14 Julai 2010

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat Scorpene

1 Syaaban 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR 12 Julai: Pakatan Rakyat mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kapal selam Scorpene bernilai EURO1.084 bilion kerana gagal berfungsi dengan baik dan kerap kali mengalami masalah teknikal.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika merujuk berita Malay Mail pada 7 Julai lepas mengenai isu kapal selam KD Tunku Abdul Rahman, mendedahkan kapal selam berkenaan yang diterima pada 26 Januari tahun lepas masih lagi mengalami masalah teknikal dan tidak boleh menyelam sehingga kini.

"Kapal selam yang bernilai EURO1.084 bilion ini telah menunjukkan kegagalan bertugas dengan sempurna dan berulang kali mengalami masalah teknikal dan difahamkan jaminan daripada pihak pembekal telah dilanjutkan daripada 25 Januari sehingga 25 Mei tahun ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tian yang juga pengarah strategi PKR, turut mendesak Menteri Pertahanan sendiri menyatakan kos sebenar penyelenggaraan bagi dua buah kapal selam itu yang dianggarkan berjumlah RM270 juta setahun.

"Saya mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu kapal selam jenis Scorpene ini kerana terdapat perkara yang dipertikaikan kerana kos melebihi EURO 1.34 bilion telah dibelanjakan amat merugikan negara kerana kapal selam tersebut yang seringkali mengalami kerosakan serta misil yang dibeli pada tahun 2002 mengalami kelewatan penerimaan oleh pihak Malaysia menyebabkan kelewatan pelancaran misil yang sepatutnya dijalankan pada bulan Mei lepas,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu percaya kapal selam dengan keadaan sedemikian memerlukan perbelanjaan kos penyelenggaraan yang lebih besar lagi."Kapal selam tersebut juga gagal menjalankan tugas untuk mengawal dan menjejaskan keselamatan negara jika berlaku malapetaka," katanya.

Turut dipertikaikan beliau mengenai tindakan kerajaan yang gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis untuk menyiasat penyelewengan dalam skandal pembelian dua buah kapal selam itu walaupun tiada perkembangan dalam penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: