14 Julai 2010

Bola Api Semarakkan World Cup di PARIT

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Hakim

PARIT, 12 Julai - Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit (DPPKP) tidak ketinggalan dalam demam bola sepak Piala Dunia yang baru sahaja melabuhkan tirainya semalam. Pada malam yang bersejarah itu, kira-kira 60 orang hadirin telah memeriahkan acara-acara yang berlangsung sejurus selepas solat isyak di Markas PAS Titi Gantung,Perak.

Acara malam semalam mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila berlangsungnya acara yang paling unik iaitu "Bola Sepak Berapi" yang mendapat sambutan hangat oleh golongan muda. Sebanyak 4 buah pasukan telah berentap untuk merebut anugerah johan dan ianya telah dimenangi oleh pasukan MRRQ.

Menariknya, hadirin turut disajikan dengan menu nasi ikan bakar BBQ dan acara-acara lain iaitu kuiz isu semasa dan cabutan bertuah. Sementara menunggu saat bermulanya perlawanan akhir Piala Dunia 2010, para hadirin juga tidak mensia-siakan masa yang terluang memandangkan pihak penganjur ada menyediakan tayangan video isu-isu semasa. Apabila bermulanya perlawanan bersejarah itu, semua hadirin yang hadir menyaksikannya di skrin putih gergasi yang disediakan.

Menurut Ketua DPPKP, Ustaz Zaidan Abdul Ghani ketika berucap di majlis perasmian, dalam PAS kita juga berhibur dan mengikuti Piala Dunia Bola Sepak, tetapi kita tidak sekali-kali lalai atau melanggar batasan Islam. Kita hendaklah sentiasa mengingati Allah dan menelusuri perjuangan Islam di mana-mana sahaja.

Beliau juga berpesan supaya semua hadirin solat subuh berjemaah di masjid sebelah markas sebaik sahaja tamat perlawanan tersebut. Selepas perlawanan, Ustaz Zaidan kelihatan begitu gembira dengan keputusan perlawanan akhir yang berprestij itu kerana beliau merupakan penyokong kuat pasukan Sepanyol.

Retreat sahkan sokongan Melayu kekal kepada PAS

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Pemukiman tiga hari PAS bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Port Dickson merumuskan parti itu tidak mengalami penurunan sokongan Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan analisis yang dibuat, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 sehingga PRU 2008, undi Melayu terhadap PAS konsisten dan menyaksikan sedikit peningkatan.

"Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan sehingga 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet.

"Pada PRU tahun 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus."Ini membuktikan bahawa PAS tidak kehilangan pengundi teras Melayu selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan pihak tertentu bahawa PAS mengalami kemerosotan sokongan Melayu ekoran kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Dakwaan itu dibuat ekoran serangan hebat terhadap PAS oleh Umno ketika parti itu berusaha untuk mengekalkan kedudukannya walaupun sokongan untuk rakan-rakannya dalam BN hilang.

Dalam pilihan raya 2008, sokongan pengundi luar bandar kepada PAS tidak tinggi bukannya kerana mereka Melayu tetapi kerana maklumat dari PAS dan rakan-rakannya tidak sampai kepada mereka.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin menjadi calon.

"Itu tidak termasuk sokongan Melayu di Kelantan, kalau diambil kira Kelantan, sokongan Melayu lagi la tinggi," tambahnya lagi.

Pemukiman hujung minggu lalu itu disertai ahli Majlis Syura PAS serta Presiden dan AJK PAS pusat yang lain.Ianya antara lain bagi merangka persedian PAS menghadapi PRU ke-13.

Dalam pada itu retreat tersebut juga merumuskan bahawa yang menghakis kepentingan Melayu seperti termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan adalah Umno BN.

Menurutnya, isu memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan isu penukaran sistem kemasukan ke IPT dari kuota ke meritokrasi antara contoh penghakisan hak Melayu oleh Umno BN.

Sehubungan itu jelasnya, atas sebab itu PAS juga memutuskan akan memulakan usaha lebih konstruktif melindungi hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

"Teras kita adalah keadilan kepada siapa yang berhak."Semua parti dalam Pakatan Rakyat pada konvensyen lalu sebulat suara telah bersetuju mempertahan apa sahaja yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Harakahdaily/-

Bala bakal jadi 'agen asing' selepas Anwar - Mahfuz

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashor

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Penyiasat persendirian (PI) Balasubramaniam mungkin bakal difitnah sebagai agen asing sebagaimana beberapa pemimpin Umno mengfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'agen CIA', kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu membuat jangkaan demikian ekoran kesediaan Bala mendedahkan skandal rasuah berkaitan kapal selam Scorprene kepada sekumpulan penyiasat di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefacture, 8 malam ini iaitu jam 2petang waktu Perancis.

"Itulah permainan pemimpin Umno, mereka nak tutup rasuah yang membelit kapal tak boleh selam ini dengan tuduh beberapa individu ini sebagai agen asing."Saya percaya Bala ini akan difitnah seperti Datuk Seri (Anwar)," tegas beliau pagi tadi di lobi Parlimen.

Menurut beliau, permainan itu semata-mata untuk mengelirukan rakyat dari melihat isu sebenar - kapal selam Scorpene bernilai EURO1.084 bilion yang dibeli dari Perancis masih menghadapi masalah teknikal hatta tak boleh menyelam.

Katanya lagi, sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih awal membuka kertas siasatan berhubung skandal pembelian kapal selam yang dikatakan membabitkan Datuk Abdul Razak Abdullah Baginda (bekas panacea Datuk Seri Najib Razak) dan mendiang Altantuyaa Sharibuu (gadis Mongolia yang dibom menggunakan C4).

"Suatu yang memalukan apabila Perancis pentingkan integriti, mereka tak mahu ada dakwaan kononnya ada agen misteri dalam negara mereka amalkan rasuah."Suatu yang pelik, SPRM hanya bersedia serah soalan siasatan kepada peguam Bala saja," sindir beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoal permainan media membunuh karektor Anwar.

"Dua hari lalu, dia fitnah Anwar upah CNN, kemudiannya dia fitnah Anwar 'agen CIA' pula, isunya kalau Anwar 'Agen CIA' hari-hari dia boleh masuk CNN dengan tak perlu bayar sebab CIA bayar," ujar beliau sambil menganggap permainan media yang pro Umno tertentu itu semata-mata bertujuan membendung kebencian rakyat pada kerajaan.

"Dulu masa PKR tak ada, mereka tuduh PAS agen asing, sekarang tuduh Anwar.Disebabkan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa CNN mungkin akan menyaman kerajaan Malaysia dan beberapa media terbabit.

"Dia ingat CNN ini macam TV3, itu bukan tuduhan pada Anwar, sebenarnya tuduhan itu boleh mendorong CNN saman media arus perdana (dan) mereka yang terbabit," beliau menambah.

Sedangkan, beliau berkata, suatu firma misteri di Amerika Syarikat sebelum ini terbukti membayar sejumlah wang tertentu pada New York Times demi memastikan isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dimahsyurkan sebagai 'First Lady' dalam akhbar tempatan Amarika Syarikat pada 16 April lepas.

(Gambar: Iklan yang menyatakan Rosmah adalah First Lady Malaysia dalam New York Times...Kalau dia first lady, siapa dia Raja Permaisuri Agung)

Sebelum pada itu, Pengarah Strategik PKR Nasional, Tian Chua mendedahkan bahawa pembekal memberi jaminan untuk memperbaiki kapal selam terbabit sepatutnya tamat pada 25 Jun lalu.

Namun, disebabkan terlalu banyak masalah teknikal, jaminan pembekal dipanjangkan sehingga 25 Mei lalu.

Tambahnya lagi, kos penyelenggaraan kedua-dua kapal terbabit dianggarkan akan terus meningkat dari anggaran yang dibuat oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, iaitu EURO270 juta setahun.

Sehubungan itu, beliau bersama-sama Mahfuz menuntut supaya segera menubuhkan suatu suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal kapal selam yang membazirkan EURO1.34 bilion wang rakyat.

Selasa lalu, Harakahdaily melaporkan bahawa Mahfuz turut mendakwa Bala serta Raja Petra Kamaruddin (pemilik blog Malaysia Today) mempunyai 'kunci peti rahsia' berhubung kes pembunuhan Altantuya.

LAPORAN BERKAITAN

Bala jumpa polis Perancis malam ini

Harakahdaily/-

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat Scorpene

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR 12 Julai: Pakatan Rakyat mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kapal selam Scorpene bernilai EURO1.084 bilion kerana gagal berfungsi dengan baik dan kerap kali mengalami masalah teknikal.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika merujuk berita Malay Mail pada 7 Julai lepas mengenai isu kapal selam KD Tunku Abdul Rahman, mendedahkan kapal selam berkenaan yang diterima pada 26 Januari tahun lepas masih lagi mengalami masalah teknikal dan tidak boleh menyelam sehingga kini.

"Kapal selam yang bernilai EURO1.084 bilion ini telah menunjukkan kegagalan bertugas dengan sempurna dan berulang kali mengalami masalah teknikal dan difahamkan jaminan daripada pihak pembekal telah dilanjutkan daripada 25 Januari sehingga 25 Mei tahun ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tian yang juga pengarah strategi PKR, turut mendesak Menteri Pertahanan sendiri menyatakan kos sebenar penyelenggaraan bagi dua buah kapal selam itu yang dianggarkan berjumlah RM270 juta setahun.

"Saya mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu kapal selam jenis Scorpene ini kerana terdapat perkara yang dipertikaikan kerana kos melebihi EURO 1.34 bilion telah dibelanjakan amat merugikan negara kerana kapal selam tersebut yang seringkali mengalami kerosakan serta misil yang dibeli pada tahun 2002 mengalami kelewatan penerimaan oleh pihak Malaysia menyebabkan kelewatan pelancaran misil yang sepatutnya dijalankan pada bulan Mei lepas,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu percaya kapal selam dengan keadaan sedemikian memerlukan perbelanjaan kos penyelenggaraan yang lebih besar lagi."Kapal selam tersebut juga gagal menjalankan tugas untuk mengawal dan menjejaskan keselamatan negara jika berlaku malapetaka," katanya.

Turut dipertikaikan beliau mengenai tindakan kerajaan yang gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis untuk menyiasat penyelewengan dalam skandal pembelian dua buah kapal selam itu walaupun tiada perkembangan dalam penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harakahdaily/-

Saman ekor kerana hendak wang - Idris

1 Syaaban 1431 H

KUALA LUMPUR, 12 Julai: PAS merasa kesal, di atas sikap kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertindak menyenarai hitam pesalah trafik melalui saman ekor sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.

Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, pihaknya merasa kesal ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang dan tekanan hidup, dan indeks pengguna yang bertambah meningkat tiba-tiba pihak polis dan JPJ menyatakan bahawa mereka yang ada sama ekor tidak dibenarkan membaharui cukai jalan.

"PAS bukan menentang saman kepada mereka yang bersalah, tetapi biarlah dihukum mengikut proses yang betul. Kenapa tidak dibawa kepada pengadilan untuk dibicara," katanya.

Kata Idris, PAS berpendapat, ini adalah satu kezaliman, kerana ada di kalangan mereka tidak tahu menahu berkenaan saman tersebut kerana ada yang tersalah saman, sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang berlaku.

"Tindakan saman ekor memang bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk hendak mengurangkan kemalangan jalanraya, ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta melebihi 60 kilometer sejam," dakwa beliau.

Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan, mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya.

PAS berpandangan, katanya, bahawa memang kerajaan kekurangan wang sekarang, setelah GST yang ditangguh pelaksanaan kerana mendapat penentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat.

"Mungkin kerajaan telah terlepas peluang kerana lesen judi bola yang tidak berani diluluskan kerana ditentang dengan hebat oleh rakyat. Sebab itu tidak hairanlah kepada kita kenapa Datuk Seri Najib menyokong tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia rakyat didahulukan, saman diutamakan," katanya.

PAS, kata beliau, mengharapkan pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan ini, kerana ia menyusahkan rakyat dan menzalimi rakyat.

"PAS menyeru supaya rakyat sedar inilah kerajaan yang ada pada hari ini hanya pandai menanam tebu dibibir konon membela rakyat, tetapi bertindak sebaliknya dan kita mesti bersatu untuk menolak BN dalam PRU 13," katanya.

Harakahdaily/-

Sasaran 60 kerusi Parlimen cerah

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Sasaran PAS adalah merampas 37 kerusi Parlimen daripada Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), selain mempertahankan 23 kerusi yang sedia dikuasai oleh PAS, tegas Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Menurut beliau, usul 'menguasai 60 Parlimen' itu telahpun dipersetujui dalam Muktamar PAS kali ke-56 pada 12 Jun lalu demi memastikan PAS bersama-sama Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan dari Umno BN tidak lama lagi.

Sehubungan itu, beliau mewakili jentera pilihan raya pemuda menolak pelawaan Umno untuk kerjasama demi kepentingan parti perkauman itu.

"Sasaran kita yang sebenar adalah 60 Parlimen ke Putrajaya, janganlah main isu lain," tegas beliau petang tadi di Lobi Parlimen.

Baginya, PAS mempunyai harapan yang cerah untuk menguasai kesemua Parlimen sasaran tersebut jika berdasarkan demografi pengundian rakyat pada PRU12 lalu.

"Saya ingat cerah, kalau jentera lebih berkerja keras dari apa yang sedia ada," ujar beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.

Ini kerana, beliau berkata, sebanyak 16 kerusi Parlimen menyaksikan PAS kalah kurang dari 5 ribu undi.

Manakala, katanya lagi, lapan kerusi parlimen sasaran yang lain menyaksikan PAS kalah kurang dari 10 ribu undi.

13 kerusi berbaki, menurut beliau lagi, menyaksikan PAS kalah 13 ribu undi sahaja.

"Kita kena gandakan fokus dan kerja, kalau nak pujuk rakyat tolak politik zalim dalam pilihanraya depan," tegasnya lagi.

Ditambah dengan mood rakyat yang kian sedar ekoran melihat isu penyerahan tanah KTM di Tanjong Pagar pada Singapura; gadai dua telaga minyak (Blok L dan Blok M) pada Brunei; kes pembunuhan Altantuya; skandal kapal selam Scropene; serta perlantikan Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang dikatakan pro Yahudi sebagai syarikat komunikasi kerajaan, beliau berkata, sudah tentu memberi kelebihan pada PAS dan Pakatan Rakyat.

Penegasan '60 Kerusi Parlimen' itu sekaligus menjawab pelawaan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Lokman Nor Adam kononnya PAS lebih mudah melaksanakan Islam sekiranya bekerjasama dengan Umno adalah sandiwara Umno semata-mata.Menurut beliau, tujuan pelawaan itu demi kepentingan Umno semata-mata, bukannya Islam.

"Kalau Umno ikhlas nak laksana Islam, mereka boleh buktikan sekarang, tak perlu 'main wayang' dengan PAS," ujar beliau sambil menyifatkan kenyataan Lokman itu bertujuan memecahbelah muafakat Pakatan Rakyat.

"Saya tak mahu Negara Islam versi Umno sebab negara kekal dalam kezaliman ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), mahkamah tidak bebas, rasuah sana sini, sokong judi bola, amalkan politik membenci kaum-kaum lain yang tidak sokong Umno dan banyak lagi sebenarnya."

Sebaliknya, beliau berkata, pendirian PAS bersama-sama DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat demi memujuk rakyat menolak kezaliman Umno BN; sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

"Dalam Perjanjian Fudhul Hudaybiah, sebelum Perang Badar dan waktu memeterai Perjanjian Madinah pun, Nabi sendiri bersama-sama orang Islam dan yang bukan Islam untuk lawan kezaliman, apa masalahnya dengan DAP dan PKR," soal beliau.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Lokman turut mendakwa DAP anti Islam, manakala PKR pula adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin utamnya.

Lokman turut mengumpan PAS kononnya boleh melaksanakan Hudud sekiranya parti itu bersedia bekerjasama dengan Umno dalam masa terdekat ini.

Difahamkan, pujukan Lokman itu demi memulihkan semula sokongan masyarakat Melayu pada Umno yang belakangan ini dilihat kian pudar sejak parti perkauman itu menggadai kepentingan agama, negara dan bangsa.

Harakahdaily/-

Pembangkang degil terima padah

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Ismail Hashim

SHAH ALAM, 12 Julai: Wakil pembangkang Dewan Negeri Selangor yang gagal mengikut arahan Speaker menerima padah akibat kedegilannya dengan hukuman sehari tidak dapat menyertai mesyuarat penggal ketiga sidang Dun kedua belas yang bermula hari ini hingga 16 Julai.

Ahli Dewan Negeri BN Kuang, Abdul Shukur Idrus terus membuat bising selepas Speaker, Teng Chang Khim tidak membenarkan beliau mengemukakan soalan yang telah ditolak dalam mesyuarat Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan pada 24 Jun 2010.

Dalam sesi soal jawab sekitar dua jam tiga puluh lima minit, kerajaan sempat menjawab enam soalan sahaja yang dikemukakan oleh Haniza Mohamed Talha (Taman Medan), Lau Weng San (Kampung Tunku), Saari Sungib (Hulu Kelang), Lee Kim Sin (Kajang), Datuk Subahan Kamal (Taman Templer) dan Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong) manakala urutan soalan Shukur terletak di nombor 140.

Sebelum itu, dalam jawapan untuk soalan nombor enam mengenai kecurian pasir, dewan telah mendengar penjelasan panjang lebar yang dijawab oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) yang mengatakan bahawa sepanjang dua tahun di bawah kerajaan baharu, pendapatan pasir bertambah kepada RM7 juta pada 2008 berbanding RM4.37 juta (2006) dan RM4.2 juta (2007).

"Kerajaan negeri akan mengeluarkan senarai semua mereka yang mendapat projek pasir ini dengan mengemukakan siapa pemilik dan ahli lembaga pengarahnya kerana kita mendapati ada 80% di kalangan mereka yang langsung tidak pernah mengenal jentera tetapi mendapat projek pasir.

"Isu ini telah berlaku puluhan tahun tetapi tidak diberitakan. Ramai yang terlibat seperti ketua kampung, pegawai kerajaan, pemandu lori termasuk gengster. Setakat ini sebanyak 78 keping tanah telah diambil oleh kerajaan kerana pemiliknya tidak membayar royalti atau membiarkan pasirnya dicuri," tegasnya.

Mengakhiri jawapannya, Tan Sri Khalid menegaskan, tiada lagi era ada orang menjual lesen untuk mencuri pasir dan kerajaan negeri akan senaraikan semua mereka yang terlibat sebelum 2008 supaya semua pihak dapat belajar dari apa yang telah berlaku termasuk sebagai satu pengajran baru kepada BN.

Sebaik selesai sesi menjawab soalan mulut, Speaker terus meminta Exco Pertanian, Dr Yaakob Sapari untuk mengemukakan usul tertentu, Abdul Shukur tidak semena-mena bangun dengan menyebutkan peraturan 35 (1) dan terus menyoal tentang penolakan soalannya.

Speaker berkata, peraturan itu menyatakan; mana-mana ahli hendaklah bangun minta izin jika hendak bercakap, tetapi sebelum menyuarakan apa-apa, seseorang ahli mesti menyatakan di bawah peraturan mana pula untuk bercakap tentang sesuatu isu, berlakulah pertikaman lidah sekitar 10 minit.

Shukur mengubah menggunakan peraturan 34(1) pula namun speaker menyatakan peraturan itu berkisar tentang keinginan ahli dewan ingin menarik balik soalannya, lalu Teng bertanya, adakah wakil pembangkang itu ingin menarik balik soalan.

Dalam asakannya, Shukur menyatakan isu kerugian pendapatan pasir yang hilang dalam jumlah puluhan juta ringgit yang hendak dibincangkan di dalam dewan menerusi soalan beliau itu sangat penting kepada kewangan negeri dan kebajikan rakyat Negeri Selangor seluruhnya.

Speaker di dalam penjelasannya berkata, tidak timbul masalah isu yang hendak dibangkitkannya itu tetapi wakil pembangkang itu tidak tahu untuk menggunakan peraturan dewan bagi membolehkan beliau dibenarkan menyuarakan bantahan itu.

"Jika tahu baru menjadi wakil rakyat, dengarlah speaker hendak bagi tahu. Saya harap yang berhormat boleh berjumpa dengan setiausaha dewan untuk mengetahui peraturan. Sini dewan, bukan kelas untuk mengajar peraturan," tegas Teng lantas menggunakan peraturan 44 yang mengenakan hukuman penggantungan selama satu hari.

Kalangan wartawan dan petugas media bertepuk tangan mendengar keputusan yang dikenakan kepada Shukur, ekoran itu semua wakil BN beramai-ramai keluar dewan.

Di luar dewan, kelihatan beberapa wakil pembangkang bercakap kepada wartawan mengenai soalan yang dibangkit tanpa menyatakan peraturan dewan yang mana hendak digunakan sebagai sandaran kuat untuk berhujah.

Harakahdaily/-

Alat CIA: Utusan biadap, Umno terdesak

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Tuduhan dangkal dan biadap ini datang selepas kenyataan tegas Datuk Seri Anwar yang menyelar tindakan Amerika dan regim zionis secara konsisten mutakhir ini. Malah, tambah menjengkelkan, kemunculan Datuk Seri Anwar di dalam temuramah CNN yang beroperasi di Amerika Syarikat juga dijadikan sebagai satu 'pembuktian longgar' Umno bahawa Anwar adalah alat CIA.

Serangan terbaru ini sekaligus menzahirkan Utusan telah menjadi akhbar nyamuk yang mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh seperti Allahyarham Usman Awang, Keris Mas dan A.Samad Said. Utusan kini jelas bukan lagi satu institusi, tetapi media yang telah terlacur sepenuhnya.

Tuduhan alat CIA nyata berat dan biadap dalam keadaan segalanya bermula apabila beberapa isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar secara umumnya dan Keadilan khususnya mendapat perhatian rakyat dan gagal dijawab secara berfakta oleh Umno-BN. Ini termasuklah isu APCO yang kini disambung kontrak, penglibatan Asiasoft di dalam maklumat perisikan negara, dan yang terkini ialah isu mengenai potensi Felda untuk bankrap berikutan penurunan prestasi kewangan yang membimbangkan.

Jawapan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussien bahawa tindakan akan diambil sekiranya ada bukti menunjukkan Umno begitu terdesak untuk membunuh karakter Anwar. Jawapan itu juga menunjukkan bahawa institusi polis sekaligus telah hilang kredibiliti apabila setelah 12 tahun isu alat CIA dimainkan, Datuk Seri Anwar masih gagal disabitkan dengan sebarang bukti konkrit dan sahih.

Strategi membunuh karakter Datuk Seri Anwar ini mudah dibaca: untuk mewujudkan persepsi negatif ke atas Datuk Seri Anwar di kalangan masyarakat Melayu. Melihat kepada potensi pilihan raya umum diadakan pada tahun ini, taktik busuk ini dicatur meskipun longgar. Kesinambungan pemberitaan negatif ke atas Datuk Seri Anwar ini jelas tidak berasaskan bukti-bukti yang kukuh. Apatah lagi, kes konspirasi liwat yang dicatur ke atas Datuk Seri Anwar juga semakin menemui jalan buntu.

AMK percaya bahawa semua ini dicatur berpaksikan kepada kegagalan Umno untuk meyakinkan rakyat dalam beberapa isu yang membangkitkan kemarahan rakyat mutakhir ini, termasuklah pembaharuan kontrak APCO di dalam urusan pengurusan komunikasi kerajaan Umno-BN.

Malah AMK tidak menolak bahawa inilah hasil yang membanggakan hasil konsultansi APCO kepada Umno. Imej Datuk Seri Anwar 'dibunuh' sehabisnya, pimpinan Pakatan dilaga-lagakan dengan isu-isu lapuk, akhbar-akhbar Pakatan seperti Suara Keadilan, Harakah dan Roket juga sedang berhadapan masalah pembaharuan permit.

AMK mendesak Utusan Malaysia menarik balik tuduhan biadap ke atas Datuk Seri Anwar tanpa sebarang kompromi, atau AMK akan bertindak untuk memimpin rakyat melakukan protes ke atas Utusan Malaysia.

Boikot Utusan Malaysia!

Harakahdaily/-

13 Julai 2010

MAJLIS PERJUMPAAN BEKAS-BEKAS PELAJAR YAYASAN PENGAJIAN TINGGI ISLAM KELANTAN ( YPTIK )

1 Syaaban 1431 H
Oleh: mohd hafez sabri



TARIKH: 24 JULAI 2010

MASA: 8.30 PAGI - 5.30 PTG

TEMPAT: DEWAN SERI MANTALOON KEDIAMAN RASMI MENTERI BESAR KEDAH.

ANJURAN: ALUMNI LEPASAN PENGAJIAN (YPTIK)

SEBARANG PERTANYAAN HUBUNGI : 013-5305236 ( USTAZ ABU BAKAR )

TEMA: UKHWAH ITU INDAH JIKA SEMUANYA KERANA ALLAH.

MCA DAN MIC AKAN `TALKIN'KAN UMNO

29 Rejab 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

MAKA tidak tertahan lah lagi MCA dengan karenah sebuah pertubuhan NGO yang bernama PERKASA itu. Pertubuhan yang dipimpin oleh MP Pasir Mas, Ibrahim Ali yang mendapat `ikhsan' kerusi tersebut dari PAS terlalu banyak menimbulkan kontroversi yang bukan sahaja menyakiti perasaan Ketua Pemuda Umno, bahkan juga pemimpin dari MCA juga. Bagi PR, itu semua tidak lagi menjadi pelik kerana PR sudah kenal siapa raja katak ini.

Apabila PERKASA dikatakan kununnya berjuang untuk orang-orang Melayu walaupun menyokong calon dari MIC sewaktu PRK Parlimen Hulu Selangor dan menolak Dato Zaid seorang Melayu Islam dari PKR, terlalu banyak memainkan isu perkauman maka MCA merasa sudah sampai masanya parti mewakili kaum Cina ini mengatur langkah agar PERKASA tidak keseorangan di gelanggang. Kenyataan pemimpin MCA agar parti tersebut wajar juga menubuhkan Pertubuhan ala PERKASA amat menarik minat kita.

Sudah tentu `PERKASA MCA' ini akan berdepan dengan PERKASA raja katak selepas ini. Tidak mengejutkan nanti akan muncul `PERKASA MIC' dan banyak lagi `PERKASA' di dalam parti komponen Bn bakal wujud. Inilah berita baik buat kita penyokong PR di mana membuktikan bahawa doa kita selama ini dimakbulkan agar mereka ini sentiasa berpecah belah. Itulah janji Allah, barangsiapa yang berjuang semata-mata atas dasar perkauman maka mereka tidak akan berjaya dan pasti berlaku pecah belah.

Kenyataan pemimpin MCA ini sudah pasti menambah beban buat Najib yang ketika ini sudah tidak terlarat lagi untuk berbohong kepada rakyat bahawa Bn sebuah parti yang stabil. Perkembangan ini menarik untuk kita lihat kesudahannya. Di dalam keadaan MCA menuduh DAP menyokong Islam yang dibawa oleh PAS, Umno pula tuduh PAS diperkudakan oleh DAP, PKR pula ejen Yahudi, Umno semakin menampakkan caca merba strategi mereka untuk menyaingi PR. Sudah habis modal untuk diperkatakan terhadap PR, sehinggakan terpaksa menyebut bahawa PAS adalah parti ajaran sesat.

Apa pun yang Umno perkatakan terhadap PKR, PAS dan DAP, hakikat yang kita lihat sehingga kini Umno tidak berani berdepan dengan ketiga-tiga parti di dalam PR ini. Mereka hanya terdaya menggunakan media pencacai mereka sahaja. Di pentas perdebatan, Umno bukan parti yang boleh lagi kita jemput untuk menunjukkan kebenaran hujah dan fakta.

PR hanya perlu menambah baik lagi penerangan di kalangan kaum Melayu yang kini masih ramai terpedaya dengan propaganda Umno. Nasib Umno tidak lagi di tangan parti komponen di dalam Bn, tetapi di tangan kaum Melayu yang masih tidak sedar itu. Jangan terperanjat jika MCA dan MIC akan menggalikan liang lahad serta mentalkinkan Umno suatu hari nanti.

Cicak oh cicak

29 Rejab 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

ARab panggil wazgah, omputih kate lizard...
Hukum makannya: Tentulah haram...
Hukum bunuhnya: Sunat dan Sunnah..
Dalilnya:

1. Ummu Syarik telah berbincang dgn Nabi berkenaan dgn membunuh cicak ni..NAbi menyuruhnya membunuh cicak. (Bukhari dan MUslim)
2. Nabi s.a.w bersabda:

(أقتلوا الوزغة ولو في جوف الكعبة)
Maksudnya: Bunuhlah cicak walaupun dlm ka'bah.(HR Tobrani)

Sebab perlu dibunuh:

1. Nabi menyuruh supaya membunuh cicak dan memanggilnya sebagai Fuwaisqa (binatang kecil yg jahat). Baginda bersabda pd menyatakan sebabnya:

(كان ينفخ النار على إبراهيم)
Maksudnya: Cicak telah meniup api bg api tu besar kpd Nabi Ibrahim. (HR Bukhario dan MUslim).

2. Pahala yg banyak bg yg membunuh cicak. Nabi s.a.w brsabda:

(أن من قتلها في الأولى فله مئة حسنة وفي الثانية دون ذلك وفي الثالثة دون ذلك)
Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yg membunuhnya dgn sekali pukulan maka dia mendapat seratus pahala, sesiapa yg mebunhnya pd pukulan yg ke2 dia mendapat kurang cikit (70phala) dan sesiapa membunuhnya dgn 3 pukulan maka dia mendapat kurang pahala dr yg lepas.

Imam 'Izzudin bin Abd Salam telah meyatakan sebab kpd banyaknya pahala pd pukulan pertama adalah kerana ia adalah ihsan ketika membunuh binatang; kerana ia mengurangkan kesakitan binatang. Nabi bersabda:

(إذا قتلتم فأحسنوا القتلة)
Maksudnya: Bila kamu membunuh hendaklah bersikap ihsan ketika membunuh.(Muslim).

Fadilat Amalan

29 Rejab 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Daripada Abdurrahman bin Ghonm r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

من قال قبل أن ينصرف وثني رجله من صلاة المغرب والصبح: لا إله إلا الله وحده لا شريك له، ل الملكوله الحمد بيده الخير، يحيىويميت، وهو على كل شيء قدير، عشر مرات، كتب له بكل واحدة عشر حسنات، ومحيت عنه عشر سيئآت، ورفع له عشر درجات، وكانت حرزا من كل مكروه، وحرزا من الشيطان الرجيم، ولم يحل لذنب يدركه إلا الشرك، فكان أفضل الناس عملا إلا رجلا يفضله، يقول أفضل مما قال
Maksudnya: Sesiapa yg berkata sebelum dia beredar dr tempat sembahyangnya dan sebelum dia mengubah posisi duduknya(duduk tahiyat akhirnya) pada solat magrib dan subuh:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد بيده الخير يحيى ويميت وهو على كل شيء قدير

Maka dia mendapat keistimewaan yg berikut:

1. Mendapat seratus pahala kebaikan.

2. Dihapuskan sepuluh kejahatan yg telah dilakukan.

3. Diangkat sepuluh darjat kedudukannya oleh Allah.

4. Dilindungi dr segala perkara yg tidak diingini.(dijauhkan dr bencana, malapetaka dan seumpamanya)

5. Dilindungi dr gangguan syaitan yg direjam.(dijauhkan dr gangguan mahkluk halus)

6. Tidak akan rosak amalannya melainkan dgn perbuatan syirik.

7. Org yg paling baik amalannya melainkan org yg berzikir lebih banyak dan lebih baik darinya.

Hadis riwayat Imam Ahmad, Thabrani, Tirmizi dan Nasaie.Kedudukan sanad hadis: Hasan.

Pengajaran: Marilah kita sama2 beramal hadis ini dgn Istiqomah yg hanya amalan yg ringan tetapi ganjaran yg sangat besar. Berzikirlah dgn penuh khusyuk dan menghadirkan hati. Cubalah sembunyikan amalan anda dr pengetahuan org lain.

Isu pasir: Speaker halau DUN BN keluar dewan

29 Rejab 1431H.

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim hari ini menghalau Abdul Syukur Idrus (BN-Kuang) keluar daripada dewan.

Tindakan itu dilakukan Teng mengikut peraturan mesyuarat 44 (2) selepas bertikam lidah dengan Abdul Syukur selama kira-kira 10 minit.

"Saya perintah bawah peraturan mesyuarat 44(2) disebabkan YB degil, saya perintahkan yang berhormat keluar daripada dewan," kata Teng selepas Abdul Syukur (kanan) berkeras untuk mengemukakan soalannya.

Abdul Shukur ingin mengemukakan soalan berkaitan aktiviti kecurian pasir di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau disekat oleh Teng apabila enggan menyatakan peraturan mesyuarat untuk membolehkannya bangun bercakap.

Bercakap kepada media selepas itu, Teng berkata Abdul Syukur juga digantung daripada dewan selama satu hari memandangkan beliau telah berkali-kali memberi peringatan kepada ADUN Kuang itu seupaya mematuhi perintah tetap.

Katanya, peraturan 35(1) yang dipetik oleh Abdul Syukur hanya peruntukan umum untuk membolehkan seseorang ahli bercakap, dengan kebenaran speaker dewan.

"Tetapi kalau dia hendak bawa apa-apa isu, dia kena spesifik kepada peraturan apa," katanya lagi ketika ditemui wartawan di luar dewan.

Katanya, Abdul Syukur ingin bercakap bawah peraturan 34(1) untuk menyoal mengenai satu usul yang telah ditolak olehnya sebelum ini.

Jelasnya, beliau tidak membenarkan tindakan itu kerana peruntukan berkenaan adalah untuk menarik balik sesuatu usul.

Tambahnya, usul berkenaan adalah untuk memotong gaji menteri besar, atas kegagalan menteri besar menguruskan isu kecurian pasir.

Katanya, beliau menolak usul tersebut kerana tidak dikemukakan mengikut peraturan sepatutnya, iaitu bawah peraturan perbekalan (bajet).

Beliau juga menolak dakwaan daripada Abdul Syukur, bahawa kerajaan negeri ingin menutup isu pasir apabila menolak usul berkenaan.

Jelasnya, dakwaan Abdul Syukur itu menunjukkan wakil pembangkang tidak memahami konsep pengasingan kuasa yang diamalkan kerajaan negeri.

Jelasnya, eksekutif tidak akan mengetahui sekiranya dewan telah menolak sesuatu usul daripada dibincangkan. Malaysiakini/-

Ibu bapa ku sayang

29 Rejab 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Sebab apa kita perlu berbuat baik pd Ibu bapa kita...

1. Seorang lelaki datang berjumpa dgn Nabi s.a.w lalu berkata: "Aku hendak berbaiah untuk berhijrah dgnmu dan aku telah meninggalkan kedua ibu bapa ku dlm keadaan menangis."
Lalu Nabi bersabda:

(ارجع إليهما فأضحكهما كما أبكيتهما)
Maksudnya: "Kembalilah pd kedua ibu bapamu dan buatlah mereka ketawa seperti kamu buat mereka menangis."(Hr Abu Daud)

2. Talhah bin Muawiyah berkata: Ya Rasulullah.. Aku nak berjihad fi sabilillah..Rasul bertanya: Adakah ibumu masih hidup? Dia menjawab: "ya" Rasul bersabda:

(الزم رجلها فثم الجنة)
Maksudnya: "lazimi kakinya; maka di situlah syurga."(HR Thabrani)

3. Nabi bersabda:

(عفوا عن نساء الناس تعف نساءكم وبروا آباءكم تبركم أبناؤكم)
Maksudnya: Peliharah drpd berbuat dosa dengan wanita2 lain; nescaya akan terpelihara isteri dan ankmu drpd lelaki2 lain berbuat dosa dgn mereka. Berbuat baiklah kepada Ibu bapamu nescaya anak2mu akan berbuat baik pdmu.(HR Hakim)

4. Nabi bersabda:

(من سره أن يمد له في عمره وزاد له في رزقه فليبر والديه وليصل رحمه)
Maksudnya: Sesiapa yg suka untk dipanjangkan umurnya dan ditambah rezkinya maka hendaklah dia berbuat baik kpd Ibu bapanya dan sambungkan hubungan silatur rahim.(HR Ahmad).

5. Firman Allah:
(أن اشكر لي ولولديك)
Maksudnya: Hendaklah kamu bersyukur kepadaku dan kpd dua ibubapamu.(14: Luqman).
Ulama berkata: Allah mewajibkan bersyukur pdNya dan pd kedua Ibu bapa. Sesiapa yg tidak bersyukur kpd ibu bapa maka dia tidak bersyukur kpd Allah.

Berbuatbaiklah kita kpd ibu bapa sebelum mereka meninggalkan kita...ingat2lah mereka...balaslah jasa mereka..jagalah hati mereka..sentiasalah berdoa utk mereka.

Suara Keadilan "baru" diedar percuma esok

29 Rejab 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat edaran percuma akhbar rasmi parti itu, Suara Keadilan di sekitar ibu negara esok.

Akhbar versi baru itu difahamkan sekali lagi membuat pembongkaran tentang Felda dan akan diedar di sekitar Masjid Jamek bermula jam 8 pagi esok.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga difahamkan sudah menerima arahan untuk membuat edaran tersebut.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini menggantung tidak bertali permit penerbitan Suara Keadilan kerana didakwa tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pihak akhbar tersebut berhubung laporan "Felda Bankrap".

Permit penerbitan akhbar itu telah tamat 30 Jun lalu.Biarpun diberi amaran oleh KDN, penerbitan akhbar tersebut tetap diteruskan seperti ditegaskan pemimpin mereka sebelum ini.

KDN juga sebelum ini didakwa membuat sebuat ke syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran, untuk mencari terbitan terbaru Suara Keadilan.

KDN bagaimanapun menafikan melakukan serbuan tersebut.Selain Suara Keadilan, Harakah juga berdepan masalah penerbitan apabila permitnya tamat 7 Julai lalu dan diberi surat tunjuk sebab oleh KDN.

Pihak Harakah juga bagaimanapun telah mengemukakan penjelasan pada 9 Julai lalu.Urusan pembaharuan permit juga sedang diusahakan.

Harakahdaily/-