25 Mei 2010

Laksana syariah jalan penyelesaian gejala sosial

10 Jamadil Akhir 1431 H

SHAH ALAM, 23 Mei: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (Jim) berusaha memberikan kefahaman bahawa syariat Islam adalah penyelesaian terhadap segala masalah sosial yang sedang melanda masyarakat hari ini.

Yang Dipertua Jim Selangor, Mohd Kamal Mohd Rathi (gambar) berkata percaya pelaksanaan syariah Islam yang syumul memastikan segala perkara yang makruf digalakkan manakala jalan-jalan maksiat dan kemungkaran ditutup dan dicegah.

Menurutnya, usaha-usaha mengajak kepada kebaikan harus berjalan seiring dengan langkah-langkah mengelakkan kemungkaran.

Katanya lagi, setiap ahli masyarakat pula seharusnya mempunyai kesedaran dan mengambil tanggungjawab di dalam aspek menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang digariskan oleh Islam.

“Sesungguhnya objektif atau maqasid syariah bertujuan memelihara dan melindungi lima perkara dalam kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan,” ujarnya pada sidang media sempena Seminar Menangani Isu-isu Islam (SeMI) 2010 bertajuk Gejala Sosial: Syariah Jalan Penyelesaian di Dewan Auditorium Sirim di sini, hari ini.

Selain Jim Selangor, SeMI 2010 dianjurkan dengan kerjasama Sekretariat Menangani Gejala Sosial Jais yang turut dianggotai Abim Selangor, Unit Mubalighat Jais, Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Unit Hidayah Mafaa dan Persatuan Pelajar Islam Selangor.

Jelasnya, seminar itu diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan sebenar mengenai syariah Islam, penjelasan mengenai pelaksanaan syariah sebagai jalan penyelesaian kepada gejala sosial yang berlaku dan membetulkan beberapa salah faham dan salah tanggapan berkaitan pelaksanaan syariah.

Mohd Kamal menambah, bersempena SeMI 2010 itu, pihaknya berazam bekerjasama dalam memacu usaha-usaha memberi kefahaman sebenar mengenai syariah dan pelaksanaannya dalam masyarakat, mempertingkatkan aktiviti menghalang merebaknya gejala sosial serta menggalakkan peluang dan ruang bagi ahli masyarakat untuk melakukan perkara makruf dan mencegah kemungkaran.

“Kami ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat tidak mengira bangsa atau agama termasuk pihak berkuasa agar mengambil perhatian serius dan memberikan sokongan padu ke atas usaha-usaha ke arah membentuk negara Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi malahan cemerlang dari aspek morak dan akhlak,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: