21 September 2010

Bapa cadang pohon pengampunan bebas Umi Azlin

11 Syawal 1431 H

Seorang mekanik bercadang memohon pengampunan bagi membebaskan anak perempuannya yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di China sejak tiga tahun lepas kerana menyeludup dadah ke republik itu.

Mohd Lazim Jusoh, 53, berkata sehubungan itu, beliau memerlukan kerjasama dan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak, termasuk Wisma Putra di Kuala Lumpur bagi membebaskan Umi Azlin, 26.

"Saya tidak mampu menanggung sendirian kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar, sekurang-kurangnya lebih RM10,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasir Puteh hari ini.

Mohd Lazim berkata beliau bercadang mengemukakan permohonan itu tidak lama lagi.

Umi Azlim sebelum ini dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahan menyeludup dadah ke China, bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou meringankan hukuman itu kepada penjara seumur hidup.

Bekas penuntut jurusan Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu didapati bersalah menyeludup 2,983 gram heroin di Lapangan Terbang Shantao empat bulan selepas menamatkan pengajiannya, dan telah dijatuhkan hukuman mati pada 15 Mei 2007.

Mohd Lazim turut melahirkan rasa terkilan apabila tidak dapat menghubungi anak sulungnya itu sempena Hari Raya Aidilfitri selepas setahun terputus hubungan.

Beliau berkata Umi Azlin pernah menghubunginya pada awal tahun lepas dan bertanyakan khabar mengenai perkembangan adik-adiknya di sini.

"Mungkin ketika ini talian sibuk sempena perayaan, jadi saya sukar untuk menghubunginya kerana terpaksa melalui beberapa halangan, termasuk di China," katanya.

Malaysiakini/-

DAP gesa Umno henti salahguna Perkara 153

11 Syawal 1431 H
Oleh: Humayun Kabir

DAP mendakwa bahawa Umno telah menyalahgunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk keuntungan kroninya, dan mendawa tindakan itu melanggar Perkara 8 perlembagaan.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (kiri) berkata Perkara 153 menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong melindungi peruntukan kepada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dalam institusi pendidikan dan perkhidmatan awal, untuk biasiswa, dan pemberian permit.

Bagaimanapun, dakwanya, Umno telah memperluaskan skop kedudukan istimewa itu, merangkumi hak-hak lain termasuk perumahan dan kedai untuk dijual dengan diskaun, dan mewujudkan ekuiti korporat, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan sistem.

Ngeh yang juga ahli parlimen Bruas dan ADUN Sitiawan berkata, tindakan itu bertentangan dengan apa yang telah ditentukan mengikut Perkara 153 dan melanggar Pasal 8 perlembagaan persekutuan, yang menyatakan bahawa semua rakyat Malaysia adalah sama di segi undang-undang.

Bagaimanapun, tegasnya, majoriti orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak tidak mendapat manfaat daripada perluasan kontrak sosial tersebut.

Beliau turut menasihati Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) supaya tidak bertindak keterlaluan, mengambil kesempatan daripada isu tersebut untuk kepentingan politiknya.

Beliau juga meminta Umno menyedari realiti tersebut dan membantu orang Melayu yang miskin dan kaum pribumi di Malaysia Timur, meningkatkan status ekonomi dan kehidupan mereka.

Ngeh menegaskan demikian dalam ceramahnya anjuran DAP cawangan Aulong di Taiping pada malam Jumaat lalu, yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 penyokong.

Malaysiakini/-

Polis siasat kematian rakan baik Sosilawati

11 Syawal 1431 H

Polis akan menyiasat kematian pengasas Aveer Cosmetics, Sarina Jaafar bagi memastikan sama ada kes tersebut berkait dengan pembunuhan rakan baiknya Datuk Sosilawati Lawiya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan melihat kes yang berlaku di Pulau Pinang itu dari semua sudut.

"Apa-apa yang kita dengar, yang berkaitan, kita akan siasat. Kita akan tentukan, bukan sahaja lihat dari satu sudut tapi semua sudut kita akan lihat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Parlimen hari ini.

Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi semalam, dan media melaporkan wanita itu ada memaklumkan kepada anggota keluarga tentang keinginannya menggantung diri.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa Sosilawati yang telah disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, sebelum mayat mereka dibakar dan abu ditabur ke dalam sungai di Banting, Selangor.

Sementara itu ditanya mengenai desas-desus polis telah melakukan pemeriksaan di pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah dan klinik milik isterinya, Ismail berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.

"Siasatan masih lagi berjalan kerana kita mendapat perkembangan baru tentang gambaran yang lain. Apa yang penting, dalam masa terdekat ini kita boleh selesaikan segalanya," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tujuan pemeriksaan tersebut yang dipercayai dilakukan semalam.

Jumaat lepas, Murugiah telah membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengaitkan beliau dengan seorang peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Murugiah sebelum itu memberitahu media bahawa suspek merupakan penyumbang utama hamper dan pelbagai barangan lain yang disampaikan beliau kepada masyarakat Orang Asli pada satu majlis di Banting pada 8 September lalu.

Sementara itu, Bernama memetik anak saudara mangsa, Naimah Said, 32, sebagai berkata kematian Sarina tiada kaitan dengan kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh secara kejam bersama tiga individu lain
baru-baru ini.

Katanya, Sarina dipercayai membunuh diri akibat tekanan perasaan yang dialaminya sejak beberapa bulan lepas dan wanita itu juga pernah cuba membunuh diri dengan menggelar pergelangan tangan.

"Sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak ada masalah dalam pernigaaan. Jadi, kematiannya mungkin lebih berpunca daripada masalah keluarga kerana sebelum ini, Mak Anjang (panggilan mesra Naimah kepada Sarina) juga pernah beberapa kali menceritakan masalah keluarganya, dan kami percaya tiada unsur-unsur lain dalam hal ini (kematiannya)," katanya ketika ditemui di kediaman Sarina hari ini.

Beliau berkata Sarina pernah menyuarakan hasratnya untuk mengunjungi rumah Sosilawati di Kuala Lumpur bersama rakan-rakan seperniagaan lain sebaik mengetahui berita kematian jutawan kosmetik itu melalui media.

"Arwah memberitahu hendak ke sana untuk menyertai kenduri tahlil dan membacakan Yaasin untuk rakan baiknya itu (Sosilawati), dan hanya menunggu panggilan daripada rakan-rakannya.

"Tetapi mereka (rakan-rakan Sarina) tidak menghubunginya, dan arwah tidak sempat menunaikan hasratnya itu," kata beliau yang akrab dengan mangsa.

Naimah berkata Sarina sempat menghubunginya sebelum ditemui mati dan berpesan supaya beliau menjaga anak mangsa serta membantu urusan perkahwinan Mohd Azrul Affendi Jakaria, 24, yang dijadualkan berlangsung Januari depan.

"Mak Anjang pesan suruh jaga anak serta minta uruskan perkahwinan anaknya nanti, sebelum panggilan antara saya dan dia terputus," katanya.

Sementara itu, anak kedua Sarina, Siti Badryah Jakaria, 23, berkata keluarga beliau masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa ibunya itu.

Jurucakap polis ketika dihubungi berkata, laporan bedah siasat menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kes itu, dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sarina yang mengusahakan perniagaan kosmetik sejak lebih lima tahun lepas, ditemui mati tergantung oleh anaknya yang berusia 16 tahun dan ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumahnya.

Malaysiakini/-

20 September 2010

Istiqamah..

10 Syawal 1431H.

“Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepadaku suatu ucapan sehingga aku tidak perlu bertanya lagi kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ucapkanlah ‘Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah’” (HR Muslim).

Dapat difahami dari apa yang dikemukan Rasulullah dalam hadits di atas bahwa beriman itu amat penting, namun yang lebih penting lagi untuk tahap selanjutnya adalah beristiqamah atau menetapkan hati dalam keimanan. Apalagi imannya seseorang boleh mengalami pasang surut setiap saat. Paling menyedihkan bila surut iman seringkali dialami orang setelah sempat berusaha sekuat-kuatnya untuk pasangkan (imannya) di waktu bulan Ramadhan.

Tentunya sangat malang bagi manusia yang hidup dalam keadaan iman surut atau bahkan tidak beriman. Sebab, mungkin sahaja ajal akan menjemput di saat sedang demikian. Sedangkan Allah sudah mengingatkan dalam al-Qur’an agar jangan sekali-kali mati kecuali dalam keadaan beriman atau dalam keadaan Islam.

Meskipun diingatkan secara berulang kali namun manusia diberikan pilihan untuk mati dalam keadaan beriman atau sebaliknya. Masih banyak manusia yang tidak mampu mengawal hidupnya, sehingga akhirnya mendapati dirinya mati dalam keadaan tanpa beriman. Buktinya, tidak semua orang mampu bertindak lurus atau tetap hidup sesuai dengan tuntunan iman. Malam beriman, siangnya sudah berubah diwaktu malamnya.

Malah timbul kebimbangan di waktu sekarang bila orang yang bergelar Islam sudah sanggup bunuh orang lain dan membunuh diri. Sedangkan Hukum bunuh diri sangat jelas iatu "tidak mencium bau syurga" dan tjenazahnya tidak layak dikebumikan di perkuburan Islam.

Kemalangan yang menggerikan...

10 Syawal 1431H.

"Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri” (QS. Al Isra: 15).

Menyaksikan kemalangan dijalanraya, seketika muncul rasa ngeri dan takut. Lebih ngeri lagi kalau diri kita sendiri yang mengalaminya. Sesungguhnya kalau direnungi, tidak sedikit manusia mengalami kemalangan setiap hari. Malah Indek kematian dari kemalangan maut sehingga jumaat lepas ialah 16.2 orang dalam tempoh sehari di Malaysia.

Begitu juga dalam melakukan perjalanan hidupnya, manusia terus menerus melanggar batas-batas yang telah digariskan dalam ajaran Allah. Begitulah kehidupan manusia yang tidak mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah.

Menurut sebahagian ulama, antara manusia dengan hidayah ibarat mata dengan cahaya matahari. Meskipun manusia mempunyai mata, manusia akan susah berjalan di alam ini bila tidak ada cahaya matahari. Sebaliknya, akan susah juga berjalan bila ada cahaya matahari tetapi tidak punya mata. Dengan demikian, manusia memerlukan cahaya untuk memudahkan melakukan perjalanan dan tidak mengalami kemalangan dalam hidup ini.

Tentunya, cahaya dari Allah selalu ada. Agar bisa memanfaatkannya, manusia tidak boleh selalu tertidur. Perlu membuka matanya lebar-lebar untuk menemukan cahaya dari Allah. Namun demikian, Allah menegaskan bahwa tidak akan diberikan hidayah kepada orang-orang yang menempuh jalan kefasikan dan kezaliman atau kejahatan lainnya. Kerana itu, penting sekali berusaha membersihkan jalan kita ini untuk mendapatkan hidayah dari Allah.

Semuga Ramadhan yang telah berlalu selama 10 hari lepas telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam menididik rohani dan jasmani kita kearah lebih taat kepada Allah dan sentiasa merasa ngeri kepada dosa-dosa sekiranya kita melanggar batas-natas yang telah ditentrukan oleh Allah.

19 September 2010

Rakan Sosilawati ditemui mati tergantung di biliknya

10 Syawal 1431H.

BUKIT MERTAJAM 18 Sept. - Pengasas produk kecantikan Aveer, Sarina Jaafar yang juga kenalan rapat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini hari ini.

Pemilik syarikat SBJ Aveer Services Sdn. Bhd. berusia 45 tahun itu ditemui tergantung di biliknya kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.

Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Anak sulung Sarina, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, yang dihubungi memberitahu, berita kematian ibunya mengejutkan seluruh ahli keluarga kerana arwah tidak menunjukkan perubahan sikap kebelakangan ini.

Mohd. Azrul berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di Kuala Lumpur dan kali terakhir dia menemui Sarina ialah pada petang semalam dan sempat menasihati ibunya supaya berhati-hati dalam perniagaan ekoran banyak berlaku kes pembunuhan kebelakangan ini.

"Ibu beberapa kali turut menyuarakan rasa terkilan dan sedih berhubung kejadian yang menimpa Datuk Sosilawati kerana ibu rapat dengannya," kata Mohd. Azrul.

Menurutnya, kejadian tersebut sangat menyedihkan keluarganya tambahan lagi ia berlaku ketika mereka sedang memulakan persiapan bagi majlis perkahwinannya yang dijadualkan Januari nanti.

"Saya telefon ibu pagi tadi tetapi tidak diangkat sehinggalah diberitahu mengenai kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohan Singh Tara Sigh yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat Sarina ditemui mati di rumahnya kira-kira pukul 8.30 pagi dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk bedah siasat.

"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan kita harap semua pihak tidak membuat spekulasi walaupun mangsa dikatakan kenalan rapat Datuk Sosilawati," katanya.

Yakinkan rakyat, Pakatan mesti ambil alih Putrajaya

10 Syawal 1431H.

KOTA BHARU, 19 Sept: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menegaskan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS mempunyai keyakinan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini mesti diubah.

Tambahnya, dalam masa sama meyakinkan rakyat bahawa Putrajaya mesti diambil alih memandangkan kepada suasana yang berlaku dalam negara kini memerlukan perubahan.

Suasana dalam negara kini, katanya, perlu ditangani serius oleh pihak berkuasa terutama masalah jenayah, pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata demikian kepada media pada Rumah Terbuka PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, semalam.

Mengulas dakwaan disebabkan persaingan sengit parti politik selepas Pilihan Raya Umum 2008 menyumbang kepada ketidakstabilan negara termasuk hubungan kaum dan sosial masyarakat, beliau berkata kenyataan itu menggambarkan hilangnya kewibawaan pimpinan Umno Barisan Nasional yang mendominasikan negara bagi menjadikan suasana harmoni serta kawalan keselamatan yang baik.

“Apa persoalannya dengan remaja yang membuang anak, kelahiran anak luar nikah yang begitu ketara mutakhir ini, penipuan di kalangan ahli-ahli perniagaan hingga membawa kepada berlakunya pembunuhan, apa kaitannya dengan persaingan sengit parti politik?” soalnya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Ini kerana, katanya persaingan politik adalah pada bentuk ideologi dalam mengemukakan pilihan-pilihan dan alternatif kepada rakyat.

Namun apa yang berlaku dalam negara kini, katanya menyebabkan rakyat seolah-olah berada dalam keadaan terumbang ambing, ekonomi dan masa depan pendidikan negara tidak jelas.

Begitu juga, ujarnya dengan suasana pergaulan sosial masyarakat khususnya di kalangan remaja tidak dikawal dengan serius, sedangkan itu adalah fungsi yang mesti dilaksanakan pihak berkuasa.

Beliau menambah, ertinya keputusan PRU 2008 itu menyebabkan Umno BN tidak mampu mentadbir dengan baik walau pun mereka menang, meski pun bukan dua pertiga di Parlimen.

Pada beliau, Umno BN mesti mengaku kegagalan mentadbir negara serta menggambarkan betapa merosotnya prestasi parti perkauman Melayu itu.

“Dakwaan itu juga sebagai permulaan kepada satu pilihan raya untuk mendapatkan mandat baru memandangkan mandat yang ada kini adalah ‘mandat kepada Pak Lah’, dan kalau itulah kemungkinannya maka dakwaan analisa persaingan sengit politik itu adalah di luar politikal,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Sokongan rakyat Kelantan pada PAS makin kukuh

10 Syawal 1431H.

KOTA BHARU, 18 Sept: Kejayaan PAS mentadbir Kelantan diraikan oleh setiap lapisan masyarakat yang kini menyambut tahun ke-20 dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh.

Ini dibuktikan kehadiran rakyat ke majlis Sambutan Aidilfitri PAS Kelantan yang mencecah 15,000 orang pada tahun ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika ditemui di majlis tersebut, beliau berkata, sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap pimpinan ulama di bawah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh dijadikan kayu pengukur

Justeru, katanya dakwaan Umno bahawa sokongan terhadap PAS semakin berkurangan amat tidak berasas.

“Pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan dan parti di Kelantan kini, kita boleh lihat sambutannya yang begitu memberangsangkan dan dakwaan Umno yang mengatakan rakyat Kelantan sudah bosan dengan PAS tersasar sama sekali,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah pula memberitahu golongan muda yang berada di luar Kelantan juga semakin memahami dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri berkata, ini dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) yang setiap tahun mengadakan majlis ramah mesra bersama pimpinan kerajaan negeri juga mendapati kehadiran anak muda untuk bersama Menteri Besar semakin meningkat.

“PAS akan sentiasa bekerja keras bagi mempertahankan Kelantan pada PRU ke-13 nanti dan golongan muda akan menjadi tumpuan utama,” kata beliau lagi.

Majlis Rumah Terbuka PAS negeri yang diadakan setiap tahun, hari ini menyaksikan kehadiran 40 sami dari seluruh negeri yang makan bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka telah menerima sumbangan duit raya dalam bentuk dirham yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru pada majlis yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke IV.

Harakahdaily/-

18 September 2010

Media tidak wajar sokong demokrasi ‘mengarut’


9 Syawal 1431H

KOTA BHARU, 18 Sept: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, demokrasi di Malaysia berat sebelah dan tidak sepatutnya disokong pengamal media termasuk kaum wartawan

Bahkan, katanya demokrasi yang berlangsung di negara ini adalah ‘mengarut’ apabila teori demokrasi itu sendiri tidak sama dengan amalan.

Justeru beliau yang juga Mursyidul Am PAS menambah, kaum wartawan tidak wajar memberi sokongan kepada Umno Barisan Nasional.

“Demokrasi di Malaysia memang langsung berat sebelah.

“Perdana Menteri Malaysia tidak datang merasmikan jalan dan Jambatan Sultan Yahya Petra, mereka tidak mengundang Menteri Besar, tahu-tahu jalan dan jambatan itu sudah pun selesai dibuka.

“Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dahulu pun, dia tidak mengundang Menteri Besar pada majlis rasmi yang diadakan. Ini demokrasi apa seperti itu, demokrasi mengarut. Belajar di universiti lain, yang buat lain.

“Oleh itu tidak patut kaum wartawan menyokong Umno, tidak patut sokong barang salah. Biar mapus gi lah. Tidak patut wartawan sokong BN,” katanya pada Majlis Dialog Menteri Besar Bersama Wartawan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Beliau berkata, sepatutnya kaum wartawan menjalankan kempen terhadap Kerajaan Persekutuan supaya turut meluluskan lesen radio dan televisyen bagi memudahkan rakyat mememahami erti demokrasi.

PAS, katanya memohon supaya diberikan lesen radio dan televisyen sejak lama dahulu tetapi hingga kini masih tidak ditunaikan.

“PAS tidak ada radio dan tv, sedangkan negara dikatakan mengamal demokrasi. Demokrasi apa macam itu.

“Tetapi kalau selagi wartawan menyokong perkara salah dilakukan Pusat itu, maka sampai bila pun rakyat dan negara tidak selamat, dan tidaklah pihak berkenaan sewenang-wenangnya menggunakan ISA terhadap pembangkang,” katanya lagi.

Beliau turut mengulas layanan diberikan kepada Utusan Malaysia.

“Akhbar harian Utusan Malaysia dianak tirikan kerajaan negeri ketika bertugas, macam mana tidak diketepikan sebab Utusan berat sebelah,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat pebezaan kandungan akhbar Sinar Harian berbanding Utusan di mana dalam Sinar menyiarkan berita orang PAS dan Umno.

Ekoran itu, beliau melihat sebahagian besar orang kampung sekarang ini jarang membaca Utusan.

“Wartawan yang benar-benar ‘wartawan’ mereka tidak perlu berpihak kepada Pusat. Sepatutnya wartawan turut mengempen sama supaya Pusat memberikan lesen radio dan tetevisyen kepada negeri Kelantan,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof dan Setiausaha Akbar, Ahmad Fadhli Shaari.

Harakahdaily/-

Autonomi di Sabah jika Pakatan kuasai Putrajaya

9 Syawal 1431H.

Impak ikrar Pakatan Rakyat untuk memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika mereka membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya umum akan datang hanya berkesan jika mereka meletakkan calon berwibawa mewakili mereka.

Penganalis politik James Chin percaya faktor calon amat penting, khususnya bagi PKR kerana sejarah silam yang dikongsi oleh rakyat negeri itu dengan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa menjadi timbalan perdana menteri ketika pentadbiran Tun Dr Mahthir Mohamad, Anwar dilihat sebagai dalang yang menumbangkan kerajaan negeri pembangkang pimpinan PBS pada 1994.

Meskipun memenangi pilihan raya negeri Sabah buat kali ketiga berturut-turut, walaupun dengan majoriti mudah, kerajaan PBS terus tumbang apabila pemimpin dan ADUNnya berpaling tadah ke BN.

"Rakyat mempunyai perasan berbelah-bahagi terhadap Anwar tetapi jika PKR boleh mengemukakan calon berwibawa, saya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu,” kata Chin ketika dihubungi hari ini.

Ketika melancarkan Pakatan Sabah di Kota Kinabalu pada malam Rabu lalu, Anwar bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, berikrar bahawa Sabah akan diberikan autonomi penuh jika Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

"Hal ehwal Sabah akan ditentukan oleh Sabah,” kata Anwar yang dipetik The Borneo Post hari ini.

Pemimpin nasional dan negeri Pakatan daripada ketiga-tiga parti - PKR, PAS dan DAP - menghadiri majlis itu tetapi parti bebas SAPP tidak hadir.

Menurut Chin yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Monash, ketidak-hadiran SAPP tidak memberi kesan asalkan semua mereka sepakat untuk bertanding satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya akan datang.

Katanya, ikrar autonomi itu agak signifikan di Sabah kerana sentimen tersebut masih kuat berhubung perjanjian 20 perkara yang dimeterai semasa pembentukan Malaysia antara Malaya, Sarawak dan Singapura pada 1963 yang terus diketepikan oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun perkara itu kurang berkesan di Sarawak kerana ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya mengurangkan campur tangan persekutuan di negeri itu pada tahap minimum.

"Terdapat lebih banyak campur tangan persekutuan di Sabah kerana kerajaan pembangkang,” katanya yang merujuk kepada PBS.

malaysiakini/-

'Ustaz Kamal' MIC masuk masjid .



9 Syawal 1431H.

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan Umno tanpa syak lagi "berkura-kura", berpura-pura dan memutarbelitkan fakta berhubung isu bukan Islam dibenarkan memasuki surau dan masjid.

Beliau yang juga anggota biro politik PAS juga malah mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula terus menjadi "kesinambungan wadah kepuraan Umno dalam bersandiwara"

Menulis dalam blognya hari ini, Khalid memuatkan kembali beberapa keping gambar, antaranya menunjukkan pemimpin Umno memberikan 'tazkirah'.

Terdapat juga gambar Kamalanathan - yang didakwanya digelar 'Ustaz Kamal' oleh perayu undi Umno semasa kempen pilihan raya kecil lalu - menyampaikan sumbangan dalam sebuah masjid.

Dimuatkan juga sekeping gambar Kamalanathan dalan sebuah progam gotong royong di Masjid Felda Soeharto, Hulu Selangor yang mana pengerusi MAIS didakwa turut hadir.


"Lebih hebat, 'Ustaz Kamal' bersama pengerusi MAIS menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta.

"Ke mana perginya ahli parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya umat Islam telah dihina?" soalnya.

Sebelum ini, tindakan ahli parlimen Serdang daripada DAP memasuki sebuah surau di Kajang mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pihak, terutamanya oleh pemimpin Umno dan BN.

MAIS malah memberikan amaran keras kepadanya ekoran tindakan itu.

Sumber berita : Malaysiakini/-

Konvoi 136 Ekor Ulat Bulu


9 Syawal 1431H.
KALIMAJARO I

Firman Allah yang maksudnya:

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

Surah Al Furqan 25:63

Kejadian di Afrika Selatan pada 6 September 2010

South Africa Isnin 6 September 2010: Sebanyak 136 ekor ulat bulu berkonvoi beratur rapat sepanjang 17 kaki membuatkan pemandu kenderaan pelancong terlihat peristiwa aneh itu lalu memberhentikan kenderaannya selama 20 minit untuk memberi laluan kepada ulat-ulat tersebut.

Jamie Rooney,38, bersama pelancong-pelancong lain dalam perjalanan dari melawat Kruger National Park, South Africa sempat merakam periistiwa aneh itu. Ulat-ulat bulu ini berpindah daripada tempat ia menetas menuju ke belukar kemudian berpecah ke haluan masing-masing menjadi kepompong sementara menunggu masa untuk berubah menjadi seekor rama-rama yang cantik.

Tindakan ulat-ulat bulu ini berbaris panjang telah menyelamatkan mereka daripada maut dilanggar kenderaan. "Berhati-hati dan bersopan di jalan raya dapat mengelakkan tragedi yang tiada sesiapa mengingini". SubhanAllah.

Nikmat akan ditanya.

8 Syawal 1431H.
http://akhisalman.blogspot.com/

Selamat hari raya aidil fitri dan maaf zahir batin pada semua

semakin lama manusia hidup semakin banyak nikmat yang dia kecapi, semakin banyak soalan tuhan yang dia akan terima pada hari kiamat. Setiap sen , setiap detik, setiap nafas dan setiap nikmat akan ditanya. Itulah yang tuhan maha agong firmankan dalam Quran yang agong dalam ayat yang terakhir surah at-Takathur:

" Kamu pasti akan ditanya pada hari kiamat tentang segala nikmat yang kamu dapat."

Kita kebanyakannya gembira mendapat nikmat. Ada yang puas, yang tersenyum, yang ketawa, yang gembira, yang melompat dan berbagai gaya dan aksi lagi. Tetapi baginda saw menangis ketika mendapat nikmat. Setelah baginda makan kambing panggang dan susu kambing bersama sahabat, baginda menangis sehingga basa lantai. Apabila ditanya, baginda menjawab :

" Ini adalah daripada nikmat yang ditanya tentangnya."

Nabi orang yang paling bersyukurr terhadap nikmat tuhan menangis kerana takut tidak mensyukuri nikmat Allah. bagaimana dengan kita yng banyak kufur dengan nikmatnya....lagi banyak nikmat lagi bnyak soalan yang akan kita terima pada masa kita dihisab kelak. sebab itu orang2 miskin yang baik lebih dahulu masuk syurga dari orang-orang kaya ahli syurga. Nabi saw bersabda:

" Orang-orang fakir beriman masuk syurga lima ratus tahun lebih dahulu dari orang-orang kaya beriman."

Hadis riwayat Tirmizi.

Setiap nikmat yang kita terima akan menuntut haknya pada hari kiamat kelak. Dari mana kita ambil dan kemana kita gunakannya. Nabi saw bersabda:

" Anak adam pasti akan ditanya 4 perkara pada hari kiamat kelak

1. DItanya tentang umurnya bagaiman ia habiskan.

2. Ditanya tentang masa remajanya bagaimana dia menggunakannya.

3. Ditanya tentang hartanya , dari mana ia ambil dan ke mana dia gunakannya.

4 . Ditanya tentang ilmunya sejauh mana pengamalannya.

Hadis riwayat tirmizi.

Allah menuntut hak kesyukuran dari segala nikmat yang diberikan kepada kita. Apa hak kesyukuran? hak syukur adalah menggunakan segala nikmat Allah untuk apa yang Allah perintahkan. Nikmat datang dari Allah, dengan cara Allah kita kena gunakan. Setiap detik dan setiap nikmat yang kita terima kita kena gunakannya untuk Allah dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah.

bersambung....

Lapor polis: Tuduh suspek bunuh Sosilawati ahli DAP

8 Syawal 1431H.

GEORGETOWN, 17 Sept: DAP Pulau Pinang terpaksa membuat laporan polis terhadap kenyataan liar bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Zahid Md Arip yang menuduh suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ahli seumur hidup parti itu sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia, 16 September lepas.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Zahid bermatlamat memburuk-burukan DAP yang kini telah diterima rakyat sebagai sebuah parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

"Tuduhan yang tidak berasas kerana suspek berkenaan tidak pun pernah sertai DAP tetapi sebaliknya pernah mengatakan hasrat menyertai MIC sepertimana yang dinyatakan oleh Senator T. Murugiah," ujarnya dalam sidang media di luar Balai Polis Jalan Petani, di sini pagi tadi.

Menurutnya, tindakan Utusan Malaysia itu jelas menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu berkenaan bagi menghentam DAP yang didekati PAS dan PKR.

DAP Pulau Pinang, katanya melihat usaha utama program itu ialah memberi gambaran bahawa DAP adalah sebuah parti yang menganjurkan keganasan.

"Itu dia sikap Umno dari dulu sehinggalah sekarang. Asyik melemparkan tuduhan dan fitnah walaupun tiada bukti sah," tambahnya.

Harakahdaily/-


Pemohonan Anwar gugur tuduhan liwat ditunda

8 Syawal 1431 H
Oleh: Hafiz Yatim

Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan Isnin depan bagi mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggugurkan tuduhan liwat terhadapnya.

Ini berikutan tindakan pendakwaan membuat bantahan awal sama ada penghakiman Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar sebelum ini adalah muktamad.

Menurut peguambela, Karpal Singh beliau tidak dimaklumkan berhubung bantahan awal itu dan tidak bersedia berhujah buat masa ini.

Menurut Anwar pula adalah dikesali pihak pendakwaan dengan mengejut membuat bantahan tanpa memberi notis kepada pihak pembelaan.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Maarop membenarkan permohonan untuk menangguhkan rayuan itu ke 20 september ini bagi membenarkan Karpal menyediakan hujah-hujah mengenai isu bidang kuasa mahkamah itu untuk mendengar perkara berkenaan.

Bukan perintah terakhir

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden membangkitkan bantahan permulaan bahawa Anwar tidak ada hak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kerana perintah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, bukan perintah yang terakhir.

Karpal Singh berkata beliau memerlukan masa untuk menyediakan hujah-hujahnya kerana Mohamed Yusof tidak memberikan sebarang petanda kepadanya bahawa beliau akan membangkitkan isu tersebut.

Peruntukan Seksyen 3 Akta Kehakiman Mahkamah yang menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan rayuan mengenai perkara interlokutori akan diputuskan dalam perbicaraan kerana keputusan itu dianggap bukanlah perintah terakhir.

Anwar membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 16 Ogos yang menolak pemohonan beliau untuk membatalkan pertuduhan liwatnya.

Ini merupakan percubaan kedua Anwar untuk membatalkan pertuduhan itu. Pada kali ini atas alasan bahawa sikap tidak berpihak oleh keseluruhan pasukan pendakwaan itu telah dikompromi kerana dakwaan hubungan sulit antara penuduh Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan seorang anggota pasukan pendakwaan, timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif.

Hubungan sulit

Beliau mendakwa bahawa berikutan dengan dakwaan hubungan sulit itu, Mohd Saiful Bukhari boleh akses dengan maklumat mengenai kes berkenaan, dan enafikannya daripada perbicaraan yang adil.

Permohonan pertama beliau yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dan keputusan tu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 4 Mei tahun ini. Alasan beliau ialah laporan perubatan menyatakan bahawa tidak ada tanda penembusan ke dalam rektum Mohd Saiful Bukhari.

Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, bekas pembantu beliau di unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.

Sementara itu, seorang lagi peguam Anwar SN Nair memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa berikutan dengan penangguhan itu hari ini, perbicaraan liwat tersebut yang ditetapkan untuk sebutan pada Isnin akan ditanguhkan ke Selasa ini.

Malaysiakini/-