menjadi pegangan anggota Umno dan perkara sebegini telah berlaku sebelumnya.

"Sejarah telah buktikan dalam kes sebegini akhirnya parti jadi keutamaan dan akhirnya bila rapatkan barisan pejuang parti yang tulen, ikhlas akan terus bersama parti," katanya. Mstar.

Umno bahagian Paya Besar mahu MB Pahang letak jawatan

KUANTAN: Umno Bahagian Paya Besar hari ini menggesa agar Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab di atas keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendapati empat wakil rakyat Umno dari bahagian itu bersalah melanggar

Perlembagaan parti dan Tata Etika Ahli.Ketuanya Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa pihaknya mempunyai saksi bahawa keberanian keempatempat wakil rakyat tersebut yang secara terbuka mencabar etika parti, adalah didalangi oleh Adnan sendiri.

"Umno Bahagian Paya Besar merakamkan rasa kesal terhadap tindak tanduk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang dan berpendapat beliau hendaklah mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang," katanya dalam satu kenyataan yang difakskan ke Bernama di sini, hari ini.

Ahmad Tajuddin berkata beliau percaya keputusan Lembaga Disiplin parti adalah berasaskan peraturan sedia ada dalam rangka mengembalikan integriti parti.

Sementara itu, Adnan menasihati anggota Umno Pahang yang telah didapati bersalah supaya lebih berhati hati pada masa depan untuk mengelakkan tragedi yang sama berulang ke atas mereka.

Dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini hari ini, beliau menasihatkan mereka, jika boleh, supaya menangguhkan sementara tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat, ketika berlangsung pemilihan Umno minggu depan, agar tidak didakwa sebagai melakukan apaapa kesalahan.

Lembaga Disiplin Umno semalam memutuskan Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail digantung selama setahun, Ketua Pemuda Maran Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi digantung keanggotaan selama tiga tahun manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, Naib Ketua Umno Bahagian Paya Besar Mohd Shohaimi Jusoh dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Paya Besar Mohd Zaili Besar diberikan amaran.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata, kejadian itu adalah sesuatu yang menyedihkan bagi Umno Pahang namun beliau bertegas, bahawa pada dasarnya, mereka yang didapati terbabit itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

"Adalah menyedihkan bila menyaksikan rakanrakan kita dihukum kerana melampaui batasan kod etika parti tapi yang baiknya ialah mereka tidak melakukan apaapa bentuk jenayah, namun keputusan Lembaga Disiplin Umno mesti dihormati oleh semua ahli parti.

"Saya ingin jelaskan bahawa Ahli Parlimen Paya Besar yang digantung setahun dan tiga Ahli Dewan Undangan dari Sungai Lembing (Md Sohaimi), Lepar (Mohd Shohaimi) dan Panching (Mohd Zaili) yang dikenakan amaran bukanlah kerana menggunakan wang tetapi didapati telah menganjurkan dan menyertai perjumpaan dalam usaha mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dalam tempoh pemilihan jawatankuasa Umno bahagian yang lepas," kata beliau.Mstar.

Apa itu Penyakit Chikungunya?

1. Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina. Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

3. Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

· Demam panas mengejut

· Sakit teruk pada sendi

· Ruam pada badan

· Sakit kepala Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).

Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.

8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya

· Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.

· Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.

· Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.

10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

Kereta paling murah di dunia: RM7370.00 sebuah dilancarkan

MUMBAI: Kereta paling murah di dunia, Tata Nano, akan dilancarkan minggu depan. Kereta jenis sukan berbentuk kacang itu menarik perhatian dunia kerana harganya yang murah, hanya 100,000 rupee (RM7370.00) bagi model asas. Harganya lebih murah daripada sesetengah komputer riba.

Para penaja berharap kemunculan kereta itu di tengah-tengah krisis ekonomi dunia tidak akan melemahkan minat para pembeli.

Meskipun ia diiklan sebagai kereta yang mampu dibeli jutaan penduduk India, para penganalisis berkata Nano dan syarikat pengeluarnya, Tata Motors, mungkin menghadapi kegenjotan disebabkan masalah pengeluaran, merosotnya permintaan dan krisis ekonomi dunia.

Besar kemungkinan hanya 30,000 hingga 50,000 kereta Nano akan terjual pada tahun pertama disebabkan keupayaan pengeluaran yang terhad, kata pakar-pakar industri kereta.

'Penjualan Nano bergantung kepada pengeluaran dan bukan kepada permintaan,' kata Encik Mahantesh Sabarad, seorang penganalisis dari firma Centrum Broking di Mumbai.

Kereta ini akan dilancarkan Isnin ini dan akan dipamerkan di kedai-kedai kereta mulai April. Nano kini dikeluarkan oleh dua loji pembuatan dalam 'operasi sementara' kata pengarah kumpulan Tata, Encik Ratan Tata.

'Ia merupakan pelancaran yang tergesa-gesa. Kilang utama di Gujarat masih belum siap,' kata Sabarad kepada AFP.

Pada Oktober tahun lepas, Tata Motors menarik keluar projek kereta Nano dari wilayah Bengal Barat, timur India, meskipun kilang dekat bandar Kolkota sudah 90 peratus siap.

Langkah itu diambil menyusuli tunjuk perasaan ganas selama sebulan oleh para aktivis dan petani yang dipindahkan keluar dari tanah mereka.

Ini mencetus kebimbangan tentang kemampuan India menarik para pelabur asing.

Kerajaan campuran: Nik Aziz tidak setuju.

KOTA BAHARU : "Saya tetap dengan keputusan Muktamar (Tahunan PAS ke-54 yang lalu), barulah dikatakan kedudukan kita stabil dan kita dipanggil berdisiplin," kata Mursyidul Am PAS, YAB. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita selepas menerima kunjungan pelabur dari Taiwan di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tetap berpegang kepada keputusan bersama dalam muktamar, iaitu PAS tidak mahu mengadakan kerjasama dengan BN, termasuk pembentukan kerajaan campuran.

Kajian: 4% kuasai BI melalui PPSMI

Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelari dua subjek tersebut.

"Sumbangan PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.

Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.

Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.

Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.

Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Pejabat Daerah dan sekolah tertentu.

Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Rauf Yusoh yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Laporan eksekutif kajian itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.

Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.

Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Rauf berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.

Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.

Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah – turut dipilih sebagai sampel.

Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.

"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.Malaysiakini.

Salah tapi tidak salah ?

Semalam Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Khairy didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, yang melibatkan rasuah dan hanya diberikan amaran sahaja.

Namun begitu kesalahannya tidak menghalang kelayakannya untuk bertanding dalam pemilihan Umno minggu depan. Kesimpulannya Khairy didapati salah tetapi tidak bersalah, kerana itu dia masih dibenarkan bertanding..

Seorang lagi calon yang bertanding merebut jawatan itu serta disiasat ialah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Bagaimanapun Mohamad Khir yang disiasat oleh lembaga itu mengikut Perkara 5.1.2, 5.5, 5.6 dan 5.6.1 Tataetika Ahli Umno didapati tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan politik wang.

Yang pelik bin ajaibnya kesalahan rasuah oleh lembaga displin Umno bukan ada kaitan dengan kesalahan undang-undang negara, kerana itu mereka tidak akan disiasat oleh SPRM.

Kita masih ingat dengan kesalahan Muhd. Taib yang membawa lari wang rakyat ke Australia, namun sampai dia jadi menteri dan hendak bertanding lagi sebagai Timbalan Presiden Umno dia tidak pernah disiasat oleh SPRM walaupun laporan mengenainya sudah berjela-jela.

Itulah Umno.

UMNO, Dulu, kini dan selamanya rasuah !

Umno perlu membersihkan tanggapan sebahagian besar rakyat terhadap parti itu yang dilihat mengamalkan budaya tidak sihat serta mempunyai sikap angkuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Kita perlu membersihkannya. Saya nyatakannya secara terbuka dan bukannya sekadar ingin meluahkan dihadapan Ketua Menteri dari pihak lain,Jika kita tidak berubah, kita akan dihukum, jadi kita perlu berubah" Katanya.

Kenyataan Najib di atas menyusul setelah Ali Rustam dikenakan hukuman yang kononnya tidak pernah dikenakan kepada pemimpin Umno sebelum ini. Iaitu dilarang dari bertanding jawatan no 2 dalam Umno. Saya berminat untuk memberi sedikit ulasan tentang isu ini.

Ada beberapa perkara yang saya fikirkan untuk dikongsi bersama dengan pembaca :

1. Perlu saya tegaskan lebih awal supaya fikiran kita tidak terus diputar belit dan diracuni dengan istilah "politik wang" namun dengan tegas kita hendaklah menganggap ianya sangat jijik, kotor dan haram disisi agama kerana ianya adalah rasuah. Kenapa kita boleh tertipu dengan istilah itu.

2. Saya merasa hairan dan kehairanan ini saya rasa sama difikirkan walaupun kita tidak diajak untuk memikirkan perkara ini. Hairannya kenapa Kalau Ali Rustam didapati bersalah dia dilarang bertanding, kenapa Khairy juga bersalah namun hanya diberi amaran sahaja.

3. Demikian pula hukuman pesalah yang lain semacam keputusannya sudah diatur dan terpilih sahaja. Mana lagi kes yang dilapur melibatkan ribuah kes dan 100 yang besar seperti dilaporkan oleh Dato' Mazlan dan Dato' Kadar.

4. Kalau sudah bersalah dalam rasuah kenapa masih dianggap tidak bersalah mengikut undang-undang negara. Sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mestilah menyiasat sama kepada semua yang terlibat, dari mana wang perolehan mereka. Bukankah ini tugas SPRM. Umno bukannya "kerajaan langit" seperti didakwa oleh ayah pin!

5. Sampai bilakah Umno akan bersih kalau lembaga displinnya sahaja yang menentukan seseorang pemimpin Umno bersalah atau tidak, namun dia dianggap masih belum bersalah dengan undang-undang negara. Jijik sungguh. Sampai bila rakyat Malaysia hendak ditipu dengan lawak bodoh ini ? hairannya masih ada yang boleh terima.

6. Tidak mustahil yang dihukum kelmarin akan dimaafkan dan dengan alasan sudah "taubat nasuha" dalam perspektif Umno. Hukuman kelmarin sekadar "acah-acah ayam", kita tungu dan lihat.

7. Tindakan dan hukuman terhadap Ali Rustam yang dikatakan Najib tidak melibatkan jawatan ketua menteri, dan akan merayu dan masih akan hadir ke Mesyuarat Agong minggu depan adalah gambaran dia akan segera dibersihkan dalam tempoh terdekat. Mudah-mudahan jangkaan saya tidak meleset. Apalagi Ali yang saya faham adalah kem Najib.

Ternyata Umno hidup dan akan mati dengan rasuah, walaupun semua agensi dan pihak yang sepatut bertindak kepada mereka berdiam diri, ingatlah rakyat sudah sedia menghukum Umno dan BN.

Kenyataan Najib tidak akan memepengaruhi tanggapan sebenar rakyat kepada Umno sebagai "bapa rasuah" terunggul dibumi ini. Dulu, kini dan selamanya?

Ali Rustam buat rayuan hari ini

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarangnya bertanding jawatan timbalan presiden minggu depan.

Beliau bagaimanapun menafikan melakukan sebarang kesalahan dan mengemukakan rayuan hari ini.

Mohd Ali turut memohon maaf kepada para penyokongnya dan meminta mereka supaya bertenang dan bersatu demi perpaduan parti.

Walaupun dilarang bertanding, beliau akan menghadiri perhimpunan agung Umno dan terus bekerja untuk kebaikan Umno.

Kongres Melayu mahu PPSMI dibatalkan

Pertemuan bersejarah cendekiawan Melayu dalam kongres kebudayaan kedua hari ini meluluskan 10 resolusi penting, termasuk membawa akibat pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Deraf resolusi-resolusi yang menyentuh pelbagai bidang termasuk pendidikan, politik, keperlembagaan, ekonomi dan agama diedarkan di hujung pertemuan dua hari di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

"Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh kapisan masyarakat; pelaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan martabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara," resolusi kelima dipetik.

Sementara resolusi keenam mengenai 'bahasa, kesusasteraan dan kesenian' berbunyi:

"Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuatkuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan daripada tahap rendah kepada tahap universiti."

Kongres kedua itu yang diadakan selepas pertemuan pertama pada Disember 1957 juga menegaskan kembali peri pentingnya sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi didaulatkan kerana kedua-dua unsur itu "bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia."

"Institusi raja dan Majlis Raja-raja adalah menjadi bahagian utuh daripada sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai 'pemerintah tertinggi' mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak," kata profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Datuk Dr Zainal Kling sewaktu membacakan resolusi mengenai politik.

Kongres itu, yang turut mendapat inspirasi resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1970 - yang menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - turut menentang gagasan multikulturalisme yang dianggap "mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa."

Sewaktu membentangkan hujahnya di kongres tersebut semalam, Dr Zainal berkata gagasan itu yang disebarkan oleh golongan sosialis dan Marxis menggalakkan kebangkitan penentangan kumpulan-kumpulan budaya kecil terhadap dasar-dasar kerajaan.

Tindakan seumpama ini, tambahnya, seperti gagasan Ketuanan Rakyat yang diseru oleh pakatan pembangkang dan idea-idea perjuangan hak asasi manusia yang dibawa NGO boleh menghancurkan negara.

"Kebudayaan Melayu-Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafisran yang berkait dengan multikulturalisme sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa," resolusi pertama dipetik.

Kongres menyokong kembali tiga prinsip asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan utama kemajuan kebudayaan nasional:

kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan pribumi di rantau Alam Melayu,

unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan, dan

Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan.

Kumpulan cendekiawan Melayu ini juga melahirkan kebimbangan berhubung pindaan perlembagaan negara secara sewenang- wenangnya yang boleh mendorong kemuliaan raja, kepentingan rakyat, hak istimewa Melayu dan hak asasi semua rakyat dilemahkan dan diremehkan.

"Keluhuran perlembagaan dan dasar-dasar utama negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukun Negara dan dasar bahasa kebangsaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum," dokumen setebal lapan halaman itu dipetik.

Mereka juga mendesak agar semua kakitangan pentadbiran awam dan penggubal undang-undang "mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan (Melayu) yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat."

Kongres mencadangkan media filem dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan negara, selain mendesak kerajaan mengawal kerencaman pemikiran Islam yang boleh menggugat kedudukan agama dan Melayu sebagai "bangsa penakrif" Malaysia.

Kongres ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

18 Mac 2009

Apa sudah jadi....

Email : JUNHAIRI BIN ABD JALIL


Resepi Pilihan.

Email:tok_busu

Untuk dikongsi bersama.

Carilah resepi kegemaran anda di sini:

http://ilahmasakank u.blogspot. com/
http://resipimasaka nminang.blogspot .com/
http://www.myresipi .com
http://resepi4u. blogspot. com/
http://resepi. mesra.net/
http://www.iresepi. com/
http://makan. cari.com. my/
http://resipidiana. blogspot. com/
http://www.resepirr recipe.com/
http://www.freewebs .com/hanieliza/
http://www.familiaz am.com/resepi. htm
http://sudipkayu. blogspot. com/
http://wanita. my/kategori/ resipi/
http://www.zainul. com/resepi. htm
http://www.geocitie s.com/Athens/ Troy/6007/ resepikakwan. html
http://www.geocitie s.com/amin_ 24000/resepi. html
http://members. tripod.com/ ~spm99/resepi/ resepi.htm
http://www.jphpk. gov.my/Malay/ resepi%20bm. htm
http://www.spa. gov.my/portal/ page?_pageid= 53,635404&_dad=portal&_schema=PORTAL

Arab jahiliah taksub khurafat

Susunan : SITI AINIZA KAMSARI
Email : Sirajuddin Abbas

Patung Hubal yang diperbuat daripada batu akek merah dan berbentuk manusia tidak sahaja memulakan tradisi penyembahan berhala di kalangan masyarakat Arab di zaman pra-Islam malah patung itu turut 'berjaya' merendahkan taraf pemikiran masyarakat itu.

Tidak cukup mereka mengadu nasib dan hal kepada berhala, masyarakat Arab itu juga melakukan pelbagai cara untuk meramal nasib.

Iaitu animisme atau khurafat yang begitu kuat berakar umbi dalam pemikiran dan kuat menjadi amalan.

Antara yang popular, mereka meramal nasib dengan azlam, iaitu anak panah yang belum dipasangkan bulunya yang digunakan ketika mereka hendak bermusafir, berkahwin dan sebagainya berdasarkan.

Jika anak panah yang dilepaskan mengenai perkataan "ya" atau "tidak" semua itu nanti akan mempengaruhi perbuatan mereka.

Mereka juga percaya kepada kepakaran individu yang dikenali sebagai kahin, arraf dan munajjim, iaitu bagi menentukan perbuatan dan cara gaya hidup mereka tanpa sebarang keraguan untuk mereka mempercayainya.

Ini apabila Kahin merupakan individu yang mempunyai kepakaran memberitahu mengenai berita-berita alam semesta yang akan berlaku pada masa akan datang. Kahin juga mendakwa mengetahui banyak perkara ghaib dan rahsia sebagaimana yang diberitahu oleh jin yang menjadi 'sahabat' si Kahin itu.

Arraf pula tidak ubahnya seperti pawang atau bomoh yang tempat mengadu kepada pelbagai masalah termasuk bantuan mencari barang yang hilang atau dicuri.

Munajjim pula yang meramalkan nasib seseorang itu menerusi ilmu-ilmu bintang. Namun yang lebih teruk lagi masyarakat Arab Jahiliah ini sangat mempercayai Al Yiyarah iaitu menganggap sial. Sehinggakan jika perjalanan mereka dipintas atau dihalang oleh binatang liar seperti ular dan sebagainya mereka menganggap ada kesialan dan menyebabkan mereka tidak meneruskan perjalanan.

Segala kepercayaan karut dan amalan-amalan khurafat dan tahyul oleh masyarakat Arab ini menjadi penyakit yang sukar disembuhkan. Menyebabkan turunnya banyak ayat dari Allah agar ramalan atau merenung nasib diharamkan dan menjadi sebahagian ajaran penting Islam agar umat ini tidak mempercayai khurafat.

Namun kehadiran agama lain terutamanya, Kristian (Nasrani atau Masihi), Yahudi, Majusi dan Sabiah memberikan lagi kepelbagaian rupa dan wajah masyarakat Arab.

Kemasukan agama-agama itu dan menjadi anutan kepada sebahagian masyarakat Arab dengan sebahagian lagi mengekalkan amalan menyembah berhala di samping ada sebahagian lagi mempertahankan agama Ibrahim dan sebagainya menjadi naluri mempercayai tuhan ada dalam setiap sanubari masyarakat ini.

Sesuatu yang agak positif walaupun sering terpesong. Mereka menyedari keterbatasan sebagai manusia yang memerlukan yang paling di atas untuk menyempurnakan kehidupan dan memberikan kepada mereka perlindungan.

Agama Kristian berada di tanah Arab khususnya tertumpu di Wilayah Yaman akibat yang dijajah oleh Habsyah (kini Sudan) dengan bantuan tentera Rom pada tahun 340 (SM). Ini menyebabkan gerakan penyebaran Kristian turut meresapi wilayah itu terutama ke Najran.

Dikatakan mereka tertarik memeluk agama Masihi atas faktor seorang lelaki Kristian yang bernama Pabimion yang dikatakan mempunyai pelbagai karamah menyebabkan ajakan beliau untuk memeluk Kristian dapat diterima oleh penduduk Najran.

Apabila Yaman kemudiannya di bawah pemerintahan Yusuf Dhu Nuwas tragedi menimpa umat Kristian. Semasa pemerintahan Dhu Nuwas inilah sebagai seorang penganut Yahudi beliau telah bertindak ganas membunuh penganut-penganut Kristian Najran. Iaitu setelah seruan beliau supaya mereka memeluk agama Yahudi enggan diterima oleh penduduk Najran.

Akibat enggan, beliau telah menggali beberapa batang parit yang besar yang dinyalakan api di dalamnya. Beliau kemudiannya menghumban penganut agama Nasrani itu ke dalam parit yang sedang menyala-nyala api. Lalu meratah sehingga hangus setiap mereka, tanpa mengira mangsa, termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua habis kesemuanya dibakar di dalam parit itu.

Dalam peristiwa ini dikatakan seramai 20 hingga 30,000 penganut Kristian mati di tangan penguasa kejam yang beragama Yahudi ini. Peristiwa disebut dalam surah al Buruj ayat 14, melalui firman Allah yang bermaksud; "Celakalah kaum yang menggali parit...".

Akibatnya, saki baki pengikut Kristian yang ada mengadukan tragedi yang menimpa mereka itu kepada pemimpin-pemimpin atau Maharaja Rom supaya membalas perbuatan Yahudi itu. Sekali lagi bala tentera dari Habsyah yang terdiri daripada hampir 70,000 armada lautnya menyerang Yaman buat kali kedua. Akhirnya mereka menawan wilayah itu pada tahun 525 (SM).

Raja Najashi (Habsyah) meletakkan Ariyat sebagai pemerintah Yaman sehinggalah beliau berjaya dibunuh oleh Abrahah, yang merupakan salah seorang dari panglima perangnya.

Abrahah yang kemudiannya mendapat perkenan daripada Raja Najashi kemudiannya membina bangunan yang hampir serupa seperti Kaabah. Ia bagi mengalihkan tumpuan orang ramai ke Kaabah di Kota Mekah kepada binaannya itu. Namun usahanya gagal kerana penduduk Arab tetap tidak berganjak dari tumpuan yang mereka berikan kepada Kaabah.

Ini menyebabkan Abrahah mengepalai bala tentera yang besar, iaitu terdiri dari tentera bergajah (Ashabul Fil - Angkatan Bergajah) untuk menyerang Kota Mekah. Peristiwa ini seperti yang diketahui umum, Abrahah bukan sahaja gagal menawan malah kalah dengan teruk.

Selain Hasbyah, pengaruh Kristian turut datangnya dari Mesir dan Syria (Syam) ke Tanah Arab.

Namun seperti yang diceritakan kisah sepupu Siti Khadijah Khuwailid (isteri Rasulullah) iaitu Waraqah Bin Naufal. Dia memeluk Kristian dan menjadi seorang Kristian yang terpelajar. Beliau yang mengesahkan mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagaimana beliau temui dalam Kitab Injil.

Walaupun dia adalah saudara dan penasihat rohani Nabi Muhammad, dia tidak pernah memeluk agama Islam. Selepas kematiannya, Nabi Muhammad dikatakan telah bermimpi melihat Waraqah berpakaian putih dan mengambilnya sebagai tanda Waraqah selamat di syurga.

Dalam masa yang singkat, iaitu di zaman pra-Islam itu, tidak dinafikan Kristian berjaya menjadi agama utama di Timur Tengah. Namun dikatakan ajarannya telah dipenuhi ajaran yang diperbaharui mengikut kepentingan pemimpin agama dan pengikutnya. Ini yang telah melahirkan kelompok-kelompok Kristian yang saling bertentangan antara satu sama lain, iaitu Katolik (Ortodoks), Anglican, Methodist dan Protestan.

Ramai yang keliru tentang fahaman Kristian yang benar terutamanya mereka yang tidak berpeluang membaca Al-kitab (gabungan kitab Taurat, Mazmur dan Injil) untuk mengkaji isu-isu yang diperdebatkan

Ikuti bagaimana Yahudi melebarkan pengaruhnya sehingga terdapat banyak kabilah di Tanah Arab yang memeluk Yahudi. Adakah benar mereka Yahudi sedangkan agama itu merupakan agama bangsa (Bani Israel).

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Politik wang : Ali Rustam dan Khairy wajib letak jawatan sebagai Wakil Rakyat!

Dikirim pada Mac 17, 2009
oleh : Herman Samsudeen

Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) mendesak agar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat serta semua jawatan mereka dalam Kerajaan.

Dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Ali Rustam dan Khairy didapati bersalah kerana terlibat dengan politik wang bagi tujuan merebut jawatan sempena Perhimpunan Agung Pemilihan Umno tahun ini.

Ali Rustam hari ini dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan dan Khairy pula hanya diberikan amaran dan masih boleh bertanding.

Walaupun ianya hanya melibatkan perwakilan Umno dan dalam organisasi Umno, mereka wajib letak jawatan dan melepaskan semua jawatan yang disandang sekarang dalam Kerajaan.

Ini selaras dengan tindakan Tan Sri Mohd. Isa Samad yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah dan digantung keahlian Umno selama 6 tahun kerana terlibat dengan Politik wang dalam pemilihan Umno 2004.

Politik wang adalah bahasa yang digunakan dalam Umno tapi rakyat secara keseluruhannya melihatnya sebagai rasuah. Walaupun ia dilakukan sesama ahli Umno tetapi ia juga tertakluk dibawah undang-undang negara kerana dilakukan dalam negara ini dan sekaligus menunjukan perlakuan jenayah yang wajib dibanteras.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib bertindak dan mendakwa mereka dimahkamah kerana perbuatan mereka itu adalah satu jenayah.

Umno mempunyai Lembaga Disiplin untuk menghukum dan mendidik ahlinya, tapi mereka juga perlu patuh pada undang-undang yang lebih tinggi dari Perlembagaan dan Peraturan Disiplin Umno. Selagi perbuatan itu dianggap jenayah maka tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan dibawah kuasa SPRM wajib dilaksanakan.

SPRM tidak boleh menutup mata dan melihat itu sebagai isu dalaman Umno kerana rasuah tetap rasuah walaupun ia dilakukan sesama ahli parti sama seperti apa yang dilakukan oleh SPRM dalam pendakwaan Ketua Pemuda Umno Wilayah, Datuk Norza Zakaria yang dituduh terlibat politik wang.

Pemudawilayah juga melihat bahawa tindakan mereka itu tidak sesuai dengan taraf mereka sebagai wakil rakyat dan pemimpin dalam Kerajaan kerana jenayah itu dilakukan ketika mereka memegang amanah rakyat. Jika dalam pemilihan parti pun mereka boleh berlaku curang dan tidak amanah, apakah jaminan bahawa mereka boleh menunaikan amanah rakyat melalui jawatan yang disandang sekarang tanpa sebarang penyelewengan.

Oleh itu mereka wajib meletakkan semua jawatan yang disandang untuk memberikan laluan buat rakyat memilih pemimpin yang lebih bersih dari mereka.

Pemudawilayah bertegas untuk mendesak mereka letak jawatan. Sekiranya mereka enggan, Perdana Menteri wajib memecat mereka bagi menjaga nama baik kepimpinan negara ini.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan

UMNO masih UMNO

Oleh : Tok Iskandar
Email : Topeng perak

Tok baru je tengok berita panas hari ni. Ali Rustam tak boleh bertanding Timbalan Presiden UMNO. Bermakna peluang Muhyiddin untuk menang kerusi nombor 2 dalam UMNO makin cerah kerana Mat Taib bukanlah tandingannya.

Spekulasi tentang cantas-mencantas sedang berlaku dalam UMNO antara kem Najib dengan Pak Lah tok tak nak ulas.

Tok heran macamana Khairi dan Ali Rustam yang melakukan kesalahan yang serupa tapi Khairi kena amaran tapi Ali Rustam dikenakan hukuman tak boleh bertanding. Paling pelik dulu Isa Samad kena gantung beberapa tahun kerana politik wang. Norza Zakaria yang dihadapkan ke mahkamah tidak pula digantung oleh jawatankuasa tatatertib UMNO.Begitu juga dengan Azalina Othman Said yang sedang disiasat SPRM.

Khalayak ramai semakin keliru dengan UMNO yang tengah bergolak sakan sekarang.Eloklah kita sediakan sebanyak mungkin borang PAS, PKR dan DAP di Melaka. Mana tahu ramai yang nak join.

Ali Rustam dulu pernah melarang kakitangan awam negeri melawat Kelantan dan siapa sangka hayat politiknya berakhir begini.

Cuma tok nak rakan bloggers perhatikan tadi AJK Jawatankuasa Tatatertib UMNO, Hasfarizam Harun banyak buat statement. Mamat ni kan peguam bela menteri pasola di negeri pasir dua butir. siapakah gerangan mamat ni sampai begitu berpengaruh. Cuba kengkawan bloggers luangkan sikit masa siasat latar belakang mamat ni dan dedahkan kat blog masing-masing.

Tok juga nak ulas tentang kerajaan perpaduan dengan UMNO-BN. Eloklah kita dengar nasihat Tok Guru Nik Aziz yang serik untuk bergabung dengan UMNO-BN. Ramai yang meragui keikhlasan UMNO.

Kerajaan PAS di Perak ditumbangkan dan Nizar dimalukan.Kerajaan PAS di Terengganu pernah ditarik royalti minyaknya dan kerajaan PAS di kelantan selama 18 tahun diberikan bermacam-macam tekanan.

Buat apa kita menaiki kapal yang hampir karam. Jika benar-benar ikhlas, MP-MP UMNO patut keluar parti dan jadi bebas atau serta PAS ataupun PKR.Jika tidak,lupakan sahaja kerajaan gabungan dan kepada mana-mana pemimpin PAS yang berminat dengan idea sebegini, ingatlah Tok Guru Nik Aziz seorang MP PAS ketika PAS ditendang keluar BN.

Tok percaya majoriti ahli PAS akan bersetuju dengan pandangan Tok Guru Nik Aziz.