27 Disember 2010

Pakatan: 1Malaysia hanya untuk kepentingan Umno

20 Muharram 1432H.


Kenyataan 1 Malaysia bukan alat politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus dibidas oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Terbaru ahli lajnah politik PAS, Khalid Samad menegaskan 1 Malaysia itu hanya untuk kepentingan politik Umno walaupun umum mengetahui apa yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri sehingga mengabaikan kaum lain di negara ini.

"Ia memanglah dilakukan atas dasar kepentingan politik Umno-BN apabila ia nampak ekstrem dari segi persoalan perkauman ini. Lalu timbul persoalan formula 1 Malaysia ini seolah nak hilangkan isu perkauman yang diperjuangkan selama ini maka ia dikemukakan atas kepentingan politik," katanya dipetik oleh TV Selangor.

Semalam Najib mendakwa 1 Malaysia tidak mempunyai tujuan politik tetapi adalah untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi menjawab keputusan Kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1 Malaysia kecuali untuk tujuan perniagaan.

Turut menyanggah kenyataan Najib ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang katanya, hakikatnya keadaan dalam negara ini makin teruk sejak pengenalan slogan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan kerana ia hanya bersifat retorik semata.

Retorik perkauman

Menurut Lim (pertama dari kanan) retorik mengenai perkauman, ektremisme dan penindasan kaum yang bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia datang dari Umno sendiri sehingga timbul persoalan mengenai komitmen dan keikhlasan Najib dalam mengamalkan 1 Malaysia yang sebenar.

Sentimen ini turut dikongsi oleh Khalid yang berpendapat Umno-BN sememangnya tidak mampu membawa konsep kesatuan kaum kerana mereka sendiri tidak dapat bersatu dan hanya memperjuangkan kaum masing-masing.

"Dari sudut itu yang dipertikaikan ialah sejauh mana BN boleh melaksanakan atau menghayati wawasan itu sedangkan kita lihat mereka ini terdiri dari parti komponen setiap kaum yang memperjuangkan kepentingan kaum mereka sendiri. Maka falsafah BN itu sendiri bercanggah dengan semangat 1 Malaysia itu," ujarnya.

Justeru, Khalid berpendapat dasar 1 Malaysia ini hanya merugikan Najib dan Umno-BN sendiri.

Beliau yakin rakyat dapat menilai bagaimana perbezaan penghayatan keadilan dan kesamaan kaum sebenar Pakatan Rakyat dan retorik 1 Malaysia Umno-BN.

"Bila mereka menonjolkan dasar seperti ini, ia sekali lagi senjata makan tuan. Ia dikemukakan atas kepentingan politik BN dan akhirnya ia akan menikam balik Umno-BN," katanya.

Sementara itu ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo' Ghazali (bawah, kanan) dipetik Harkahdaily berkata, sejak 20 bulan konsep itu diperkenalkan, matlamat perpaduan pelbagai kaum yang diperkatakan Najib itu langsung tidak tercapai.

'Double standard'

Malah katanya, 1Malaysia Najib masih mendokong pemikiran politik lama Umno iaitu memainkan sentimen perkauman.

Beliau turut mempersoal, jika benar Umno mengamalkan semangat 1Malaysia, kenapa Umno masih bersikap double standad dalam banyak hal terhadap Pakatan Rakyat.

"Jabatan Pelajaran larang sekolah di Kedah gantung gambar Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Razak), habis kenapa Umno bising tentang lambang 1Malaysia.

"Mereka larang semua ahli parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat masuk sekolah, tetapi kenapa Umno boleh?" katanya yang juga ahli parlimen Titiwangsa sambil mempersoal adakah itu konsep sebenar 1Malaysia Najib.

Selain itu katanya, matlamat 1Malaysia untuk membangunkan negara tidak lebih dari slogan politik semata-mata.

Ini kerana, realiti yang berlaku menunjukkan kerajaan persekutuan pimpinan Najib masih mengamalkan diskriminasi terhadap wakil rakyat dan negeri-negeri Pakatan khususnya dalam penyaluran peruntukan.

"Mengapa Ahli PR dinafi peruntukan? Kenapa pimpinan Pakatan tidak boleh masuk sekolah? kenapa gambar Ketua Menteri, Menteri Besar tak boleh digantung di sekolah?

"Jelas, 1Malaysia adalah politik," katanya.

Malaysiakini/-

Dua polis ditahan disyaki belasah lelaki

20 Muharram 1432H.

Dua anggota polis, dipercayai memukul seorang lelaki yang ditahan semasa sekatan jalan raya kerana disyaki membawa dadah Sabtu lalu, ditahan hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kedua-dua anggota berpangkat konstabel serta berumur 25 dan 27 tahun dari Balai Polis Kota Damansara itu ditahan selepas kawad cam oleh lelaki berkenaan semalam.

"Dalam kawad cam itu, enam orang telah dibuat kawad cam dan daripada jumlah itu, dua telah ditahan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau berkata sebelum itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian tersebut.

"Polis melihat kes ini adalah serius dan wujudnya penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis, dan tiada sebarang diskriminasi jika mereka bersalah," katanya.

Bagaimanapun, Tun Hisan berkata siasatan mendapati terdapat elemen palsu dalam laporan polis lelaki itu.

"Selepas itu, satu laporan telah dibuat oleh pasukan itu tentang laporan lelaki tersebut yang dipercayai mempunyai elemen palsu.

"Seramai 20 orang telah direkodkan percakapannya, termasuk doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis yang ditahan serta orang awam," katanya.

Beliau berkata penahanan kedua anggota polis yang berkhidmat selama empat tahun itu bukan bermakna mereka bersalah tetapi bagi membantu siasatan, dan mereka akan ditahan reman mulai esok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Sabtu lalu, seorang lelaki mendakwa dipukul beberapa anggota polis ketikaditahan dalam sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara kerana disyaki membawa dadah, dan wangnya sebanyak RM13,000 telah diambil anggota polis berkenaan.

- Bernama

101 pasangan nikah serentak

20 Muharram 1432H.

KOTA BHARU - Seramai 101 pasangan pengantin dinikahkan secara serentak semalam, sempena Kahwin Perdana Peringkat Negeri Kelantan 2010 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, semalam.

Lebih menggembirakan bagi peserta ke 101 dalam program itu ialah, Mohd Wais Wong Abdullah dan isterinya, Siti Muliyana Mohd Nor apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri yang menyempurnakan sendiri majlis akad nikahnya
Pasangan mualaf tersebut sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz yang disaksikan kira-kira 3,000 hadirin itu turut menerima hadiah sagu hati daripada Tok Guru.

Nik Abdul Aziz berkata, program berkahwin secara beramai-ramai ini dilaksanakan adalah untuk memudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak berlakunya gejala tidak sihat.

“Berkahwin adalah wajib bagi umatnya yang mampu dan sekiranya tidak mampu digalakkan berpuasa bagi mengawal nafsu dan menghindari keburukan.

“Bagi saya perkahwinan seperti ini dapat dijadikan contoh kepada semua kerana dengan hanya kadar mas kahwin yang murah dan ini tidak akan membebankan kaum lelaki serta mengelak daripada tidak berkahwin kerana dianggap mas kahwin sebagai beban,” katanya, semalam.

Sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran beliau akan meraikan semula 17 pasangan pengantin baru Orang Asli yang dinikahkan serentak, semalam.

Nik Aziz berkata, perbelanjaan menguruskan majlis keraian itu adalah menggunakan wang beliau sendiri dan tarikh sesuai akan ditentukan oleh pihak Urus setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri (UPWKK).

“Saya sangat gembira kerana hari ini (semalam) seramai 101 pasangan pengantin dapat dinikahkan secara beramai-ramai dan ini dapat mengelak daripada berlakunya zina seperti yang dibimbangkan sekarang.

“Jadi dalam program ini kumpulan Orang Asli juga tidak dilupakan dan mereka dipanggil bersama-sama untuk diraikan,” katanya.

“Idea ini adalah sejak sebelum pilihan raya lagi dan saya berhajat untuk melakukannya di setiap daerah.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas menolak budaya meletakkan mas kahwin yang tinggi dan baginya perkahwinan bukan satu perniagaan.

Pasangan terbabit dinikahkan secara serentak dan pengantin perempuan menerima mas kahwin sekeping dinar mas dan RM500 termasuk senaskhah al-Quran yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Program anjuran bersama UPWKK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan itu juga membabitkan pasangan golongan remaja dan belia dari seluruh Kelantan

Sebagai hadiah berbulan madu ada di antara mereka yang ditawarkan untuk ke China dan juga melancong dalam negara dengan tajaan Kerajaan Negeri dan individu tertentu.

Hadir sama pada program tersebut, isteri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar; Pengerusi Bersama Program, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Pengerusi, Rohani Ibrahim bersama Exco yang lain.

Sinar kelantan/-

Laksana hanya setelah PR berkuasa: Nik Aziz

20 Muharram 1432H.

KOTA BHARU - Resolusi 100 hari yang dikemukakan pembangkang pada konvensyen mereka pada Ahad lalu hanya akan dilaksanakan setelah pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pakatan Rakyat (PR) tidak akan melaksanakan janji tersebut dalam waktu terdekat melainkan setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

“Kita akan laksanakan bila pakatan dapat memerintah negara... Tunggu dan lihatlah nanti...Jangan nak jadi gangster,” katanya kepada media selepas majlis perkahwinan perdana anjuran kerajaan negeri melibatkan 101 pasangan baru di Pusat Tarbiyah Pas Kelantan (Putik) di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Sehubungan itu,Nik Aziz meminta kerajaan Barisan Nasional (BN) menunggu sehingga pakatan pembangkang menerajui negara untuk melaksanakan resolusi itu.

Nik Abdul Aziz berkata, apa yang penting dalam mentadbir negara ialah memerintah untuk rakyat dan menjamin kesejahteraan mereka.

Beliau juga berkata, Pas akan melaksanakan pentadbiran Islam mengikut acuannya seperti yang ditetapkan di dalam Islam.

Mengenai perkahwinan, beliau menasihatkan pihak keluarga wanita mengenakan hantaran atau mas kahwin yang rendah serta berpatutan kepada pihak lelaki dan bukan membebankan mereka.

"Saya kahwin dulu hantaran RM100 sahaja untuk isteri saya. Malahan siapa nak kahwin anak saya, saya minta RM1,000 saja,” katanya.

Beliau berkata, perkahwinan penting bagi mengelakkan gejala sosial buang anak dan zina di dalam masyarakat.

sinar kelantan/-

Awasi perangkap TPM

20 Muharram 1432H.
Subky Latif

SAYA tanya Tian Chua, Naib Presiden PKR yang baru, “Bagaimana Anwar boleh menamakan Kit Siang sebagai calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan?”

Jawab Tian Chua bahawa Anwar tidak mencalonkan sesiapa. Dia ditanya media tentang siapa TPM kiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya nanti.

Kata Tian Chua, Anwar tidak menyebut nama sesiapa. “Sesiapa pun boleh.”

Dia ditanya lagi, adakah seorang bukan Melayu boleh jadi Timbalan Perdana Menteri?

Anwar dikatakan menjawab, “Tidak ada masalah.”

Dan ditanya lagi, bagaimana dengan Kit Siang.

Apa Anwar hendak kata? Kalau dia jawab, tidak boleh, tentu ia jadi isu. Bila dia jawab, boleh, juga akan jadi isu.

Apa dia hendak kata?

Yang dia boleh kata ialah “Tidak ada masalah.”
Kata begitu pun juga jadi isu.

Maka disebarlah berita dalam media bahawa Anwar dikatakan akan mengambil Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kata Tian Chua, Anwar tidak buat cadangan pun.

Bagitulah media memerangkap Anwar dan sekali gus memerangkap Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpinnya dan penyokong-penyokongnya.

Sama ada perangkap itu dipasang musuh terdiri dari puak Ketuanan Melayu atau oleh sesiapa saja, puak Ketuanan Melayu memang suka dengan kejadian itu, kerana ia boleh mencelarukan kelicinan Pakatan Rakyat mencabar monopoli kuasa Umno dan Barisan Nasional.

Memang sedikit sebanyak berita yang tersebar itu sudah mencelarukan keadaan. Ada yang berkata ia belum dibincang dan ada yang berkata begitu dan begini hingga pengundi-pengundi bebas tertanya-tanya.

Selama-lamanya Barisan Nasional terutama Umno menyuruh rakyat bertanya, Siapa Perdana Menteri kalau pembangkang menang?
Masa belum ada Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif dulu, pembangkang tidak sekata menamakan Perdana Menterinya. PAS kata,

Datuk Asrilah. Kemudian, Yusof Rawalah dan Fadzil Noorlah.

DAP pula memikirkan Lim Kit Siangnya.

Semasa Tengku Razaleigh tidak menyertai Umno (Baru) dalam PRU 1990 dulu, Semangat 46 mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai calon Perdana Menteri. Tetapi PAS diam saja.

Semasa Anwar Ibrahim dipenjarakan di Sungai Buloh, pejuang reformasi mengira dialah Perdana Menteri bila BN dikalahkan. PAS tidak kata tidak dan tidak kata OK. Orang politik dan orang ramai tertanya-tanya bagaimana banduan boleh jadi Perdana Menteri? Dia tidak boleh bertanding dan kalau bukan anggota Parlimen, mana boleh jadi Perdana Menteri.

Tetapi setelah Pakatan Rakyat ada, calon Perdana Menteri itu sudah ada. Pertanyaan yang Umno suruh rakyat tanya itu sudah ada jawapannya. Sudah disetujui oleh Pakatan Rakyat bahawa Anwarlah calon Perdana Menteri.

Jika dia tidak sempat dan dipenjarakan sekali lagi pun, maka sudah ada jawapan tentang Perdana Menteri.

Kalau dalam PRU 2008 tiada calon Perdana Menteri yang jelas, BN telah lintang pukang, maka cabaran itu adalah berganda apabila Perdana Menteri menunggu itu ada dan bergerak. Walaupun pembangkang belum tentu menang, tetapi ia belum tentu kalah. Akan tetapi kerajaan BN pula belum tentu kalah, tetapi tidak pasti pula menang.

Bagi menghalang Pakatan menang, maka celarukan ia dengan isu Timbalan Perdana Menteri. BN tentulah TPMnya ketuanan Melayu. Kalau TPM Pakatan Rakyat bukan Melayu, maka ada ruang bagi Umno menghasut pengundi Melayu supaya jangan lari daripadanya.

Maka orang Pakatan - kecil dan besar – jangan latah dengan perangkap APCO atas isu TPM itu. Reaski masing-masing jangan pecah di mulut dan laman web. Jangan jadi isu TPM sebagai penghalang destinasi ke Putrajaya.

Pastikan tiba ke destinasi dulu. Lepas itu tahulah Tok Guru Nik Aziz dan Karpal Singh apa nak buat dan Tok Guru Haji Hadi dan Lim Kit Siang juga tahu apa hendak dibuat.

Di mana Ustaz Hadi dan Kit Siang hendak ditempatkan tidak sepenting membentuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama, memerangi rasuah dan penyelewengan, menjamin keluhuran undang-undang dan demokrasi.

Jika Pakatan dikecamukkan oleh isu TPM, jalan ke Putrajaya nescaya bengkang bengkok. Jika ia tidak sampai ke Putrajaya, peluang tiba lima tahun lagi tidak semudah hari ini. Macam-macam boleh berlaku lima tahun lagi. Keadilan sosial tidak dapat ditegakkan dan rasuah tidak dapat dibendung.

Menyedari isu TPM itu satu perangkap, maka tidak sesiapa patut latah dengannya.

Piala Suzuki: PAS ucap tahniah

20 Muharram 1432H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Dis: PAS mengucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak negara yang berjaya menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Tahniah Malaysia menebus maruah Malaysia kalahkan Indonesia 3-0.

“Syabas, kalau kalah pun puas hati, pemain bersemangat Malaysia, tak macam Umno menang dengan rasuah,” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada laman twitter.

Pada perlawanan tersebut, gol pasukan negara dihasilkan oleh Safee Sali pada minit ke-60 dan 72, manakala Asaari Shamsudin minit ke-67.

Perlawanan kedua akan diadakan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Rabu ini.

26 Disember 2010

Perhimpunan Bekas pelajar SMA Al Tahzib Titi Serong.

19 Muharram 1432H.

TITI SERONG,26 Dis.:- Binaan bangunan dan institusi pendidikan atas nama Allah dan kerana tuntutan Allah tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan manusia pasti akan terus kekal walaupun terdapat usaha untuk merobohkannya, Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa memberi ucapan perasmian dalam Perhimpunan Bekas Pelajar Tahzib di sini pagi tadi.

Himpunan yang dihadiri oleh sekitar 200 orang bekas pelajar tahzib itu turut dihadiri oleh Isteri ADUN berkenaan dan Pengetua Sekolah.

Sekolah Menengah Agama Al Tahzib pernah menggemparkan banyak pihak bila pihak pengurusan sekolah mengambil langkah yang drastik dengan bertindak untuk keluar dari senarai Sekolah Agama Bantuan kerajaan (SABK) pada tahun lepas. Sekolah itu pernah berada dalam senarai SABK sejak tahun 2006.




Pada kesempatan itu Drs. Khalil telah memberikan beberapa contoh besar dengan usaha pihak tertentu untuk meruntuhkan binaan atas nama Allah. Antaranya bangunan Kaabah yang pernah ingin dirobohkan oleh Abrahah dengan tentera bergajahnya namun digagalkan oleh Allah SWT yang mengirim gerombolan burung yang melampari mereka dengan batu yang membinasakan musuh Islam itu.

"Terdapat juga usaha untuk melihat PASTI ditutup namun ianya masih gagal sampai sekarang" Tegasnya.

Pada kesempatan itu beliau mendedahkan perkembangan institusi agama seperti sekolah menengah, rendah dan maahad tahfiz terus berkembang waaun terdapat pihak yang tidak senang dengan usaha itu.

"Sekarang pemimpin suruh Islam ikut dia sedangkan yang sepatutnya kita kena ikut Islam" Jelas Khalil.

Drs. Khalil lawat PASTI Al Mu'tasim

19 Muharram 1432H.

TITI SERONG, 26 Dis.:-ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim bersama dengan isteri membuat peninjauan proses pendaftaran pelajar baru PASTI Al Mu'tasim Jalan Terusan Titi Serong pagi ini.Beliau dan Isteri bergambar dengan Jawatankuasa PASTI dan guru-guru yang mengajar di situ.

Pada hari pendaftaran pada hari, PASTI Al Mu'tasim menerima 20 orang pelajar baru.

Lawatan yang singkat itu digunakan oleh Drs. khalil untuk meninjau kemajuan dan keperluan yang mendesak bagi PASTI itu.

Ceramah Umum di Lenggong .

19 Muharramn 1432H.

Ceramah umum sempena pelancaran Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) di Lenggong, penceramah utama Yb. Ust Nasaruddin Mat Isa dan Sdr Mazlan Aliman. Kehadiran baik sekitar 1000 orang penduduk tempatan termasuk kaum Cina dalam keadaan cuaca yang baik.

RM500: Kenapa Muhyiddin takut sangat?

19 Muharram 1432H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Dis: PAS mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar jangan mudah melatah ataupun hanya akan memperlihatkan sikap takut dan gelabah beliau terhadap janji Pakatan Rakyat.

Ketua Penenrangan PAS, Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS merasa pelik dengan sikap Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno yang sangat emosi terhadap komitmen Pakatan Rakyat untuk menaikkan RM500 sebulan kepada guru jika Pakatan memerintah negara seperti diumum Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PAS merasa pelik seorang Timbalan Perdana Menteri mencabar Datuk Seri Anuar Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.

"Iltizam Pakatan Rakyat kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang.

"Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat tuduhan yang tidak menentu," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa tawaran Pakatan Rakyat untuk pendidik itu hanya janji politik dan sukar dilaksana untuk guru sahaja dan memberi alasan dengan mempersoal imbuhan kepada kakitangan awam lain.

Menurut Idris, untuk peringkat awal janji tersebut hanya diberikan kepada guru namun semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga selepas ini.

"Pakatan Rakyat mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.

"PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat, jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas," ujarnya lagi.

Sambil menasihatkan Muhyiddin sabar dan tidak emosi, Idris juga mahu timbalan perdana menteri itu meneliti ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang merupakan manifesto Pakatan yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember lalu.

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin juga jelasnya tentu lebih arif dalam hal kewangan negara berbanding pendapatan kerajaan negeri yang terlalu kecil.

"Jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.

"Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan.

"Sekarang ini pun dengan kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan," katanya.

25 Disember 2010

Nasarudin : Beri sokongan kepada BAPA.

18 Muharram 1432H.

Timbalan Presiden PAS, Ust. Nasarudin Mat Isa merasmikan Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) Peringkat Kebangsaan di Markaz Tarbiyah Ayer Kuning Taiping petang ini.

TAIPING, 24 Dis.:- Ahli Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk membahaskan laporan tahunan pelbagai agensi termasuk Felda dan Felcra juga petronas . Demikian antara penegasan Timbalan Presiden PAS , Ust. nasarudin Mat Isa dalam oPerasmian Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA)di Markaz Tarbiyah PAS Perak Ayero Kuning di sini petang ini.

Beliau juga mendedahkan pelbagai penipuan dilakukan kepada dana Felda dengan perbelanjaan sebanyak RM 60 juta dengaan menghantar anak peneroka ke Universiti Lim Kok Weng untuk belajar disana.

"Apakah kewajaran wang sebanyak itu dikeluarkan sedangkan jumlah sebesar itu sudah melayakkan Felda membuaka Universitinya sendiri" Tegasnya.

Menurutnya juga Pakatan Rakyat amat yakin dalam tempoh 100 hari dapat dilaksanakan termasuk isu RM 500 untuk guru dan isu Felda. Kerana itu seluruh negara melihat perkara itu boleh dilaksanakan.

Beliau juga memuji pendekatan PAS dengan penubuhan ANAK dan BAPA yang menyebabkan sokongan yang datang dari bukan sahaja ahli PAS tetapi juga dari bukan PAS.

"Bila Ngo ini ditubuhkan maka masalah yang diperjuangkan dengan sejelas yang mungkin, begitulah harapan yang akan dilakukan oleh BAPA untuk menndedahkan isu-isu berkaitan Felcra". Karanya

Beliau juga berharap sokongan semaksimanya untuk membantu BAPA dan memberi aset kepada kemenangan perjuangan kita.

Mazlan Aliman : BAPA akan bela peserta Felcra bermasalah.

18 Muharram 1432H.

TAIPING, 24 Dis.:-Pelancaran ini ada satu badan untuk peserta Felcra mengajukan masalah mereka yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan yang diperlakukan seperti hamba. Demikian Ucapan Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Sdr. Mazlan bin Aliman dalam Perasmian Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA)di Markaz Tarbiyah PAS Perak Ayer Kuning disini petang ini.

Menurutnya juga Felcra adalah agensi pembangunan tanah yang terbesar selepas felda. Namun apabila badan ini dikoperatkan didapati peserta menjadi semakin miskin dari sebelumnya sedangkan orang tertentu dan kroni yang menjadikan kontraktor menjadi kaya raya.

Katanya lagi Akta GSA memperuntukkan tanah untuk individu tetapi untuk Felcra tanah dikelola oleh satu koperasi, sekiranya koperasinya pincang maka kuranglah pendapatan. malah ada kalangan peserta setahun tidak mendapat apa apa dividen.

Mazlan juga mendedahkan 226,000 hektar dibawah Felcra yang cukup luas, namun yang menjadi persoalannya adakah felcra berjaya mengeluarkan pesertanya dari garis kemiskinan.

"Malam tadi di Johon, 58 orang mengisi borang ANAK, hanya 5 orang ahli PAS semasa pelacaran di satu felda " Katanya.

Ada pendedahan seorang peserta Felda yang ada 18 ekar tanah yang diuruskan oleh Felda pendapatannya hanya RM 82 sebulan . Bila usaha anak peneroka itu ambil balik untuk urus sendiri, Felda mendakwa peneroka itu ada berhutang lebih RM 70,000.

"Yang urus tanah itu bukan Ah Chong, bukan Ramasami tetapi mereka itu adalah bapa pengkhianat kepada bangsa mereka sendiri" tegas nya.

"Kerana itu peneroka Felda sudah mencapai jumlah 4000 orang nak saman Felda." Dedahnya..

Mazlan juga mendedahkan tidak kurang dalam RM 20 juta ringgit yang diperolihi oleh Felda sebulan dengan menipu peneroka dengan penipuan felda terhadap nilai perahan buah kelapa sawit.

"Sebab itu saya jadi loya dan termuntah bila dengar pemimpin UMNO bercakap nak bela orang Melayu" Tegasnya.

Mazlan juga sifakkan satu kejayaan dengan kehadiran lebih 300 orang peserta dalam majlis perasmian BAPA pada hari ini.

Mazlan juga mendedahkan juga dalam DUN Tenang ada sebuah Felcra dan itu cabaran pertama bagi BAPA yang dilancarkan hari ini.

"Sekiranya ada lonjakan undi orang Cina dari 55 pratus kepada 65 pratus dan ada lonjakan dari peneroka Felcra dan Felda, Insyaallah kita akan membuat kejutan di DUN Johor" Jelasnya.

PJ PAS Perak : UMNO adalah perosak !

Antara yang hadir dalam majlis perasmian BAPA.

Perasmian akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ust. Nasaruddin Mat Isa.



18 Muharram 1432H.

TAIPING, 24 Dis.:-UMNO adalah makhluk perosak, bila masuk ke mesjid mesjid rosak, bila buat bangunan, bangunanruntuh, bila buat jambatan, jambatan juga runtuh, demikian antara ucapan Pesuruhjaya OPAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain dalan ucapan alu-aluan dalam pelancaran Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) Peringkat kebangsaan di markaz Tarbiyah PAS Ayer Kuning, Taiping.

Selain itu beliau menyatakan penubuhan BAPA adalah bukti bahawa penyelewengan dan penindadasan kepada rakyat Malaysia yang perlu diperjuangkan dalam bentuk pelbagai organisasi termasuk BAPA.

Majlis perasmian BAPA pada hari ini akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, YB. Ust. Nasaruddin Mat Isa pada petang ini.

Muhyiddin cabar Anwar, siapa yang nampak bodoh ?

18 Muharram 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim

Tawaran 100 hari Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga yang dilancar dan diperhalusi dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke 2 di Kepala Batas minggu lepas terus mendapat perhatian dan komen dari pemimpin UMNO dan BN. Untuk sekian kalinya Muhyiddin Yassin membuat ulasan mengenai isu berkenaan dengan mencabar Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim supaya menaikkan gaji sebanyak RM500 kepada kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Muhyiddin beralasan langkah itu wajar demi membuktikan keikhlasan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat membela nasib kakitangan awam serta pegawai-pegawainya.

Dia mempersoalkan adakah Anwar sanggup berbuat demikian, dan saya lihat sebagai soalan orang terdesak dan hilang hujah dan fakta. Muhyiddin kelihatan sangat goyah dengan isu ini sehingga mengeluarkan kenyataan untuk memperlekehkan satu tawaran Pakatan Rakyat yang difikirkan oleh muhyiddin tidak masuk akal sedangkan semua kakitangan kerajaan sedang menunggu untuk memberi undi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13.

Suka saya tegaskan kepada semua guru dan kakitangan kerajaan sekiranya anda memberi undi kepada Pakatan Rakyat nescaya kami akan menunaikan sebagaimana yang dijanjikan dan sekiranya kami engkar sila kembalikan kuasa itu kepada BN palam PRU ke 14. Tetapi yang pasti BN tidak menjanjikan sesutu untuk membela nasib kakitangan kerajaan dan itulah satu keterbukaan kami untuk membela nasib anda.

Muhyiddin nampaknya mempertahankan dirinya sendiri dengan dakwaan Anwar yang kesal dengan kenyataannya sebelum ini apabila menyebut bahawa tindakan Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Sebenarnya yang menyebabkan kerajaan muflis adalah kesan dari amalam berbelanja boros, rasuah, penyalagunaan kuasa, kronisme, nepotisme dan pelbagai penyelewengan lain selama UMNO dan BN masih berkuasa di Malaysia.

alasan dangkal Muhyiddin dengan janji Pakatan Rakyat memberi imbuhan kepada kakitangan kerajaan sebanyak RM 500 negara menjadi muflis adalah tidak masuk akal.

Selain itu cabaran untuk dilaksanakan di negeri yang di perintah oleh pakatan laksanakan dahulu adalah diluar tajuk perbincangan sebenar kerana janji Pakatan dalam Buku Jingga adalah selepas Pakatan Rakyata mengusai Putera Jaya.

Kekayaan negara terselah dengan banyak pendedahan termasuk apa yang dipersolkan mengenai Hasil minyak yang berjaya dikutip oleh Kerajaan semenjak zaman Tun Hussein Onn adalah dianggarkan RM456 billion. Soalnya sekarang, kemanakah wang tersebut telah dibelanjakan?

Jumlah hasil negara adalah termasuk apa yang dipanggil Kumpulan Wang Disatukan dari pelbagai sumber termasuklah hasil judi . Jumlah sangat besar dan lebih dari mampu untuk membela nasib pekerja sektor awam yang dipertikaikan Muhyiddin.

Saya yakin dengan pengalaman Anwar yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menteri kewangan, bahawa tawaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat adalah yang termasuk dalam kemampuan kewangan negara.

Nampaknya Muhyiddin nampak makin bodoh dengan kenyataan terbarunya untuk menegakkan benang basahnya berulang kali.

Semuga kenyataan Muhyiddin berulang kali dalam soal yang sama menyakinkan lagi bahawa BN tidak perihatin kepada para guru dan kakitangan awam yang banyak berjasa kearah memacu pembangunan dan kestabilan negara kita selama ini.

NEGARA ISLAM - UMNO PATUT MALU DENGAN DAP

19 Muharram 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA Karpal Singh menyebut di dalam Konvensyen PR baru-baru ini bahawa DAP bersedia bertemu dan berbincang dengan PAS berkaitan isu Negara Islam, maka ianya merupakan satu kejayaan besar buat PAS. Mengikut lojik akal, mana mungkin tokoh DAP yang terkenal lantang dan dituduh kununnya anti Negara Islam oleh Umno itu sanggup untuk berbincang tentang isu Negara Islam? Sepatutnya Umno yang tampil mohon berbincang atau bermuzakarah dengan PAS berkaitan itu tersebut kerana Umno dikatakan parti orang-orang Melayu yang mengaku Islam.

Tetapi, Umno hanya mahu berbincang atau bekerjasama dengan PAS darihal perpaduan Melayu sahaja. Umno teramat takut untuk berbincang atau bermuzakarah jauh sekali untuk berdebat dengan PAS berkaitan isu agama. Jelas di sini, DAP lebih berminat untuk mengetahui tentang Negara Islam yang ingin diwujudkan oleh PAS itu. Soal DAP mahu terima atau tidak kemudiannya itu soal lain, sekurang-kurangnya DAP sanggup mendengar dari PAS tentang Negara Islam walaupun Lim Kit Siang, Lim Guan Eng atau Karpal Singh bukan berugama Islam. Pernahkah kita dengar Najib, Muhyiddin mahu pun Jamil Khir Baharom ingin berbincang atau bermuzakarah dengan PAS tentang Negara Islam?

Sekiranya pemimpin DAP itu akhirnya menolak Negara Islam, itu tidak menjadi hairan kerana mereka bukan dari yang beriman dengan hukum yang diturunkan oleh Al-Quran. Yang menjadi hairannya mengapa pemimpin Umno yang mengaku Islam dan beriman dengan Al-Quran itu tidak mempunyai keberanian seperti Karpal Singh? Tidak malukah Umno dengan DAP? /wfauzdin.blogspot.com