13 Januari 2011

Panel SPRM tak puashati penjelasan AG

08 Safar 1432H.

Panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyangkal kenyataan pengerusi panel tersebut, Tan Sri Ramon Navaratnam erhubung penjelasan Tan Sri Abdul Gani Patail berkaitan hubungan peguam negara itu dengan bekas pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin.

Dalam satu kenyataan hari ini, panel itu berkata ia telah bermeyuarat pada 10 Januari lalu dan memutuskan bahawa kenyataan Ramon pada 4 Januari mengenai penjelasan Abdul Gani itu, sebagai "pandangan peribadi beliau."

"Panel ini juga bersetuju bahawa siasatan oleh SPRM akan diteruskan bila perlu untuk memastikan kebenaran atau sebaliknya terhadap sebarang dakwaan yang dibuat terhadap peguam negara," kenyataan panel itu dipetik.

Selain Navaratnam, antara anggota panel yang hadir dalam mesyuarat pada 10 Januari itu termasuk Anis Yusal Yusoff, Datuk Azman Ujang, Datuk Ishak Tami Kechik, Dr Zainal Abidin Abdul Majid, Prof Emeritus Datuk Abdul Rahman Embong dan Tan Sri Robert Phang.

Abdul Gani dilanda kontroversi sejak beberapa minggu lalu berhubung dakwaan yang timbul di Internet, yang mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan Tajudin, yang sedang disiasat oleh SPRM.

AG dialog dengan SPRM

Abdul Gani didakwa telah mengerjakan haji bersama rakan niaga Tajudin, Shahidan Shafie, menurut sebuah laman anti-BN Malaysia Today.

Selepas menerima tekanan, Abdul Gani menghadiri dialog dengan pegawai tertinggi SPRM dan juga anggota panel suruhanjaya itu pada 4 Januari.

Ekoran itu, satu laporan The Star pada hari berikutnya memetik Navaratnam sebagai berkata, panel itu puas hati dengan penjelasan Abdul Gani.

Kenyataan itu bagaimanapun dipertikaikan oleh dua lagi anggota panel berkenaan – Ishak dan Pang.

Tajudin yang mengetuai MAS dalam tempoh 1994 hingga 2001, didakwa telah menyebabkan syarikat penerbangan negara itu kerugian sehingga RM8 bilion.

Malaysiakini/-

'Pegawai k'jaan tak boleh tunjuk sokongan pada parti'

08 Safar 1432H.
Oleh : S Pathmawathy.

Pegawai kerajaan tidak boleh menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik, kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof sambil menambah bahawa mereka perlu sentiasa menjaga tahap "profesionalisme" masing-masing.

Beliau mengulas kes seorang pegawai tinggi kerajaan di Johor yang menggesa para guru menyokong "kempen kerajaan" dalam pilihan raya kecil DUN Tenang yang akan berlangsung pada 30 Januari depan.

Abdul Aziz menjelaskan, kakitangan kerajaan mesti mengenepikan "pandangan dan pendirian politik" masing-masing dan menjaga kesopanan "profesional" serta sentiasa bersikap berkecuali.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil tersebut - ekoran
kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sulaiman Taha - ditetapkan pada 22 Januari depan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz (kiri) berkata, "adalah tidak salah" untuk kakitangan awam menjayakan dasar atau program kerajaan negeri.

"Baik Pakatan Rakyat atau BN, pegawai kerajaan perlu setia kepada kerajaan negeri, tidak kira parti mana (yang mentadbir negeri)," kata Abdul Aziz kepada Malaysiakini.

"Tidak salahnya jika mereka memaklumkan kepada rakyat mengenai inisiatif kerajaan negeri, tetapi ianya berbeza bila seseorang kakitangan awam berkempen dan secara terbuka meminta mereka yang hadir, untuk mengundi, contohnya, BN atau PKR," tambahnya.

Malaysiakini/-

Pengurus Felda ‘ugut’ peneroka sebelum terima wang BIPP

08 Safar 1432H.
Oleh : Khairil Abdul Rahim.

BERA 12 Jan: Beberapa orang peneroka dari Felda Tembangau 1 dekat sini, kesal dengan sikap pengurus di rancangan berkenaan yang mengambil kesempatan ‘mengugut’ peneroka menandatangani aku janji ketika menerima wang Bonus Insentif Produktiviti Peneroka (BIPP).

Borang bertajuk Kes Kajian Keberkesanan Sistem Penyampaian Felda itu, menyenaraikan tiga pilihan untuk ditanda oleh peneroka sama bersetuju atau tidak bersetuju.

Pilihan pertama berbunyi pemberian bonus (PIPP) oleh Felda – terima kasih banyak, semoga Felda sentiasa maju, mudah-mudahan bonus BIPP diberi pada tahun-tahun akan datang. Saya akan bersama Felda walaupun susah ataupun senang.

Pilihan kedua, Felda menipu sepatutnya bonus BIPP banyak lagi, saya tidak memerlukan bonus ini, saya bersedia untuk saman Felda di masa hadapan.

Ketiga, catitkan yang difikirkan selain di atas.

Menurut peneroka yang enggan disiarkan namanya, keadaan ini membuatkan 279 peneroka di tanah rancangan berkenaan dalam keadaan serba salah.

“Masalahnya apabila di hadapan pengurus tentulah peneroka akan bersetuju dengan pilihan nombor satu kerana jika ditanda pada pilihan nombor dua, mereka tak dapat wang BIPP.

“Mungkin pengurus itu mahu membuat survey tentang pendirian peneroka berkaitan dengan pelbagai isu termasuk saman Felda ke belakangan ini. Tetapi cara ini seolah-olah mengugut peneroka,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau difahamkan tidak semua pengurus rancangan yang mengeluarkan borang untuk ditandatangani kerana peneroka-peneroka Felda Tembangau 2 tidak dikehendaki berbuat demikian.

Baru-baru ini, Felda telah membayar wang BIPP kepada peneroka Felda yang telah menjualkan hasil ke kilang agensi berkenaan bernilai antara RM400 hingga RM1,200 setiap orang.

Harakahdaily/-

1,000 sertai himpunan sokong Sultan, kerajaan Selangor

08 Safar 1432H.
Oleh : Nazri Abdullah.

SHAH ALAM, 12 Jan: Lebih 1,000 rakyat Selangor hari ini berhimpun di Dataran Shah Alam dalam usaha menunjukkan sokongan kepada kerajan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mereka yang berhimpun sejak jam 3 petang tadi kini berarak menuju ke pejabat pentadbiran kerajaan negeri di bangunan SUK.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani dilihat berada di barisan hadapan perarakan.

Mereka melaungkan 'Hidup Pakatan Rakyat, Hancur Umno dan Reformasi' sepanjang perarakan.

Perhimpunan ini dipercayai diadakan berikutan beberapa isu kontroversi yang melanda Kerajaan Negeri Selangor termasuk terbaru dalam isu perlantikan SUK.

Sebelum ini juga beberapa pihak telah mengadakan himpunan serupa bagi mendesak menteri besar meletak jawatan.

Perarakan itu disambut Menteri Besar sendiri yang turun menerima memorandum tersebut.

Memorandum kemudiannya diserahkan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili pimpinan Pakatan Rakyat yang diiringi Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor, Anuar Othman.

Anuar dalam ucapannya sebelum penyerahan itu membaca ikrar sokongan padu kepada pemimpin PR.

"Kami rakyat negeri Selangor dengan ini menyatakan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kerajaan negeri di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim," ujarnya dengan diikuti peserta himpunan.

Sementara itu, Khalid dalam responnya berkata kerajaan negeri berjanji akan memerintah Selangor dengan bersih dan bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat.

Himpunan bagaimanapun bersurai sejam kemudian selepas bacaan doa oleh Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Harakahdaily/-

Untuk apa dipanggil, semuanya sudah selesai

08 Safar 1432H.
Oleh : Rizal Tahir .

KOTA BHARU, 12 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menafikan beliau dipanggil oleh pemimpin Pakatan Rakyat untuk memberi penerangan berhubung pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong termasuk dua orang pemimpin tertinggi Umno.

Menurutnya, beliau sendiri tidak dimaklumkan supaya tampil memberi penjelasan berhubung pertemuan 24 Disember lalu di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

“Saya sendiripun tidak tahu kenapa akhbar berkenaan boleh menyiarkan berita saya dipanggil untuk beri penjelasan tentang perkara itu, dari mana dia dapat sumber itu saya pun tak tahu,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika mengulas laporan sebuah akhbar harian bertajuk ‘Nik Aziz dipanggil’.

Menurutnya, untuk apa dipanggil lagi kerana semuanya sudah selesai.

“Tetapi kalau nak berjumpa juga, datang sinilah tak payah jemput saya ke Kuala Lumpur,” ujarnya ketika ditemui di JKR 10, hari ini.

Sementara itu, selepas mesyuarat exco mengulas perkara yang sama beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang berhubung isu yang diperbesarkan media masa hari ini.

Menurutnya, apa yang beliau terangkan kepada rakyat berhubung sesuatu perkara, begitu juga yang berlaku pada majlis tertutup.

“Saya bercakap dalam majlis sulit sama seperti majlis ramai. Saya hanya punyai seketul hati sahaja, apa yang saya bercakap di dalam (pertemuan tertutup) walaupun secara sulit, sama juga dengan apa yang saya cakap pada rakyat di luar.

Menurutnya lagi, walaupun bercakap dengan sesiapa secara sulit, ianya tidak akan berubah dengan pengucapannya pada rakyat di majlis terbuka.

Jadi, tambahnya rakyat tidak perlu takut serta bimbang terhadap isu yang sengaja diperbesarkan oleh mana-mana pihak termasuk media.

Katanya, Rasulullah sendiri pernah didatangi oleh sahabatnya pada Siti Aisyah yang bimbang andainya cara hidup baginda di rumah tidak sama dengan di luar.

“Saidatina menjawab, apa yang ada dalam al-Quran itulah perangai Rasulullah sama ada di luar atau di rumah, kata Aisyah,” jelas Tuan Guru.

Kerana itu, katanya Rasulullah tidak pernah berpesan pada isteri-isteri bahawa yang ini jangan diberitahu pada orang lain dan yang ini boleh.

Bagaimanapun Tuan Guru tetap tidak ingin mendedahkan isi perjumpaan kerana ianya sulit di samping menjaga kehormatan istana.

Harakahdaily/-

Saya Tak Akan Letak Jawatan, Keluar Parti - Shuhaimi

8 Safar 1432H.

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafei menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat.

"Saya tidak akan letak jawatan dan keluar parti. Itu berita palsu," katanya kepada pemberita ketika di temui selepas menyertai demonstrasi di hadapan Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Shuhaimi turut menyifatkan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa beliau akan mengadakan sidang media berhubung peletakkan jawatannya sebagai berita palsu.

Pagi tadi, tersebar SMS yang mendakwa wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat itu akan meletakkan jawatan ekoran tindakannya mempersendakan kuasa Sultan dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru.

Ketika ini, Shuhaimi sedang memberi keterangan kepada polis berhubung tindakannya mempersoalkan kuasa Sultan dalam pelantikan Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru.

Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada pukul 4.10 petang ditemani oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mat Akin dan pembantunya, Azmizam Zamanhuri.

Islam datang buang ketuanan bangsa dan warna kulit

8 Safar 1432H MOD.

KOTA BHARU, 13 Jan: Misi terpenting kedatangan Islam ialah untuk menghapuskan kepatuhan dan ketuanan berasaskan bangsa dan warna kulit dan menggantikan dengan ketuanan berasaskan keimanan dan ketaqwaan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perkara ini perlu difahami oleh semua pihak sama ada mereka dari kalangan umat Islam mahupun dari kalangan bukan Islam.

"Dalam konsep kepimpinan, baginda Nabi s.a.w mengajar supaya mereka yang dipimpin wajib patuh kepada pemimpin walaupun pemimpin itu seorang hamba berkulit hitam," kata beliau ketika berucap di majlis perhimpunan bulanan penjawat awam di Kota Darulnaim pagi ini.

Dalam masyarakat Arab jahiliyyah kata beliau, bangsa kulit hitam yang berasal dari Habsyah (Afrika) amat dipandang hina kerana mereka adalah golongan hamba abdi yang tiada sebarang hak malah boleh di jual beli.

"Rasulullah s.a.w. sengaja menggunakan kiasan ini untuk menunjukkan Islam membawa misi pembebasan fikiran yang dibawa oleh Islam supaya pengagungan bangsa dihapuskan," kata beliau.

Beliau mahu mana-mana pihak yang terus berbincang berkenaan ketuanan bangsa segera menghentikan amalan buruk itu kerana ia bukan sekadar bertentangan dengan konsep hak asasi manusia malah sesuatu yang bercanggah dengan Islam.

"Di akhirat kita semua akan hanya terbahagi tiga iaitu mereka yang beriman, orang munafik dan golongan kuffar," katanya.

Beliau bertegaS tidak akan ada soalan tentang bangsa, warna kulit, bangsa dan keturunan di akhirat nanti melainkan tiga kumpulan ini sahaja.

Dalam ucapan itu beliau turut menyelar segelintir orang Islam yang menukar akidah Islam dengan pegangan sekular seperti nasionalis, sosialis dan seumpamanya.

"Mereka yang meninggalkan aqidah yang jadi simpulan pegagangan kaum mukminin dengan memilih nasionalis dan ideologi ciptaan manusia lain akan menerima padah di akhirat di samping mereka akan menjadi permainan pihak lain di dunia ini," tambahnya. (HarakahDaily)

BN bacul hadapi Pakatan Rakyat di Selangor

08 Safar 1432H.
Oleh : Ismail Hashim.

SHAH ALAM, 12 Jan: Barisan Nasional (BN) sekali lagi memperlihatkan sikap baculnya mereka apabila meletakkan Sultan Selangor di bahagian hadapan bagi menghadapi kemaraan Pakatan Rakyat khususnya dalam memerintah Negeri Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan, PR menghadapi BN di dalam medan politik negara ini dan sewajarnya merekalah yang seharusnya berada di barisan utama dalam menghadapi sebarang isu berbangkit dalam Selangor khususnya.

Khalid berucap demikian ketika memberikan tujuan himpunan aman yang diadakan di Dataran Shah Alam, bermula jam 3 petang tadi dan berakhir sejam kemudian di Bangunan SUK, dekat sini.

Himpunan itu adalah pelancaran kepada Program Jelajah Seluruh Selangor dalam usaha mengutip sejuta tanda tangan sokongan terhadap Sultan Selangor yang dipergunakan oleh BN selama ini.

Beliau berucap di hadapan ribuan rakyat Selangor yang berhimpun mewakili jutaan rakyat negeri itu sebagai menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Sultan Selangor yang jelas diperkudakan oleh BN dalam beberapa isu mutakhir.

“Musuh utama politik kita adalah BN tetapi mereka bersikap bacul dengan meletakkan Baginda Sultan di hadapan untuk menghadapi PR,” tegasnya disambut laungan Allahu Akbar dan Reformasi.

Semua lapisan anggota masyarakat terdiri daripada anak-anak muda, dewasa dan wanita memenuhi ruangan anak tangga di dataran itu dengan tidak menghalang lalu lintas sebalik pengguna jalan raya membunyikan hon sokongan.

Selepas lima minit dimulakan, kelihatan lima pegawai pasukan berunifom menghampiri himpunan dan ketika itu juga, Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor, Anuar Othman memberi jaminan dan bertanggungjawab ke atas himpunan aman itu.

Lebih 30 anggota polis termasuk pasukan FRU siap dengan belantan dan perisai mengawasi himpunan itu bagi menjaga keselamatan dari provokasi pihak tidak bertanggungjawab, hingga akhir tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sebaik Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom menurunkan tanda tangan sebagai gimik pelancaran jelajah itu, perarakan pun bermula ke Bangunan SUK untuk menyerahkan memo sokongan kepada Tan Sri Khalid.

RMT: Kerajaan nafi hak pelajar miskin

8 Safar 1432H MOD

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Tindakan Kementerian Pelajaran mengarahkan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid miskin dihentikan serta merta adalah suatu yang sangat mengecewakan.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, malah ianya dilihat sangat bertentangan dengan slogan kerajaan Umno dan BN kononnya ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Ini, katanya merujuk kepada pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia [KPM] 29/12/2010 No: KP (Bkew/BT)1910/RMT/A5, Jld.5(97) yang mengarahkan agar RMT ditamatkan serta merta atau selewat-lewatnya 12 Januari (semalam).

“Ini dilihat akan memberi kesan kepada ribuan pelajar miskin yang berada di bawah Rancangan Makanan Tambahan tersebut,” ujarnya.

Beliau mempertikaikan langkah Kementerian Pelajaran itu kerana bukan sahaja menafikan hak pelajar miskin mendapat bantuan kerajaan tetapi juga akan menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran dan sekaligus menjejaskan masa depan mereka.

Katanya, jika kerajaan boleh memberi pelbagai skim galakan kepada sektor-sektor lain serta peruntukan yang wajar kenapa kerajaan sanggup korbankan pelajar-pelajar miskin.

“Apakah kerajaan kini sedang kesempitan dana?

“Bukankah kerajaan telah menguar-uarkan kononnya negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik?” soalnya.

Justeru, tambahnya rakyat memerlukan penjelasan yang wajar daripada kerajaan berhubung perkara itu. (HarakahDaily)

Peruntukan RM1 juta kepada ADUN Selangor

08 Safar 1432H.

SHAH ALAM 12 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu bagi membaikpulih keperluan asas di setiap kawasan termasuk jalanraya dan sistem perparitan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat exco di sini lewat petang tadi.

Bercakap kepada media, Khalid berkata, kepimpinan kerajaan Selangor akan memperhebatkan usaha turun padang mendekati rakyat untuk membawa perubahan di peringkat dasar.

Justeru katanya lagi, perancangan komprehensif tiga bulan akan datang akan menentukan pengurusan negeri yang lebih cekap.

"Setiap ADUN diberi peruntukan RM1 juta untuk menggunakan duit itu untuk pemuliharaan jalan, pembinaan jambatan dan parit-parit yang perlu dibetulkan melalui pihak berkuasa tempatan berkenaan. Oleh sebab itu kita mesti membawa pembangunan dari peringkat bawah," katanya.

Dalam pada itu, ditanya samada pihak pembangkang Selangor akan mendapat peruntukan yang sama, Khalid berkata rujukan akan tertumpu kepada kerajaan persekutuan.

"Kalau kerajaan persekutuan buat untuk semua ahli parlimen dan kita akan melakukan perkara yang sama. Asalkan mereka buat dulu. Kita lihat dahulu. Bukan kita tidak lihat perkara ini tapi, tunggu dulu. Kita tawarkan. Kita lihat dulu kalau persekutuan dan beri sekata kepada semua ahli parlimen dan kita akan ikut," jelas beliau lagi.

MB Kedah Minta Insaniah Kaji Semula Yuran Pengajian

08 Safar 1432H.

ALOR SETAR 12 JAN: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengkaji semula struktur yuran pengajiannya bagi memastikan mereka mampu memberikan kemudahan yang baik kepada para pelajarnya.

Katanya ketika ini pelajar KUIN adalah "yang paling kaya" berikutan menerima pinjaman PTPTN sebanyak RM8,000 satu semester tetapi hanya membayar yuran pengajian RM1,000 untuk satu semester.

Beliau berkata institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang lain mengenakan yuran yang jauh lebih tinggi.

"Duit maintenace dapat daripada bayaran yuran...kerajaan negeri beri juga. Wang maintenance sekarang ini tidak cukup kerana KUIN menggunakan wang sendiri. This is state university (Ini universiti negeri) dan tidak menerima bantuan Kementerian (Pengajian Tinggi)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mengenai tindakan kira-kira 3,000 pelajar KUIN mengadakan demontrasi aman di dewan utama kolej itu semalam kerana mendakwa pihak pentadbiran mengabaikan keselesaan dan kebajikan mereka, Azizan berkata demonstrasi itu memberi peluang kepadanya untuk mengetahui masalah pelajar berkenaan.

"Saya gembira dengan tunjuk perasaan ini. Kedah beri peluang budak-budak tunjuk perasaan. Dulu orang marah...polis tahan orang tunjuk perasaan. Kita beri freedom of speech, freedom of expression (kebebasan bersuara).

"Bukan salah tunjuk perasaan ini. Kita tak tau masalah dia...kita ingat dah ok. Sekarang dah tau masalah, kita akan atasi masalah itu. Ramai yang tidak puas hati dengan kemudahan asas di KUIN. Kita dalam proses bina kampus baru...bila siap dua tahun lagi, selesalah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata kerajaan negeri telah berjaya melangkaui paras defisit bagi 2011 walaupun pembentangan Bajet 2011 pada November tahun lepas mencatatkan defisit sebanyak RM19 juta.

"Ini adalah kerana adanya peningkatan cukai dan pendapatan. Waktu bajet ada defisit, di penghujung tahun takde defisit. Kalau ikut ada surplus lagi. Sekarang hasil balak Kedah bagi 2010 sudah meningkat kepada RM53 juta.

"Sebelum 2008, premium balak Kedah antara RM7 juta dan RM8 juta. 2008 meningkat ke RM35 juta. 2009 RM38 juta.

"Ini adalah hasil polisi open tender, ketelusan kendali sumber asli negeri dan kawalan ketat kerajaan negeri. Keluasannya sama je 2,430 hektar, ikut yangdibenarkan Jabatan Perhutanan. Harga balak sekarang ni naik satu hektar RM18,000 bagi hutan dara. Dulu satu hektar RM1,000. Ini punca hasil meningkat," katanya.

Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri tidak menutup Kedah Communication & Events Sdn Bhd (KCE), sebuah anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah, tetapi meletakkannya pada status dormant bagi menghentikan sementara operasi untuk penstrukturan semula.

"Kakitangannya diserapkan ke anak syarikat kerajaan negeri yang lain. Kita tak boleh biarkan ia terus rugi, kena susun balik. Kalau tak, kita dianggap gagal kendali syarikat dengan baik," katanya.

Debat: Nasrudin harap Khairy terima

8 Safar 1432H MOD
KUALA LUMPUR, 13 Jan: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan melahirkan harapan tinggi agar Khairy Jamaludin yang disifatkannya sebagai 'beria-ia' berdebat, menerima pelawaan forum Pemuda PAS.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, beliau mahu Ketua Pemuda Umno itu melupakan sahaja hasrat berdebat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya tidak sepadan.

"Maka saya berharap YB Khairy Jamaludin yang kini beria-ia benar mahu mendebatkan janji 100 Hari kerajaan Pakatan Rakyat sanggup menjadi panel forum tersebut.

"Adapun Anwar Ibrahim, biarlah ia berdepan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat telah mengemukakan cabaran sama kepada Khairy dan telah dimaklumkan kepadanya melalui khidmat pesanan ringkas SMS.

Forum tersebut akan diadakan pada 18 Januari ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), bermula jam 9.30 hingga 12 malam dan terbuka kepada semua.

"Insyaallah, kami akan menghantar surat rasmi kepada beliau hari ini.

"Pihak kami sangat memerlukan pandangan dari pihak Umno dan BN terhadap Janji 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat apabila menerima mandat sebagai kerajaan kelak," ujar Nasrudin.

Tegasnya, forum tersebut bertujuan mencari kebenaran bukan mencari publisiti murahan, jauh sekali untuk bertegang urat.

Ianya juga sebagai medium untuk mengemukakan hujjah dan idea yang bernas serta ruang kritikan atau pandangan kedua terhadap Janji 100 Hari Pakatan Rakyat.

Pemuda PAS membuat pelawaan tersebut selepas Khairy dilaporkan sedia menggantikan Perdana Menteri menyahut debat yang dilontar Anwar kepada Perdana Menteri.

Empat orang panel dijemput, masing-masing dua mewakili Pakatan Rakyat dan dua lagi mewakili BN.

Pakatan Rakyat akan diwakili AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua manakala panel dari parti Gerakan dan Umno mewakil BN.

"Sehingga kini pihak Dewan Pemuda PAS belum mendapat kesanggupan dari pihak Umno dan BN," katanya. (HarakahDaily)

Najib Tertekan Punca Serang PR Setiap Hari - Anwar

08 Safar 1432H.

SHAH ALAM 12 JAN: Umno-Barisan Nasional menyedari bahawa Pakatan Rakyat berkemampuan untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan, lantas mengemblengkan jentera kerajaan untuk menyerang hampir setiap hari.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan amat tertekan.

Tohmahan bagi mengkucar-kacirkan saf Pakatan Rakyat dipertingkatkan, dan Najib sehingga hari ini tidak berputus-asa memujuk PAS berpaling-tadah dari permuafakatan Malaysia baru.

"Kalau betul dia kuat, kenapa dia serang menggila. Kenapa tiap perkataan Pakatan Rakyat dia gelabah menjawab. Kenapa usaha-usaha mendekati PAS berterusan. Tidak pernah Umno kalau kuat dia akan cuba curi kekuatan dari luar. Ini menunjukkan keadaan lemas.

"Pertama kali dalam sejarah negara kita, seorang Perdana Menteri mengatakan akan pertahan Putrajaya habis-habisan, keluar semua nyawa dan badan kerana ini kenyataannya," jelas Anwar dalam Program Terus Terang terbitan Tv Selangor.

Anwar berkata Pakatan Rakyat, terutamanya Parti Keadilan Rakyat, mengambil langkah-langkah perlu untuk mengetengahkan calon dan saf kepimpinan yang benar-benar berwibawa.
Pendidikan dan latar belakang calon diberi keutamaan, supaya rakyat lebih yakin dengan pilihan mereka.

"Kita harus lebih berhati-hati dalam memilih. ada orang yang berpendidikan rendah, tidak boleh dipilih ke tempat yang tinggi dalam parti, kerana ia memberi mesej yang buruk kepada rakyat. Pengalaman mengajar kita. Kita harus pilih pimpinan yang lebih layak, wibawa dan ada daya tahan menghadapi tentangan Umno," jelasnya.

Anwar berkata Pakatan Rakyat membawa mesej yang jelas akan perubahan-perubahan yang mahu dilakukan sekiranya diberi peluang mentadbir negara ini.
Sekiranya blok pembangkang diberi mandat, Anwar memberi jaminan kepada kepimpinan Umno-BN bahawa hak mereka sebagai warganegara Malaysia akan dipertahankan.

"Hilang kuasa tidak bermakna hilang segala-galanya. Hilang kuasa mereka, tetapi hak sebagai rakyat dan proses perundangan bahkan kita akan perkemaskan. Itu bedanya. Umno merosakkan badan kehakiman, kita memperkukuh dan menjamin badan kehakiman yang bebas," jelasnya.

Cabar Anwar Berdebat, KJ Guna Talian Hayat

08 Safar 1432H.

SHAH ALAM 12 JAN: Cabaran Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai talian hayat untuk menyelamatkan karier politiknya.

Disamping itu ia sebagai usaha menarik perhatian Presiden Umno kerana menurut Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin kini spekulasi kuat mengatakan Khairy kini sedang bergelut dengan situasi parti yang tidak lagi memerlukannya.

Badrul berkata Khairy cuba meraih kembali kepercayaan Umno dengan menawarkan diri untuk melindungi Najib Abdul Razak.

"Khairy ini dia menteri pun tidak. Dia tidak diiktiraf oleh kerajaan Umno-BN. Jadi bagaimana dia nak cabar Anwar, dia anggota kabinet pun tidak," kata Badrul kepada Tv Selangor.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Khairy memerlukan bantuan Najib untuk menyelamatkannya dari tuduhan terbabit dalam skandal Alcatel-Telekom.

"Minggu lepas dia merajuk, malah ada blogger blogger Umno yang mendakwa merajuknya itu ada kaitan dengan skandal Alcatel-Telekom, sejauh mana kebenarannya saya tak tahu," katanya lagi.

Badrul berkata demikian mengulas kenyataan Khairy hari ini yang mencabar Anwar supaya berdebat dengannya berhubung isu perbandingan dasar ekonomi Umno-BN dan Pakatan Rakyat.

Khairy turut mencerca Anwar dengan berkata mantan Menteri Kewangan itu tidak sama taraf untuk berdebat dengan Najib.

Khairy berkata demikian selepas Anwar mencabar Najib ke satu debat terbuka selepas Presiden Umno itu memperlekehkan pelan reformasi 100 hari Pakatan Rakyat.

"Sebelum dia sibuk nak berdebat dan mempertahankan sesiapa sahaja. Dia sendiri perlu penuhi amanah dia sebagai MP Rembau. Janji pilihanraya umum ke 12 tidak ditunaikan.

"Pengundi Rembau tidak perlukan dia berdebat dengan Anwar," katanya.

RM1 Juta untuk setiap ADUN Pakatan Rakyat Selangor


8 Safar 1432H MOD

Kerajaan negeri Selangor akan memperuntukkan RM1 juta kepada setiap ADUN Pakatan Rakyat untuk diagihkan dalam tempoh tiga bulan bagi menampung perbelanjaan membaikpulih keperluan asas di setiap kawasan.

"Setiap ADUN diberi peruntukan RM1 juta untuk menggunakan duit itu untuk pemuliharaan jalan, pembinaan jambatan dan parit-parit yang perlu dibetulkan melalui pihak berkuasa tempatan berkenaan. Oleh sebab itu kita mesti membawa pembangunan dari peringkat bawah," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam, petang semalam.

Selain itu, Khalid berkata, kepimpinan kerajaan Selangor akan memperhebatkan usaha turun padang mendekati rakyat untuk membawa perubahan di peringkat dasar.

Justeru, perancangan komprehensif tiga bulan akan datang akan menentukan pengurusan negeri yang lebih cekap.

Ditanya sama ada pihak pembangkang Selangor akan mendapat peruntukan yang sama, Khalid berkata kerajaan Pakatan Rakyat akan merujuk kepada amalan kerajaan persekutuan.

"Kalau kerajaan persekutuan buat untuk semua ahli parlimen dan kita akan melakukan perkara yang sama. Asalkan mereka buat dulu. Kita lihat dahulu. Bukan kita tidak lihat perkara ini tapi, tunggu dulu. Kita tawarkan. Kita lihat dulu kalau persekutuan dan beri sekata kepada semua ahli parlimen dan kita akan ikut," katanya. (Malaysiakini)