23 Januari 2010

(INGATAN) 2.6 Juta rakyat Malaysia sakit mental

7 Safar 1431H
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
Emel : Rozmal bin Malakan


TRAGEDI pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini menyentuh hati rakyat Malaysia. Bagi kita yang mengikuti perkembangan tragedi hitam itu tentu sukar untuk menggambarkan bagaimana seksanya mangsa melalui detik-detik terakhir sebelum ajalnya.

Lebih menyedihkan, suspek dalam kes ini adalah ahli keluarga terdekat.

Tentu terlintas di fikiran bagaimana ahli keluarga tergamak bertindak sedemikian bukan terhadap seorang tetapi empat mangsa.

Pelbagai andaian dibuat antaranya suspek mengalami gangguan mental dan ada juga yang mengaitkannya dengan ilmu hitam.

Bukan ingin mencurah air garam ke hati keluarga mangsa yang masih diselubungi kesedihan, yang pasti kes ini masih dalam siasatan polis. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan keputusannya.

Kesihatan minggu ini sekadar ingin merungkai permasalahan gangguan mental dan juga berkongsi maklumat mengenai beberapa kejadian seumpama yang pernah berlaku sebelum ini.

Peristiwa empat sekeluarga itu bukan yang pertama berlaku. Sebelum ini terdapat pelbagai tragedi seumpama yang melibatkan nyawa disebabkan masalah berkaitan gangguan psikologi.

Fenomena semasa

Pakar Psikologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, jika melihat kepada laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006, 11 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah mental.

“Ini bermakna kira-kira 2.6 juta daripada keseluruhan penduduk mengalami gangguan berkaitan psikologi dan jumlah ini agak ketara,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan Universiti Malaya dalam bidang ini.

Menurut beliau, jika kini penyakit berkaitan gangguan mental (termasuk disebabkan pengambilan dadah) berada di tangga ke 10 dalam senarai penyakit membebankan, dianggarkan menjelang 2020, masalah ini akan menduduki tangga kedua iaitu selepas penyakit jantung.

“Ini berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan masalah mental akan mewakili 15 peratus daripada penyakit global pada tahun tersebut,” katanya.

Jelas beliau, gangguan mental juga boleh dikaitkan dengan kesan sampingan kemajuan yang dicapai sesebuah negara.

Katanya, sesetengah individu gagal menyesuaikan diri dengan kemajuan, ditambah pula dengan punca-punca lain menyebabkan mereka mudah mengalami gangguan mental.

Di Malaysia, ia kini menjadi penyakit lazim dan statistik 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Di PPUM sahaja kata beliau, berbanding sepuluh tahun lalu yang mencatatkan satu atau dua pesakit setiap hari bertemu pakar psikiatri kini bertambah menjadi tujuh hingga lapan pesakit sehari.

Dr. Muhsin berkata dari segi kepakaran pula kita masih lagi ketinggalan iaitu dengan hanya sekitar 200 pakar psikiatri.

“Kekurangan kepakaran sangat ketara kerana kebanyakan bertumpu di sekitar Lembah Klang sahaja. Menakala kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak hanya mempunyai satu atau dua psikiatri sahaja,” katanya.

Punca

Menurut Dr Muhsin, terdapat dua sebab utama menyumbang kepada masalah kesihatan mental iaitu sejarah keluarga (dalaman) dan persekitaran.

“Pelbagai sebab seperti stres, tekanan kerja, hubungan sosial, personaliti introvert iaitu seorang yang cepat putus asa, tak suka bergaul dan sebagainya mudah terdedah kepada masalah mental,” kata beliau.

Menurutnya, masalah mental ada yang serius dan ada yang minor. Bergantung kesedaran awal pesakit dan sejauh mana dia berusaha untuk menanganinya, ia boleh membantu.

Jika mereka mendapatkan nasihat daripada profesional, peratusan untuk pulih adalah tinggi tetapi. Sebaliknya jika mendapatkan nasihat daripada rakan atau saudara berkemungkinan untuk menjadi lebih parah. Begitu juga seandainya pesakit dibiarkan tanpa sebarang rawatan, masalah akan menjadi bertambah rumit.

Selain itu katanya, masalah gangguan mental 15 kali berisiko tinggi andai pesakit terlibat dengan pengambilan dadah.

Pelakuan di luar kawalan

Merujuk kepada peratusan WHO Dr Muhsin berkata, sebanyak 14 peratus kematian di kalangan remaja berusia 15 hingga 24 tahun di seluruh dunia adalah disebabkan oleh keganasan seperti amuk, rompakan dan kecurian yang mendorong kepada bunuh, pergaduhan, buli dan sebagainya.

Kes-kes seperti ini ada kaitan dengan gangguan mental, yang mana pembunuh akan melakukan sesuatu diluar jangkaan seperti kes yang berlaku di Gemencheh.

“Bagi orang yang waras fikiran dan memang berniat untuk membunuh, mustahil dia akan meninggalkan bukti malah tidak akan mengaku bersalah jika ditangkap polis,” kata Dr. Muhsin.

Dalam kebanyakan kes seperti ini kata beliau, mangsa biasanya adalah orang yang paling rapat sekali dengan pembunuh seperti ayah, ibu, anak, suami, isteri dan adik-beradik terdekat.

Bagaimana untuk mengesan?

# Individu sendiri atau saudara terdekat boleh sedar kelainan yang dialami.

# Rasa tidak selesa.

# Terdengar suara-suara ganjil yang menyuruh melakukan sesuatu.

# Nampak bayangan-bayangan aneh.

# Sukar tidur dan kerap terjaga ketika tidur.

# Hilang selera makan.

Penyelesaian

Dr. Muhsin menasihatkan mereka yang mempunyai simptom gangguan mental agar mendapatkan rawatan awal supaya masalah tidak berlanjutan.

“Kebanyakan pesakit di Malaysia bertemu pakar selepas 24 bulan mengalami masalah. Berbanding di Amerika Syarikat, jika mereka tidak boleh tidur dalam masa tiga hari sahaja mereka terus bertemu doktor untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat mengenai gangguan mental perlu diubah. Selama ini, orang mengaitkan pesakit mental sebagai ‘orang gila’ dan mereka disisihkan keluarga.

“Sepatutnya orang terdekat dengan pesakit perlu memberi sokongan dan membawa pesakit mendapatkan rawatan agar ia berlanjutan,” katanya.

Selain itu katanya, rawatan yang ada di negara ini masih lagi mengikut akta lama iaitu mengurung pesakit atau menempatkan pesakit di suatu tempat tertentu misalnya hospital sakit jiwa.

Jelas beliau, keadaan ini akan menyebabkan pesakit lebih tenat kerana merasa diri mereka disisihkan dan terkongkong.

“Saya percaya jika pesakit dapat bergaul dengan masyarakat dan meneruskan kerja mereka seperti biasa, mereka lebih cepat sembuh kerana merasa diri disayangi serta boleh melakukan perkara seperti orang lain,” katanya.

Di PPUM sendiri menurut beliau, pesakit mental yang sedang menjalani rawatan dibenarkan mengendalikan kafe di bawah pengawasan doktor.

Dalam pada menjalani rawatan Dr. Muhsin menekankan pesakit perlu mengambil ubat seperti antipsikotik dan antidepression yang telah diberi doktor untuk membantu penyembuhan.

“Orang kita kadang kala lebih percayakan bomoh dalam hal ini. Nasihat saya, kalau ingin bertemu bomoh sekali pun tak mengapa, asalkan jangan lupa mengambil ubat yang telah diberikan doktor,” katanya.

Pidato umum Pro-Mahasiswa UM malam ini

7 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 21 Jan: Kumpulan Pro-mahasiswa Universiti Malaya (UM) menganjurkan pidato isu-isu semasa kampus bersempena pilihanraya kampus (PRK) malam ini.

Harakahdaily difahamkan seramai tujuh pemidato akan mengambil bahagian dalam program tersebut.

Mereka terdiri daripada mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) UM, Mohd Ridzuan Mohamad, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Shafie Hashim, mantan exco MPM UM, wakil-wakil dari Pro-Mahasiswa UM, Kelab Remaja Jemaah Islam Malaysia (Karisma) dan Gabungan Mahasiswa Bantah e-undi (Bantah).

Pidato terbuka itu dijadual berlangsung jam 9.15 malam ini di Dataran Fakulti Sastera UM.

Ianya bertujuan mendedahkan mahasiswa dengan isu-isu terkini yang sedang berlegar di sekitar kampus.

Sehubungan itu, semua warga kampus dan orang ramai dijemput untuk mendengar hujah-hujah yang bakal diutarakan mereka berhubung isu-isu mahasiswa dan kampus ketika ini.

Harakahdaily.net/-

Negara maju abad 21, PRM dakwa Najib omong kosong

7 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 21 Jan: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa inginkan Malaysia menjadi negara maju abad ke-21 didakwa hanya omong kosong semata-mata.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat Malaysia (PRM), Zulkarnain Abdulah dalam satu kenyataan berkata kenyataan Najib itu tidak lebih dari mencari publisiti memancing undi.

"Parti Rakyat Malaysia (PRM) berpendapat kata-kata Perdana Menteri semasa lawatan beliau di Abu Dhabi yang disiarkan dalam Akhbar Tempatan yang inginkan negara ke arah abad ke-21 hanyalah satu ceramah politik dan publisiti untuk memancing undi. Ini adalah omong-omong kosong," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PRM Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, Negara sukar mencapai status negara maju jika pemimpin negara masih tidak berubah sikap mengamalkan penyelewengan, penyalahgunaan wang rakyat dan pembaziran.

"Yang lebih penting untuk negara maju ialah pemimpin yang ada sekarang perlu ubah sikap, hentikan semua pembaziran dan lebih tumpukan ke arah membangunkan ekonomi tanpa penyelewengan pengeluaran wang rakyat berjuta-juta dan secara tidak langsung negara akan maju dan sara hidup rakyat akan lebih selesa dan terjamin," katnya lagi.

Malah ujarnya lagi, untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang di terima rakyat, Najib perlu menjawap segala soalan-soalan yang dikemukakan oleh rakyat jelata dan bertanggung-jawab melaksanakan permohonan rakyat.

Harakahdaily.net/-

Bubar Dun: 10 ribu Pemuda PAS Perak bersedia

7 Safar 1431H
Nazri Abdullah

IPOH, 21 Jan: Satu Himpunan 10 ribu Pemuda PAS Perak (HEMPAP) akan diadakan pada 31 Januari ini sebagai persiapan dewan itu menggerakkan jentera mereka berdepan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pada bila-bila masa.

Pemangku Ketua Pemuda Pas Perak, Nur Amin berkata selain bagi menyatakan kesediaan dewan itu berdepan Pilihan Raya Negeri, ianya juga sebagai bukti jentera pemuda Pas negeri itu bersedia berdepan Umno Barisan Nasional.

"Program julung kali ini diadakan bagi menyatakan kesediaan Pemuda PAS Perak terhadap Pembubaran Dun Perak pada bila-bila masa.

"Kita yakin dengan program tersebut, pemuda PAS bersedia berdepan Umno BN dalam pilihanraya ini," katanya di pejabat Pemuda PAS negeri hari ini.

Program sehari tersebut akan berlangsung di Darul Taklim Kubu Gajah, di Selama, Larut dan akan dirasmikan Pesuruhjaya PAS negeri Ustaz Abu Bakar Hussin.

Turut akan dilancarkan pada program tersebut adalah baju khas jentera pilihanraya Perak oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan.

Antara pimpinan yang akan memberi ucapan pula termasuk Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Antara menarik pada program berkenaan termasuk persembahan nasyid, pertunjukan pentas, gerai pameran dan jualan serta program derma darah.

"Ayuh pemuda bersama kami gerakkan kawan, sahabat dan rakan anda untuk hadir demi menunjukkan kepada rakyat bahawa PAS cintakan demokrasi.

"Kita minta hadir bersama dengan memakai baju berwarna hijau sebagai simbolik kepada PAS yang kita dokongi ini," katanya.

Harakahdaily.Net/-

Bersedia untuk naik minyak

7 Safar 1431H
Angkasanuri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan 1Malaysia akan memperkenalkan mekanisme harga baru petrol sebelum bulan Mei ini.

Menurut beliau Majlis Ekonomi Negara akan menentukan sama ada harga petrol akan naik atau sebaliknya. Berdasarkan perkembangan harga semasa di pasaran dunia, harga petrol terus menunjukkan peningkatan.

Jadi pengumuman kerajaan sebelum Mei nanti sudah boleh dijangka, harga minyak akan naik! Kecualilah, kalau betul-betul rakyat didahulukan dan gimik menjadi juara rakyat diutamakan maka harga minyak akan turun.

Bila harga minyak naik maka faham-fahamlah, harga barang akan melambung dan seterusnya inflasi akan meningkat. Tetapi yang peliknya, menteri yang sama kelmarin berkata harga barang dijangka tidak naik lagi selepas ini.

Tak tahulah siapa penasihat ekonomi menteri ini atau menteri ini memang tak belajar bab ekonomi.

Bila harga minyak naik, kita wajar beterima kasih kepada kerajaan 1Malaysia kerana berterusan menjaga kebajikan rakyat agar kita terus berterima kasih dan mengundi parti juara rakyat ini pada pilihanraya umum akan datang.

Maka semua rakyat di negara ini perlu bersiap sedia untuk naik minyak!

Harakahdaily.net/-

RM1 Bilion untuk F1: Lebih baik guna bantu rakyat

7 Safar 1431H
http://mutaligat.blogspot.com/

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menegaskan kerajaan tidak mengeluarkan sebarang peruntukan dalam Bajet 2010 bagi membiayai projek Pasukan 1Malaysia F1 Team.

Menurutnya, perbelanjaan melaksanakan projek itu dibiayai syarikat swasta yang terlibat seperti Proton, Naza Group, Air Asia, Lotus Car dan lain-lain dalam pertimbangan komersial syarikat masing-masing.

Beliau mengulas kenyataan Pas yang membidas Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa membazirkan wang rakyat dengan memberi peruntukan ‘hangus’ RM1 bilion dalam Bajet 2010 untuk Formula 1.

Pas menyifatkan BN cuba melepaskan tanggungjawab ekonomi negara kepada rakyat dengan mengurangkan subsidi gula sehingga menyebAbkan harga gula naik 20 sen sekilogram dan mencadangkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bagi saya jika pun duit itu diperolehi dari syarikat swasta adalah lebih baik ianya disalurkan kepada rakyat yang miskin yang amat memerlukan bantuan kepada meneruskan kehidupan mereka. Banyak yang boleh dilakukan dengan jumlah wang RM1bilion tersebut.

Kerajaan sepatutnya menasihati syarikat swasta terutama GLC supaya menyalurkan wang tersebut kepada rakyat melalui agensi-agensi kerajaan atau NGO-NGO yang diyakini boleh membantu rakyat.

Masih ramai rakyat yang miskin, papa kedana, tiada rumah, merempat, tiada pendapatan tetap, anak-anak yatim, ibu tua dan sebagainya. Apa yang golongan itu perolehi jika wang RM1bilion itu digunakan untuk menaja F1 team.?

Memang kita tidak nafikan nama Malaysia dan syarikat Malaysia tercatat di arena antarabangsa dengan penajaan tersebut tetapi kita juga mesti mengkaji sejauh mana kesannya kepada peningkatan ekonomi negara dan manfaatnya kepada rakyat. Hanya hanya gah pada nama tetapi tiada hasil dan untungnya. Sedangkan pada masa yang sama rakyat semakin menderita dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak berkesudahan.

Sepatutnya dengan wang sejumlah itu ianya boleh diperuntukkan bagi memberikan modal perniagaan, pembinaan rumah orang miskin, biasiswa pelajar miskin dan sebagainya.

Harakahdaily.net/-

22 Januari 2010

Sidang Media : Setahun Kudeta di Perak

6 Safar 1431H

Kita buat sidang akhbar pada hari ini bahawa sudah setahun rampasan berlaku dengan kita menjemput para wartawan dan bloggers dan ada minum pagi bersama, demikian mukaddimah MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Nizar Jamaluddin semasa sidang akhbar dan minum pagi sempena Setahun Kudeta di Perak oleh BN.

Sidang media itu dihadiri oleh hampir semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat Perak bersama ADUN PR yang lain.

Kata Ds. Nizar " Kami masih memberikan khidmat kami kepada rakyat, dan menjadi tulang belakang kepada mereka untuk berurusan dengan jabatan kerajaan".

MB Rakyat itu juga menegaskan sebelas bulan kita memerintah diPerak dengan prinsip adil, amanah, telus, wibawa dan berkebajikan.

Sepanjang 11 bulan lepas banyak yang mereka lakukan adalah meniru dari apa yang dimulai oleh PR, katanya..

Kita mahu rakyat Perak diberikan proses demokrasi diletak ditempat yang sepatutnya.

Semasa 11 bulan BN memerintah, apa saja perkhabaran BN adalah kata-kata yang tidak ada makna selagi pelabur asing tidak melakukannya.

Kami telah mencapai 3.2 billion pelaburan dan laporan audit negara selama kita memerintah ialah cukai tanah tertinggi melebihi kutipan zaman BN selama 184 juta melebihi zakat 58 juta, masa BN tidak setinggi itu, jelasnya.

Belanjawan haram BN selama 20 minit, hasil balak mereka dianggarkan 17 juta sahaja. Masa PR sebanyak 40 juta. Ini boleh dinilai oleh rakyat, masa BN kita tak tahu mana pergi.

Masa kita memerintah kita berikan RM1,000 kepada yang masuk IPTA, dia juga teruskan, sebelum ini hanya pinjaman sahaja.

Hak milik tanah juga diteruskan oleh BN dengan istilah yang lain.

Selama 11 bulan kita telah berjaya mengadakan hubungan yang baik dengan Jabatan Kerajaan disemua peringkat dan mereka memberikan kerjasama yang baik juga. Namun selepas kita ditendang dan mereka tetap menghormati kami dan berikan kerjasama yang baik.

Ds. Nizar juga menegaskan dan yakin pada pilihanraya akan datang insyaAllah rakyat akan tetap memilih PR dan kita akan melakukan yang terbaik melalui manifesto kami.

Kita akan satukan manifesto PR Perak dan tawaran PR Pusat dan ditawarkan kepada rakyat.

Beliau juga mengulangi bahawa kaedah yang dilakukan BN di Perak adalah rampasan kuasa dan bukannya peralihan kuasa seperti yang diwar-warkan oleh BN, "ini adalah rampasan kuasa. Tidak menggunakan cara politik yang baik, ini kudeta". katanya.

Habuan sek dan rasuah dari Islam adalah haram. Jelas merujuk kepada 3 ADUN PR yang melompat.

Pada kesempatan itu beliau menegaskan " Kita mencapai tahap hormat menghormati antara semua kaum semasa 11bulan berkuasa, ini kita rasakan "

Kakitangan kerajaan semasa PR memerintah menurut beliau tidak mendapat tekanan politik, mereka katakan kepada kami, sekarang ini bila BN ambil alih, mereka ditekan, dan ada ditukar, komuniti media ada 7 orang yang ditukar, jelasnya.

Menyentuh mengenai manifeto beliau mahukan rakyat nyatakan hasrat kami untuk dibincangkan dalam JawatanKuasa Manifesto.

Sementara itu, Exco Kanan Pakatan Rakyat Perak yang juga Pengerusi DAP Negeri, Dato Ngeh Khoo Ham bila menjelaskan isu pemberian geran kekal, menafikan hanya memberi manfaat untuk orang Cina tidak betul langsung, sedangkan orang Melayu juga mendapat manfaat. Dalam sepanjang pentadbiran kami ada pertambahan kampung tersusun 320 hektar tanah dan memberi manfaat kepada orang Melayu.

Kita membantu rakyat tanpa mengira kaum. Kami telah meluluskan.

Kita meluluskan 33 kawasan untuk masjid dan surau, 22 untuk kuil, gereja dan sikh, lulus pembinaan dewan, tadika dan RT.

Di Gua Tempurung mereka lulus untuk 5 tahun, kita lulus untuk 99 tahun dengan syarat bina dalam tempoh yang ditetapkan, lulus tempat kebajikan OKU, bakar mayat dan lupus sisa pepejal.

Lulus 8 tapak sekolah Cina, agama rakyat dan lain-lain.

Tapak perkuburan 37.2 hektar dan Cina 17.2 hektar.

Ipoh Central di Meru Raya dengan 250 bas, diberhentikan oleh BN, dikatakan BN mahukan kroninya masuk. Hamidah umum 11.6 billion dalam Malaysia Insider, tidak ada satupun yang dilaksanakan. Kita umum yang dirancang dan dilaksana.

Disamping beliau menyenaraikan banyak kepincangan dan pembohongan semasa BN memrintah.


Perluas hak undi pos karut, undur ke belakang

6 Safar 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS menyifatkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting sebagai mengarut dan tidak masuk akal serta tindakan undur ke belakang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, langkah itu undur ke belakang kerana sistem undi pos yang ada sudah banyak menimbulkan masalah dan mahu dibuang apatah lagi dengan tindakan mahu menambahkan golongan yang layak mengundi pos.

"Saya mengesyaki ada agenda tersirat dalam langkah ini jika benar SPR bercadang berbuat demikian," kata beliau kepada Harakahdaily.

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pula berkata, prinsip PAS jelas untuk memansuhkan undi pos di kalangan anggota polis dan tentera dan tidak akan bersetuju jika ianya mahu diperluaskan kepada pengundi selain mereka.

"Ini cadangan yang mengarut. Pada dasarnya PAS memang tidak bersetuju sebab kita berjuang selama ini untuk hapuskan undi pos di kalangan polis dan tentera, tiba-tiba SPR nak luaskan hak pengundi pos," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu juga berkata, cadangan itu hanyalah rancangan politik Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan jumlah undi mereka.

"Ini rancangan politik Kerajaan BN untuk mengawal pengundi supaya mengundi mereka, tidak lebih dari itu. Tidak munasabah SPR membuat cadangan itu," katanya.

PAS, katanya akan meminta penjelasan daripada SPR berhubung perkara itu dan bersedia mengadakan pertemuan untuk berdialog.

"Kita akan dapatkan maklumat terperinci dan minta penjelasan dari pihak SPR berkenaan perkara ini. Kalau perlu kepada pertemuan, kita akan bertemu mereka," katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang jurucakap Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohamad Sabu berkata, cadangan itu merupakan satu lagi cara yang membolehkan Umno/BN memanipusi undi pos untuk kemenangan mereka.

"Kita memang tidak setuju. Kalau semua orang boleh mengundi pos, lagi banyak berlaku manipulasi undi pos," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga menegaskan, cadangan SPR itu menunjukkan mereka sedang cuba menghapuskan kebebasan para pengundi kerana undi pos memang diragui ketelusannya.

Sebelum ini, salah satu daripada empat tuntutan Bersih ialah menghapuskan undi pos.

"Lagi teruk demokrasi kalau laksanakan cadangan ini. Ini usaha ke arah nak tutup ruang kebebasan dan demokrasi dalam pilihan raya," tegasnya.

Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkata, doktor, jururawat dan wartawan mungkin dipertimbang untuk dibenarkan mengundi secara pos pada pilihan raya umum akan datang.

Ia akan dibuat menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang sedang diteliti oleh SPR.

Harakahdaily.net/-

Umno tidak layak tangani Majlis Perundingan Agama

6 Safar 1431H
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 20 Jan: Umno tidak layak untuk menangani isu Majlis Perundingan Antara Agama sekiranya ia ditubuhkan, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada pihak yang berkelayakan dan mampu menangani berkaitan agama Islam dengan sebenarnya di negara ini.

Ini kerana Umno itu sendiri dalam segi pengamalan Islamnya, boleh dipertikaikan, kata Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Beliau berkata, ini kerana lebih 50 tahun Umno mendominasi pemerintahan negara, namun parti itu dilihat tidak serius dalam menangani permasalahan yang berkait dengan agama Islam dan isu yang berbangkit.

Katanya, setelah lebih 50 tahun mendominasikan pemerintahan negara, Umno enggan melaksanakan Islam, bahkan agama suci itu dilihat terkebelakang di bawah pemerintahan yang ada sekarang.

"Kalau mereka serius mahu menangani isu agama (Islam), sudah lama mereka berbuat demikian, bahkan boleh mereka berbuat demikian, justeru sudah lama imej Islam di negara dilihat lebih baik.

"Oleh itu, Umno bukan orangnya yang layak untuk menguruskan (penubuhan) Majlis Perundingan Antara Agama itu. Ini kerana Umno sendiri pun dalam bab pengamalan Islamnya boleh dipertikaikan," katanya.

Oleh itu, katanya, pengurusan majlis itu wajar diserahkan kepada pihak lain yang memang mahir dan berkelayakan serta mampu menerangkan mengenai Islam dengan sebenarnya.

"Bagi kita, Umno ini selamanya pun kalau menggunakan isu agama, hanya untuk (kepentingan) politiknya saja, dan apabila tersepit mengenai agama, barulah mereka kata boleh menggunakan agama.

"Sebelum ini ketika PAS membincarakan isu agama Islam, Umno menuduh PAS berpolitik. Ketika membicarakan mengenai agama Islam, Umno sebenarnya hendak memancing sokongan Melayu," katanya.

Harakahdaily.net/-

Tak perlu blok BLOG

6 Safar 1431H
Email : Zamri keciks
By : by roslan sms


Sekali lagi isu mengenai pengawalan laman-laman blog dibangkitkan. Ini barangkali ekoran tindakan beberapa pemilik blog yang sering membuat posting yang hangat-hangat kadangkala diluar kemampuan akal dan lompong fakta.

Memang dunia blog dewasa ini semakin popular dan semakin berkesan membentuk persepsi masyarakat khasnya mereka yang ada akses padanya. Sesungguhnya apa sahaja alat dan bahan kalau digunakan untuk kebaikan jadilah ia baik walaupun pada adatnya ia merbahaya atau mampu membunuh. Pisau kalau diguna untuk menyiang ikan dan sayur serta buah-buahan memang membantu dan bermanfaat. Tetapi kiranya dihunus ke perut atau tubuh orang lain apa lagi tubuh sendiri, nahas padahnya.

Agenda, niat dan hasrat pemilik laman blog adalah pada tuan punya badan. Ada yang menulis untuk menyibarkan kebenaran dan mempertahankannya, ada yang menulis untuk harta, ada yang menulis untuk meraih popularity tidak kurang semata-mata untuk mencari pasal. Sehubungan ini Rasulullah saw ada bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memang dunia blog ini tiada sempadan. Kita mampu menerobos dari celah-celah penempatan rakyat termiskin sehinggalah ke koridor istana. Dari satu hujung dunia ke satu hujung yang lain. Kerana itu memang seronok menulis apabila anda tahu yang ramai akan mampu mebaca karya anda jika mereka memilih untuk mengunjunginya.

Namun saya percaya pada konsep pertanggungjawaban ataupun akauntabiliti. Hatta apabila Hang Jebat menghunus kerisnya untuk menuntut bela atas kematian Tuah, beliau tahu risikonya. Begitulah juga kita yang menulis. Siapa yang berani berhujah dia mesti berani bertanggungjawab atas hujahnya itu. Kalau tidak pun di dunia kita umat Islam yakin dan faham bahawa kemudian nanti proses pertanggungjawaban itu akan terkena atas batang tubuh kita jua,tanpa boleh meloloskan diri.

Bagi saya apa yang ada tidak perlu dikawal-kawal. Negara sudah cukup dengan undang-undang dan peraturan tak perlu ditokok tambah dari yang telah sedia ada. Siapa yang dilihat atau dikesan melanggar undang-undang dan peraturan, maka dakwalah ia di mahkamah terbuka. Manakala mana-mana individu atau kumpulan yang merasakan mereka difitnah atau diaib boleh mendakwa di mahkamah sivil.

Pasti yang berani menulis berani juga berhadapan dengan pengadilan. Kerana dunia terbuka hari ini melindungi kita dari dikenakan dakwaan secara senyap-senyap atau tertutup apalagi dianiaya.

Dato Seri Anwar contohnya pernah dibelasah dalam tahanan, mahu ditekup-tekup, tetapi akhirnya dalam pemerhatian dunia semuanya terbongkar dan kini beliau bangkit atas sokongan rakyat sebagai Ketua Pembangkang dan memiliki peluangmalah menjadi orang nombor satu negara!

Jadilah kita warga blog yang bermaruah dan ada harga diri. Kalau kita menjulang bendera keadilan dan kebenaran, kita bukan hanya dituntutu menjulangnya tetapi menjiwai dan menghidupkannya. Berani buat berani tanggung insyallah.


Amar Makruf dan Nahi Mungkar

6 Safar 1431H
Email : Shah Bundy

Ajaran-ajaran agama mendorong rakyat untuk menjalankan kewajiban yang besar ini terlebih lagi pada hal-hal yang berkaitan dengan para penguasa.

Imam Ali As bersabda: “Seluruh perbuatan baik dan jihad di jalan Allah dibandingkan dengan perbuatan memerintah pada sesuatu yang makruf dan melarang pada sesuatu yang mungkar, laksana setitis air di hadapan laut yang luas membentang dengan ombaknya. Dan sesungguhnya memerintah pada sesuatu yang makruf (amar makruf) dan melarang pada sesuatu yang mungkar (nahi mungkar) itu tidak mendekatkan pada ajal dan tidak mengurangi kadar rezkinya. Bahkan perbuatan yang lebih baik dari itu semua adalah, menyampaikan perkataan yang benar di hadapan seorang penguasa yang zalim.

Sebab keutamaan mengucapkan perkatan adil di hadapan para penguasa yang zalim adalah karena rakyat biasanya tunduk dan taat kepada para pemimpinnya dan perbuatan mereka itu memiliki keluasan yang dapat menyesatkan masyarakat. Oleh karena itu, memberikan peringatan dan petunjuk kepada mereka memiliki nilai yang sangat tinggi.


Imam Baqir As bersabda: “Seorang yang pergi menuju penguasa yang zalim dan ia memerintahkannya untuk bertakwa kepada Allah Swt, menasihatinya dan memberi peringatan agar takut akibat dari ketidak takwaannya, maka ia akan mendapatkan balasan pahala sebanyak jin dan manusia dan amalan-amalan mereka.


Dalam pandangan Islam, kewajiban amar makruf dan nahi mungkar memainkan peran sangat penting. Termasuk kepada para penguasa. Karena meninggalkan hal tersebut dapat menyebabkan siksaan Allah Swt. Imam Ali As besabda: “Allah Swt tidak akan menyiksa seluruh rakyat dikarenakan dosa-dosa yang terselubung pada orang-orang tertentu, namun jika orang-orang tertentu tadi secara terang-terangan melakukan dosa dan rakyat secara umum tidak memperotes mereka, kedua golongan (orang-orang tertentu dan masyarakat umum) tadi akan menerima siksa Allah Swt.

tok malim


Pro-Mahasiswa bantah Kuis mansuh pilihan raya

6 Safar 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Kumpulan Pro-Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) Selangor membantah keputusan pihak universiti memansuhkan sesi kempen dan hari pembuangan undi bagi pilihan raya kampus berkenaan kerana kumpulannya telah memenangi 12 daripada 21 kerusi yang dipertandingkan.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Che Abdul Razak berkata, meskipun Pro-Mahasiswa berjaya menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kampus itu, namun mereka tetap mahu sesi kempen berjalan seperti biasa bagi mendapatkan respons masyarakat kampus berhubung kemenangan mereka tanpa bertanding.

"Pro-Mahasiswa bersuara keras bahawa kami ingin mendapat mandat daripada masyarakat kampus dengan menghidupkan minggu kempen.

"Calon yang menang tanpa bertanding akan turun kepada masyarakat kampus pada minggu kempen ini bagi mendapatkan pandangan mereka sama ada bersetuju dengan kemenangan Pro-M tanpa bertanding atau ingin menuntut supaya diadakan juga pilihan raya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Proses penamaan calon semalam, menyaksikan Pro-Mahasiswa berjaya menguasai 12 daripada 21 kerusi yang dipertandingkan dan tambahan satu lagi kerusi apabila pihak universiti membuat keputusan mengisytiharkan Pro-Mahasiswa menang tanpa bertanding bagi satu fakulti yang ditandingi seorang calon individu.

Ia merupakan kemenangan kedua kumpulan Pro-Mahasiswa dalam pilihan raya kampus tahun ini apabila kumpulan itu telahpun berjaya menguasai MPP Universiti Malaysia Terengganu, Ahad lalu.

Ditanya sama ada situasi berkenaan disebabkan adanya unsur boikot daripada pihak lawan, beliau tidak menolak kemungkinan itu.

"Mungkin ada unsur boikot di atas situasi ini kerana calon yang pernah bertembung dengan Pro-Mahasiswa dalam isu yuran Kuis sebelum ini, memang ada perancangan untuk menghantar calon mereka tapi masa pencalonan tidak datang.

"Persepsi kami, mungkin ada unsur boikot daripada pihak mereka," katanya lagi.

Menurut beliau juga, pihak universiti telah membuat keputusan memansuhkan hari kempen dan mengisytiharkan kemenangan kepada Pro-Mahasiswa hari ini.

Sepatutnya kempen bermula hari ini dan hari pengundian berlangsung pada 28 Januari depan.

Harakahdaily.net/-

KPP anjur pertandingan memasak sempena Pesta Ponggal

6 Safar 1431H
Hashim Abdullah

KUALA LIPIS, 20 Jan: Kegiatan kebudayaan yang tidak bercanggah dengan hukum agama adalah digalakkan dan boleh dijadikan asas ke arah memupuk keharmonian kaum di Negara ini kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal Al Ahmadi.

Berucap pada merasmikan pertandingan memasak susu dan beras sempena Pesta Ponggal anjuran Kelab Penyokong PAS Kaum India Pahang, di Ladang Benta, dekat sini, baru-baru ini, Roslan berkata pendekatan ke arah memahami budaya pelbagai kaum dengan melibatkan aktiviti bersama adalah sesuatu yang harus diberikan pujian kerana ianya berperanan memupuk semangat muhibah di kalangan rakyat.

(Gambar: Roslan memerhatikan pertandingan sambil diperhatikan Balasubramaniam)

”Saya mengucapkan tahniah kepada Kelab Penyokong PAS kaum India Pahang yang telah berjaya meneroka satu lagi pendekatan yang boleh memecahkan tembok perkauman dan stigma perpecahan (divide and rule) yang disemai BN selama 52 tahun negara merdeka.

“Program ini perlu menjadi platform merapatkan hubungan rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya lebih memahami kekayaan budaya pelbagai kaum ke arah perpaduan dan pembangunan yang lebih bermakna,” katanya.

Pada program yang dihadiri lebih 300 masyarakat keturunan India itu turut meriah dengan acara lain termasuklah pertandingan memasak susu lembu, pakaian beraga, pertandingan tarik tali dan lain-lain.

Turut disediakan kaunter aduan rakyat dan pemberian bantuan kebajikan kepada keluarga yang memerlukan.

Harakahdaily.net/-

Hanya pemimpin tidak bersih perlukan APCO

6 Safar 1431H
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Hanya pemimpin yang tidak dilihat bersih yang memerlukan perunding imej bagi memberikan gambaran penuh pembohongan kepada rakyat tentang dirinya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas pendedahan laman berita Free Malaysia Today bahawa APCO Worldwide yang diambil khidmatnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga memberikan perkhidmatan yang sama kepada diktator-diktator dan pemimpin-pemimpin korup di seluruh dunia, beliau berkata, orang yang mempunyai penyakit yang sama biasanya pergi ke klinik yang sama.

"Orang yang perlu perunding imej seperti itu ialah orang yang ada penyakit. Najib yang sebaris diktator-diktator dan pemimpin-pemimpin korup untuk mendapatkan khidmat APCO juga dilihat ada penyakit.

"Rakyat sentiasa teringatkan Altantuya Shaariibuu apabila nama Najib disebut. Sebab itulah beliau memerlukan perunding seperti APCO bagi memaparkan gambaran penuh pembohongan kepada rakyat tentang dirinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Najib perlu perunding seperti itu untuk mereka-reka dakwaan kepada rakyat kononnya dia tidak ada penyakit, katanya.

Mahfuz juga kesal dengan penggunaan wang negara yang begitu banyak semata-mata untuk memberikan gambaran palsu tentang diri Najib.

Memetik The Times Of India (TTI), Free Malaysia Today melaporkan bahawa APCO Worldwide juga memberikan perkhidmatan kepada diktator Nigeria, Sani Abacha dan presiden seumur hidup Kazakhstan, Nursultan Abishuly Nazarbayev.

Pelanggan-pelanggan lain APCO termasuk jutawan Mikhail Khodorkovsky, yang juga salah seorang pemimpin muda Parti Komunis Rusia yang dikaitkan dengan kegiatan mafia.

Akhbar The Edge dan laman berita Malaysian Insider tahun lalu melaporkan kerajaan Malaysia memilih APCO dengan kontrak bernilai RM20 juta sebaik saja Najib menjadi Perdana Menteri untuk memulihkan imejnya yang sering dikaitkan oleh media-media seluruh dunia dengan pembunuhan Altantuya serta misteri di sebalik pembelian kapal selam Scorpene dan jet Sukhoi yang diselubungi misteri.

Pada 1 September lalu, APCO Worldwide membuka cawangannya di sini selepas perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Najib.

Harakahdaily.net/-

Apa manfaat tingkat pendapatan kalau inflasi

6 Safar 1431H
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mempersoal kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir supaya rakyat bersedia menghadapi inflasi, jika mahu menikmati gaji yang lebih tinggi dalam Model Ekonomi Baru.

Baginya, Mahathir hanya menunjukkan sikap bersetuju dengan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi dan memperkenal polisi pencukaian yang baru, iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


"Persoalannya, apakah manfaat hasil peningkatan pendapatan ini kalau rakyat (pada) masa yang sama dibebankan kos inflasi disebabkan GST (dan) penarikan subsidi yang lain," soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Menurutnya, sikap terlalu bergantung pada hasil (pendapatan) komoditi mentah dan cukai merupakan punca utama yang menjadikan Mahathir serta kerajaan tidak berupaya menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih progresif dan inovatif melalui Model Ekonomi Baru tersebut.

Beliau yang juga Ahli Jaatankuasa PAS Pusat berkata, kerajaan seharusnya memperkasakan sektor perkhidmatan dan inovasi dalam Model Ekonomi Baru.

"Sektor inovasi seperti membangunkan teknologi petroleum, membangunkan kepakaran pekerja, memasarkan produk-produk dari sumber yang diperbaharui, bukannya bercakap soal model (ekonomi) yang baru, tetapi penjanaan cara yang lama,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, inisiatif tersebut membolehkan kerajaan menawarkan gaji yang lebih berpatutan kepada pekerja tanpa perlu pada penarikan subsidi atau menaikkan cukai GST, disebabkan pendapatan yang berganda.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat turut mendedahkan realiti kenaikan gaji para pekerja di Malaysia disebabkan pengurusan ekonomi secara konservatif, sebagaimana yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.

"Di antara 1994 hingga 2007, 'gaji sebenar' hanya meningkat hanya 2.6 peratus pada sektor domestik dan 2.0 peratus pada sektor pembuatan. (Selama) 13 tahun, peratusan peningkatan gaji adalah begitu mendatar, hanya empat peratus, kalau gaji RM1,000 (bermakna) kenaikan hanya RM40 sahaja.

"Manakala inflasi tahun ini naik (sebanyak) 4 peratus juga. Jadi kenaikkan gaji sebenar adalah kosong atau mendatar,” jelasnya.

Pun begitu, beliau berkata kerajaan boleh melaksanakan GST sekiranya 'gaji sebenar' para pekerja benar-benar munasabah jika dibandingkan kos hidup yang sebenar disebabkan peningkatan inflasi.

Harakahdaily.net/-