25 Mei 2010

Media Malaysia tidak berperanan dalam transformasi negara?

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nuruddin Muhammad

Saya amat teruja untuk membincang persoalan isu peranan media dalam konteks umum memandangkan PM telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ingin melihat media di negara ini memainkan peranan sebagai rakan kongsi kerajaan dan membantu membawa perubahan dan transformasi lebih besar kepada negara.

Persoalannya, di mana bagaimana perjalanan media di negara kita kini? Adakah benar media massa negara ini cenderung hanya kepada perkara sensasi, hiburan dan melupakan aspek pengujaan kejayaan negara? Bagaimana pula dengan isu kebebasan media? Dilema pengamal media yang gusar hak mereka disekat serta paranoid rakyat malaysia yang juga risau sekiranya semua media diberi kebebasan mutlak juga perlu dinilai.


PM berkata bahawa media lebih berminat dengan cerita-cerita sensasi, dan menurutnya cerita sensasi sedemikian "sedikit sebanyak memang boleh", tetapi pada masa yang sama media perlu menitikberatkan kepada berita berbentuk keilmuan supaya masyarakat dapat berfikir secara lebih intelektual dan objektif.(Bernama 20 Mei 2010)

Secara jujur ramai rakyat tertanya-tanya apakah bentuk transformasi atau perubahan besar yang diharapkan kepada negara? Dalam suasana sekarang kerajaan sibuk membahaskan kepentingan negara kita mencapa tahap negara berpendapatan tinggi, negara yang mampu memajukan industri melalui pemacuan pengetahuan (knowledge driven economy and industry) serta mencapai kemampanan ekonomi melalui MEB selepas pelaburan besar kerajaan dalam dwi-suntikan stimulus ekonomi sebelum ini.

Pokoknya, kerajaan amat berminat dalam isu ekonomi, malah menjadi alasan besar untuk lawatan PM ke Amerika Syarikat naru-baru ini walaupun semua mengetahui Amerika bukan lagi sifu ekonomi yang mapan secara ironinya.

Jika dinilai kepada status media di negara ini, kedudukan media pada pandangan dunia adalah antara yang terburuk atas beberapa alasan. Alasan yang pertama ialah pencabulan hak kewartawanan yang kian terhakis. Kedua kebebasan media memberi maklumat sekata tanpa ‘bias’ dan akibat kongkongan ini kita mendapati tabloid kepartian menjadi medan utama dan isu politik balas (counter attack) menjadi resmi tabloid ini kerana terpaksa.

Ketiga, media malaysia kini menjadi takungan sampah sarap idea perkauman tinggalan British, malah semangat perkauman chauvinis inilah yang menajdi resepi aristokrat negara ini untuk melegitimasikan ‘hak peribadi’ atas nama hak bangsa dan asalan bumiputera. Keempat, media malaysia menjadi lembah jijik hedonisme yang melampau malah ikon melayu dan artis yang rata-ratanya melayu amat memalukan dengan idea sekular mereka, hiburan tanpa batasan, idea penghinaa terhadap agama sendiri malah menjatuhkan maruah mereka di kalangan kaum lain di Malaysia.

Jika empat alasan ini yang menyebabkan maruah media negara runtuh tidak dibaiki, bagaimana pula diharapkan media negara ini boleh mentransformasikan negara. Transformasi pelrulah dari buruk ke arah kebaikan malah semakin baik. Sosial kita hari ini sarat dengan rasuah, kroni, perkauman melampau malah dihiasi dengan ketaksuban tanpa ilmu. Inilah ‘assingment’ besar media, bukannya hanya membahas isu ekonomi (atas alasan ilmiah dan serius) di celahan lambakan hiburan realiti yang kian merosakkan masyarakat.

Secara akademik, keberadaan media massa dan masyarakat perlu dilihat secara bertimbal balik. Untuk itu yang sering digunakan atas pentas konseptual, setidaknya ada 2 pandangan iaitu apakah media membentuk (moulder) atau mempengaruhi masyarakat, atau sebaliknya sebagai cermin (mirror) yang memaparkan realiti negara atau dipengaruhi oleh realiti masyarakat. Dalam bahasa sederhana, apakah media massa menjadi penyebab rusaknya masyarakat, ataukah media massa hanyalah mencerminkan wajah buruk masyarakat?

Yang berlaku hari ini ialah, media dipaksa menjadi cermin dusta sosial apabila banyak iklan 1Malaysia yang memaparkan keharmonian antara kaum hanya dengan persembahan malti kaum dalam satu nyanyian. Dalam masa yang sama nyanyian perkuaman dinyanyika oleh pemimpin parti komponen perkauman yang memerintah negara. Negara ini juga menjadikan media sebagai moulder (acuan) yang cukup agresif dan kejam apabila rakyat dipaksa menganut iman kerajaan seperti Islam hadhari dan 1Malaysia walaupun jelas membazir dan tidak berasas.

Moulder itu juga menutup kesemua kebenaran yang dilakukan oleh pembangkang malah diapi-apikan kenyataan antara pemimpin pembangkang. Moulder yang cukup dahsyat ini jelas memaksa rakyat menelan janji kerajaan dalam pilihanraya Sibu apabila lambakan wang dan sogokan dijanjikan jika BN menang di Sibu.
Dr Abu Hassan Hasbullah melalui Zentrum Study banyak mendedahkan kerosakan keadilan media di malaysia. Lihat sahaja kejadian penggantungan jawatan Ketua Pengarang China Press Teoh Yong Khoon hanya kerana mendedahkan isu perletakan jawatan KPN.

Penerbit TV2, Chou Z Lam pula telah membongkarkan bagaimana rancangan dokumentari, Galeri Mandarin Nasional ditarik dan dibatalkan, kerana dikatakan "tidak baik" untuk PRK Sibu dan pilihan raya negeri Sarawak yang bakal dijalankan pada waktu itu.

Rancangan dokumentari ini diterbitkan oleh Chou Z Lam, merakamkan pengalaman kira-kira 10 ribu orang asli yang dipaksa pindah ke Sungai Asap dan Sungai Koyan untuk memberi laluan kepada pembinaan Empangan Bakun pada akhir tahun 1998.Siri dokumentari ini mempunyai 10 episod keseluruhannya, mula disiarkan pada 26 April, tetapi ditarik secara tiba-tiba dan dibatalkan penyiaran seterusnya pada 28 April.

Rata-rata media massa yang dikawal kerajaan memainkan isu perkauman apabila sampai waktunya walaupun saban hari mempromosikan retorik 1Malaysia. Sebelum ini Utusan pernah menyiar tajuk besar ‘ Bangkitlah Melayu, bersatu hadapi tuntutan kaum lain yang keterlaluan’. sedangkan masih ada banya ayat yang lunak dan beralternatif untuk menyuarakan kebimbangan etnik Melayu tanpa memasukkan unsur ‘motivating’ untuk bersikap chauvinis sempit.

Saya juga ingin mengkritik keras pandangan Dr Rahmat Ghazali ( Ketua Program Pengajian Siswazah UITM) yang ternyata tulisan beliau di dalam majalah Milenia bulan Mei boleh mengelirukan rakyat berkaitan erti beza tabloid politik dengan media cetak awam seperti Utusan Malaysia.

Beliau cuba menyangkal tuduhan rakyat bahawa Utusan menjadi alat UMNO untuk mencetus keresahan antara kaum walaupun mempromosi UMNO secara jelas dan terang-terangan. Kata beliau, menurut kajiannya, hanya 1-9% sahaja bahan di dalam Utusan berasaskan politik sedangkan semua rakyat yang membaca Utusan mampu menilai secara lebih jujur!

Beliau menyalahkan tabloid seeprti Era Pakatan, harakah, Suara Keadilan dan sebagainya sebagai tabloid yang mencetus sikap taksub dan membabi buta dalam menilai isu hanya kerana tabloid itu menyiarkan 100% isu politik. Beliau mungkin keliru antara beza lesen Harakah dengan lesen Utusan Malaysia sebagai bacaan umum. Ya memang Harakah ada dijual terbuka, tetapi mengapa? Satu sahaja sebabnya iaitu rakyat ingin membaca tulisan alternatif dari pihak yang selalu dinyatakan salah dan bersalah iaitulah pembangkang.

Membezakan 9% isu politik dalam Utusan dengan 100% isu politik dalam Harakah dan tabloid pembangkang lain adalah satu kajian yag amat lemah dan melulu. Beliau juag gusar da risau kerana tabloid pembangkang telah berjaya memesongkan perhatian rakyat daripada arus politik perdana kepada ketaksuban politik lain (iaitu pembangkang). Ternyata beliau selaku pensyarah universiti tidak seharusnyaa jahil apa itu politik demokrasi. Adakah menjadi salah rakyat memilih pembangkang dan media bacaan mereka sendiri?

Dalam aspek moral dan akhlak baik diteliti pandangan Larking yang menganggap televisyen telah berubah menjadi “berhala zaman moden” di rumah, malahan sudah menjadi ancaman kepada pegangan agama. Penyalahgunaan televisyen dalam erti kata menontonnya berlebihan dan tanpa kawalan itu boleh memberi kesan negatif kepada generasi muda setidak-tidaknya telah membentuk remaja menjadi hamba kepada televisyen, selain membuat mereka menyimpang daripada realiti hidup. (lihat Larking, L. 1997. Television, Popular Culture and Humiliation of Written Word. MuslimEducation Quarterly. 15(1): 38-44.)

Menurut Rick Shriver dari Ohio, media Malaysia memiliki 31% untuk hiburan barat 25% untuk berita tempatan 23.5% untuk hiburan tempatan seeprti rancangan realiti, 18% untuk hiburan import Asia, 2.5% untuk seni dan budaya. Jika berita dikongkong, malah peratusan besar diperuntukkan untuk hiburan tempatan dan barat, bagaimana media Malaysia mampu mencetus transformasi ke arah kebaikan negara?

Media malaysia juga tidak bebas walaupun dikatakanmelalui dasar penswastaan yang seharusnya bebas dan berbeza denga RTM. :ihat sahaja TV3yang dibangunkan pada 1983, diberikan lesen kepada Sistem Televisyen (M) Berhad di mana 40% saham STM dipegang oleh Fleet Group. Fleet Group pula ialah syarikat milik UMNO.

Pada 1994 lesen dikeluarkan untuk Metrovision atas milik Melewar Corp dan Utusan Melayu (M) Berhad. Melewar Corp. dikawal oleh Tunku Abdullah yang rapat dengan bekas PM Tun Mahathir dahulu.
ASTRO yang diberi lesen pada 1995 dimiliki oleh MEASAT milik Ananda Krishnan. Krishnan memang kenalan baik dengan Tun Mahathir.

Rakyat malaysia perlu sedar tahap media di negara kita baik dari isu kewartawanan, kebebsan mengulas isu serta tahap moral dan etika media serta peranannya membaiki sosial kita hari ini. Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia yang telah berlangsung pada 3 Mei 2010, Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) telah mengadakan "Kempen Ribon Kuning demi Kebebasan Media" untuk meningkatkan kesedaran para wartawan dan orang ramai mengenai kebebasan media.

"Ribon Kuning" merupakan simbol kebebasan media yang sentiasa menjadi topik hangat di Malaysia, terutamanya wujudnya Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang mencengkam organisasi media dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang mengugat para wartawan. Akan tetapi Akta Kebebasan Maklumat yang dinanti-nantikan oleh orang ramai masih tidak kelihatan.
Media boleh mentransformasikan negara. Tetapi tangan yang merosak media perlu dinyahkan daripada terus menindas media.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional negeri Perak (LPN)

ISU JUDI DAN KILANG ARAK-BLOGGER PRO UMNO MENGAPA BEBAL SANGAT?

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: WFAUZDIN

ISU judi nampaknya semakin menjerat leher Umno yang sering mendakwa sebagai parti yang menyelamatkan bangsa Melayu dan memperjuangkan Islam. Isu APCO yang semakin sinonim dengan parti kebangsaan ini pun tidak cukup lidah mereka ingin menepisnya hinggakan terpaksa guna kuasa dan undang-undang bagi menyelamatkan maruah mereka. Dan, DS Anwar menjadi mangsa kerana Ketua Pembangkang itu tidak mahu bersekongkol dengan APCO/Yahudi tersebut.

Sebelum ini isu arak, sehinggakan Blogger pro Umno terpaksa bermain silap mata untuk memperbodohkan pengunjung-pengunjung blog mereka yang sudah sememangnya dungu itu dengan menyiarkan foto tipu menggambarkan Dato' Zaid Ibrahim sedang minum arak. Kali ini, Blogger mereka yang tidak pernah cerdik itu cuba untuk bermain dengan isu judi pula. Kita tahu mereka terpaksa mengampu dan mengipas bos mereka yang sedang panas dengan isu judi bola sekarang ini. Blogger ini sekali lagi mengambil kesempatan di atas kedunguan ahli-ahli Umno dan pengunjung blog mereka dengan hujah, "mengapa negeri-negeri di bawah kerajaan PR tidak mengharamkan judi dan arak". "Mengapa kilang arak di Shah Alam tidak ditutup". Mengapa lesen judi dikeluarkan?

Mari kita mengajar mereka yang jahil ini supaya lebih cerdik dan jangan sampai jahil ke tahap gaban. Pertamanya soal lesen, mereka tahukah siapa yang berkuasa penuh untuk mengeluarkan lesen judi dan kilang arak? Kerajaan negeri atau Persekutuan? DAN, yang paling PENTING, siapa lebih berkuasa, Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri? Mengapa Kerajaan Pusat masih mahu menambah satu lagi lesen perjudian dengan lesen judi bola ini? Kilang arak terbesar di Shah Alam dan Pusat Judi terbesar di Genting itu siapa yang luluskan lesennya beroparasi? Blogger pro Umno tidak tahukah? Ok lah, untuk memudahkan mereka mengaji ilmu ini, kita siarkan apa yang dinyatakan di dalam Blog Justice For All ini. Buat Blogger yang rendah minda itu, sila semak intisari di bawah dengan merujuk panduan dan Akta-Akta di bawah;

a) Perlembagaan Persekutuan,

b) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953

c) Akta Pertaruhan Pool 1967

d) Akta Perlesenan Perniagaan 1948

Perlembagaan Persekutuan

JADUAL KESEMBILAN

[Perkara 74, 77]

Senarai Perundangan

Senarai I—Senarai Persekutuan

4. Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk—

(l) Pertaruhan dan loteri

Dan negeri hanya kawal panggung wayang sahaja..

Senarai II—Senarai Negeri

(f) Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam.

Lesen Perniagaan (perjudian) di seluruh negeri adalah diproses dan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pelesenan di bawah kuasa-kuasa dalam Akta Perlesenan Perniagaan 1948. Pihak Berkuasa Pelesenan adalah Presiden-Presiden Majlis Perbandaran, Pegawai Daerah dan Pegawai-Pegawai yang dilantik oleh Menteri Persekutuan sebagai Pihak Berkuasa Pelesenan.

Pihak Berkuasa Pelesenan adalah melaksanakan tugas-tugas mereka di bawah kawalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Persekutuan. Ini adalah disebabkan bahawa Akta Perlesenan Perniagaan 1948 telah pun diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan sebagai mengikut Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Ordinan tersebut, Kerajaan Negeri tidak ada kuasa di sisi undang-undang untuk memberi apa-apa arahan kepada Pihak Berkuasa Pelesenan supaya tidak mengeluarkan Lesen Perniagaan yang dipohon oleh pemegang Lesen Pertaruhan Pool.

Dan kerajaan negeri, hanya ada kuasa hadkan premis judi melalui Pihak Berkuasa Tempatan iaitu melalui Undang-Undang Kecil [Penggunaan Premis-Premis]. Undang-Undang Kecil ini adalah dibuat di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1961, dan oleh itu ditadbir oleh Kerajaan Negeri. Harus diingat, kerajaan negeri hanya boleh hadkan premis atau tempat judi, bukannya lesen judi. Macamana nak hadkan judi kalau guna secara online..tanpa premis..tak boleh nak tutup pusat judi jika ada lesen. Macam di Genting Highland, ada berani ke UMNO Pahang atau Jaip pergi tutup pusat judi tu? tentu jawapannya tidak.

Jadi kerajaan negeri hanya boleh kawal judi untuk umat islam sahaja, bukannya lesen judi..ini boleh dilihat dalam enakmen negeri masing-masing..

Sebagai contoh Seksyen 79A Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) (Pindaan) 2004 yang menyatakan : "Orang Islam yang berjudi atau didapati berada di tempat perjudian adalah melakukan suatu kesalahan di bawah dan apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 3,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya"

Kalau hujah negeri PR boleh sekat judi, itu hujah dangkal kerana kerajaan negeri tiada kuasa..hanya ada kuasa berkaitan premis judi sahaja. Kalau guna online, kerajaan negeri mana boleh sekat judi tanpa premis ini.

Tanah RTB: BN iktiraf usaha PAS bantu rakyat

10 Jamadil Akhir 1431 H

SETIU, 23 Mei: Langkah Kerajaan BN Terengganu untuk mengagihkan lot kediaman rancangan tanah berkelompok (RTB) secara langsung mengiktiraf perancangan rapi dan tindakan bijak kerajaan negeri pimpinan PAS sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah mengagihkan lot-lot tanah kediaman RTB kepada rakyat yang berhak adalah antara fokus utama Kerajaan Terengganu pimpinan PAS antara tahun 1999 hingga 2004.

Beliau menyatakan sebagai merujuk laporan akhbar harian baru-baru ini yang menyatakan kerajaan negeri akan mengagihkan kira-kira 500 lot kediaman RTB kepada penduduk kampung bagi mengatasi masalah kesulitan tempat tinggal di empat lokasi di Langkap, tahun ini.

Antara kawasan terbabit ialah Chalok Kedai (130 lot), Sungai Lerek (120), Merbau Menyusut (120) dan Kampung Bukit (120).

Azman berkata, puluhan ribu lot tanah RTB telah diagihkan kepada rakyat yang tidak bertanah dalam bentuk pemberian Lesen menduduki Sementara (LMS) sebelum proses pemberian geran kekal dilakukan oleh kerajaan PAS sebelum ini, tidak terkecuali di daerah Setiu amnya dan Dun Langkap khususnya.

“Selepas pentadbiran kerajaan negeri bertukar tangan pasca pilihan raya umum 2004, Kerajaan BN telah bertindak zalim dengan tindakan pembatalan Lesen Menduduki Sementara(LMS), tanah yang diagihkan Kerajaan PAS sebelum itu dirampas secara zalim,” ujarnya.

Malah, katanya ada rakyat yang telah mendirikan rumah di tanah tersebut, dirobohkan seperti yang berlaku di Pengkalan Merbau dalam Dun Langkap (gambar).

Ini, tambahnya sebagaimana yang berlaku kepada seorang anggota tentera yang baru pulang bertugas, masih lengkap beruniform menangis pilu di atas runtuhan rumahnya di RTB Pengkalan Merbau.

“Bukan setakat rumah penduduk, malah rumah Allah yang didirikan juga tidak terkecuali dari menerima nasib sama, dirobohkan, seperti kes di RTB Bujal,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dendam kesumat kerajaan BN lebih terserlah apabila apabila rakyat yang telah menjelaskan bayaran premium tanah bagi proses pengeluaran geran kekal menerima surat daripada pejabat tanah daerah yang mengarahkan pemohon supaya mengambil balik bayaran premium yang telah dibayar dan permohonan mereka dibatalkan.

Kini, katanya kerajaan BN negeri cuba memulihkan imej dengan berlagak baik dan prihatin terhadap keperluan rakyat walaupun tindakan mereka seumpama lembu punya susu, sapi punya nama.

Tambahnya, tindakan kerajaan negeri mengagihkan lot-lot kediaman RTB tidak lebih daripada sekadar mengulangi atau penerusan daripada langkah Kerajaan PAS negeri sebelum ini.

Ini, jelasnya lantaran sebahagian besar lot RTB yang akan diagihkan itu memang telah sedia diagihkan antara 1999 hingga 2004 kepada rakyat yang berhak ataupun dalam perancangan akhir untuk diagihkan tetapi tidak sempat dilakukan ekoran perubahan kerajaan selepas PRU 11.

Harakahdaily/-

Lompat parti hanya soalan bodoh-Tan Show Kang

10 Jamadil Akhir 1431 H

ALOR SETAR, 23 Mei: Adun Sidam Tan Show Kang yang terbabit dalam spekulasi akan melompat parti malam tadi menyifatkan khabar angin tersebut sebagai 'bodoh' dan tidak benar sama sekali.

Berucap pada perhimpunan ceramah khas bubar Dun di Markas PAS Kedah, Kota Sarang Semut beliau berkata, penjelasannya malam tadi adalah yang terakhir dan tidak akan melayan soalan berkaitan lagi.

"Jika ia lagu yang sedap, saya tidak keberatan untuk dengar (berulang kali), tetapi ini adalah soalan bodoh.

"Saya penat dan bosan kerana terpaksa menjawab soalan yang sama berkali-kali. Biar ia dihentikan malam ini," katanya.

Beliau malam tadi sekali lagi mengulangi pendirian tegasnya dihadapan ribuan yang hadir bahawa beliau akan kekal bersama Pakatan Rakyat mentadbir negeri Kedah dan sesekali tidak akan melompat.

"Berapa kali hendak saya mengatakan saya tidak mahu melompat? Saya terus bercakap benda yang sama. Media minta saya adakan sidang media, jadi saya memberitahu mereka OK, buat selama-lamanya, kita akhir perkara ini.

"Saya akan berada di sini pada 22 Mei dan ini adalah kali terakhir saya mahukan mengatakan tidak, saya tidak akan melompat dan tidak, kerajaan negeri tidak akan tumbang," katanya lagi.

Penyertaan semua Adun Pakatan Rakyat negeri Kedah malam tadi secara jelas menolak sama sekali khabar angin kononnya kerajaan PR negeri Kedah bakal tumbang.

Himpunan tersebut menjadi tumpuan banyak pihak sejak khabar angin berhubung beberapa adun PR Kedah akan lompat parti sejak beberapa bulan lalu.

Antara mereka yang dikaitkan dengan khabar angin itu termasuklah Adun Bukit Selambau, S.Manikumar, Lim Soo Nee (Kulim), Tan Show Kang (Sidam ) dan, Lee Guan Aik (Kota Darul Aman).

Mereka malam tadi hadir membuat penjelasan terbuka kepada masyarakat.
Hadir sama adalah pimpinan PAS, PKR dan DAP pusat dan juga negeri.
PKR berhadapan dengan dilema kehilangan wakil rakyatnya sejak pilihan raya umum 2008.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu kehilangan lebih 10 wakil rakyat, antaranya kerana keluar parti, dipecat dan kehilangan kerusi ketika pilihan raya kecil.

Harakahdaily/-

PAS sedang menyatupadukan semua kaum - Abdul Hadi

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KLANG, 23 Mei: Keterbukaan PAS menerima orang bukan Islam menyertai parti Islam itu melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) membuktikan bahawa PAS sedang menyatupadukan semua kaum di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jika semua kaum dan etnik di negara digabungkan dengan baik, ianya akan menghasilkan natijah yang baik untuk manfaat negara.

"PAS cuba menyatupadukan seluruh kaum di negara ini dengan membuka pintu kepada orang bukan Islam menyertai PAS.

"Ini terbukti apabila Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pelancaran DHPP di Klang hari ini.
Sebagai gimik pelancaran, beliau menyentuh sebuah glob bertulis DHPP.

Terdahulu dalam ucapannya beliau juga berkata, apa yang boleh menyatukan kaum ialah keadilan dan saling menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain, dan ianya sedang dibuktikan oleh PAS.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, PAS mengambil langkah proaktif sewaktu memerintah Terengganu apabila mencadangkan supaya orang bukan Islam dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak mengenepikan orang bukan Islam," katanya lagi.
Turut hadir Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Bendahari, Dr. Hatta Ramli, Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Manakala pimpinan lain termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum, Dr. Mujahid Yusof, Timabalannya, Dr.Halimah Ali yang juga pengarah program serta pengerusi dan timbalan pengerusi DHPP Hu Pang Chaw dan N.Balasubramaniam.

Harakahdaily/-

Laksana syariah jalan penyelesaian gejala sosial

10 Jamadil Akhir 1431 H

SHAH ALAM, 23 Mei: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (Jim) berusaha memberikan kefahaman bahawa syariat Islam adalah penyelesaian terhadap segala masalah sosial yang sedang melanda masyarakat hari ini.

Yang Dipertua Jim Selangor, Mohd Kamal Mohd Rathi (gambar) berkata percaya pelaksanaan syariah Islam yang syumul memastikan segala perkara yang makruf digalakkan manakala jalan-jalan maksiat dan kemungkaran ditutup dan dicegah.

Menurutnya, usaha-usaha mengajak kepada kebaikan harus berjalan seiring dengan langkah-langkah mengelakkan kemungkaran.

Katanya lagi, setiap ahli masyarakat pula seharusnya mempunyai kesedaran dan mengambil tanggungjawab di dalam aspek menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang digariskan oleh Islam.

“Sesungguhnya objektif atau maqasid syariah bertujuan memelihara dan melindungi lima perkara dalam kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan,” ujarnya pada sidang media sempena Seminar Menangani Isu-isu Islam (SeMI) 2010 bertajuk Gejala Sosial: Syariah Jalan Penyelesaian di Dewan Auditorium Sirim di sini, hari ini.

Selain Jim Selangor, SeMI 2010 dianjurkan dengan kerjasama Sekretariat Menangani Gejala Sosial Jais yang turut dianggotai Abim Selangor, Unit Mubalighat Jais, Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Unit Hidayah Mafaa dan Persatuan Pelajar Islam Selangor.

Jelasnya, seminar itu diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan sebenar mengenai syariah Islam, penjelasan mengenai pelaksanaan syariah sebagai jalan penyelesaian kepada gejala sosial yang berlaku dan membetulkan beberapa salah faham dan salah tanggapan berkaitan pelaksanaan syariah.

Mohd Kamal menambah, bersempena SeMI 2010 itu, pihaknya berazam bekerjasama dalam memacu usaha-usaha memberi kefahaman sebenar mengenai syariah dan pelaksanaannya dalam masyarakat, mempertingkatkan aktiviti menghalang merebaknya gejala sosial serta menggalakkan peluang dan ruang bagi ahli masyarakat untuk melakukan perkara makruf dan mencegah kemungkaran.

“Kami ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat tidak mengira bangsa atau agama termasuk pihak berkuasa agar mengambil perhatian serius dan memberikan sokongan padu ke atas usaha-usaha ke arah membentuk negara Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi malahan cemerlang dari aspek morak dan akhlak,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Judi: Muslimat gesa kerajaan dengar pandangan Abdullah

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 23 Mei: Kerajaan digesa mendengar pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meminta kerajaan mengkaji semula kebenaran lesen judi bola sepak baru-baru ini.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar), berkata kerajaan perlu mendengar nasihat bekas Perdana Menteri supaya mendengar suara rakyat pelbagai lapisan masyarakat sebelum melaksanakannya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdullah yang meminta kerajaan mendengar pandangan rakyat berhubung perkara itu sebelum ianya dilaksanakan.

Menurut Abdullah lagi, rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.

Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS negeri berkata, bantahan terhadap lesen judi ini bukan retorik semata-mata sebagaimana yang didakwa pihak tertentu sebaliknya ia mengenai soal agama dan tanggungjawab umat Islam.

“Pemimpin Malaysia yang pernah mendakwa negara ini sebagai sebuah negara Islam seharusnya sejak awal lagi tidak bercadang mengadakan lesen judi, apa lagi untuk meluluskannya,”ujarnya.

Baru-baru ini, lesen judi yang sah telah diluluskan oleh kerajaan sebagaimana yang diumumkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, bagi membolehkan kaki judi bertaruh sewaktu perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 Jun ini.

Tegas Zailah lagi, judi bola sepak bukan sahaja dibantah oleh umat Islam, sebaliknya bukan Islam juga.

Sehubungan itu Zailah menyeru semua rakyat negara ini yang perihatin supaya turut turun membantah lesen judi yang diadakan di tempat berhampiran.

Harakahdaily/-

Menunggu tsunami ke II PRU ke-13

10 Jamadil Akhir 1431 H
http://n32.blogspot.com/

Setiap pagi Ahad, selain mendapatkan perkembangan berita-berita semasa di akhbar tempatan, saya akan beri perhatian kepada tulisan para pengulas dan penganalisa politik di akhbar-akhbar berkenaan. Sudah pastilah kumpulan pengampu dan propogandis paling ramai di akhbar-akhbar media perdana berbahasa Melayu.

Di situlah para penulis cari makan akan mengagung dan mendewa-dewakan pimpinan mereka, semuanya suci bersih dan geliga belaka, manakala lawan mereka semuanya kotor, hodoh dan dungu. Kesian contoh akhbar Utusan Malaysia, dari Utusan Melayu bawah teraju Said Zahari satu ketika dahulu yang berani, tegas dan benar, kini menjadi tekukur, mengangguk dan menyanyi-nanyi menurut petikan jari tuannya.

Satu ruangan yang seakan wajib saya baca dan telaah adalah INSIGHT yang dikendalikan oleh penulis veteran Joceline Tan. Memang dalam blog ini sepanjang 6 tahun lalu, Joceline sering menjadi bahan saya jika beliau berlebihan menyondol PAS, tetapi saya kena akui beliau seorang yang tajam dalam membuat analisa walaupun kadangkala tidak tepat dan tersasar.

Apa pun saya kenali beliau terutama semasa menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dahulu dan masih menjalin hubungan sebagai rakan sehingga kini.

Hari ini Joceline menulis berkenaan pengundi Melayu di bawah tajuk “Greater shift in the Malay vote” http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/5/23/focus/6306114&sec=focus
dimana beliau membongkar bahawa dalam pada kita memperkatakan darihal lonjakan sokongan pengundi Cina khasnya terhadap Pakatan Rakyat, sesungguhnya para pengundi Melayu pun sebenarnya sudah mula melangkah beralih kepada PR samada disedari ataupun tidak.

Kebetulan saya rasa inilah “point” yang cuba saya hujahkan dalam posting saya yang lalu bertajuk “Jangan perlekeh keupayaan orang Melayu” di blog ini: http://n32.blogspot.com/2010/05/jangan-perlekeh-keupayaan-orang-melayu.html

Kata Joceline peralihan sokongan orang Melayu ini paling ketara jika dilihat pada lonjakkan sokongan yang diterima oleh PAS. Undi PAS bertambah lebih tiga kali ganda dari tahun 1990 apabila ia hanya menerima 376,000 undi kepada 1.1 juta dalam tahun 2008.

Ini bermakna cara politik lama sudah tidak termakan atau semakin ditolak oleh orang Melayu. Politik kain batek, politik subsidi,politik janji dan wang ringgit semasa kempen pilihanraya semakin memakan diri berbanding dengan memberi sokongan kepada BN sebagaimana satu waktu dahulu.

Orang Melayu sebagaimana rakan-rakan-rakan mereka orang Cina juga mahukan pimpinan yang berkualiti. Pemimpin yang boleh dipercayai, yang memperjuangkan nasib mereka secara tulus dan ikhlas, tidak rasuah, bermoral tinggi semuanya kulaiti yang semakin asing dan jauh dari barisan pimpinan Umno pada hari ini, samada diakui ataupun tidak.

Kerana itu kita jangan sekali-kali menghukum pengundi Melayu sebagaimana orang-orang Umno menghukum pengundi-pengundi Cina bila menolak mereka di Hulu Selangor dan Sibu. Jika tepatlah analisa dan bacaan Joceline bermakna pengundi Melayu berpotensi bangkit sekali secara menyeluruh menolak Umno, syaratnya kita kena berusaha dan bekerja kuat menawan hati mereka.

Saya ambil contoh di Sibu. Semasa DAP bersendirian dahulu,sukar bagi mereka masuk dan berinteraksi dengan para pengundi Melayu khasnya di DUN Nangka. Tetapi dalam tempoh 10 hari, dengan kehadiran para petugas PAS dari seluruh negara, mereka berkampung di DUN Nangka, orang-orang Melayu/Melanau di sana mula membuka pintu pada PR.

Walaupun pintu itu belum lagi dibuka seluas-luasnya namun kesannya dapat dilihat. Di Daerah Mengundi Illir Nangka walaupun BN menang di semua peti undi, namun dengan kehadiran PAS undi DAP bertambah lebih 10 peratus. Ia mungkin kecil tetapi ia suatu petanda yang sangat positif. Illir Nangka adalah daerah mengundi jauh di Sibu, ia bukan Seri Serdang atau Taman Templer di tengah-tengah bumi Selangor!

Orang Melayu memang sudah bangkit menolak BN dalam PRU ke 12 lalu, cuma tahap lonjakkannya berbeza-beza dari satu daerah ke satu daerah dan dari satu negeri ke satu negeri. Dalam erti kata lain belum betul-betul menyeluruh. Di Selangor sahaja buktinya Dato Dr Hasan Ali menang di DUN Gombak Setia yang majoriti pengundi Melayunya 80.3 peratus dengan kelebihan 2,797 undi (calon BN dahulumenang dengan majoriti 2,728). Di DUN Sabak yang majoriti pengundi Melayunya 79.7 peratus,Ustaz Sallehen Mukhyi dari PAS tewas dengan majoriti 117 undi (calon BN dahulu menang dengan majoriti 2,256 undi).

Kesimpulannya pengundi Melayu memang telah bangkit dan insyallah berpotensi bangkit lebih besar lagi kerana mereka peka danmelihat apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kata Joceline pakatan antara PAS,DAP dan PKR kelihatan lebih meyakinkan rakyat. Masing-masing bertolak-ansur dan boleh bekerjasama dengan baik demi kepentingan rakyat.

Bagi saya pengundi-pengundi Cina telah memberikan paku terakhir buat keranda MCA dan Gerakan. Mereka tidak kelihatan akan mahu memeluk kembali BN dalam waktu terdekat ini. Keberkesanan kepimpinan kerajaan PR di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan terus meyakinkan mereka.

Begitu juga para pengundi Melayu. Mereka dapat melihat kesungguhan PAS dalam memperjuangkan nasib dan masa depan Islam dalam negara selain menjadikan PR sebagai wadah terbaik untuk memimpin dan memperjuangkan nasib dan kebajikan umat Melayu yang berbeza sama-sekali dengan”style” dan kaedah Umno.

Saya yakin bahawa sedikit demi sedikit para pengundi Melayu akan semakin sedar dan celik. Tidak mustahil tsunami yang lebih besar akan melanda dalam PRU ke 13 nanti, dan ianya sumbangan dan bikinan tangan orang-orang Melayu selain rakan-rakan bukan Melayu yang lain.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Terjaminkah Hak Asasi Manusia di Malaysia?

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Roslan SMS

Saya terbaca dalam sebuah akhbar betapa pihak polis di Negeri Sembilan menolak permohonan permit ceramah yang dipohon oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu. Kononnya penolakan permit itu atas alasan faktor keselamatan.

Baru minggu lepas kita dapat tahu yang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) telah mengangkat Malaysia menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia (UNHRC) badan dunia itu. Ketika pengumuman lantikan itu dibuat Wisam Putra mengeluarkan kenyataan bahawa perlantikkan Malaysia itu mencerminkan komitmen negara ini terhadap mempertahan dan mempromosi hak asasi manusia diperingkat global.

Hak asasi manusia apa jika hak bersuara pun dilarang?

PKR adalah sebuah parti politik yang sah berdaftar yang mempunyai ahli parlimen di Dewan Rakyat dan Negara malah punya MB dan anggota EXCO di negeri-negeri di Malaysia, selain ADUN di negeri-negeri termasuk di Negeri Sembilan.

Tidakkah menafikan permit ini suatu penafian hak asasi? Alasan keselamatan yang diberikan sungguh tidak relevan. Bilakah kali terakhir sebuah ceramah politik anjuran Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan berakhir dengan rusuhan dan huru-hara?

Bagi saya penafian permit ceramah ini memberi aib kepada negara setelah dilantik duduk dalam UNHRC.

Sepatutnya sebagai anggota UNHRC, Malaysia membuktikan bahawa hak asasi manusia dijamin, dipertahankan malah dipelihara dalam negara sendiri. Apa guna jadi juara global sedang anak di rumah mati kelaparan?

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Pinda perlembagaan negeri, lantik bukan Islam ke dalam Dun

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KLANG, 23 Mei: PAS sedang mempertimbangkan untuk meminda perlembagaan di negeri-negeri di bawah pemerintahan parti itu mengenai penyertaan bukan Islam ke dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti yang pernah dicadangkan di Terengganu pada 1999.

Namun, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ianya bergantung kepada kedudukan kerusi PAS di Dun masing-masing dan proses yang perlu dilalui setiap negeri.

"Ya, dalam pertimbangan. Tetapi itu bergantung kepada kedudukan kerusi kita (PAS) di Dewan Undangan Negeri dan bergantung kepada proses yang berbeza dengan negeri lain.

"Pindaan perlembagaan negeri perlu melaului penasihat undang-undang, mendapatkan tandatangan Sultan. Banyak proses yang perlu dilalui. Di Terengganu kita dapat melalui proses ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), di sini, hari ini.

Menurut timbalannya, Nasharuddin Mat Isa pula, meskipun di Kelantan belum membuat pindaan itu namun negeri itu sudah melantik penghulu di kalangan orang bukan Islam.
"Di Kelantan kita telah melantik penghulu di kalangan bukan Islam," katanya.

Abdul Hadi dalam ucapan perasmiannya sebelum itu ada memberitahu bahawa sewaktu PAS memerintah Terengganu pada 1999 sehingga 2004, perlembagaan negeri telah dipinda bagi membolehkan orang bukan Islam dilantik sebagai ahli Dun meskipun tidak bertanding dalam pilihan raya.

Pindaan itu ujarnya, sehingga sekarang tidak dibantah oleh Umno/Barisan Nasional di negeri itu.
Pada sidang media sama, beliau turut memaklumkan keputusan parti melantik pimpinan tertinggi DHPP dan menyerahkan kepada pimpinan tertingginya untuk mengadakan mesyuarat pertama bagi melantik ahli jawatankuasa yang lain.

Dewan itu seperti juga dewan-dewan yang lain, akan mempunyai setiausaha agung, ketua penerangan,bendahari, pengarah pilihan raya dan 12 ahli jawatankuasa yang lain.

"Saya mengisytiharkan bahawa kami telah membuat keputusan untuk melantik ketua DHPP iaitu Hu pang Chaw, timbalannya N. Balasubramaniam," katanya.

Ditanya samaada PAS akan meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata ia bergantung kepada keperluan.

"Calon bukan Islam dilihat pada keperluan. Setakat ini kita belum tentukan kouta. Apa yang penting kita tidak mahu berlaku pertembungan dengan rakan-rakan parti dalam Pakatan.
"Kita mahu bertanding dua penjuru sahaja dengan Barisan Nasional," katanya.

Turut bersama pada sidang media itu Naib Presiden, Salahudin Ayub, pengerusi lajnah perpaduan nasional, Dr. Mujahid yusuf Rawa, timbalannya, Dr halimah Ali, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mariah Mahmod, dan beberpa pimpinan lain.

DHPP kini sudah mempunyai 20, 000 ahli di seluruh negara.

Harakahdaily/-

Judi bola: Sampai bila Najib mahu membisu

10 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Sampai bilakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu berdiam diri daripada mengulas isu pemberian lesen judi bola sepak walau jelas ia dikeluarkan oleh Menteri Kewangan kepada Kumpulan Berjaya.

Ini kerana, hampir setiap malam di segenap tempat ia dibincangkan oleh semua pihak hatta mereka yang bukan beragama Islam.

Hari ini, sekali lagi Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mengulas isu itu dengan mencabar Umno dan Perkasa membuat pendirian dalam isu judi bola yang dikeluarkan oleh kerajaan BN.

Di segenap masjid dan surau khasnya di negeri-negeri yang bebas dari cengkaman BN, hampir semua kuliah agama menyentuh isu judi bola itu.

Mungkin mengetahui perkara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan agar mendengar bantahan rakyat.
Abdullah berkata demikian di Pulau Pinang semalam.

Di Surau As Siddiqin (gambar), Bandar Tasik Puteri, bekas tahanan penjara Abu Ghraib yang ditahan Amerika semasa menjajah negara itu, Ustaz Abdullah Iraq menyesali kebisuan para mufti di negara ini.

"Setiap negara ada satu mufti. Malaysia ada 13 mufti tetapi semuanya senyap sunyi bila kerajaan kata judi bola halal," kata beliau.

Kalau adapun, kata beliau, yang cakap bantah judi hanya perlahan takut ia dimarahi oleh kerajaan.

Sepatutnya, kata beliau, bantahan keras dibuat kepada kerajaan sebagaimana dibuat oleh para ulama Islam terhadap khalifah Islam zaman kegemilangan Islam dahulu.

Harakahdaily/-

Konsert: Tidak cukup Wanita Umno Kalabakan saja

10 Jamadil Akhir 1431 H

TAWAU, 23 Mei: PAS Kawasan Tawau mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Wanita Umno Kalabakan di atas keberanian menyatakan pendirian menentang tindakan kerajaan meluluskan permit Konsert 1 Inul yang dijadualkan berlangsung pada 29 Mei ini di Kompleks Sukan Tawau.

Namun bagi Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Nazrey Mokhtar (gambar), pendirian Pergerakan Wanita Umno Kalabakan yang disuarakan oleh Datuk Hamisa Samat itu perlulah ikhlas dan konsisten dalam apa jua isu yang dianggap serupa.

“Dewan Pemuda PAS ingin mengucapkan tahniah di atas keberanian tersebut. Pastinya seluruh rakyat Sabah amnya dan Tawau khususnya berharap Wanita Umno Kalabakan konsisten dengan penentangan itu,” ujarnya.

Bagi Nazrey, tidak cukup jika Wanita Umno Kalabakan sahaja menyatakan pendirian itu.

Lebih besar katanya, rakyat seluruh negeri ini mahu mendengar apa pula pendirian Umno negeri atau sekurang-kurangnya Pemuda Umno Kalabakan berhubung isu sama yang sehingga kini masih membisu.

“Adalah menjadi tanggungjawab Umno Sabah khususnya Pengerusi Badan Perhubungan, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah untuk menyatakan pendiriannya berhubung perkara itu,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu, tambahnya, PAS kawasan mahu kerajaan menarik balik kelulusan permit Konsert 1 Inul tersebut dan mengharamkannya terus dari datang ke Malaysia, khususnya negeri ini sesuai dengan permintaan rakyat Sabah yang tidak ingin melihat konsert itu diadakan.

“Kerajaan juga digesa melihat kembali kesan yang akan berlaku akibat konsert itu terhadap permasalahan sosial rakyat dan bukan hanya melihat keuntungan semata-mata,” katanya.

Harakahdaily/-

PAS desak Dasar Judi Negara dikaji semula

10 Jamadil Akhir 1431 H

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Kerajaan Pusat untuk mengkaji semula dasar judi kebangsaan.

Bercakap kepada pemberita di pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS di Klang hari ini, Hadi berkata Pakatan Rakyat bersama dalam pendirian semua pimpinan agama bahawa judi mengundang mudarat.

Namun pembanterasan gejala judi menghadapi kesulitan kerana soal pemberian dan kelulusan lesen judi adalah kuasa mutlak Kerajaan Pusat.

"Kita memang telah lama mengadakan perbincangan dengan semua agama yang menyatakan judi salah di sisi agama dan ia dah lama kita haramkan," kata Hadi.

Presiden PAS itu berkata demikian mengulas cabaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) agar Dewan Pemuda Pas mendesak Pakatan Rakyat menghapuskan lesen judi di negeri yang ditadbir gagasan itu.

Katanya, soal pemberian dan kelulusan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat menerusi Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, katanya, PAS bercadang untuk membenarkan anggota parti daripada kalangan bukan Islam turut terlibat membuat keputusan dalam parti dengan mengundi pada muktamarnya.

Hadi berkata bagaimanapun beberapa penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu khususnya berkaitan perlembagaan parti sebelum keputusan dibuat.

"Kita perlu kepada banyak pindaan perlembagaan berhubung hal ini dan akan disusuli kemudian (bukan Islam boleh mengundi ketika muktamar)," katanya.

Perkara itu juga katanya memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Bagaimanapun kata Hadi, anggota PAS bukan Islam tetap diberi peluang memainkan peranan mereka demi perjuangan parti menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Sehingga kini dewan itu mempunyai kira-kira 20,000 anggota di seluruh negara, katanya.

"Hari ini kita telah melantik anggota jawatankuasa dewan itu di peringkat kebangsaan dan mereka akan menggerakkan operasi ke peringkat negeri selain menjadi wakil dewan dalam majlis-majlis rasmi parti," katanya.

Malaysiakini/-

20,000 penyokong bukan Islam kini ahli PAS

10 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Seramai 20,000 anggota Kelab Penyokong PAS hari ini 'dinaiktaraf' sebagai anggota PAS sepenuhnya melalui penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Ketua penerangan parti itu Idris Ahmad berkata, anggota dewan tersebut kini berpeluang untuk menghadiri muktamar parti sebagai ahli perwakilan bagi mengikuti mesyuarat.

"Tapi untuk mengundi dalam pemilihan parti belum lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, dewan yang dibentuk itu akan menumpukan usaha penerangan dasar parti melalui program dialog dan ceramah.
Jelasnya, usaha itu penting bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan BN.

Katanya lagi, tohmahan yang digembar-gemburkan melalui media kawalan BN terhadap parti itulah yang menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang bukan Islam terhadap PAS.

"Kalau dulu mereka jalankan aktiviti atas nama kelab penyokong sahaja tapi sekarang mereka akan dapat jalankan aktiviti (dengan) lebih terarah dan tersusun.

"(Fokus) mereka, terangkan dasar PAS dan pecahkan tembok yang memisahkan PAS dengan orang bukan Islam.

Pelancaran dewan tersebut pagi ini disempurnakan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Serbaguna Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

Malaysiakini/-

Hadi: PAS sedang satu-padukan semua kaum

10 Jamadil Akhir 1431 H

Keterbukaan PAS menerima orang bukan Islam menyertai parti Islam itu melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) membuktikan bahawa parti itu sedang menyatupadukan semua kaum di negara ini.

Harakah Daily memetik presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jika semua kaum di Malaysia digabungkan dengan baik, ia akan menghasilkan natijah yang baik untuk manfaat negara.

"PAS cuba menyatupadukan seluruh kaum di negara ini dengan membuka pintu kepada orang bukan Islam menyertai PAS.

"Ini terbukti apabila Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pelancaran DHPP di Klang hari ini.
Sebagai gimik pelancaran, beliau menyentuh sebuah glob bertulis DHPP.

Dalam ucapannya, Hadi juga berkata, apa yang boleh menyatukan semua kaum ialah keadilan dan saling menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain, dan ia sedang dibuktikan oleh PAS.

Mengulas lanjut beliau berkata PAS mengambil langkah proaktif sewaktu memerintah Terengganu apabila membenarkan orang bukan Islam menjadi calon PAS bertanding pilihan raya.

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak mengenepikan orang bukan Islam," katanya lagi.
Turut hadir Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Bendahari, Dr. Hatta Ramli, Ketua Penerangan, Idris Ahmad.

Manakala pimpinan lain termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali, Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum, Mujahid Yusof, timbalannya, Halimah Ali yang juga pengarah program serta pengerusi dan timbalan pengerusi DHPP Hu Pang Chaw dan N Balasubramaniam.

Malaysiakini/-