13 Januari 2011

Debat 100 hari Pakatan, Najib berdolak-dalih

08 Safar 1432H.

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat.

Perdana Menteri berkata yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya.

"Kalau nak debat, kita mesti ada sesuatu hasil daripada debat itu. Saya tak nampak ada hasil, yang penting sekali ialah penilaian daripada rakyat," katanya kepada pemberita di Seri Perdana di Putrajaya hari ini selepas majlis ramah mesra meraikan skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki pada bulan lalu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Anwar untuk berdebat dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat jika mereka menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru.

Sebelum ini, Perdana Menteri dan ramai pakar ekonomi menyifatkan pelan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.

Najib berkata pakatan pembangkang boleh membuat pembentangan mereka dan BN akan turut membuat pembentangan berhubung perkara itu.

"Dan kita boleh buat macam-macam penilaian atas perancangan berkenaan (pelan). Biar rakyat menentukan," katanya.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, jika ada orang lain yang mahu berdebat dengan Anwar seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, itu terserah kepada masing-masing dan beliau tidak akan menghalangnya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: