25 November 2009

Husam lawat PRKL

Oleh Mohd Syamil azhar.

LENGGONG: Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa memilih Padang Ragut Kampung Luat (PRKL) sebagai destinasi antara pengisian dalam jadual kunjungannya ke kawasan Parlimen Lenggong baru-baru ini.

Beliau berkunjung ke kawasan Parlimen Lenggong atas jemputan untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta-peserta kursus di Dewan Milenium Lawin dan menyampaikan ceramah umum di Kampung Padang Kunyit pada sebelah malamnya.

Lawatannya pada jam 5 petang dengan diiringi Yang Dipertua Pas Lenggong, Haji Razman Haji Zakaria dan beberapa anggota Unit Amal disambut Pengerusi PRKL, Haji Harun Abdul Lateh.

Dalam lawatan singkat itu, beliau yang juga AJK Pas Pusat mendapat sedikit penerangan mengenai PRKL, bagaimanapun tidak dapat melihat kumpulan rusa kerana ternakan utama itu berada di dalam petak yang jauh dari jalan masuk.

PRKL yang pernah menjadi padang ragut terbaik seluruh Perak (2003 - 2006) diusahakan 14 ahli secara berkelompok dengan seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak (JPVP).

Kedudukan terkininya, PRKL yang berkeluasan 130 ekar, 65 ekar untuk ternakan rusa dan 65 ekar lagi untuk ternakan lembu, memiliki 300 ekor rusa dan 70 ekor lembu.


Anwar, Gobala bidas kerajaan tangani isu Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mebidas sikap tidak endah kerajaan Malaysia dalam menangani isu konflik kaum di Sri Lanka yang membabitkan pembunuhan dan pelarian etnik Tamil.

Anwar menjelaskan bahawa beliau bukan mahu menjuarai atau membela kaum India tetapi isu tersebut berkaitan hak asasi manusia yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia.

Beliau kesal dengan sikap tidak acuh pendirian kerajaan terhadap isu tersebut dan turut di sokong oleh Gobala Krishnan (PKR-Padang Serai) sehingga berlaku pertikaman lidah antara beliau dengan Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay.

Kata Gobala, jawapan Kohilan di Dewan Rakyat cukup memalukan kaum India dan wajar meletakkan jawatan selaku Timbalan Menteri Luar Negeri

Sebelum itu, Kohilan menjawab Malaysia melihat konflik kaum di Sri Lanka sebagai isu dalaman negara berkenaan, satu pendirian yang sejajar dengan dasar luar negara yang berteraskan kepada prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah serta tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan P.Ramasamy (DAP-Batu Kawan) bertanya kenapa kerajaan Malaysia enggan mengutuk kerajaan Sri Lanka berhubung masalah pembunuhan dan pelarian etnik Tamil selepas perang yang menyaksikan lebih 300,000 pelarian berada di kemkem tahanan tanpa makanan, pakaian, perubatan dan kemudahan asas yang cukup.

Mengenai dakwaan Anwar Ibrahim (PKR-Permatang pauh) kononnya terdapat pelarian yang berada lebih 20 tahun di pusat perlindungan kerana kerajaan Sri Lanka belum mahu membenarkan mereka pulang ke tempat asal masing-masing, Kohilan berkata kerajaan Sri Lanka telah menyatakan bahawa ia akan hantar kesemua pelarian pulang secara berperingkat-peringkat.

Kohilan turut membangkitkan kemarahan Anwar apabila berkata kenyataan Anwar berbeza ketika beliau berada di Colombo dan di Malysia berhubung isu tersebut.

Anwar bingkas bangun, meminta beliau menarik balik kenyataan itu dan membuktikan mana kenyataan yang berbeza yang didakwa Kohilan.

"Tunjukkan bukti. Kenyataan saya ada di akhbar muka depan," katanya.

Manakala di lobi Parlimen kira-kira jam 12.00 tengah hari, Gobala bersama Ramasamy menggesa supaya Kohilan meletakkan jawatan atas sikap beliau dan jawapan yang mengecewakan sebilangan besar penduduk India berhubung isu tersebut.

HarakahDaily.net/-

Ziarah pesakit

Oleh Mohd Syamil Azhar.

Dari kanan: Datuk Husam, Haji Razman, Ustaz Ibrahim dan Haji Shukri ziarah Haji Abdul Rahim Taib yang terlantar akibat lumpuh sejak 5 tahun lalu di rumah pesakit itu di Kampung Padang Kunyit, Gerik.

GERIK: Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Paduka Husam Musa yang memenuhi undangan menyampaikan ceramah di Dataran Markaz Pas Kampung Padang Kunyit dekat sini baru-baru ini, sempat menziarahi seorang pesakit di kampung itu.

Pesakit berkenaan, Haji Abdul Rahim Taib, 72, mengalami lumpuh sejak lima tahun lalu selepas kemalangan kereta meragut jiwa yang menimpa anaknya.

Abdul Rahim yang berjasa besar apabila mewakafkan tanahnya untuk pembinaan markaz, dengan keikhlasannya itu, akhirnya tertegak dan berfungsi Markaz Pas Padang Kunyit yang utuh sehingga hari ini sejak berbelas tahun lalu.

Husam selepas menyampaikan ceramahnya malam itu, dengan diiringi Exco Perhubungan Pas Negeri Perak yang juga Yang dipertua Pas Lenggong, Haji Razman Zakaria, berkesempatan menziarahi Abdul Rahim.

Turut mengiringi Husam ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Perak, Ustaz Zulkifli (Ibrahim) Zakaria dan Ketua Penerangan Pas Lenggong, Haji Shukri Ahmad.

Terdahulu, Husam, Zulkifli dan Razman menyampaikan ceramah kepada hampir 1000 pendengar yang memenuhi khemah di dataran markaz walaupun tapak ceramah digenangi air akibat hujan lebat sebelumnya.

Tamat.

Exco harap bedah siasat kedua Teoh, temui punca sebenar kematian

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah meletakkan harapan agar bedah siasat kedua ke atas mayat bekas pembantunya, mendiang Teoh Beng Hock menemui punca kematian sebenar.

Ean ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi berkata, rakyat termasuk ahli keluarga Teoh sendiri yakin Teoh mati dibunuh, bukan akibat terjatuh daripada bangunan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Saya sangat berharap bedah siasat kali ini dapat memberikan gambaran yang jelas kepada kita apakah punca kematian Teoh,"

"Rakyat sendiri percaya Teoh mati dibunuh oleh orang yang ada di sekelilingnya waktu dia disoal siasat," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Kembangan.

Ditanya mengenai dakwaan peguam keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh Deo bahawa terdapat sekumpulan individu yang tidak dikenali mengekori pakar patologi Thai, Dr Porntip Rojanasunand sejak kelmarin, Ean percaya ianya adalah tindakan musuh politik berniat untuk menakut-nakutkan Dr. Phorntip.

"Saya pasti kejadian itu memang berlaku.Individu-individu tersebut patut dedahkan diri mereka, bukan bertindak demikian," katanya lagi.

Gobind dilaporkan sebagai berkata, beberapa buah kereta mengekori Dr. Porntip balik ke hotel dan kemudiaanya ke tanah perkuburan di Semenyih sejak petang Jumaat.

Menurutnya juga, pihak polis telah menugaskan beberapa anggotanya memantaunya sejak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Mayat mendiang Teoh yang digali semula dari tanah perkuburan Semenyih Sabtu lalu dan bedah siasat kali kedua dilakukan oleh Dr. Khairul Aznam dan Dr. Prashant Samberker yang memberitahu inkues kematian Teoh bahawa mendiang membunuh diri.

Seorang lagi pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat tersebut.

Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sungai Buluh itu mengambil masa kira-kira dua jam dan selesai dijalankan pada jam 3 petang semalam.

Bagaimanapun, laporan bedah siasat hanya akan diumumkan apabila inkues disambung 9 Disember depan.

Mendiang Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Musalam di Shah Alam pada 17 Julai lalu, sehari selepas dia disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM).

Kerajaan kemudiannya mengarahkan diadakan inkues berhubung kematian mendiang Teoh dan keterangan Dr Porntip telah mendorong keluarganya meminta bedah siasat kedua dijalankan.

Dr Porntip memberitahu inkues tersebut bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mengesyaki 80 peratus kemungkinan kematian mendiang Teoh adalah homisid.

Pakar patologi terkemuka Thai itu yang bertugas dengan Jabatan Kehakiman negara itu, hadir memantau bedah siasat hari ini bagi pihak kerajaan Selangor.

Manakala SPRM pula mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Venezis (kanan) yang terkenal dengan siasatannya terhadap kematian Puteri Diana.

HarakahDaily.Net/-

Syeikh Abu Bakar Awang meninggal

ALOR SETAR, 23 Nov: Penasihat Persatuan Ulamak Kedah (PUK), Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi tadi di Hospital Sutanah Bahiyah, dekat sini lantaran sakit tua.

Al-Marhum Syeikh Abu Bakar,84, semasa hayatnya bersama Al-Marhum Syeikh Niamat Yusoff mengasaskan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang (MTID) seawal 1980. Beliau menjadi Syeikhul Perkampungan Maahad Derang sehingga akhir hayatnya.

Sebelum itu, kedua tokoh terkenal ini berkhidmat di Maahad Mahmud, bersama-sama dengan bekas Presiden PAS, Al-Marhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor. Ustaz Abu Bakar adalah pelajar awal Pondok Tuan Guru Haji Yahya Al-Junaid di Batu 16, Padang Lumat, Kedah.

(Gambar: Abu Bakar dengan anak-anak muridnya)

Beliau menyambung pengajian agama di sebuah universiti di Baghdad, Iraq. Empat tahun kemudian datang pula bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hashim Jasin belajar di tempat sama.

Sebaik kembali dari Iraq, beliau yang berasal dari Perlis telah diamanahkan menjadi calon PAS dan bertanding dua kali di Dun Kayang, Perlis.

Ketika dihubungi di hospital, Mudir MTID, Syeikh Abdul Majid Abu Bakar An-Nadwi berkata, jenazah akan disolat dan dikebumikan di perkuburan Masjid Raudhatus-Solehin, Derang bersebelahan sahabat karibnya, Ustaz Niamat.

Ustaz Abu Bakar yang mempunyai hubungan darah dengan tokoh ulamak negara, Dato’ Dr Haron Din sangat mahir dalam bidang Feqah Muamalah dan menulis beberapa buku ilmiah mengenainya. Beliau meninggalkan empat cahayamata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Ketika dihubungi Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengucapkan takziah mewakili PAS negeri itu dan menyifatkan pemergian Ustaz Abu Bakar sebagai satu kehilangan besar kepada agama dan negara.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Azri Ahmad mengesahkan, Ustaz Abu Bakar menjadi Timbalan Ketua dewan itu dari 1995 hingga 2000 di bawah Al-Marhum Ustaz Azahari Abdul Razak.

“Dewan Ulamak PAS Kedah juga merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ulamak ini yang berkorban jiwa raga di atas jalan perjuangan kebenaran, semoga Allah SWT mencucuri Rahmat-Nya ke atas rohnya,” ujar Azri.

HarakahDaily.Net/-

Tragedi Bukit Antarabangsa: Ubah status rahsia untuk kepentingan ramai

SHAH ALAM, 23 Nov: Kerajaan negeri Selangor terpaksa menarik balik cadangannya membuka membuka laporan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa kerana ia telah diklasifikasikan rahsia oleh Jamaah Menterii, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim

Katanya, kerajaan negeri Selangor menghormati hak penduduk Bukit Antarabangsa untuk mengetahui kandungan laporan yang mengakibatkan terjadinya tragedi tanah runtuh pada 6 Disember 2008 yang mengorbankan lima nyawa penghuni di situ.

Bagi menjamin kepentingan terhadap keselamatan penduduk berkenaan, Kerajaan Negeri menerusi kuasa Menteri Besar pada Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi, mengambil keputusan untuk mengubah semula status laporan tersebut yang diklasifikasikan sebagai “rahsia” oleh Kementerian Kerja Raya, kata Khalid dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Khalid, kerajaan negeri sekarang berazam supaya salinan-salinan laporan tersebut diedarkan kepada orang awam dan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat beberapa salinan dan menjual kepada penduduk terlibat dengan harga berpatutan bermula hari ini.

Bagaimanapun, ekoran pengumuman kerajaan negeri pada mingggu lepas, Kerajaan Persekutuan lantas mencabar keputusan tersebut dan memberi amaran supaya kerajaan negeri jangan mengubah status laporan berkenaan.

Sebelum ini kerajaan negeri ada menulis kepada Kementerian Kerja Raya mengenai keputusannya itu dan meminta Kementerian berkenaan melakukan perkara yang serupa demi kepentingan orang awam.

Bagaimanapun, Kementerian hari ini mengatakan ia tidak boleh membuat keputusan mengenai perkara tersebut kerana yang klasifikasi rahsia telah dibuat oleh Jemaah Kabinet.

"Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri tidak boleh meneruskan keputusan untuk mengumumkan perincian laporan tersebut," kata Khalid.

"Dengan yang demikian, kami menyeru kepada Kerajaan Persekutuan supaya membenarkan penyiaran laporan tersebut oleh sebab kandungannya sangat penting diketahui oleh orang ramai bagi perbincangan dalam usaha mempercepatkan proses mengeluarkan peraturan bagi pembangunan di kawasan cerun Bukit Antarabangsa dan kawasan tanah tinggi lainnya di Selangor," katanya.

Menurut Khalid, Setelah membaca laporan tersebut, kerajaan negeri percaya ianya tidak bersifat prejudis kepada kepentingan dan keselamatan negara. Sebaliknya, pendedahan kandungan laporan boleh menjaga kepentingan dan keselamatan orang ramai.

"Sesungguhnya, kejadian tanah runtuh pada 6 Disember 2008 itu merupakan suatu tragedi. Namun, ia boleh menjadi tragedi yang lebih besar sekiranya Kerajaan Persekutuan gagal menunjukkan sikap kebertanggungjawaban dan melakukan tindakan yang sewajarnya bagi melindungi keselamatan orang awam," tambahnya.

Kerajaan negeri Selangor, sebaliknya, kata Khalid, sangat komited dalam usaha menjamin kepentingan rakyat Selangor dan sedia melakukan apa sahaja bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara.

HarakahDaily.Net/-

Ganti Speaker: Dr Abdul Isa bukan sembrono

BASHIR ISHAK dan MOHD SHUBIHI MUHAMAD ZAIN

ALOR SETAR, 23 Nov - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan teguran daripada dua orang Adun Pembangkang yang mempersoalkan kewajaran Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail membenarkan Yahya Abdullah (PAS-Jeneri) menggantikan tempatnya sementara beliau keluar menunaikan solat Asar.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) dan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bangun mempersoalkan perkara tersebut ketika Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (PAS-Sala) sedang berucap menggulung perbahasan.

Semasa insiden tersebut berlaku, Timbalan Speaker, Ustaz Abdul Ghani Ahmad (PAS-Ayer Hitam) belum sampai ke dewan kerana mengalami kerosakan kenderaan dalam perjalanan pulang dari Pantai Timur.

Ustaz Azizan yang sedang berucap tergamam seketika menghadapi situasi ini dan memohon pandangan dari Penasihat Undang-undang Negeri.

Bagimanapun keadaan reda apabila Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) bangun memberikan penjelasan.

Menurutnya, perkara tersebut dibenarkan sepertimana yang termaktub dalam buku undang-undang perjalanan dewan.

"Perkara 3 dalam mukasurat 5 menyatakan Speaker boleh membenarkan mana-mana ahli dewan untuk menggantikan tempat beliau sementara," jelas beliau.

Mohd Nasir yang dihubungi kemudian menjelaskan bahawa Dr Abdul Isa selaku Spekaer merupakan seorang yang teliti dalam membuat sesuatu tindakan.

"Beliau bukanlah seorang yang semberono apabila bertindak. Apa yang dibuatnya teliti mengikut peraturan yang ada. Ini sekaligus menidakkan dakwaan sesetengah bahawa dia bertindak zalim khususnya dalam membuat keputusan berkaitan kerusi Dun Kota Siputeh," katanya

HarakahDaily.Net/-

Anual Bakri Haron: Garam dan usia, guru kepada Nik Aziz

Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian/tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita.

Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian/quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada di terkesan di mana-mana.

Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak menangkap ulama, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan usianya kepada gerakan Islam.

Jika PAS mengasaskan kepimpinan ulama seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan tunggulnya. Dan, dia masih unggul, tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai ke hari ini.

Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.

Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira 58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi menteri besar.

Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani satu tempoh tarbiyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik CEO untuk sebuah kerajaan.

Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan. Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.

Beliau cuma bermula dengan sebuah motor Honda Cub dan bukan dengan kenderaan 4WD. Inilah yang dikatakan sebagai proses perjalanan usia. Kewarasan kepemimpinannya tidak datang percuma. Tidakkah hikmah itu barang yang hilang.


Lazimnya, apa yang hilang perlu di cari?

Sesungguhnya, di sana ada sebuah madrasah yang bernama "the making of Nik Abdul Aziz."

Jika orang mahu naik dengan sekedar bersandar dibahunya atau berkonspirasi untuk menjatuhkannya, maka percayalah. Orang atau orang-orang itu tidak akan kekal lama justeru ia menyalahi segala hukum dan protokol pembikinan biasa kelahiran seorang pemimpin. Kata pepatah Inggeris, "Usually a true leader is not born. It is made."

Jika kita semak kisah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam misalnya, kita akan cepat menangkap keunikan Yusuf yang didewasakan melalui pelbagai ujian. Usialah yang menjadi latar tempat dan masa bagi tumbuhnya benih kepimpinan. Sekurang-kurangnya, Nabi Yusuf a.s. telah diuji dalam sembilan keadaan iaitu:


a) Menjadi sasaran kebencian saudara-saudaranya.

b) Berpisah dengan keluarga.

c) Dibuang ke sumur dalam usia 12 tahun.

d) Dijual dan menjadi hamba sahaya.

e) Digoda dan dirayu wanita.

f) Dituduh memperkosai isteri perdana menteri.

g) Dipenjara selama 9 tahun.

h) Mendapat kekayaan dan kenikmatan yang melimpah.

) Memaafkan saudara-saudaranya.

Menyemak sejarah Mahatma Gandhi, kita boleh temui proses kematangan yang dilalui beliau melalui lorong usia yang hampir sama. Mari kita amati fakta-fakta ini.

a) Dalam usia 13 tahun, beliau dipaksa berkahwin dengan seorang perempuan bernama Kasturba.

b) Dalam usia 19 tahun beliau meninggalkan tanah air bagi menyempurnakan ijazah Undang-Undang.

c) Beliau berjanji pada ibunya untuk tidak minum arak, berzina, dan tetap menjadi Vegetarian sepanjang menimba ilmu di London.

d) Pada tahun 1891, beliau kembali ke tanah air dan memulakan langkah permulaan kerjayanya di Bombay dan Rajkot.

e) Pada tahun 1893, beliau telah berhijrah ke Selatan Afrika untuk menegakkan keadilan di sana. Beliau menetap di sana selama 12 tahun dan menubuhkan satu parti Natal India Congress untuk memulihkan kehidupan rakyat India di sana mengikut hak-hak keadilan dan tanpa pencabulan hak asasi manusia.

f) Pada 1914, beliau kembali ke tanah air, dan menubuhkan Satyagraha Ashram berhampiran Ahmedabad. Dipengerusikan oleh G.K. Gokhale dan Lokmanya Tilak, beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh golongan professional. Selepas itu, beliau mulalah menjejakkan kaki dalam kancah politik.

g) Beliau memperkenalkan tiga gerakan dengan satu matlamat untuk bebas daripada peraturan dan undang-undang British. Yang pertama ialah Non-Cooperation Movements, objektif penubuhannya adalah untuk mengembalikan keamanan di tempat itu melalui pemboikotan barangan-barangan yang diimport, mahkamah British dan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran British, dan menggalakkan penggunaan barangan tempatan.

h) Yang kedua, ialah dengan menggerakkan Civil Disobedience Movement yang telah ditubuhkan pada 6 April 1930. Sebagai permulaannya Gandi March atau Satyagraha telah digunakan untuk menentang Undang-Undang Garam British; dan beliau mengarahkan pengikutnya untuk menghasilkan garam sendiri.

i) Yang ketiga, beliau telah menubuhkan Quit India Movement pada tahun 1942, dengan mendesak pihak British berundur dari negara itu. Selepas pihak British berundur, India telah mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

j) Pada 30 Januari 1948, beliau berakhir di muncung senapang seorang communalist. Merumuskan kepimpinan Gandhi, Pandit Jawaharlal Nehru sempat berkata begini: "The light has gone out of our lives and there is darkness everywhere."

Kembali kepada kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau kini dicadangkan oleh Zaid Ibrahim, pengerusi penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) untuk mempengerusikan PRM bagi mencontohi sifat kepemimpinan Gandhi.

Zaid melihat kualiti yang ada pada Tok Guru melangkaui sempadan usia, batas agama, dan tembok kaum.

Sejurus setelah Zaid membuat cadangan banci sokongan yang dibuat oleh NTV7 pada malamnya benar-benar mengesahkan kredibiliti Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tok Guru memborong 44 peratus sokongan sementara Anwar mendapat 43 peratus.

Pendek kata, walaupun Tok Guru Nik Aziz sedang dikepung oleh isu di sekitar tajaan untuk mengerjakan haji, dan hingusan isu yang keluar dari bersin menantunya di PMBK, beliau tetap sabar bersahaja.

Terkini pula, ada tanda-tanda kerusi pesuruhjaya negeri beliau mahu digugat oleh seorang pemilik blog (mungkin atas suruhan) tetapi beliau masih tetap selamba kerana duri di hutan tidak siapa pun pernah menajamnya.

Melalui proses usia dan pengalaman yang panjang Tok Guru Nik Aziz yang kini berusia 78 tahun, sudah masak dengan sepak terajang. Sungguhpun beliau boleh dilihat perlahan kerana sedang berada dalam zaman septuagenarian yakni antara usia 70-79 tahun tetapi beliau masih dilihat utuh.

Mari kita tumpang keutuhan beliau bersaksikan kata-kata ini:

"Saya telah tua sekarang ini, dan hanya boleh membaca kepala angin samada ribut atau hujan akan turun berdasarkan pengalaman saya. Saya boleh baca contohnya jika air berombak, saya akan menyatakan mungkin ada tunggul di bawahnya. Tapi jika saya hendak mengangkat sauh sendiri sekarang ini saya sudah tidak berdaya melakukannya. Begitu juga hendak mengangkat dayung atau turun mencampakkan sauh pun saya tidak mampu. Orang lainlah yang perlu melakukannya. Jadi, saya hanya boleh baca kepala angin. Ini kerana terdapat angin yang bawa ribut atau hujan berdasarkan pengalaman saya yang ada."

Sebetulnya, proses usia adalah proses perjalanan kematangan. Jauhi dari tabiat tidak sabar. Usah dipaksa kematangan itu datang dengan menjolok durian yang lambat gugur. Laluilah denai pengalaman melalui urutan proses kematangan yang normal sebelum duduk di kerusi kemudi.

Biar ia berlaku secara natural. Jika tidak, usah disalahkan orang apabila orang menamakan kita sebagai budak awang yang belum mumayyiz. Jangan karier kita berakhir, mati muda dalam malu, terhingguk-hingguk di kerusi malas.

Penulis adalah setiausaha politik Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

HarakahDaily.Net/-

Kenapa perlu sistem dua parti?

Perbincangan mengenai sistem dua parti dibincangkan dengan penuh minat oleh sejumlah pemimpin parti-parti pembangkang kebelakangan ini, dengan perbincangan terarah kepada sikap menyokong gagasan ini.

Sistem dua parti dilihat sebagai keperluan kepada pakatan pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional dalam pilihan raya, membolehkan kerajaan baharu di peringkat pusat dibentuk oleh Pakatan Rakyat.

Pada tahap tertentu, perbincangan juga kelihatan seperti mengemukakan satu pilihan yang mudah, dan kelihatan seperti gagasan itu sebagai satu keperluan semasa yang perlu diterima.

Sistem dua parti bukanlah sesuatu yang boleh dipilih untuk dilaksanakan, tetapi sesuatu yang berlaku hasil proses politik melibatkan partisipasi ramai untuk satu tempoh yang panjang.

Apa yang dilihat menjadi hasrat pihak yang membawa gagasan ini ialah mewujudkan satu pakatan selain BN yang bersatu lebih daripada sekadar percaturan pilihan raya. Dilihat pada permukaannya, ini memang satu pilihan yang wajar untuk berdepan BN dalam pilihan raya.

Parti yang dimaksudkan dalam sistem dua parti ialah parti politik, seperti Parti Republikan dan Demokratik di Amerika Syarikat dan Konservatif dan Buruh di Inggeris. Di Malaysia, tidak ada dua parti mendapat undi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan melainkan perlu bergabung dalam koalisi seperti BN dan PR.

Di Malaysia, sistem dua pakatan parti-parti politik boleh berlaku sekiranya PR menjadi sebuah parti atau gabungan yang lebih kohesif, bermakna ideologi semua parti dalam PR sehaluan.

Hasilnya, rakyat akan hanya mempunyai dua pilihan iaitu BN dan PR untuk dipilih dalam pilihan raya.

Dalam sebuah demokrasi, rakyat perlu diberi lebih pilihan daripada sekadar dua gabungan parti, yang biasanya dalam spektrum ideologi kedua-duanya berada di kedudukan hampir kepada titik tengah sebagai keperluan untuk mendapat sokongan yang paling banyak.

Malaysia menyaksikan satu kes yang unik apabila parti liberal dan parti berasaskan agama berada dalam satu gabungan, dan disertai juga oleh tokoh-tokoh berhaluan kiri, walaupun dasar-dasar semua pihak dalam pakatan ini jauh berbeza.

PR boleh bergerak sebagai satu dengan berkesan dalam pembahagian kawasan pilihan raya, dengan setiap pihak bertanding di konstituensi yang mempunyai sokongan kuat dan paling boleh diwakili dengan berkesan.

Walau bagaimanapun, penghasilan dasar-dasar tidak dapat dielakkan daripada perbezaan yang besar, kerana ideologi berbeza parti-parti terbabit. Ini ialah realiti politik, dan ideologilah yang menjadi asas kepada penghasilan dasar oleh sesebuah parti, walaupun boleh dikompromi pada tahap tertentu untuk tujuan tertentu.

PR yang bergerak sebagai satu akan menyaksikan salah sebuah - atau lebih - parti mengkompromikan dasar-dasar parti tersebut, sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku dan akan mengakibatkan kehilangan penyokong-penyokong tradisional yang menjadi kekuatan utama parti.

Di banyak negara di dunia, gabungan parti-parti dilakukan berdasarkan haluan parti terbabit, seperti disaksikan di Jerman dan Israel sebagai contoh. Persoalan yang ditumbulkan ialah berkaitan ideologi parti terbabit, seperti sejauh mana gabungan dikuasai parti konservatif Kristian akan bergerak ke kanan, dan sama ada parti berhaluan kiri akan menyertai gabungan dikuasai parti berhaluan kanan.

Walaupun sukar dan menyaksikan permainan politik yang panjang, pakatan berdasarkan ideologi lebih mudah untuk berlaku kerana ideologi akan menjadi dasar penghasilan dasar-dasar pentadbiran.

Rakyat juga mendapat lebih pilihan daripada sekadar dua parti atau gabungan yang biasanya tidak menunjukkan beza yang besar. Semak dan imbang juga lebih sukar untuk berlaku dalam kalangan parti pakatan-pakatan terbabit seperti mematuhi garis-garis parti atau gabungan.

Sebahagian besar pengundi akan mengundi berdasarkan gabungan yang mereka sokong walaupun tidak bersetuju sepenuhnya dengan semua ideologi parti-parti dalam gabungan itu.

Ahli-ahli parti pula terpaksa sentiasa menunjukkan kesatuan untuk mengelakkan daripada dilihat tidak bersatu dan mendedahkan kepada serangan parti lawan. Ini hanya meneruskan budaya patuh tidak bertempat dan tidak menggalakkan sikap kritikal yang perlu dalam politik yang dikuasai sentimen.

Sistem dua gabungan parti tidak semestinya pilihan yang paling baik untuk rakyat dan parti-parti politik negara ini. Lebih baik proses mewujudkan pakatan ini tidak dilakukan menurut penilaian jangka pendek yang mungkin dipengaruhi usaha mendapatkan kuasa dengan segera.

Biarlah proses ini berlangsung dengan sendiri dalam medan politik negara ini, selepas melalui jalan yang sepatutnya dan tidak dipaksakan atau dikemukakan sebagai keperluan mendesak untuk menjatuhkan BN.

HarakahDaily.Net/-

MAINPP: Siti Hasnah seorang Islam

Surirumah S Banggarma atau nama Islamnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah yang mendakwa status agamanya ditukar ketika kecil, adalah seorang Islam, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Shabudin Yahaya.

Shabudin diminta mengulas kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini yang siasatannya mendapati Banggarma telah diislamkan bapanya sendiri sebelum dimasukkan ke Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, Kepala Batas 20 tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shabudin berkata, kesimpulan siasatan JKM hari ini telah memudahkan dan memperjelaskan lagi kedudukan agama wanita itu.

Katanya, dokumen pengislaman Siti Hasnah (foto) - yang turut berada dalam simpanan MAINPP - menguatkan lagi hujah bahawa surirumah itu adalah seorang Islam.

"Soal dia mengamalkan ajaran Islam atau tidak, itu bukan isu. (Ukuran) Islam itu pada syahadahnya. Yang Islam pun kita tengok ramai yang tidak mengamalkan ajaran Islam," kata Shabudin yang juga ADUN Permatang Berangan.

Ditanya berhubung tindakan lanjut MAINPP, Shabudin berkata, lazimnya dalam kes seumpama itu, pihaknya akan menghantar kakitangan bagi memberikan kaunseling dan berdakwah kepada pihak terbabit.

"Ini macam kes Siti Fatimah Tan dulu, berpuluh-puluh kali kita pergi menemuninya. Kita ada kronologi itu. Kalau ada yang kata kita tidak peduli, itu tidak benar.

"(Dakwaan) itu hujah mereka yang sokong pihak yang hendak keluar Islam," jelasnya.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam.

Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang kemudiannya menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan tersebut.

Sementara itu, mengenai status perkahwinan Siti Hasnah, Shabudin berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada mahkamah syariah.

Bagaimanapun, tambahnya, status agama surirumah tersebut mestilah disahkan terlebih dahulu sebelum diputuskan pula status perkahwinannya.

"Terdapat dua keadaan, sama ada perkahwinan itu tidak sah atau suaminya diberikan peluang memeluk Islam. Hakim akan putuskan perkara ini,"katanya.

Katanya, keengganan wanita itu merujuk kepada mahkamah syariah boleh menyebabkan masalah pendaftaran perkahwinannya dan kelahiran anak-anaknya berpanjangan.

MalaysiaKini/-

KUIS: Pelajar mengadu kos pengajian mahal

Sekumpulan mahasiwa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menyerahkan memorandum mendesak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim campur tangan bagi mengurangkan kadar yuran bagi pengajian diploma dan ijazah di kolej tersebut.

Kolej tersebut, yang terletak di Nilai, milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) di kolej berkenaan Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil kepada ketua setiausaha sulit menteri besar, Norzatun Aini Mohd Kassim di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam jam 3.30 petang ini.

Ahmad bersama kira-kira 40 pelajar KUIS tiba di bangunan SUK setengah jam lebih awal untuk menyerahkan memorandum itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas penyerahan itu, Ahmad berkata Norzatun Aini berjanji akan akan menyerahkan memorandum itu kepada menteri besar untuk perhatian lanjut.

Menurutnya, sejak 2007, yuran pengajian dinaikkan lebih 100 peratus bagi setiap jam kredit sesuatu mata pelajaran berbanding tahun sebelumnya.

"Sebagai contoh, pelajar diploma Syariah membayar RM45 untuk satu jam kredit pada 2006. Tetapi ia dinaikkan sebanyak RM95 pada 2007.

"Ini bermakna, pelajar diploma membayar kira-kira RM1,500 semester pada 2006. Selepas kenaikan itu, mereka kena bayar kira-kira RM2,500 pada 2007," katanya.

Menurut Ahmad, rata-rata pelajar pengajian diploma menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM4,000 setiap semester.

Setelah ditolak beberapa pembayaran lagi seperti yuran kediaman, sukan, insurans takaful, seseorang pelajar menikmati baki antara RM400 hingga RM500 setiap semester.

Pelajar peringkat ijazah pula, katanya, terpaksa menanggung beban kenaikan RM105 bagi setiap jam kredit sesuatu mata pelajaran kepada RM255 pada 2007 berbanding tahun sebelumnya.

Akibat kenaikan itu, tambah Ahmad, ada antara mereka yang terpaksa membayar yuran pengajian kira-kira RM5,000 semester, sedangkan menerima pinjaman kira-kira RM8,000 daripada PTPTN.

"Baki pinjaman itu pula perlu digunakan untuk membiayai perbelanjaan seharian selama empat bulan berikutnya dan ini membebankan pelajar dari keluarga berpendapatan yang rendah," tambahnya.

MalaysiaKini/-

S'gor batal dedah tragedi Bkt A'bangsa

Kerajaan Selangor membatalkan hasratnya menerbitkan dokumen sulit laporan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa tahun lalu setelah kerajaan persekutuan membantahnya.

Menteri besar berkata pendedahan itu penting bagi "menjaga kepentingan dan keselamatan orang ramai" tetapi dokumen itu telah dikelaskan sebagai "rahsia" oleh jemaah menteri.

"Sebelum ini kerajaan negeri ada menulis kepada Kementerian Kerja Raya mengenai keputusannya itu (tidak akan mendedahkan laporan) dan meminta kementerian berkenaan melakukan perkara yang serupa (dengan Selangor) demi kepentingan orang awam.

"Bagaimanapun, kementerian hari ini mengatakan ia tidak boleh membuat keputusan mengenai perkara tersebut kerana yang klasifikasi rahsia telah dibuat oleh jemaah kabinet.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri tidak boleh meneruskan keputusan untuk mengumumkan perincian laporan tersebut," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam kenyataannya petang ini, beliau bagaimanapun terus menyeru kerajaan persekutuan membenarkan penyiaran laporan tersebut dengan alasan "kandungannya sangat penting diketahui oleh orang ramai bagi perbincangan" dalam usaha mempercepatkan proses mengeluarkan peraturan bagi pembangunan di kawasan cerun dan tanah tinggi di negeri.

"Setelah membaca laporan tersebut, kerajaan negeri percaya ia tidak bersifat prejudis kepada kepentingan dan keselamatan negara," kata Abdul Khalid lagi.

"Sebaliknya, pendedahan kandungan laporan boleh menjaga kepentingan dan keselamatan orang ramai.

"Sesungguhnya, kejadian tanah runtuh pada 6 Disember 2008 itu merupakan suatu tragedi.

"Namun, ia boleh menjadi tragedi yang lebih besar sekiranya kerajaan persekutuan gagal menunjukkan sikap kebertanggungjawaban dan melakukan tindakan yang sewajarnya bagi melindungi keselamatan orang awam."

MalaysiaKini/-

Taun di T'ganu kian merebak

Setakat ini dua negeri iaitu Terengganu dan Sabab mencatatkan kes penyakit taun dengan masing-masing melaporkan 185 dan 18 kes positif taun semalam, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

"Keadaan kolera (penyakit taun) terkawal di Sabah, (jadi) orang ramai tidak harus panik, tapi seperti biasa nasihat kita orang ramai (hendaklah) menjaga kesihatan dan kebersihan diri, dan berhati-hati semasa menangani pemakanan seharian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan antarabangsa kedua mengenai Perubatan Desa 2009 di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran dipetik sebagai berkata 18 orang disahkan menghidap taun di Semporna dan menerima rawatan di hospital.

Pasar ikan Semporna yang dipercayai punca jangkitan kuman taun ditutup sebagai langkah pencegahan.

Rosnah mengesahkan laporan itu dan menyatakan 17 kes adalah di Semporna dan satu kes dari Pulau Gaya, dekat Kota Kinabalu.

Beliau menjelaskan bahawa jangkitan penyakit taun di Terengganu adalah berbeza dengan Sabah kerana jenis kuman taun di negeri pantai timur Semenanjung itu berlainan dan tidak bertindak balas dengan antibiotik yang biasa digunakan untuk merawat penyakit taun.

"Di Sabah, jenis kuman adalah yang biasa. Setakat ini pesakit-pesakit bertindak balas dengan antibiotik diberikan," katanya. BERNAMA

MalaysiaKini/-

Husam tidak tinggalkan Kelantan, PAS

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan, malah akan meneruskan perjuangannya terhadap parti dan negeri.

Beliau menafikan laporan akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dalam parti dan sebagai exco kanan kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, beliau menyifatkan laporan media itu telah disalaherti kerana beliau sedang menjalani rawatan sakit pinggangnya di sebuah hospital di Kota Bharu serta terpaksa mengambil cuti dan tidak hadir pada programnya.

"Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti.

"Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan? Letak semua pulak tu? Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama?

"Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?" katanya menerusi laman blognya di cetusan-hati.blogspot.com.

Husam berkata laporan Utusan Malaysia tidak akan melemahkan beliau kerana sebelum ini telah banyak serangan telah dibuat terhadap Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS.

"Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

"Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba mengagendakan kami?" katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan Husam dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan yang merupakan satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz. BERNAMA

MalaysiaKini/-

'Kos haji akan cuba dikekalkan'

Tabung Haji akan berusaha mempertahankan kos mengerjakan haji dengan mengikat perjanjian sewaan dan pajakan bangunan untuk
jangka masa lebih panjang dengan pemilik bangunan di kota Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brig Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata buat masa sekarang itulah sahaja cara yang boleh dilakukan oleh Tabung Haji untuk terus mengekalkan kos mengerjakan haji.

“Memandangkan jemaah haji Malaysia ialah sekitar 26,000 orang, bermakna Tabung Haji terpaksa mencari dan menyewa bangunan hotel yang pelbagai untuk disewa bagi tempoh antara 10 hingga 15 tahun.

“Ini sudah pasti akan melibatkan perbelanjaan yang besar,” katanya kepada petugas media Tabung Haji selepas melawat pejabat operasi Tabung Haji di bangunan Janadriah di Mekah hari ini.

Beliau ditanya mengenai kos sewaan bangunan di Mekah yang meningkat dari setahun ke setahun serta perancangan Tabung Haji untuk terus mengekalkan kos mengerjakan haji yang kini sekitar RM10,000 seorang memandangkan ia banyak dipengaruhi oleh faktor sewaan bangunan dan pengangkutan.

Ditanya mengapa Tabung Haji tidak memiliki bangunannya sendiri, Jamil Khir berkata adalah menjadi dasar kerajaan Arab Saudi untuk tidak membenarkan warganegara asing memiliki bangunan dan hartanah di negara itu terutamanya di Mekah dan Madinah dan rakyat asing hendaklah menyewa bangunan daripada rakyat tempatan.

Bagi musim haji tahun ini Tabung Haji menyewa 10 bangunan di sekitar kota Mekah yang dijadikan tempat penginapan jemaah haji atau Maktab Tabung Haji.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata kerajaan Malaysia menghargai komitmen kerajaan Arab Saudi untuk terus mempertahankan kos mengerjakan haji pada kadar seminimum mungkin.

Kerajaan Malaysia juga, katanya, menghargai pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan Arab Saudi bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji termasuk pembesaran Masjidil Haram, Jamrah serta pembinaan monorel yang menghubungkan Mekah, Arafah dan Mina.

Mengenai operasi pengendalian jemaah haji, Jamil Khir berkata pihak Tabung Haji telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terutama dalam menjaga kebajikan jemaah serta mewujudkan dua hospital di tanah suci bagi membolehkan jemaah haji yang sakit mendapatkan rawatan kesihatan dengan sempurna. BERNAMA

MalaysiaKini/-