13 Januari 2011

Pengurus Felda ‘ugut’ peneroka sebelum terima wang BIPP

08 Safar 1432H.
Oleh : Khairil Abdul Rahim.

BERA 12 Jan: Beberapa orang peneroka dari Felda Tembangau 1 dekat sini, kesal dengan sikap pengurus di rancangan berkenaan yang mengambil kesempatan ‘mengugut’ peneroka menandatangani aku janji ketika menerima wang Bonus Insentif Produktiviti Peneroka (BIPP).

Borang bertajuk Kes Kajian Keberkesanan Sistem Penyampaian Felda itu, menyenaraikan tiga pilihan untuk ditanda oleh peneroka sama bersetuju atau tidak bersetuju.

Pilihan pertama berbunyi pemberian bonus (PIPP) oleh Felda – terima kasih banyak, semoga Felda sentiasa maju, mudah-mudahan bonus BIPP diberi pada tahun-tahun akan datang. Saya akan bersama Felda walaupun susah ataupun senang.

Pilihan kedua, Felda menipu sepatutnya bonus BIPP banyak lagi, saya tidak memerlukan bonus ini, saya bersedia untuk saman Felda di masa hadapan.

Ketiga, catitkan yang difikirkan selain di atas.

Menurut peneroka yang enggan disiarkan namanya, keadaan ini membuatkan 279 peneroka di tanah rancangan berkenaan dalam keadaan serba salah.

“Masalahnya apabila di hadapan pengurus tentulah peneroka akan bersetuju dengan pilihan nombor satu kerana jika ditanda pada pilihan nombor dua, mereka tak dapat wang BIPP.

“Mungkin pengurus itu mahu membuat survey tentang pendirian peneroka berkaitan dengan pelbagai isu termasuk saman Felda ke belakangan ini. Tetapi cara ini seolah-olah mengugut peneroka,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau difahamkan tidak semua pengurus rancangan yang mengeluarkan borang untuk ditandatangani kerana peneroka-peneroka Felda Tembangau 2 tidak dikehendaki berbuat demikian.

Baru-baru ini, Felda telah membayar wang BIPP kepada peneroka Felda yang telah menjualkan hasil ke kilang agensi berkenaan bernilai antara RM400 hingga RM1,200 setiap orang.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Habuan sedikit je tu... jgn mudah lupa.
lepas mrk menang, subsidi dimansuhkan dan harga barang keperluan meningkat.... 1X mereka hulur, 10X mereka pekena rakyat...
Fikir2kan lah... jgn mudah terpedaya.