13 Januari 2011

Nazri cabar debat isu Apco

08 Safar 1432H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengannya mengenai Apco Worldwide sebelum membuat cabaran berdebat dengan Perdana Menteri.

Nazri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar, ketua umum PKR, yang mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" Pakatan Rakyat berikutan kenyataan Najib yang membidas pelan itu sebagai bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya.

"Jangan jadi pengecut. Suruh dia jawab isu Apco dulu dan debat dengan saya dulu," kata Nazri dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai dokumen bahawa Apco Worldwide (APCO), sebuah syarikat perhubungan awam antarabangsa mempunyai kaitan dengan penubuhan
gagasan 1Malaysia dan kempen ‘One Israel’, walaupun kerajaan mendedahkan dokumen ang menafikan dakwaannya tersebut.

Berikutan kegagalan Anwar untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya di persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang lalu, beliau telah digantung daripada menghadiri persidangan itu untuk enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong.

Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim berkata tindakan Anwar mencabar PM hanyalah gimik lama dan hanya mahukan publisiti.

"Saya tidak fikir PM akan jatuh dalam perangkap ini. Anwar dalam keadaan tersepit akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyanggah data dan informasi ataupun usaha Perdana Menteri dalam apa-apa hal.

"PM melahirkan hujah yang menyakinkan dalam apa yang dilaksanakannya dalam tempoh setahun lebih. Kita sudah yakin bahawa informasi itu boleh dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas bertemu petugas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Kuala Lumpur, semalam.

Rais berkata semasa Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, lonjakan saham tidak pernah mencapai 1,500 mata, dan kini pendapatan orang kampung pun semakin meningkat dengan kenaikan harga getah sehingga RM12 sekilogram baru-baru ini.

Ahli parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula berkata Najib tidak perlu melayan kehendak Anwar kerana Anwar bukan seorang pakar ekonomi atau pakar kewangan, malah tidak ada pengalaman dan juga kelulusan.

"Tak perlu PM masuk perangkap politik Anwar. Anwar hanya berlagak pandai dan dia adalah pakar putar alam," dakwanya.

Apa yang penting ialah Perdana Menteri dan kerajaan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai apa jua rasa tidak puas hati yang tercetus, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat, kata presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu.

Sementara itu Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Shamsul Amri Baharudin berkata cabaran Anwar untuk berdebat dengan Najib mengenai polisi ekonomi, dilihat sebagai satu usaha terdesak.

Katanya, Anwar tidak perlu untuk berdebat memandangkan rakyat kini lebih cenderung menonton majlis yang berbentuk forum perdana.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: