13 Januari 2011

Najib Tertekan Punca Serang PR Setiap Hari - Anwar

08 Safar 1432H.

SHAH ALAM 12 JAN: Umno-Barisan Nasional menyedari bahawa Pakatan Rakyat berkemampuan untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan, lantas mengemblengkan jentera kerajaan untuk menyerang hampir setiap hari.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan amat tertekan.

Tohmahan bagi mengkucar-kacirkan saf Pakatan Rakyat dipertingkatkan, dan Najib sehingga hari ini tidak berputus-asa memujuk PAS berpaling-tadah dari permuafakatan Malaysia baru.

"Kalau betul dia kuat, kenapa dia serang menggila. Kenapa tiap perkataan Pakatan Rakyat dia gelabah menjawab. Kenapa usaha-usaha mendekati PAS berterusan. Tidak pernah Umno kalau kuat dia akan cuba curi kekuatan dari luar. Ini menunjukkan keadaan lemas.

"Pertama kali dalam sejarah negara kita, seorang Perdana Menteri mengatakan akan pertahan Putrajaya habis-habisan, keluar semua nyawa dan badan kerana ini kenyataannya," jelas Anwar dalam Program Terus Terang terbitan Tv Selangor.

Anwar berkata Pakatan Rakyat, terutamanya Parti Keadilan Rakyat, mengambil langkah-langkah perlu untuk mengetengahkan calon dan saf kepimpinan yang benar-benar berwibawa.
Pendidikan dan latar belakang calon diberi keutamaan, supaya rakyat lebih yakin dengan pilihan mereka.

"Kita harus lebih berhati-hati dalam memilih. ada orang yang berpendidikan rendah, tidak boleh dipilih ke tempat yang tinggi dalam parti, kerana ia memberi mesej yang buruk kepada rakyat. Pengalaman mengajar kita. Kita harus pilih pimpinan yang lebih layak, wibawa dan ada daya tahan menghadapi tentangan Umno," jelasnya.

Anwar berkata Pakatan Rakyat membawa mesej yang jelas akan perubahan-perubahan yang mahu dilakukan sekiranya diberi peluang mentadbir negara ini.
Sekiranya blok pembangkang diberi mandat, Anwar memberi jaminan kepada kepimpinan Umno-BN bahawa hak mereka sebagai warganegara Malaysia akan dipertahankan.

"Hilang kuasa tidak bermakna hilang segala-galanya. Hilang kuasa mereka, tetapi hak sebagai rakyat dan proses perundangan bahkan kita akan perkemaskan. Itu bedanya. Umno merosakkan badan kehakiman, kita memperkukuh dan menjamin badan kehakiman yang bebas," jelasnya.

Tiada ulasan: