13 Julai 2010

Serang dan fitnah, tanda PRU makin hampir

29 Rejab 1431 H
Oleh: Mutaligat

Anwar alat Yahudi, Anwar ejen CIA, Anwar talibarut Yahudi, Nik Aziz sesat, Haji Hadi kafirkan orang dan lain-lain semua itu adalah skrip yang di'filem'kan semula bila menjelang Pilihanraya.

Media alternatif ditarik permir atau tidak diperbaharui, diberi amaran, di beri kata dua dan sebagainya, itu juga dalil PRU mungkin diadakan dalam masa terdekat.

Dengan tindakan itu maka PR tidak mempunyai medan untuk menjawab dan mempertahankan diri dari fitnah BN.

Bila ceramah PAS diganggu dengan BN/Umno berceramah di sebelah seperti di Melaka, itu tanda PRU dah dekat.

Jadi semua orang mesti bersedia untuk menghadapi PRU ini dengan memastikan semua ahli keluarga, jiran dan sanak saudara mendaftar menjadi pemilih berdaftar.

Selain itu tuan-puan mesti menjadi Dai'e atau pendakwah untuk mengubah minda lapok menyokong BN kepada menyokong dan mengundi PR pada PRU akan datang.

Terangkan kepada seluruh rakyat tentang kebobrokan, rasuah, kezaliman, penyelewengan dan penindasan serta lain-lain perkara yang dilakukan BN/Umno guna untuk memberikan kefahaman kepada rakyat agar tidak terpalit sekali dengan dosa maksiat pemerintah BN/Umno yang tidak pernah insaf dan sedar untuk kembali kepada Islam dan demokrasi tulen.

Harakahdaily/-

Motor paling lambat.

29 Rejab 1431H.

YB Khalil Idham Lim sedang meniup wisel memulakan acara bawa motor paling lambat semasa merasmikan Hari Keluarga PAS Cawangan Sungai Petai.Gambar : sisibukit

Umno makin karam ketika cuba hanyutkan PR

29 Rejab 1431 H
Oleh: Angkasanuri

Ketika komponen Pakatan Rakyat ditunjangi PAS, PKR dan DAP semakin menunjukkan kesepakatan lain pula ceritanya yang berlaku dalam Umno-BN. Mereka kini bercakaran dan bergaduh sesama sendiri.

BN yang dikepalai oleh Umno turut pening lalat dengan pelbagai desakan daripada komponennya. MCA, MIC dan Gerakan kini sentiasa memberi tekanan kepada Perdana Menteri 1Malaysia agar memenuhi permintaan untuk kepentingan parti mereka atas nama survival BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Sudah wujud versi Perkasa dalam MCA, Gerakan dan MIC. Atas nama menjaga komposisi kaum dalam komponen BN.Walhal sebenarnya semua itu cuma retorik untuk menjaga periuk nasi masing-masing.

Umno-BN dengan bantuan akhbar murahan yang dikuasai mereka cuba melancarkan pelbagai serangan kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

Manakala ruang untuk menyerang PAS dan DAP dilihat sukar berdasarkan kestabilan dan kemantapan kedua-dua parti berkenaan menangani hal dalaman parti dan menyerap setiap propaganda yang dilancarkan.

Sebaliknya apa yang berlaku, dalam BN khususnya Umno terus satu persatu terdedah pelbagai kepincangan dan pergolakan.

Umno di Kelantan masih bercakaran sesama sendiri sehingga tidak pasti siapa yang lebih berkuasa dan berpengaruh dalam Umno di negeri cik Siti Wan Kembang itu.

Terkini di Sungai Petani, mesyuarat Bahagian Umno tersebut hari ini secara terbuka ahli di peringkat bahagian melancarkan protes secara terbuka kepada ketua Bahagian, Ali Yahya.

Di Bahagian Petaling Jaya Selatan juga tidak kurang 'meriahnya' perpecahan yang berlaku akibat perasaan tak puas hati di peringkat akar umbi.

Malah di banyak tempat di bahagian-bahagian Umno di seluruh negara diibaratkan seperti api dalam sekam yang hanya menunggu masa sahaja untuk membara dan terbakar.

Oleh itu Pakatan Rakyat perlu mengekalkan momentum kemenangan serta perpaduan yang wujud terutama dalam saat pilihanraya umum ke 13 yang dijangka bakal berlaku pada tahun ini.

Ini penting supaya tidak membuka ruang kepada Umno-BN menyerang Pakatan Rakyat untuk mengalih isu dalaman Umno-BN yang sedang melanda serta memesong pemikiran rakyat daripada tekanan hidup akibat kegawatan ekonomi, sosial dan politik yang begitu meruncing dalam negara sekarang dibawah kepimpinan Umno-BN sekarang.

Harakahdaily/-

Gaza: Jangan letak harapan tinggi pada Najib

29 Rejab 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Rakyat wajar tidak meletak harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu Gaza walaupun beliau disokong Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana, beliau berkata, usul 'Selamatkan Gaza' yang dibawa oleh Najib ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Rabu lalu ditolak mentah oleh dunia, termasuk Amerika Syarikat sendiri.

"Sepatutnya dengan firma pelobi yang dekat dengan Yahudi dan Amerika ini, Najib bolehlah pengaruhi PBB," ujar beliau malam tadi dalam majlis 'Sembang Santai Bersama YB Sempena Pertandingan Akhir Piala Dunia' di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa (PAS).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kegagalan Najib itu mungkin disebabkan sikap sambil lewa Kuala Lumpur sendiri melobi negara-negara yang sependapat berhubung isu kemanusiaan Gaza sebelum usul tersebut dibahas dalam kolokium PBB.

Katanya lagi, Najib sepatutnya perlu membawa usul tersebut bersama-sama Turki serta beberapa negara yang lantang mempertikan tindakan zionis Israel di wilayah bergolak itu.

Dengan berbuat demikian, katanya lagi, akan mengukuhkan keyakinan dunia terhadap usul yang dibawa oleh Kuala Lumpur.

"Kenapa tak ajak Turki dan yang lain sekali bersama kita," soal beliau sambil mempertikai iltizam politik Najib.

Lanjutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kegagalan Najib itu berpunca daripada hubungan tidak langsung dengan APCO dengan negara haram Israel dan hegemoni Amerika Syarikat.

"Firma ini pernah dikaitkan dengan dua agen risikan Israel sebelum ini, firma ini berpengaruh dalam aktiviti lobi di Amerika, takkan dia (APCO) tak bisik apa-apa tentang Gaza pada Najib," ujar beliau lagi.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan Najib membatalkan perjanjian politik antara 'Kabinet Najib' dan APCO demi kepentingan dan kedaulatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui blog peribadinya, anwaribrahimblog.com mendedahkan, APCO dikepalai oleh Simen Stein (bekas duta Israel di Jerman), Itamar Robinovich (bekas duta Israel di Amerika Syarikat) dan Doron Bergerbest-Eilon (bekas Ketua Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel-ISA/Shin Bet).

Pendedahan itu, akhirnya mendesak Ahli Parlimen Umno tertentu mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

'Sembang Santai' anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali itu turut disertai oleh Dr. Mohd Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai), Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (Ahli Parlimen Bukit Gantang) dan Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap).

Harakahdaily/-

Drs. Khalil : Daftar pengundi muda.

YB Khalil Idham Lim menyampaikan hadiah cabutan bertuah sumbangan DS Nizar.Turut kelihatan Ustaz Nordin Jaafar YDP Pas Bukit Gantang.


29 Rejab 1431H.

BUKIT GANTANG, 11 JULY :-Tidak mustahil jika masih terdapat di kampung kita masih terdapat mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi.Jadi menjadi tugas setiap keluarga memastikan semua mereka,anak-anak dan kaum keluarga yang cukup umur untuk didaftarkan sebagai pengundi.Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa mewakili DS Nizar bagfi merasmikan Hari Keluarga Pas Sg Petai, dalam Dun Kuala Sapetang d sini.

Khalil juga menyentuh dianggarkan terdapat 400,000 pengundi muda masih belum berdaftar sebagai pengundi di Negewri Perak .Justeru itu beliau menganggarkan dengan jumlah 24 kawasan parlimen di Perak,terdapat hampir 20,000 pengundi muda belum didaftarkan termasuk di Parlimen Bukit Gantang.

Tegasnya lagi pengundi muda ini akan membantu Pakatan Rakyat mempertahankan Parlimen Bukit Gabtang, Changfkat Jering dan DUN Kuala Sepetang serta menawan DUN Trong.

Idham Lim : Sidang DUN Perak 3 Ogos akan dipenuhi polis

29 Rejab 1431H.

BUKIT GANTANG, 11 July :- Sidang Dun Perak yang dijangkakan pada 3 Ogos ini akan berjalan lancar dan aman jika tidak ada pihak polis yang mengawalnya.Menurut ADUN titi Serong, YB Khalil Idham Lim sebelum ini persidangan DUN Perak dipenuhi pihak polis antara 300 hingga 400 orang.Semuanya mahu melindungi Speaker Haram Ganaeshan . Demikian antara ucapan beliau semasa merasmikan Hari keluarga PAS Cawangan Sungai Petai di dalam DUN Kuala Sepentang disini.

"Mahkamah sendiri memberi keputusan supaya sidang Dun yang menentukan Tuan Speaker.Sivakumar masih dinafikan hak sebagai Speaker yang sah." jelas beliau.

"Ganeshan memberitahu umum,tiada polis yang mengawal sidang Dun Perak ,tetapi sebaliknya menurut YB Khalil polis memenuhi ruang legar Dewan dan perkarangan bangunan setiap kali sidang." tegasnya lagi.

Bagi Khalil Lim ,beliau menjangkakan pasukan polis akan datang ke Sidang Dun Perak pada 3 Ogos ini,walaupun dinafikan pihak yang berkenaan.

Di samping itu YB Khalil meminta jewntara parti terus bekerja terutama pendaftaran pengundi muda.Dengan itu kita dapat menghalang Kerajaan Haram dan Speaker Haram dari terus memerintah.

Sumber asal : http://sisibukit.blogspot.com

Najib dicurigai serah tanah kepada Singapura

29 Rejab 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus dicurigai rakyat selagi beliau sendiri enggan menjelaskan tujuan sebenar tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar diserahkan kepada kerajaan Singapura.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, selagi Najib tidak menjelaskan mengapa tanah itu diserahkan kepada Singapura, selagi itu rakyat terus sangsi dengan kabinetnya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat berkata, tindakan Najib yang seakan menjual kedaulatan negara itu akhirnya banyak menimbulkan kesedaran rakyat, khususnya kaum Melayu sendiri.

Pun begitu, beliau berkata, jentera pemuda PAS khususnya di negeri Johor tidak wajar bergantung pada isu tersebut semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS negeri sepatutnya menggandakan program bersama rakyat dengan turut mendedahkan kegiatan Najib menggalakkan campur tangan Singapura dalam perlaburan di Wilayah Pembangunan Malaysia (WPI) belakangan ini kepada rakyat.

"Najib minta kita (PAS) dan rakyat bersikap terbuka dalam isu WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar) ini, sedangkan motif beliau berbaik dengan Singapura tidak pula didedahkan kepada kita dan rakyat," kata beliau.

Sehubungan itu, rakyat wajar mempersoal tindakan Najib memelihara kepentingan Singapura di wilayah komersial itu.

"Lihat di WPI, apakah keuntungan yang rakyat dapat apabila tanah ini dibuka untuk pihak luar.

"Berapa banyak premis di WPI dimilik oleh rakyat dan berapa banyak premis di WPI dinikmati oleh pihak luar," katanya.

Tuntas dari itu, beliau mengajak rakyat mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan kembali bersatu mempertahankan kedaulatan negara dari dikhianati oleh pemimpin tertentu yang hanya mementingkan diri semata-mata.

"Tidak ada jalan lain, kecuali rakyat tak kira penyokong kerajaan atau pembangkang, sama-sama kita beri ingatan kepada pemimpin-pemimpin ini," tegas beliau sambil mengajak rakyat melakukan perubahan menggunakan kuasa mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Najib, petang semalam, dilaporkan meminta rakyat supaya bersikap terbuka dalam menilai tindakan kerajaan terhadap Singapura.

"Jika kita mahu melihat Iskandar Malaysia dan Johor maju, kita mesti bersikap terbuka terhadap semua pelaburan," ujar beliau seperti dipetik dari Bernama.

Tambahnya lagi, pelaburan di wilayah komersial itu seharusnya mementingkan keuntungan, sama ada hasil pelaburan Amerika Syarikat mahupun Singapura sendiri.

"Apa yang berbeza di antara pelaburan Singapura dan Amerika Syarikat, tiada bezanya, asalkan menguntungkan," jelas beliau ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pulai, Johor Bahru.

Manakala, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sejak bulan lepas mendakwa tindakan Najib menyerahkan tanah Tanjong Pagar kepada Singapura adalah tidak sah kerana isu itu tidak pernah dibawa ke Parlimen serta diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Harakahdaily/-

Sesat: Presiden PAS ajak ulama Umno muzakarah

29 Rejab 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

BANGI, 12 Julai: PAS mengajak biro agama dan mufti Umno bermuzakarah bagi menentukan perjuangan parti mana antara keduanya yang sewajarnya dilabel sebagai sesat."Dalam PAS ada Majlis Syura, ada Dewan Ulamak, dan dalam Umno ada biro agama dan ada mufti yang dilantik kerajaan, mari kita muzakarah untuk tentukan siapa yang sesat," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau ditemui pada majlis makan malam bagi mengutip dana RM1.7 juta bangunan PAS Kawasan Putrajaya di Dewan Sri Cempaka, Kompleks PKNS di sini malam tadi.Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebagai parti ajaran sesat sewaktu berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, Johor minggu lalu.

Menurut Tuan Guru lagi, yang menentukan sama ada sesebuah parti itu sesat atau tidak bukannya Umno, tetapi dasar dan prinsip parti tersebut.

"Yang menentukan sesat atau tidak, ini Al-Quran dan Hadis, kembali kepada Al-Quran dan Hadis. Kita sentiasa terbuka untuk muzakarah," ujarnya lagi.

Hadir sama pada majlis malam tadi, Yang Dipertua PAS Putrajaya, Mohamad Nazir Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Dalam pada itu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Tuan Guru berkata PAS perlu menyelamatkan rakyat di negara dari ajaran perkauman Umno dengan menyeru mereka kembali kepada ajaran Islam.

Pemimpin Umno, katanya telah menjadikan Islam di negara ini mengikut arahan mereka dan bukannya mereka yang mengikut ajaran Islam.

"Jika Islam ditegakkan Melayu akan selamat dan jika Melayu ditegakkan, Melayu tak selamat, Islam pun tak selamat."Orang bukan Islam pula jangan takut, Islam tidak memaksa mereka," katanya.

Menyentuh isu kerjasama PAS dengan bukan Islam khususnya DAP yang sering dimainkan Umno beliau menjelaskan, hubungan tersebut berbentuk kerjasama politik yang tidak menggadai prinsip Islam dan berbeza dengan hubungan Umno dengan komponen BN.

"Kerjasama Umno dengan MCA, MIC, Gerakan adalah secara wala’ (semua parti komponen kena patuh kepada Umno), menggadai konsep dan menggadai Islam.

"Kita bekerjasama dengan DAP secara tahaluf (kerjasama atas perkara yang sependapat) dan tidak gadai perinsip dan konsep kita," jelasnya.

Harakahdaily/-

Pengembara yang kehilangan bekalan

29 Rejab 1431H.
Oleh : Akhisalman

CERITA SEORANG ARAB

Dalam pukul 10 malam jumaat di masjid Samandudi , bangun seorang lelaki arab yang menceritakan bahwa dia dari balqas nak menuju kaherah untuk melihat anaknya sakit kronik. Dia telah kecurian duit hasil 14 hari dia berkerja dan meminta para jemaah menolongnya. Dia menangis amat kuat dan lama. Ini mungkin kerana dia berada dalam benar-benar kesusahan.

MANUSIA DALAM PENGEMBARAAN

Daripada kisah arab tadi dapat kita renung diri kita sebagai manusia adalah seorang musafir menuju ke destinasi yang sangat jauh bernama akhirat. Suatu hari Nabi saw tidur diatas tikar, lalu bangun dari tidur dalam keadaan badannya terdapat kesan tikar tersebut. Lalu para sahabat berkata:

“ Bagaimana kalau kami berikan kepadamu tilam yang empuk ?”

Baginda saw menjawab:


مَا لِيْ وَمَا لِلدُّنْيَا مَا أَنَا فِيْ الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ شَجَرَةً ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا


“ Kenapa aku perlu untuk cenderung kepada dunia sedangkan aku penuntut akhirat. Aku hanyalah di dunia ini seumpama musafir yang menunggang kenderaan yang singgah di sepohon pokok, kemudian berangkat meninggalkannya.”

Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah,

Manusia adalah pengembara yang menuju ke alam akhirat dan dituntut oleh tuhan untuk membawa bekalan yang secukupnya untuk bertemu tuhan. Bekalannya bukanlah nasi lemak, wang simpanan dan harta benda dunia yang lain. Bekalannya adalah takwa.

TAKWA ADALAH BEKALAN

Setiap pengembera memerlukan bekalan yang cukup. Begitu juga dengan pengembera ke negeri akhirat memerlukan bekalan. Tuhan telah menyebut dalam al-Quran bekalan jenis apakah yang perlu kita sediakan. Firman Allah swt:


وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ


“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.” (197 : al-Baqarah)

Allah swt menilai takwa yang ada pada amalan. Sebanyak mana amalan tanpa takwa maka tidak sampai kepada Allah swt. Firman Allah swt:


لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ


"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (37 : al-Hajj)

Takwa yang dikehendaki adalah keikhalasan, pengharapan , ketakutan (tidak diterima) dan ingat Allah swt dalam amalan. Tanpa perkara ini amalan kita kurang nilainya atau tidak ditolak samasekali.Inilah intipati amalan yang mesti ada. Ia sukar untuk diperolehi melainkan orang yang diberi anugerah Allah swt.

BEKALAN YANG DICURI

Ramai manusia yang tidak sedar bahwa amalan yang mereka amalkan telah hilang dicuri syaitan atau pun nafsu. Diantara sitiuasi-situasi amalan dicuri adalah seperti berikut:

1. Menghebahkan amal baiknya sebelum , semasa atau selepas. Ini adalah tanda riyak.

Tamim ad-dari ra seorang sahabat Nabi berkata:


والله لركعة أصليها في جوف الليل في السر أحب إلي من أن أصلي الليل كله ثم أقصه غلى الناس


“ Demi Allah satu rakaat yang aku lakukan di tengah malam dengan penuh kerahsian lebih aku sukai daripada aku solat semalam penuh, kemudian aku cerita kepada manusia lain.”

Oleh itu hendaklah menjauhi daripada mendedahkan amalannya dalam sembang2, ucapan, blog , ym dan sebagainya.

2. Berasa bangga dengan amalan. Merasakan diri lebih baik dari orang lain.

Nabi saw bersabda:

ثلاث مهلكات: شح مطاع وهوى متبع وإعجاب المرء بنفسه


“ Tiga perkara yang merosakkan: sifat kedekut yang ditaati, nafsu diikuti dan seorang yang kagum dengan dirinya.”

Hadis hasan riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi.

Syaitan sentiasa menggoda supaya kita berasa orang yang beramal, baik, wara' dan sebagainya bila kita buat amal. Kalau ada ada perasaan ini maka menyebabkan terbatal amalan tadi.

3. Menunjukkan amalan yang dilakukan (riya’)

Firman Allah swt:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ الَّذِينَ هُمْ يُرَاؤُونَ


“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya dan orang yang menunjuk-nunjukan amalannya.” (4 – 6 : al-Ma’un).

Oleh itu janganlah sesorang itu menunjukkan amalannya di depan manusia. Hendaklah dia berusha untuk menyembunyikan amalan baiknya. Nabi saw sendiri menyuruh kita solat sunat di rumah:

أفضل صلاتكم في بيوتكم إلا المكتوبة


“ Sebaik-baik solat adalah di rumah kamu kecuali solat fardu.”

Hadis sahih Bukhari dan Muslim.

4. Amalan di depan orang lebih baik dari amalan semasa bersendirian.

Ulama tasauf telah menyatakan bahawa diantar alamat ikhlas adalah sama amalan didepan manusia dengan amalan bersendirian. Islam meyuruh takwa kita sama, samaada didepan atau dibelakang manusia. Nabi saw telah bersabda:

وأما المنجيات فالعدل في الغضب والرضا والقصد في الفقر والغنى وخشية الله في السر والعلانية


“ Adapun 3 perkara yang menyalamatkan adalah 1. bersikap adil samaada semasa marah atau reda. 2. Bersikap sederherhana dalam berbelanja semasa miskin atau kaya. 3. Takut kepada Allah samada bersendirian atau didepan orang lain."

Hadis hasan riwayat Bazar dan al-Baihaqi.

Cthnya

1. Buat rawatib dekat masjid bila solat sorang takde solat rawatib.
2. Pakai elok ke masjid tapi biase2 semasa solat di rumah.
3. panjangkan bacaan semasa depan orang tapi baca pendek semasa solat sorang.
4. Baca wirid semasa dengan jemaah tetapi tinggal semasa sorang.
5. Berakhalak mulia kepada sesetengah orang.

5. Berasa seronok apabila orang memuji amalannya dan berasa tidak seronok apabila orang mengejinya.

Ini juga boleh merosakkan amalan manusia kerana kita disuruh untuk mencari keredaan Allah. Bagaimana kita hendak seronok dengan pujian sedangkan kita tidak tahu Allah terima atau tidak amalan kita. Ini adalah alamat ikhlas disisi ulama tasauf .

6. Mengungkit amalan.

Bagi amalan yang mebabitkan kebajikan kepada orang lain , hendaklah dijauhkan mengungkit amalan tersebut. Tidak kiralah mengungkit dengan hati atau kata2. Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تُبْطِلُواْ صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالأذَى كَالَّذِي يُنفِقُ مَالَهُ رِئَاء النَّاسِ وَلاَ يُؤْمِنُ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْداً لاَّ يَقْدِرُونَ عَلَى شَيْءٍ مِّمَّا كَسَبُواْ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ


"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (264 : al-Baqarah).

Banyak dikalangan kita rasa tidak kecewa atau tidak puas hati orang yang kita telah buat baik tidak membantu kita atau tidak menghormati atau tidak ingat jasa kita.

KESIMPULAN

Ini adalah situasi-situasi boleh yang menyebabkan bekalan amalan kita lebur dan hilang begitu sahaja. BUAT AMALAN MEMANG SUSAH TETAPI HENDAK MENJAGA AMALAN LAGI SUSAH. Sebab itu saidina Ali berpesan:

كونوا لقبول الأعمال أشد إهتماما من الأعمال


“ Hendaklah kamu lebih usaha supaya diterima amalan lebih dari usha kamu beramal.”

Amalan-amalan begini syirik yang tersembunyi. Nabi saw bersabda:


يقوم الرجل فيصلي فيزين صلاته جاهدا لما يرى من نظر الناس إليه فذلك شرم السرائر


“ Seorang lelaki yang solat dan berusaha untuk mengelokkan solatnya kerana manusia melihatnya. Itulah syirik yang tersembunyi.”

Hadis riwat Ibnu Khuzaimah

Kalaulah arab yang kehilangan bekalan tadi menangis terasak-esak kerana kehilangan bekalannya, kita yang hilang bekalan akhirat perlu lebih menangis. Perlu berusaha untuk ikhlas dan menghilangkan sifat riya dan ujub. Sifat cinta diri sendiri lebih dari cinta tuhan adalah sebab utama perkara ini. Oleh itu kita hendaklah menjauhkan dari menyembah hawa nafsu dan menjadikannya sebagai tuhan. Dari 17 sampai 30 julai insyaAllah akan dibaca satu kitab karangan dr Majdi hilali yang menceritakan kepada kita bagaimana untuk menghilangkan sifat ujub. Untuk keterangan lanjut tentang pengajian sila lihat sini "iklan daurah"

Rujukan: Al-Quran (tafsir muyassar), Al-Muntaqa at-Targhib wat Tarhib oleh Qardawi, Tuhfatul ahwazi oleh al-Mubarakfuri, Ruhbanul Lail oleh Dr Said al-Affani dan lain-lain.

Ustaz Zulkifli

29 Rejab 1431 H
Oleh: Mohd Syamil Azhar

LENGGONG: Kerinduannya kepada keluarga serta rakyat di kawasan Parlimen yang pernah ditandinginya selepas selamat pulang ke tanahair Jumaat lalu, membuatkan Ustaz Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria, 41, yang hampir sebulan ditahan di Mesir, tidak sabar untuk berada di atas pentas.

Kebetulan ada program ceramah anjuran PAS Kawasan Lenggong di Kampung Kota Tampan Air kelmarin (10 Julai), beliau turut bersama berada di atas pentas, bagaimanapun tidak dibenarkan berucap atas arahan pihak polis.

Namun kerinduan penduduk terhadap beliau terubat dan perasaan lega orang ramai terbayang kerana beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak tidak ditahan berpanjangan di Mesir dan apabila pulang tidak dikenakan tindakan tahanan lanjut.

Program ceramah itu membabitkan Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Haji Ahmad Idzam Ahmad, Exco Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria dengan kehadiran lebih 500 penduduk.

Program sempena majlis aqikah seekor lembu itu turut dimeriahkan dengan acara pertandingan membaca teks khutbah peringkat menengah yang berjaya dimenangi oleh adik Muhammad Muzammil Jamaluddin, di mana hadiah disampaikan oleh Razman.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program ceramah, Muhammad Zulkifli yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ibrahim, berkata selama 25 hari berada dalam tahanan, beliau terpaksa menerima deraan seperti berdiri tiga hari tiga malam, sehari semalam dan dikenakan kejutan elektrik.

Katanya, deraan itu sebagai denda kerana pihak berkenaan tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikannya selepas disoalsiasat, seperti mengenai sijil diploma yang terlupa dibawanya menyebabkan beliau tidak diterima untuk menduduki pengajian/peperiksaan peringkat sarjana.

"Bila dia tanya tidak adakah orang yang boleh menghantar sijil itu, saya jawab tidak ada, dia tidak terima alasan itu, saya pun didenda berdiri sehari semalam, mula waktu asar sampai waktu asar keesokannya," katanya.

Muhammad Zulkifli berkata, antara soalan-soalannya hanya mengenai tujuannya ke Mesir, di mana memang beliau ke sana untuk menyambung belajar ke peringkat sarjana dan tidak ada tujuan lain selain itu.

Katanya, apabila dibebaskan dan sampai di Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pula, di mana beliau ditanya apa yang berlaku di Mesir yang mengakibatkan beliau ditahan.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesyukurannya kerana dibebaskan tanpa terpaksa menjalani tahanan lanjut dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan supaya beliau dibebaskan segera.

"Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat saya dan keluarga saya, termasuk yang sama-sama mendoakan supaya saya dibebaskan segera dan dapat pulang dengan selamat," katanya.

Berita lebih terperinci akan menyusul.

Sepanyol juara Piala Dunia

29 Rejab 1431H.

Sepanyol menepati ramalan apabila muncul juara Piala Dunia 2010 setelah menang tipis ke atas Belanda 1-0 di Stadium Soccer City di Johannesberg awal pagi ini.

Sepanyol menang dengan menewaskan skuad The Oranje, dengan jaringan tipis itu dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga masa tambahan yang penuh dramatik dengan aksi-aksi kasar dari kedua-dua pasukan.

Gol tunggal Sepanyol dijaringkan oleh pemain tengahnya yang licik Andres Iniesta pada minit ke-116 tambahan separuh masa kedua.

Pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan bermain dengan corak berhati-hati.

Bagi sepuluh minit pertama, pada separuh masa pertama, Sepanyol menguasai perlawanan dengan membuat tiga percubaan ke arah pintu gol Belanda.

Pada minit ke-4, sepakan sudut dihadiahkan kepada Sepanyol diambil oleh Xavi yang kemudiannya ditanduk oleh Sergio Ramos tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol Belanda, Maarten Stekelenburg.

Selepas itu tiba giliran, David Villa pada minit ke-8, mendapat umpanan 'chip' daripada rakannya. Bagaimanapun bola tersebut jauh dari kakinya walaupun beliau sudah melepasi perangkap offside.

Sergio Ramos sekali lagi, pada minit ke-10, menerima umpanan dari sebelah kiri, berjaya menggelecek seorang pemain pertahanan Belanda.

Perlawanan menarik

Bagaimanapun, sepakan lintangnya berjaya disepak keluar oleh permain pertahanan Belanda John Heitinga.

Manakala bagi pasukan Belanda pula, mereka turut menyerang balas melalui percubaan yang 'mendebarkan' ke arah pintu gol lawan.

Dirk Kuyt, pada minit ke-7 berjaya melepaskan satu sepakan kencang dari jarak 25 meter, bagaimanapun bola tersebut ditepis keluar oleh penjaga gol Sepanyol Iker Casillas.

Pada minit ke 36, satu 'set pieces' yang menarik yang dilakukan pemain tengah Arjen Robben yang melakukan sepakan sudut yang pendek kepada seorang rakannya di sebelah kiri gol lawan.

Tetapi bola hantaran itu gagal disempurnakan dengan baik.

Robben juga mendapat peluang untuk menjaringkan gol apabila rembatannya di luar kotak penalti namun berjaya ditepis oleh Casillas pada minit akhir perlawanan separuh masa pertama.

Sebelum itu, Sepanyol membuat serangan balas melalui pemain tengah Pedro Ridriguez bagi memecahkan kebuntuan, tetapi sepakannya tersasar ke kiri gol lawan.

Separuh masa pertama juga turut menyaksikan pengadil dari England Howard Webb melayangkan lima kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan ekoran kekasaran yang dilakukan.

Manakala pada separuh masa kedua pula kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memecah kebuntuan.

Ayam tambatan

'Ayam tambatan' Belanda Robben nyaris-nyaris menjaringkan gol pembukaan apabila mendapat umpanan dari rakannya dan beliau berdepan satu lawan satu dengan Casillas gagal menjaringkan gol.

Ini kerana, sepakan 'plessing'nya pada minit ke-61, terkena kaki kanan Casillas menyebabkan bola tersebut terkeluar.

Terselamat pintu gol pasukan yang dikenali sebagai 'La Roja'.

Robben juga sekali lagi menerima umpanan daripada rakannya dan kali ini berjaya melepasi halangan 'dua kereta kebal' Sepanyol - Carles Puyol dan Gerrard Pique, tetapi Casillas sekali lagi mengecewakannya.

Sepanyol juga mendapat peluang terbaik lapan minit kemudian, apabila penyerang sensasi mereka Villa, yang mendapat bola hasil hantaran lintang, ditampan keluar oleh pertahanan Belanda.

Malah dua sepakan percuma daripada pemain tengahnya Xavi Hernandez pada minit ke-54 dan 73 juga sekadar melewati palang gol.

Pada minit ke-76, Sergio Ramos sekali lagi mendapat peluang apabila tandukannya melepasi palang gol walaupun dia tidak dicabar oleh mana-mana pemain.

Selepas itu serangan demi serangan dilakukan oleh kedua-dua pasukan, tetapi pertahanan masing-masing berjaya mengawal kubu mereka sehingga tamat perlawanan.

Pada masa tambahan separuh masa pertama, Sepanyol dilihat ghairah memburu gol.

Pemain gantian mereka Cesc Fabregas hampir memecah kebuntuan pada minit ke-94 apabila beliau berdepan satu lawan satu dengan Stekelenburg, bola tendangan pemain Arsenal itu terkena kaki penjaga gol.

Kad merah

Iniesta juga turut terlepas peluang pada minit ke-98 apabila enggan menolak kepada David Villa, dan ingin bergerak sendiri telah terlepas bola dari kawalannya.

Seorang lagi pemain gantian Jesus Navas turut mendapat peluang pada minit ke-110, apabila sepakannya di sebelah kiri gol, dapat diselamatkan oleh pertahanan lawan.

Namun pada separuh kedua masa tambahan, gerakan hasil gandingan Xavi-Iniesta - Torres berjaya memecah kebuntuan, apabila Iniesta yang mendapat umpanan terus sahaja melepas satu sepakan deras dan bola tersebut menerjah jaring Belanda.

Beliau yang tidak berada dalam posisi offside, mendapat lambungan bola ke dalam kotak penalti terus meluru dan merembat bola tersebut pada minit ke-116.

Kedudukan berubah menjadi 1-0 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Lebih 0 kad kuning dilayangkan dan satu kad merah dilayangkan kepada Heitinge kerana dikatakan menarik Iniesta daripada belakang.

Dengan kemenangan itu, Sepanyol merangkul kejuaraan piala dunia buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu.

Malah ramalan Paul, si sotong kurita itu juga menjadi benar belaka.

'Viva Espana'

'Espagnol, c'est vrai magnifique' .

Malaysiakini/-

12 Julai 2010

Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Sungai Petani kecoh

28 Rejab 1431H.

SUNGAI PETANI: Majlis perasmian mesyuarat agung UMNO Bahagian Sungai Petani di Hotel SP Inn di sini, sebentar tadi kecoh apabila sekumpulan lebih 30 ahli parti itu mendesak Ketuanya, Ali Yahya, melepaskan jawatan.

Kumpulan itu yang mendakwa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ali mula menimbulkan kekecohan dan menjerit meminta Ketua UMNO Bahagian itu melepaskan jawatan sebaik Ali memasuki dewan untuk majlis perasmian itu yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah.

Suasana kecoh itu berlangsung selama kira-kira 10 minit apabila kumpulan terbabit memekik bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan UMNO bahagian itu.

Suasana gamat bagaimanapun kembali tenang dan terkawal apabila wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri, iaitu Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Ariffin Man, meminta kumpulan terbabit bertenang dan mengambil tempat masing-masing bagi membolehkan Jamil Khir memberikan ucapan perasmian. BH/-

Nik Aziz: Boikot media pro-BN jika permit tidak diperbaharui

28 Rejab 1431H.
Harakahdaily

KOTA BHARU, 10 Julai: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui.

“Saya harap permit Harakah dan Suara Keadilan diperbaharui. Bagaimanapun, jika kedua-dua akhbar yang menjadi suara rasmi Pakatan ini tidak diperbaharui, saya cadangkan arahan rasmi dikeluarkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan agar mula memboikot media pro BN," kata beliau melalui laman komuniti Facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sehingga kini tidak menyambung permit Harakah dan Suara Keadilan yang telah tamat tempoh.

Turut tamat tempoh adalah permit akhbar Rocket versi Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh DAP.

Permit akhbar Harakah tamat pada 7 Julai lepas. Pada 5 Julai, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya telah dipanggil mengadap lapan pegawai KDN di Putrajaya.

Pada 8 Julai lepas, KDN menghantar satu surat tunjuk sebab kepada Harakah kenapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas akhbar itu.

Pada 9 Julai, Taufek sendiri telah ke pejabat KDN di Putrajaya menghantar jawapan Harakah ke atas surat tunjuk sebab itu. Ia dijawab sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam kenyataannya berkata, Harakah akan diterbitkan seperti biasa kerana permohonan penyambungan permit sudah dibuat kepada KDN dan Harakah memang menunggu kelulusan permit itu.

Sementara itu, KDN memberikan amaran kepada PKR agar jangan menerbitkan Suara Keadilan kerana pihaknya tidak berpuashati dengan jawapan PKR ke atas isu 'Felda Bankrap".

Dalam kenyataannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

"Jika mereka rasa Harakah salah, mereka boleh saman dan memberikan bukti kesalahan Harakah jika ada," katanya.

1Malaysia makin tercalar : MCA mahu 'PERKASA Cina'

28 Rejab 1431H.


Konsep 1Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin tercalar dan berlemungkinan robek apabila parti kedua terbesar dalam komponen BN - MCA mencadangkan penubuhan PERKASA versi Cina bagi menangani serangan perkauman NGO Melayu itu.

Naib presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai, yang membuat cadangan itu juga membayangkan agar kumpulan berkenaan diterajui oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) yang seringkali dilihat lantang membuat tuntutan mengenai kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, tanggungjawab itu tidak sesuai dipikul oleh MCA kerana ia parti politik dan NGO dibolehkan bertindak dalam cara yang berlainan.

"Komuniti Cina dan persatuan Cina seperti KLSCAH boleh memainkan peranan itu. MCA hanya boleh bertindak sehingga peringkat tertentu - ia sepatutnya NGO menentang pencabarnya,” kata Lim.

Tidak gusar

Menurut beliau, masyarakat Cina tidak perlu gusar dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) kerana mereka juga boleh menubuhkan kumpulan pelampau seumpama itu.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan menubuhkan kumpulan pendesak bagi mengimbangi tekanan kumpulan pelampau kerana katanya ia ibarat melawan api dengan api.


Lim berkata sesetengah isu adalah lebih baik diselesaikan melalui perdebatan terbuka sambil melahirkan keyakinannya mengenai keupayaan kerajaan menangani tuntutan agresif PERKASA.

Namun katanya, sebagai negara pelbagai kaum yang mengamalkan prinsip adil dan seimbang, kerajaan terpaksa mengambil kira tuntutan PERKASA dan semua pihak lain.

Lim yang juga timbalan menteri kewangan menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa bahagian kedua Model Baru Ekonomi (MBE) yang menyentuh isu kontroversial ekuiti 30 peratus bumiputera telah ditarik balik kerana desakan daripada PERKASA.

Katanya, butirannya dijangka akan dikeluarkan menjelang September ini sebelum pembentangan bajet pada 15 Oktober.

Sokongan merosot

Beliau bercakap kepada pemberita semasa diwawancara oleh akhbar Cina di pejabatnya di Putrajaya, semalam.


Lim juga menjangkakan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini.

Beliau yang dilantik sebagai ketua MCA Selangor mengakui memikul tugas berat bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina yang ternyata mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Katanya, sokongan masyarakat Cina kepada BN adalah sekitar 30 hingga 35 peratus di seluruh negara dan jumlah itu merosot kepada 20 hingga 25 peratus di Lembah Klang.

"Sasaran kami adalah 50 peratus sokongan pengundi Cina. Jika kita dapat hanya 40 peratus, kita tetap bergembira. Saya agak pratikal: jika saya kata kita boleh meningkatkan sokongan kepada 80 peratus, ia adalah satu pembohongan.”


Katanya, tugas utamanya sekarang ini adalah membantu BN menawan semula kerajaan negeri Selangor.

Pada pilihan raya umum yang lalu, MCA Selangor dimalukan apabila hanya berjaya memenangi satu daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandingi manakala bagi kerusi negeri, ia hanya mampu menang dua daripada 14 yang ditandingi.

Malayskaini/-

Jerman tempat ketiga Piala Dunia 2010

28 Rejab 1431H.

Jerman menepati ramalan apabila berjaya merangkul tempat ketiga Piala Dunia 2010 dalam perlawanan yang berlansung awal pagi ini.

Perlawanan di Stadium Nelson Mandela Bay itu menyaksikan Jerman berjaya menundukkan Uruguay dengan jaringan tipis 3-2

Gol-gol pasukan Jerman dijaringkan oleh Thomas Mueller pada minit ke 18, Marcell Jansen (minit ke-56) dan Sami Khedira pada minit ke-82.

Manakala gol Uruguay dijaringkan oleh pemain tengahnya Edinson Cavani pada minit ke-28 dan penyerang liciknya Diego Forlan pada minit ke 51, separuh masa kedua.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Namun, Jerman terlebih dahulu membuka tirai jaringan gol pada minit ke-18 melalui ayam tambatannya Mueller.

Jaringan tersebut bermula dari rembatan rakannya, Bastian Schweinsteiger dari jarak 35 meter, gagal ditepis dengan kemas oleh penjaga gol Uruguay Fernando Muslera menyebabkan bola itu bergolek ke hadapan.

Mueller yang berada berdekatan bola tersebut, dengan bergayanya menolak bola itu ke gawang.

Penuh dramatik

Selepas itu, Jerman cuba menggandakan serangan mereka bagaimanapun ia gagal membuahkan hasil.

Uruguay yang tersentak dengan gol tersebut, tidak berputus asa untuk menyerang bagi mendapatkan gol penyamaan dalam perlawanan penuh dramatik itu.

Usaha mereka tidak sia-sia apabila, 'counter attack' yang dilancarkan oleh pemian tengahnya Maximiliano Pereira yang merampas bola daripada Schweinsteiger terus menolak kepada Luis Suarez.

Suarez kemudiannya menolak kepada rakannya Cavani terus membawa bola masuk ke dalam kotak panelti, dan dengan mudah menolak bola tersebut ke dalam gol pada minit ke 28.

Kedudukan pada separuh masa pertama, terikat dengan 1-1.

Selepas gol yang dijaringkan oleh Cavani, pemain-pemain Jerman nampak gugup dengan hantaran yang dilakukan tidak menjadi dan tersekat di barisan pertahanan lawan.

Tambahan pula, penyerang berbisa mereka Miroslave Klose tidak bermain kerana selsema.

Sebaliknya Uruguay nampak ghairah memburu gol dan peluang terbaik pada separuh masa pertama hadir pada minit ke 41 apabila Luis Suarez yang mendapat lorongan daripada Forlan.

Tetapi tolakan Suarez hanya sedikit sahaja keluar di sebelah kanan, walaupun penjaga gol Jerman Hans Jeorg Butt sudah tertewas.

Pada separuh masa kedua, Uruguay melipatgandakan usaha dengan menyerang sejak wisel mula ditiupkan.

Gagal lepasi perangkap

Peluang terbaik untuk pasukan dari Amerika Selatan itu menambahkan jaringan tiba pada minit ke 47 apabila Cavani yang melepasi perangkap 'offside', cuba memperdayakan Hans dengan menepis bola itu tetapi bergolek singgah ke kaki Suarez.

Malangnya rembatan Suarez juga turut ditepis keluar oleh Hans.

Selepas itu, serangan demi serangan dilakukan maka pada minit ke 51, Forlan membuat sepakan 'half volley' hasil sepakan lintang rakannya membolehkan Uruguay mendahului Jerman dengan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun kegembiraan kem Uruguay tidak kekal lama apabila lima minit kemudian pemain tengah Jerman Marcell Jansen menanduk masuk pada minit ke 56, hasil hantaran lintang Jerome Boateng di sebelah kiri gol Uruguay

Kedudukan berubah 2-2.

Gol penyamaan tersebut telah menaikkan semangat pemain Jerman menyebabkan mereka melancarkan serangan dan membuat percubaan demi percubaan.

Sekurang-kurangnya empat percubaan dibuat selepas gol kedua itu, tetapi tersasar atau ditepis oleh penjaga gol Uruguay.

Hampir keseluruhan permainan pada separuh masa kedua di banyak dikuasai oleh Jerman dan serangan Uruguay berjaya dipatahkan oleh pertahanan lawan.

Peluang terbaik Uruguay hadir pada minit ke-62 dan 64 apabila rembatan dan sepakan Suarez dan Forlan berjaya di tepis oleh penjaga kedua Jerman.

Bagaimanapun pada minit ke-82, pemain tengah Jerman Sami Khedira berjaya menanduk masuk ke dalam gol setelah bola tandukan hasil sepakan sudut oleh seorang pemain Jerman telah terkena pemain Uruguay.

Kemudian bola tersebut melantun di hadapan Khedira, membolehkan beliau menanduk masuk ke gawang Uruguay.

Kedudukan berubah menjadi 3-2 dengan Jerman mendahului pada minit ke-82.

Selepas jaringan tersebut, Jerman cuba memperlahankan rentak permainan dan pada minit-minit akhir permainan, Uruguay dihadiahkan sepakan percuma di hadapan pintu gol Jerman.

Bagaimanapun, sepakan Diego Forlan hanya singgah di palang gol dan bola itu terus keluar.

Akhirnya pengadil meniupkan wisel dan mengesahkan Jerman merangkul tempat ketiga dalam piala dunia 2010.

Meuller dan Forlan yang menjaringkan gol pada perlawanan ini, kini berkongsi dengan lima gol bersama Wesley Scneijder dan David Villa.


Malaysiakini/-