22 Januari 2010

KPP anjur pertandingan memasak sempena Pesta Ponggal

6 Safar 1431H
Hashim Abdullah

KUALA LIPIS, 20 Jan: Kegiatan kebudayaan yang tidak bercanggah dengan hukum agama adalah digalakkan dan boleh dijadikan asas ke arah memupuk keharmonian kaum di Negara ini kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal Al Ahmadi.

Berucap pada merasmikan pertandingan memasak susu dan beras sempena Pesta Ponggal anjuran Kelab Penyokong PAS Kaum India Pahang, di Ladang Benta, dekat sini, baru-baru ini, Roslan berkata pendekatan ke arah memahami budaya pelbagai kaum dengan melibatkan aktiviti bersama adalah sesuatu yang harus diberikan pujian kerana ianya berperanan memupuk semangat muhibah di kalangan rakyat.

(Gambar: Roslan memerhatikan pertandingan sambil diperhatikan Balasubramaniam)

”Saya mengucapkan tahniah kepada Kelab Penyokong PAS kaum India Pahang yang telah berjaya meneroka satu lagi pendekatan yang boleh memecahkan tembok perkauman dan stigma perpecahan (divide and rule) yang disemai BN selama 52 tahun negara merdeka.

“Program ini perlu menjadi platform merapatkan hubungan rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya lebih memahami kekayaan budaya pelbagai kaum ke arah perpaduan dan pembangunan yang lebih bermakna,” katanya.

Pada program yang dihadiri lebih 300 masyarakat keturunan India itu turut meriah dengan acara lain termasuklah pertandingan memasak susu lembu, pakaian beraga, pertandingan tarik tali dan lain-lain.

Turut disediakan kaunter aduan rakyat dan pemberian bantuan kebajikan kepada keluarga yang memerlukan.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: