27 Mac 2010

500 berkumpul di kedutaan Sweden bantah akhbar hina Nabi


KUALA LUMPUR, 26 Mac: Lebih 500 Pemuda PAS dan anggota badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di kedutaan Sweden hari ini bagi membantah tindakan tiga buah akhbar Sweden menyiarkan lukisan menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Mereka berarak bermula dari Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat menuju ke bangunan kedutaan dengan membawa pelbagai kain rentang, sepanduk dan poster yang mengecam tindakan akhbar-akhbar berkenaan.

Mereka turut melaungkan 'Kasih nabi', 'Cinta Nabi', 'Biadap Sweden dan 'Jahanam Sweden' sepanjang perarakan.

Satu memorandum bantahan juga berjaya diserahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan kepada Duta Sweden Helena Sangeland dalam pertemuan mereka.

Turut serta dalam penyerahan tersebut adalah Naib Ketua Pemuda Ahmad Sabki Yusof dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.

Memorandum tersebut antara lain mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan terhadap akhbar dan pelukis karikatur yang menghina pemimpin ulung umat Islam itu.

Berucap kepada persrta himpunan selepas serahan itu, Nasruddin berkata perbuatan pelukis karuikatur dan akhbar yang menyiarkannya adalah biadap dan telah mencetuskan kemarahan seluruh umat Islam dunia.

"Betapa biadab dan jahanamnya mereka.

"Kita mintak mereka mengambil tindakan tegas ke atas pelukis dan akhbar yang menyiarkan karikatur ini," katanya disambut laungan takbir peserta himpunan.

Beliau juga meminta akhbar berkenaan memohon maaf kepada umat islam seluruh dunia di atas tindakan yang telah mengguris hati tersebut.

Sabki dalam ucapannya pula berkata mana-mana pihak tidak boleh menghina junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana baginda begitu istimewa bagi setiap umat Islam.

"Kita menyatakan kepada mereka bahawa Nabi Muhammad s.a.w berada di tempat yang istimewa dalam hati umat Islam," katanya.

Manakala Jais yang turut berucap menyatakan pendirian GPMS bersama dalam isu ini dan tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam.

Perarakan anjuran Dewan Pemuda PAS ini turut disokong oleh 19 NGO Islam yang lain.

Selain melaungkan suara bantahan, Nasrudin bersama beberpa peserata himpunan turut membakar bendera negara itu.

Sementara itu, beliau juga turut mengutuk tindakan terbaru Zionis Israel yang menceroboh Masjid Al-Aqsa dan membina kuil yahudi pada 16 Mac lalu.

Zionis juga jelasnya telah berjanji akan membina sekurang-kurangnya 62 lagi kuil di sekitar masjid suci umat Islam itu.

Harakahdaily/-

Tengku Abdul Aziz dilucut jawatan YDP Majlis Perajaan Negeri

KOTA BHARU, 26 Mac: Kemelut istana Kelantan terus meruncing apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra mengumumkan Tengku Sri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Hamzah dilucutkan jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkuat kuasa semalam, 25 Mac 2010.

Menurut perisytiharan yang dibacakan oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias hari ini berkata, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj dilantik sebagai Yang DiPertua MPN yang baru.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Hamzah (Tengku Sri Utama Raja) dibatalkan perlantikan dan dilepaskan daripada menjadi Yang Di Pertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010.

"Saya juga ingin memaklumkan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah mengampuni perkenan dan melantik Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj (Tengku Laksamana Kelantan) sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010," katanya sebentar tadi.

Pada sidang media sama beliau juga turut menjelaskan, majlis penganugerahan pingat kebesaran negeri pada 30 Mac ini tiada kaitan dengan sambutan hari keputeraan raja Kelantan.

Menjelas lanjut beliau berkata, ianya dibuat berdasarkan undang-undang tubuh negeri mengikut peruntukan perkara 43 (1).

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengumumkan Sultan Kelantan melucutkan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan diganti YDP MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah.

Bagaimanapun Setiausaha MPN, Datuk Mohd Aiseri Alias semalam berkata, perlucutan kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra adalah tidak sah kerana didakwa tidak mewakli keputusan MPN.

Kata beliau, Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu, katanya, Tengku Faris kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan

Harakahdaily/-

MP Hulu Selangor selamat dikebumikan

Jenazah ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melaka, Jalan Cheras.

Bekas timbalan menteri besar Selangor itu meninggal dunia jam 9.27 malam tadi akibat barah otak.

Beliau meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak - tiga perempuan, seorang lelaki.

Hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali; pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali; timbalan pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar; naib presiden PKR, Azmin Ali; ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; penyelaras Pakatan, Datuk Zaid Ibrahim, ketua penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang.

Pemimpin-pemimpin, jiran, kenalan dan penyokongnya sekitar 300 orang silih berganti sejak daripada awal pagi lagi. Suasana muram menyelubungi sekitar rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras itu.

Bagaimanapun jalan agak sesak ekoran banyak kereta diparkir di tepi jalan berhampiran rumahnya. Puluhan wartawan juga membaji rumah tersebut.

Bagaimanapun ahli keluarnga si mati tidak membenarkan mereka mengambil gambar di dalam perkarangan rumah dan berhampiran jenazah ketika ia dikebumikan. Ahli keluarganya juga enggan ditemuramah kerana terlalu sedih.

Pelbagai parti kongsi kesedihan

Kira-kira jam 10.30 pagi jenazah dibawa ke Masjid Batu 10 - atau lebih dikenali sebagai Masjid Kuning - untuk disolatkan. Antara pemimpin yang turut bersolat bersama kira-kira 100 hadirin, antaranya Anwar, Azmin, Zulkifli dan Noh .

Walaupun berlainan parti politik, kelihatan pemimpin tersebut berkongsi kesedihan yang sama dan mengambil peluang bertegur-sapa antara satu sama lain.

Anwar ketika ditemui berkata, beliau sedih dengan kehilangan almarhum yang dikenali semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) pada zaman 1970-an lagi.

“Beliau seorang yang kuat dengan idealisme bahasa dan pendidikan. Saya ketika itu bergiat dalam Persatuan Bahasa Melayu UM.

“Walaupun mungkin tidak dapat menjalankan tugas dengan sebagai ahli parlimen dengan baik kerana lama uzur, pemergiannya akan sentiasa dikenang,” kata Anwar dan berbaju Melayu putih dan bersongkok.

Sementara Noh pula berkata pemergian almarhum merupakan kehilangan kepada seluruh rakyat negeri Selangor.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga almarhum. Beliau terkenal dengan perkhidmatannya yang bagus sejak menjadi timbalan menteri besar (Selangor) lagi. Kita tidak dapat nafikan sumbangan amat besar kepada Umno sendiri dan rakyat Selangor secara amnya,” katanya.

Contoh ahli politik konsisten, bersih

Lim pula ketika ditemui di rumah almarhum pula hanya berkata: “Saya sedih dengan pemergiannya. Saya ucapkan takziah kepada ahli keluarganya”.

Manakala Dr Hasan pula berkata, PAS sentiasa menjadikan almarhum sebagai contoh seorang ahli politik yang gigih, konsisten dan bersih dalam politik.

“Beliau amat peramah dan rendah diri. Pemimpin seperti ini amat sudah dicari ganti,” katanya.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, beliau merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.

Antara jawatan exco yang dipegangnya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.

Malaysiakini/-

Wan Hashim : Masih ditahan , atau sudah bebas ?

Sehingga malam tadi kita menerima berita Bekas Setiausaha Kerajaan negeri kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud telah ditahan oleh sekumpulan pegawai polis di rumahnya dekat Kubang Kerian kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Beliau kemudiannya dibawa ke Balai Polis IPK Kota Bharu dan masih berada di sana sehingga kini. Dia disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

Namun begitu setelah menghubungi banyak pihak saya masih ,gagal mendapatkan maklumat mengenai status Wan Hashim adakah dibebas atau masih ditahan.

Beliau yang mendakwa dilantik menjadi Setiauasaha Sulit Sultan Kelantan minggu lalu telah mengadakan sidang akhbar memaklumkan perlucutan jawatan Tengku Faris Petra sebagai pemangku raja Kelantan. Beliau juga mengumumkan perlantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Tengku Abdul Aziz Hamzah sebagai pemangku raja menggantikan Tengku Faris.

Ekoran kenyataan media itu, Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Kelantan, Shafie Ismail membuat satu laporan polis terhadap beliau.

Berita mengenai kemungkinan penangkapan terhadap Wan Hashim gencar apabila Pemangku Raja akan berangkat pulang ke Kelantan lewat petang kelmarin.

SIDANG DUN PERAK: BATALKAN SELAGI PERTIKAIAN SPEAKER BELUM SELESAI

10 Rabiulakhir 1431H
Email : safarizal saleh

Kenyataan Media (25 Mac 2010)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencadangkan agar dibatalkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijangkakan akan diadakan pada 30 Mac ini yang tinggal 5 hari sahaja lagi selagi pertikaian berkaitan kedudukan Speaker DUN Perak masih belum diselesaikan yang sudah hampir 10 bulan semenjak Persidangan DUN Perak yang telah diadakan pada 7 Mei tahun lepas.

DPPN Pk merasakan Seri Paduka Sultan Perak boleh menyelesaikan kemelut rampasan kuasa kedua oleh Umno / Barisan Nasional (BN) berkaitan kedudukan Speaker DUN Perak. Oleh yang demikian DPPN Pk mengharapkan agar usaha untuk menyelesaikan pertikaiaan kedudukan Speaker DUN Perak dapat diselesaikan secepat mungkin. Malah DPPN Pk merasakan perlunya campur tangan Seri Paduka Sultan Perak di dalam menyelesaikan kemelut ini.

Bagi DPPN Pk selagi pertikaian kedudukan Speaker DUN Perak ini belum diselesaikan, akan merumitkan lagi keadaan di Negeri Perak khasnya. DPPN Pk juga mencadangkan agar kedua-dua pihak yang melibatkan kedudukan Speaker DUN Perak ini merafak sembah Seri Paduka Sultan Perak bagi mengemukakan bukti-bukti berkaitan kedudukan mereka sebenarnya.

Bukannya memperalatkan institusi yang berkaitan bagi mengukuhkan kedudukan mereka yang bukannya berlandaskan peruntukan Undang-Undang yang sedia ada. Oleh yang demikian DPPN Pk juga akan mengambil peluang memohon sekali lagi perkenan bagi merafak sembah Seri Paduka Sultan Perak bagi mengemukakan bukti-bukti bahawa V. Sivakumar adalah Speaker DUN Perak yang sah.


DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

SIAPA YANG FITNAH NAJIB DAN ROSMAH LANGKAH MAYAT YB ZUL DULU

10 Rabiulakhir 1431H
Oleh: WFAUZDIN NS

MENARIK juga kita mendengar `nasihat' yang diberikan oleh `Mursyidul Am Bebas' MP dari Bandar Kulim Baru di Parlimen siang tadi. MP yang sinonim menggelar musuhnya sebagai `firaun kecil' siang tadi memberikan `kuliah' tentang fitnah. Apa yang dikatakan panas dan gempar oleh media pencacai Umno adalah `hikayat' dari YB Zul tentang adanya tawaran lumayan untuk beliau sekiranya beliau sanggup membuat akuan bersumpah membabitkan Najib dan Rosmah di dalam misteri pembunuhan Altantuya. Tawaran itu tentunya teramat besar sehinggakan YB Zul berkata boleh menggugat keimanannya.

Jangan kita persoalkan mengapa YB Zul tidak dedahkan sahaja siapa yang membuat tawaran sehebat itu kepadanya. Lupakan persoalan itu kerana kita tidak boleh memaksa YB Zul untuk bercerita atau berhikayat lebih lanjut. Kita cuma ingin bercerita pasal fitnah kerana saya bersetuju adalah salah besar sesiapa pun melakukan fitnah samada fitnah liwat mahu pun fitnah terlibat di dalam jenayah. Sepanjang pengetahuan saya yang sering mengikuti mana- mana ceramah dari PR, tiada seorang pun pemimpin dari PR yang menuduh Najib atau Rosmah terlibat di dalam pembunuhan Altantuya. Tetapi mengapa umum melihat seperti sepasang suami isteri ini terlibat?

Kita sering mendengar pimpinan PR mahukan Najib dan Rosmah menjawab beberapa isu yang releven untuk mereka jawab. Diketahui Najib tidak dipanggil memberi keterangan di mahkamah di dalam kes Altantuya sedangkan kesemua mereka yang dituduh ada kaitan rapat dengannya iaitu dua anggota keselamatan dan juga Razak Baginda. Bahkan alat atau bahan yang digunakan untuk tujuan pembunuhan itu juga adalah di bawah kawalan pasukan keselamatan. Jika bom C4 itu di bawah kawalan Kementerian Pertahanan, maka ketika itu Najib adalah Menteri Pertahanan dan releven untuk Najib hadir memberikan keterangan. Jika pegawai-pegawai keselamatan yang dituduh membunuh Altantuya itu pernah bertugas dengan Najib mahu pun Rosmah, releven juga Najib dan Rosmah untuk memberi keterangan. Razak Baginda dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib, maka pelik apanya jika Najib dipanggil untuk memberi keterangan. Malangnya Najib atau Rosmah tidak dipanggil, dan lebih mendukacitakan sehingga kini tiada siapa yang tahu motif pembunuhan tersebut.

Saya yakin YB Zul juga sependapat dengan kita semua bahawa tiada asas untuk menuduh Najib mahu pun Rosmah terlibat secara langsung di dalam kes ini, tetapi sepasang suami isteri ini mempunyai asas untuk memberikan keterangan. Sekurang-kurangnya, mereka mampu menghilangkan persepsi masyarakat terhadapnya. Bermain di fikiran kita, siapa yang mengarahkan Altantuya ini dibunuh dan yang paling penting mengapa Altantuya dibunuh? Lupakan dulu dua Akuan Bersumpah oleh Bala walaupun dikatakan Bala ada membuat Akuan Bersumpah yang baru menyebut nama sepasang suami isteri ternama ini. Semua ini memerlukan jawapan dari Najib dan tidak cukup dengan mengadakan sumpah seperti yang beliau lakukan di Permatang Pauh. YB Zul nampaknya bersetuju dengan kaedah sumpah untuk menafikan sebarang tuduhan.

Jelas, tiada siapa yang menuduh Najib terlibat di dalam kes ini tetapi sikap Najib dan Rosmah sendiri yang menimbulkan persepsi sedemikian rupa. Justeru itu, YB Zul jangan bersusah hati kerana Najib dan Rosmah tidak difitnah sebaliknya kita mahukan penjelasan dari keduanya tentang beberapa persoalan yang sepatutnya mereka mampu menjawab. Sebagai seorang Peguam, sepatutnya YB Zul merasa pelik sekiranya ada pembunuh telah disabitkan kesalahan tetapi tidak pula diketahui mengapa mereka melakukan pembunuhan itu.

Apa pun kita hormati prinsip YB Zul yang tetap pertahankan maruah Najib dan Rosmah. Mudah-mudahan jasamu akan dikenang./wfauzdin.blogspot.com

NASIB SEORANG GURU

10 Rabiulakhir 1431H
Email : Naninu Sakun

ASSALAMUALAIKUM!

Maaf lama saya tidak menghantar artikel2 kerana menghadapi masalah talian internet. Namun begitu pada hari ini saya ingin mendedahkan sebuah kisah yang saya serahkan kepada pembaca menilainya sendiri.

Kisah ini berlaku kepada seorang guru di sebuah sekolah pendidikan khas Kedah. Beliau telah mengajar dengan sepenuh hatinya mendidik anak2 istimewa agar mereka tahu mengenal yang mana intan yang mana permata. Setiap hari beliau akan menyambut murid2nya dengan senyuman bila dihantar oleh penjaga masing2 almaklumlah anak2 istimewa yang terdiri dari berbagai aspek kekurangan yang memerlukan dorongan untuk mereka pandai menguruskan diri mereka sendiri. Bukan sehari guru ini telah mengajar malah telah banyak tahun hingga anak2 didik yang sebelum ini tidak tahu menyuapkan nasi ke mulutpun sudah pandai menyuapnya sendiri.

Namun begitu suatu dugaan telah menimpa guru berkenaan. Ada seorang pelajar yang telah ditempatkan di sekolah guru berkenaan pada awal tahun tersebut telah meragut keikhlasan guru berkenaan. Pelajar tersebut terkenal dengan hyperaktif disamping mengalami masalah mental dan langsung tidak tahu menguruskan dirinya. Namun, seperti biasa guru berkenaan tetap tabah dalam mendidiknya. Suatu hari guru berkenaan telah mencubit pelajar berkenaan ibarat cubit mendidik sahaja. Selesai sesi persekolahan dan dalam guru berkenaan sedang bersiap untuk pulang datanglah penjaga pelajar tersebut menanyakan kenapa terdapat tanda pada anaknya. Guru berkenaanpun dengan ikhlas memberitahu beliau mencubitnya. Perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puashati kepada penjaga berkenaan. Guru berkenaan telah memohon maaf jika perkara ini dianggap keterlaluan. Penjaga berkenaan hanya berkata tidak mengapa dan berkata janganlah membuat lagi.

Esoknya, rupa2nya penjaga berkenaan telah datang kesekolah dan ingin berjumpa pentadbir untuk melaporkan kes berkenaan disamping beliau membawa laporan doktor tentang kes . Yang menariknya penjaga tersebut juga menambah terdapat byk kesan calar pada anaknya termasuk anaknya selalu demam dan mengalami tarik sejak duduk di sekolah berkenaan sedangkan sebelum ini tidak. Terkejut guru tersebut bila melihat tindakan penjaga tersebut. Dahlah begitu beliau juga meminta wang lebih dari seribu ringgit untuk kos perubatan anaknya. Yang menariknya dalam kes ini Guru besar buat lepas tangan sahaja. Guru berkenaan telah membuat repot polis atas kes tersebut sebagai membela dirinya disamping mencatat sekali ugutan2 yang diterima termasuklah penjaga tersebut ada kabel di kementerian yang boleh menyebabkan guru berkenaan dilucut jawatan serta merta. Alhamdulillah polis menyebelahi guru berkenaan. Soalan saya kepada pembaca : BERDOSAKAH GURU TERSEBUT? APA YANG PERLU KITA LABELKAN KEPADA PENJAGA TERSEBUT? BETULKAH TINDAKAN GURU BESAR TIDAK MEMBELA GURU TERSEBUT?...

anak komando rejimen 1

Syed Husin tuntut Utusan bayar RM10 juta

10 Rabiulakhir 1431H

PETALING JAYA, 26 Mac: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali telah menghantar surat melalui Peguambela & Peguamcara Edwin Lim Suren & Soh kepada Pengarang dan Pengurus Utusan Melayu Bhd dan juga Zamil Ibrahim kelmarin, menuntut mereka meminta maaf dan membayar ganti rugi RM10 juta.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, ini berkaitan sebuah berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6 Mac 2010 di bawah tajuk “RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis”.

Dalam berita tersebut dituduh konon beliau menerima RM500,000 daripada Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat.

“Saya mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap mereka tersebut sekiranya tiada jawapan daripada mereka dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan itu,” ujarnya.

Harakahdaily.net/-

Apco serlahkan Umno tali barut Israel

10 Rabiulakhir 1431H
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Keputusan kerajaan melantik Apco Worldwide sebagai syarikat perunding komunikasi 1Malaysia menyerlahkan Umno sebagai tali barut Israel, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Beliau berkata demikian kerana Umno tidak mampu menyatakan komitmennya terhadap syarikat tersebut walaupun syarikat itu dikatakan umum sebagai pro zionis Israel.

"Ini serlahkan bahawa Umno adalah tali barut Yahudi zionis kerana dia (Umno) tak boleh menyatakan pendirian (tentang Apco)," jelas beliau petang tadi.

Tidak cukup dengan itu, kata beliau, tidak mustahil kerajaan Malaysia turut memberikan maklumat yang strategik pada Apco kerana Apco tidak berupaya memberikan nasihat yang strategik.

"Kalau Umno tidak diberi maklumat yang strategik seperti demografi negara, bagaimana Apco nak beri nasihat supaya Najib dilihat baik, 1Malaysia direalisasikan.

"Dengan maklumat strategik ini, bermakna keselamatan negara sendiri terdedah pada pihak luar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan rasa curiga pada kerajaan kerana melantik Apco secara tender yang eksklusif sedangkan Apco dibayangi oleh beberapa pemimpin zionis Israel seperti Shimon Stein (bekas Duta Kehormat Israel ke Jerman), Profesor Ittamar Rabinovich (bekas Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat), Doron Bergerbest-Eilon (bekas Jeneral Major di Agensi Keselamatan Israel, ISA), David Heral (anggota perisik di ISA), Oded Raz (bekas Pegawai Kanan di ISA) dan Elliott Abrams (proksi Yahudi, bekas pembantu khas kepada Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush).

"Kesemua mereka jelas pro zionis Israel, sebab itu rakyat perlu diberitahu atas asas apa mereka ini dipilih," jelasnya.

"Dengan pemilihan Apco ini, apakah membabitkan individu di dalam kerajaan sendiri kerana ini bukan tender terbuka, dilanti khusus untuk perbaiki imej Najib."

Ekoran itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan kerajaan itu seolah-olah tidak mengiktiraf kelayakan beberapa syarikat perunding tempatan yang sebenarnya mempunyai kelayakan dan wajar diberi peluang.

Bercakap di Dewan Rakyat, beliau turut menasihatkan kerajaan supaya tidak mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat yang dipercayai umum pro zionis Israel itu.

Ini kerana, beliau berkata, Israel pernah menggunakan maklumat komunikasi daripada agensi komunikasi Amerika Syarikat untuk turut serta secara tidak langsung dalam Perang Teluk pada 1988 lalu, bagi mengenakan Iraq.

Harakahdaily.net/-

Adun BN berdepan risiko ‘diculik’ jika enggan tarik balik peletakan jawatan

10 Rabiulakhir 1431H
Herman Samsudeen

Memang sudah saya jangkan bahawa ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn akan menarik balik surat peletakan jawatannya yang dihantar kepada Speaker DUN Perlis, Datuk Yazid Mat Isnin lalu.

Selepas Najib bertakhta, bukan senang Adun atau Ahli Parlimen BN nak letak jawatan, apa lagi nak lompat parti. Lihat sahaja kes ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang mengistiharkan lompat ke PKR tahun lepas, tak sampai seminggu beliau lompat balik kepada Umno.

Tapi lompat balik tu, bukan lompat saja-saja kerana sebelum muncul di Pejabat Najib di Putrajaya, beliau dilaporkan hilang. Khabarnya diculik dan dilarikan dari rumahnya hingga membuatkan Isteri dan anak-anak beliau risau.

Tup-tup, dia berdiri sebelah Najib, umum masuk Umno balik. Tak sempat balik rumah jumpa anak Isteri pun.

Jadi sebelum hal yang sama berlaku, Adun Titi Tinggi terus hantar SMS tak jadi letak jawatan. Atau mungkin ada sebab lain yang beliau lebih tahu. Yang pasti perebutan kuasa dan jawatan dalam BN begitu kuat. Yip yang juga Naib Pengerusi MCA Perlis begitu terasa bila beliau ditendang keluar dari bilik Exco Kerajaan Negeri selepas 2 tahun jadi Exco.

Jadi, apa yang berlaku ini mungkin dilihat sebagai pergolakan peribadi beliau, tapi pada saya inilah bukti bahawa dalam BN bukan mudah anda nak survive…..walaupun kononnya berjuang untuk rakyat, masing-masing nak jaga poket.

BN pula takut benar kalau Yip nekad letak jawatan sebab Pilihanraya kecil mungkin berlaku dan BN belum comfirm boleh menang balik disitu. Yip hanya menang dengan majoriti 1,841 undi sahaja disitu pada pilihanraya 2008. Jadi, amat penting untuk BN pastikan Yip tidak letak jawatan. Mereka tak kira, guna cara lembut atau kasar, yang penting Yip kekal jadi Adun buat sementara ini.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily.net/-

Jangan salahkan rakyat, Umno juga pertikai keputusan mahkamah

10 Rabiulakhir 1431H
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Umno tidak perlu menyalahkan rakyat sekiranya mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sebelum ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, Umno sendiri pun seolah-olah mengajak rakyat mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam isu kalimah 'Allah'.

"Saya sendiri berasa pelik, apabila Hakim Lau Bee Lan yang memutuskan bahawa suatu akhbar (mingguan The Herald) boleh menggunakan kalimah Allah, tak lama selepas itu seolah-olah wujud suatu usaha untuk tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah," ujar beliau semasa membahas Titah Diraja di Dewan Rakyat, malam tadi.

"Ia menggambarkan seolah-olah Umno juga membantah keputusan mahkamah seperti di Mahkamah Persekutuan."

Disebabkan itu, beliau yang juga Menteri Besar Perak pada era Pakatan Rakyat merumuskan bahawa Umno juga seolah-olah mengajak rakyat supaya tidak sebulat-bulatnya bersetuju dengan keputusan yang di buat di mahkamah.

Tambah beliau lagi, Umno juga sama ada sedar atau tidak sebenarnya sedang mendidik rakyat supaya menentang keputusan mahkamah yang dianggap tidak memberi kepentingan politik kepada mereka.

Disebabkan keputusan mahkamah yang acapkali dipertikai kerana oleh rakyat, Pakatan Rakyat dan Umno sendiri, beliau berkata, negara juga akhirnya turut mendapat impak berantai yang negatif.

Maka, beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, sindrom pelabur meninggalkan negara berlaku dalam skala yang membimbangkan.

Ujarnya lagi, mereka tidak mahu melabur di Malaysia, khususnya di Perak mungkin disebabkan mereka tidak percaya dengan tahap integriti dan kebebasan mahkamah di Malaysia.

Dari maklum balas oleh beberapa pelabur asing yang ditemui di United Kingdom, beliau berkata, dunia luar belakangan ini berasa sangsi dengan institusi kehakiman negara.


Hatta, menurut beliau, sekiranya berlaku pertelingkahan dalam dunia korporat, pelabur-pelabur asing terbabit tidak rela membawa kes mereka ke mahkamah tempatan.

Sebaliknya, menurut beliau, mereka yang terbabit lebih rela membicarakan kes masing-masing di luar negara, termasuk di Singapura.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya memulihara semula tahap integriti dan kebebasan mahkamah tempatan kerana dengan berbuat demikian sekaligus menggalakkan pelabur asing kembali berlabur di Malaysia.

Harakahdaily.net/-

Hina Nabi: Ribuan umat Islam protes hari ini.

10 Rabiulakhir 1431H

Setelah ditunda sebelum ini, Dewan Pemuda PAS akan meneruskan demonstrasi di ibunegara hari ini bagi membantah akhbar di Sweden yang menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.

Setiausaha dewan itu Kamaruzaman Mohamad berkata, setelah membuat promosi melalui pelbagai cara, ribuan umat Islam akan berarak ke kedutaan Sweden di Jalan Ampang selepas solat Jumaat bagi menyatakan perasaan tidak puas hati mereka.

“Perhimpunan ini akan diketuai Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ketua Dewan Pemuda Nasrudin Hassan,” katanya kepada Malaysiakini .

Kamaruzaman berkata, mereka akan berkumpul sekitar bangunan Tabung Haji dan berarak beramai-ramai ke kedutaan berkenaan kira-kira 1 kilometer.

Minggu lalu, demonstrasi tersebut yang sepatutnya diadakan pada 19 Mac ditangguhkan “disebabkan masalah teknikal dan perkara-perkara penting yang tidak dapat dielakkan”.

Ketuanya Nasrudin Hassan dilaporkan berkata, penghinaan terhadap Nabi Muhammad itu tidak boleh diterima sama sekali dan kerajaan Sweden sepatutnya mengambil pengaharan daripada Denmark yang pernah menghadapi bantahan yang sama.

Katanya, dengan mengulangi kesilapan tersebut, Sweden juga “seakan-akan mahu mengajak umat Islam berperang”.

Sebelum ini, dilaporkan lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing - karya pelukis Sweden Lars Vilks - dikemukakan sebagai bahan pameran di sebuah pusat warisan budaya Sweden.

Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.

Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama tulisan editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara. Tiga lagi akhbar Sweden kemudiannya turut menyiarkan semula karikatur itu.

Tindakan itu yang membawa kepada bantahan negara-negara Islam sehingga Vilks menerima beberapa ancaman bunuh.

Malaysiakini/-

Sidang Media berkaitan Sidang DUN Perak 30 Mac malam ini..

Berhubung dengan sidang DUN Perak yang akan diadakan pada 30 Mac akan datang, saya suka untuk memaklumkan bahawa satu sidang Media yang penting akan diadakan di pejabat pakatan Rakyat di Ipoh seperti berikut ;

Tarikh : 26 mac 2010
Jam : 7.00 Malam
Tempat : Pejabat Pakatan Rakyat Ipoh.

Sehubungan dengan itu saya menjemput semua rakan media dan para Blogger untuk hadir dalam sidang media tersebut.

Sekian terima kasih.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Sekretariat,
Pakatan Rakyat Perak.

Bekas tahanan ISA hilang ganti rugi RM2.5 juta

10 Rabiulakhir 1431h

Seorang bekas tahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hilang ganti rugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

Hakim Md Raus Shariff yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa penahanan Abdul Malek Hussein adalah sah dan menolak semua dakwaan yang dia diseksa semasa dalam tahanan.

Dua hakim lain yang itu ialah hakim mahkamah persekutuan - Sulong Matjeraie dan Ahmad Maarop.

Berikutan k
eputusan itu, Abdul Malek (kiri) tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar kos RM50,000.

Sementara itu, Abdul Malek berkata beliau akan membawa kesnya itu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan hari ini.

Abdul Malek, ditangkap dan mendakwa dia diseksa oleh kerajaan pada tahun 1998.

Beliau kemudiannya memfailkan saman pada Mac 1999, terhadap anggota cawangan khas, Borhan Daud; Ketua Polis ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia.

Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepadanya.

Malaysiakini/-

Siapakah dalang sebenar dalan krisis Istana di Kelantan ?

Saya telah mengikuti dari awal perkembangan krisis Istana di Kelantan seawalnya sejak Wan Hashim memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK)setelah Kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah(APU) menerajui Kelantan pada tahun 1990. Sesudah itu silih berganti SUK yang menampakkan pertelingkahan kerajaan negeri dengan Istana semakin reda dan yang saya lihat pada akhir-akhir ini sudah tidak ada pertikaian.

Masalahnya semasa Wan Hashim menjadi SUK ada seorang dalang yang sedang mengendalikannya. Malangnya sehingga sekarang Wan Hashim setelah sekian lama semacam dilupai walaupun saya sendiri yang tahu kerja jahatnya satu masa dulu tiba-tiba muncul dan mengaku sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan dengan beranai mengumumkan pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta . Yang pasti ada dalang disebalik Wan Hashim.

Kelmarin saya menghubungi dan dihubungi oleh beberapa rakan karib dari Kelantan dan mendapat pengesahan siapakah dalang sebenarnya yang menyebabkan Wan Hashim dikitar semua dan dijadikan semacam peluru untuk menghalalkan hasrat pihak tertentu.

Malah seorang blogger yang cuba menafsirkan perlembagaan negeri kelantan semacam seorang peguam yang mahir semacam hendak menghalalkan kerja Wan Hashim.

Dalangnya bukan saya sahaja yang tahu, namun mungkin sekadar sementara menghormati ianya tidak dipaparkan dengan jelas dalam media. Yang pasti ianya menjadi bualan majoriti rakyat Kelantan. Maklumlah saya tidak mahu mendahului masa dan orang lain, bila orang tidak segan menyebutnya saya pun akan menyebutnya sama.