08 Februari 2011

Adakah pakaian kita sesuai dengan Islam atau tidak?

4 Rabiul Awal 1432H,
Ahmad Baei Jaafar

Meneliti gaya dan fesyen pakaian umat Islam kini kita dapati kebanyakannya tidak menepati citarasa Islam. Hal ini mungkin ada kaitan dengan ilmu pereka fesyen tentang aurat wanita. Mungkin sebahagian mereka tidak mengambil kira hukum sebenar, sebaliknya lebih melihat kepada peluang dan keuntungan yang boleh diambil.

Selain itu wanita Islam sendiri tidak begitu arif tentangnya lalu berpakaian mengikut cita rasa sendiri. Antara mereka ada yang memakai tudung sekadar tutup rambut, memakai tudung dengan memakai baju T yang berlengan pendek, memakai tudung dengan baju berserta keluar yang ketat. Pemakaian secara inilah yang menjadi kegemaran remaja masa kini.

Apakah cara ini diiktiraf oleh Islam? Di sini mari kita lihat apa kata hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku melihat kedua-duanya: iaitu seorang yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dia memukul manusia, dan satu lagi perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggok-lenggok, kepalanya bagaikan bonggol unta yang bergoyang. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapatkan baunya, sedangkan baunya boleh dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim).

Tutupkah aurat cara ini?

Kita fokuskan kepada perempuan yang berpakaian tetapi seperti telanjang. Ya sebagaimana yang disifatkan dalam hadis di atas adalah dia tidak menutup aurat.

Bukan itu sahaja, perempuan ini menari dan berpesta di khalayak ramai. Inilah sifat sebahagian wanita pada hari ini, mereka ini termasuk dalam kategori tidak berpakaian walaupun memakai tudung seperti berikut:

1. Pakai tudung tetapi nampak rambut, leher dan dada
2. Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju T berlengan pendek
3. Pakai tudung lengkap tetapi pakai kain ketat yang terbelah di bahagian bawah
4. Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju dan seluar yang ketat.

Selain itu terdapat juga pemakaian tudung masa kini yang menyerupai pakaian padri (sister). Perhatikan panduan memakai tudung yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

Dada yang perlu ditutup

“Wahai nabi katakanlah kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak wanita kamu juga wanita muslim supaya mereka melabuhkan tudung ke atas jilbab mereka, demikian itu lebih baik supaya dikenali sebagai wanita yang baik, dan Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih.” (Surah al-Ahzab : 59)

Berdasarkan firman itu, tudung mesti dilabuhkan ke atas baju sehingga menutup dada. Tetapi kalau seseorang itu memakai tudung sekadar menutup rambut dan masih nampak dada dan leher tidaklah menepati penutupan aurat. Bukan itu saja, pakaian seperti itu kalau kita amati hampir sama seperti tudung padri wanita.

Apakah umat Islam tidak sedar akan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia tergolong dalam golongan itu.” (Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Ulama dalam keadaan ini perlu mengambil pendekatan mengajak umat Islam khususnya wanita agar kembali menggunakan tudung yang benar-benar menutup aurat. Sudah sampai masanya semua umat Islam kembali berpakaian dengan niat menutup aurat bukan untuk kelihatan cantik di hadapan orang ramai.

Salah Faham Wanita

Lihatlah beza tudung ini.

Melihat panduan di atas, saya percaya ramai wanita Islam salah faham tentang konsep aurat dan konsep berpakaian dalam Islam. Sebab itu mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang dilihat di sekeling mereka? Kebanyakan wanita Islam tahu bahawa menutup aurat itu wajib tetapi tidak tahu bagaimana harus mereka pakai.

Kalau kita tanya seorang wanita yang memakai tudung sekadar menutup rambut, dia dengan tegas berkata, “aku pakai tudung ini sudah cukup menutup aurat.”

Kalau kita tanya mereka yang pakai baju kurang tetapi dadanya tidak ditutup, dia dengan berani berkata, “aku pakai baju kurung ini dah cukup menutup aurat, kan bersopanni.”

Begitu juga kalau kita bertanya wanita yang pakaiannya ketat, dia berkata, “aku sudah menutup aurat yang sempurna, mana nampak kulit dan rambut lagi.”

Salah faham ini mungkin kerana peluang ulama untuk menjelaskan hukum ini terbatas atau umat Islam tidak berpeluang untuk menuntut ilmu mengenainya. Jika benar begitu, bolehlah dimaafkan tetapi kalau ulama tidak begitu bertegas dalam menyampaikan ilmu sebenar, adalah suatu jenayah yang harus dibasmikan.

Selain itu ibu bapa juga dilihat sebagai tidak begitu serius dalam soal aurat. Ramai di sekeliling kita, para ibu yang memakai tudung malah ada yang berpurdah, tetapi anaknya sendiri dibiarkan tanpa menutup aurat. Adakah mereka berasa takut untuk mendidik anak ke arah menutup aurat atau rasa masih awal untuk dibuat teguran atau dirasakan, pemakaian itu soal individu.

Terdapat juga suami yang tidak ambil kisah tentang penutupan aurat, sama ada isteri hendak pakai tudung atau tidak, tidak mengapa. Ada juga suami yang tidak boleh kata apa-apa dengan sikap isteri yang tidak mahu menutup aurat. Tidakkah mereka sedar bahawa sikap itu hakikatnya adalah manusia dayus yang tidak dijamin syurga.

Wallahua’lam

Syabas Selangor bela ADUN Seri Muda, Biarkan GAPS dengan sakit hatinya.

4 Rabiul Awal 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

BETAPA bengangnya GAPS (Gabungan Anti Penyelewengan Selangor) apabila Kerajaan Negeri Selangor akan membiayai kos perundangan Adun Seri Muda, YB Shuhaimi Shafie yang bakal didakwa atas tuduhan menghina Sultan Selangor. Sememangnya puak-puak ini suka melihat Adun tersebut tersungkur di mahkamah dan kemungkinan akan ada lagi PRK di Selangor untuyk mereka merampas kerusi Dun Seri Muda.

GAPS berkata tindakan kerajaan Selangor membiayai kos perundangan ADUN Seri Muda Muda Shuhaimi Shafiei - yang akan dihadapkan ke mahkamah ekoran tulisan berkaitan Sultan Selangor - disifatkan sebagai "pembaziran dan penyelewengan wang rakyat". Pembaziran wang rakyat apanya jika Adun tersebut menulis demi untuk kesejahjteraan rakyat dan kedaulatan raja-raja? Bukankah rakyat dan raja tidak boleh dipisahkan? Raja boleh menitah kepada rakyat, manakala rakyat juga boleh menegur raja untuk membuktikan kasih sayang kita kepada raja.

Membela seorang Wakil Rakyat yang dianggap menderhaka kepada Sultan, sedangkan tiada satu bukti pun kita lihat bentuk penderhakaan itu bahkan Adun berkenaan secara terbuka menyebut sekiranya ada ayat atau frasa di dalam tulisannya yang menyinggung Sultan, beliau rela memohon maaf dan bersedia untuk berjumpa Duli Tuanku. Itu membuktikan betapa ikhlasnya Adun tersebut. Butakah mata GAPS dengan berbagai bentuk penderhakaan kepada raja yang lebih dahsyat sebelum ini?

Cuba tanya Tun Mahathir, tanya Ibrahim Ali dan tanya juga geng-geng Idris Jusoh di Terengganu tentang sejarah Sultan di hina. Mereka semua boleh ceritakan kisah-kisah `keberanian' mereka kepada raja. Ada pernah mereka didakwa seperti Adun Seri Muda ini? Justeru itu, GAPS jangan hipokrit kerana rakyat tidak lagi sebodoh kamu./wfauzdin.blogspot.com

Merlimau - Cabaran untuk Rosmah


5 RabiulAwal 1432H.[MOD].Harakahdaily -
KUALA LUMPUR, 8 Feb: Adalah amat dikesali bila mana isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor yang cuba mengambil kesempatan publisiti atas misi murni menyelamat rakyat Malaysia di Mesir baru-baru ini.

“Peranan beliau dalam misi ini nampaknya sudah melebihi tugasan seorang Menteri. Saya melihat keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Rosmah sebenarnya mahukan pengiktirafan dalam kerja kuatnya di Oman, Bahrain dan kini di Mesir,” kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Maka, katanya adalah sesuai sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada Rosmah untuk bertanding di PRK Merlimau yang akan datang.

Tambahnya, cabaran itu juga sesuai buat BN sebagai pujukan kepada hasrat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah gagal meletakkan calon wanita pada PRK Tenang lalu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang melihat pemilihan Rosmah amat penting bagi menyelamatkan berjuta-juta wang rakyat Malaysia daripada terus dibazirkan dalam siri jelajah dunia dan pelbagai persidangan mengarut di bawah rancangan ‘Wanita Pertama’ Malaysia ini.

“Andai benar PM Najib mahu buktikan perubahan, saya mencabar beliau untuk menerima cabaran ini,” ujarnya.

07 Februari 2011

Badrul jadi Wakil Mahkamah ? SPR dihalang bincang status ADUN Pelabuhan Klang

4 Rabiul Awal 1432H.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilarang mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah sehingga 17 Feb ini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas membenarkan permohonan Badrul Hisham untuk mendapatkan injunksi interim terhadap SPR, sementara menunggu saman pemulanya bagi satu deklarasi bahawa beliau masih ADUN kawasan berkenaan didengar.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said yang mewakili SPR dan peguam Datuk Mohd Hafarizam (kanan) Harun untuk Badrul Hisham (kiri).

Badrul Hisham memfailkan permohonan pada 28 Jan lalu bagi menghalang SPR daripada mengadakan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan, atau mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.

Sebelum itu, pada 24 Jan, Badrul Hisham memfailkan saman pemula untuk mendapatkan pengisytiharkan mahkamah bahawa beliau masih ADUN Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan DUN Selangor.

Beliau juga meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim pada 19 Jan lepas sebagai tidak sah dan batal kerana ia melangkaui perlembagaan Selangor.

Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong atas alasan Badrul Hisham tidak menghadiri persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang sebab munasabah.

Badrul Hisham yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008, meninggalkan parti itu pada Oktober 2009 untuk menjadi ADUN Bebas yang mesra BN.

Beliau menyertai Umno pada Mei tahun lalu.BH/-

Calon PAS tanding DUN Merlimau

4 Rabiul Awal 1432H.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sebulat suara meletakkan calon daripada parti PAS bagi menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti DAP di sini, sebentar tadi.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini mengumumkan tarikh penaman calon adalah 26 Februari ini.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS akan bermesyuarat pada 13 Februari ini bagi membincangkan calon yang akan diketengahkan Pakatan Rakyat bagi DUN Merlimau. BH/-

Tunisia gantung bekas parti pemerintah

3 Rabiul Awal 1432H.

TUNIS: Menteri Dalam Negeri Tunisia, Fahrat Rajhi hari ini mengumumkan penggantungan bekas parti pemerintah, Parti RCD yang diketuai Presiden yang digulingkan, Zine El Abidine Ben Ali.

Rajhi dalam satu kenyataan yang disiarkan stesen televisyen negara itu berkata, penggantungan itu membabitkan pengharamkan menjalankan semua aktiviti berbentuk politik dengan semua pejabat parti akan ditutup.

“Ia dibuat demi kepentingan negara dan mengelak daripada berlaku keganasan yang berterusan. "Menteri Dalam Negeri memutuskan untuk menggantung semua aktiviti RCD, mengharamkan semua mesyuarat dan menutup semua pejabat parti di seluruh negara," katanya. - AFP

Pembangkang Mesir tolak tawaran sertai kerajaan baru

3 Rabiul Awal 1432H.

KAHERAH: Barisan pembangkang yang mahu rejim Presiden Hosni Mubarak berundur, semalam menolak tawaran untuk bergabung dalam rancangan pembentukan kerajaan baru Mesir.

Terdahulu, Naib Presiden, Omar Suleiman bersetuju untuk berunding dengan kumpulan pembangkang, termasuk parti yang diharamkan - Muslim Brotherhood, tetapi rundingan itu dikatakan tidak mencapai sebarang persetujuan konkrit berhubung penyelesaian konflik penentangan rayat yang kini memasuki minggu kedua.

Malah, Dataran Tahrir di tengah ibu negara masih menyaksikan ribuan rakyat Mesir tidak berganjak daripada kawasan itu sambil menegaskan mereka tetap mahu Mubarak berunsur meskipun kerajaan menganjurkan rundingan seperti itu. “Ia satu muslihat. Itu pandangan ikhlas saya," kata Nora Abul Samra, 25, salah seorang penunjuk perasaan.

“Kalau dia (Mubarak) pergi dia boleh melakukan apa saja yang dikehendakinya. Kami percaya ada cara lain yang lebih berpelembagaan dan ia adalah menerusi revolusi," katanya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Magdi Radi berkata, pihak yang berunding bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankyasa terdiri daripada hakim dan ahli politik untuk mengkaji pindaan dalam perundangan dan perlembagaan negara pada minggu pertama Mac depan

Mereka juga bersetuju untuk membuka pejabat aduan terhadap layanan yang dialami tahanan politik, menarik balik larangan terhadap media serta menarik balik undang-undang darurat bergantung kepada keadaan keselamatan.

Mahmud Ezzat, pemimpin nombor dua Muslim Brotherhood memberitahu AFP bahawa kumpulannya sudah menarik diri daripada rundingan itu kerana ia tidak memberi manfaat dan mahu protes jalanan diteruskan.

"Salah satu tuntutan kami ialah Presiden mesti meletakkan jawatan," katanya. - AFP

14 cedera pertempuran di sempadan Thai-Kemboja

3 Rabiul Awal 1432H.

BANGKOK: Tiga belas tentera Thai dan seorang orang awam cedera dalam pertempuran terbaru dengan tentera Kemboja di mana kawasan pertempuran diperluaskan di luar kawasan sempadan yang dipertikaikan ketika gencatan senjata berlangsung tidak sampai 24 jam.

Jurucakap Tentera Thai, Kol Sansern Keowkamnerd hari ini berkata, mereka mengalami kecederaan itu ketika berlaku pertempuran pada 6.30 petang semalam di daerah Kantharalak, wilayah Si Sa Ket, kira-kira 550km timur Bangkok.

Kedua-dua pihak menggunakan senjata berat termasuk roket, mesingan, meriam, dan artileri dengan tentera Kemboja dilaporkan melancarkan serangan dari stesen mereka di Bukit Phu Ma Khua dan Chong Don Aou. Kol Sansern mendakwa tentera Kemboja terlebih dahulu memulakan serangan di bumi Thai dan segera dibalas oleh pihak Thai.

"Sekolah dan banyak kampung terkena tembakan," katanya, sambil menambah insiden itu memaksa beribu-ribu penduduk kampung dipindahkan sementara ke kubu bawah tanah dan tempat lebih selamat.

Pihak berkuasa Si Sa Ket telah menjadikan dewan orang ramai dan stadium sebagai tempat perlindungan sementara.

Kedua-dua pihak mencapai perjanjian gencatan senjata pada 7 petang Sabtu lalu berikutan pertempuran yang tercetus di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada Jumaat, mengorbankan dua rakyat Thai, seorang daripadanya orang awam, manakala 12 tentera cedera selain mengakibatkan kerosakan sebuah sekolah dan beberapa buah rumah dalam pertempuran yang berlangsung selama dua hari.

Pertempuran semalam berlangsung kira-kira tiga jam dan disambung semula kira-kira 8.30 pagi ini.

Dalam perkembangan lain, laporan dari Phnom Penh menyebut Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malam semalam untuk meminta campur tangan badan dunia itu.

Phnom Penh mahu Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar untuk menghentikan pencerobohan Thai ke dalam wilayah Kemboja. - BERNAMA

Kumpulan pertama penuntut, warga Malaysia tiba di KLIA

3 Rabiul Awal 1432H.

SEPANG: Seramai 778 kumpulan pertama pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.

Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia itu mendarat jam 10 pagi dengan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet lain di Kompleks Bunga Raya.

Turut menyambut kepulangan mereka ke tanah air ialah ahli keluarga masing-masing.

Tema Maulidur Rasul bertentangan dengan Islam ?

3 Rabiul Awal 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

SLOGAN `1 Malaysia 1 Ummah' dikatakan menjadi thema sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan tahun ini. Biasalah, kerajaan sekarang semuanya mahu dijadikan `1 Malaysia' dengan berbagai jenama `1 Malaysia' di tempelkan. Apa yang tidak kena dengan thema `1 Malaysia 1 Ummah' ini?

Pertamanya, kita diberitahu bahawa konsep 1 Malaysia adalah menunjukkan kesamarataan di antara semua kaum dan agama di negara ini. Konsep ini kununnya memberi keadilan kepada semua kaum dan agama. Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain, begitu juga semua agama seperti Islam, Kristian, Budha, Hindu dan lain-lainnya adalah terdapat di dalam konsep 1 Malaysia. Ertikata, konsep 1 Malaysia meliputi semua kaum dan agama di negara ini.

Apa pula yang dimaksudkan dengan `Ummah' di dalam konteks Islam? Di dalam Islam, yang dimaksudkan dengan Ummah itu adalah semua penganut agama Islam. Adakah penganut ugama Kristian, Budha, Hindu dan selain dari Islam itu termasuk di dalam konteks `Ummah'? Jawapannya sudah pasti tidak. Kristian bukan Ummah yang sama dengan Ummah Islam. Kristian tentulah ada Ummahnya sendiri iaitu Umat Kristian. Begitu juga dengan ugama yang lainnya.

Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang berhubung kait dengan Nabi Muhammad SAW iaitu sambutan bercorak keagamaan di dalam Islam. Justeru itu, wajarkah konsep `1 Malaysia' dicampor adukkan di dalam sambutan keagamaan Islam seperti ini? `1 Malaysia 1 Ummah' bermaksud semua agama yang terkandung di dalam konsep 1 Malaysia itu adalah 1 Ummah dengan Islam? Betulkah begitu? Adakah kita mengiktiraf semua agama yang terkandung di dalam konsep 1 Malaysia adalah 1 Ummah dengan kita sebagai umat Islam?

Saya merasakan thema sedemikian tidak tepat samasekali malahan ianya amat bertentangan. Umat Islam tidak boleh disamakan dengan Umat ugama lain, jauh sekali untuk disatukan. Saya berharap agar pihak-pihak berkenaan lebih berhati-hati dengan memilih thema bagi program atau sambutan keagamaan yang melibatkan ugama Islam yang maha suci ini. Jangan kerana terlalu inginkan kemegahan di dalam jenama 1 Malaysia, kita satukan kesemuanya./wfauzdin.blogspot.com

Hansard S'wak: Lagi ucapan ADUN Pakatan 'lesap'

3 Rabiul Awal 1432H.

Lagi ADUN Sarawak mendakwa perbahasan mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak dipadamkan di Hansard - cetakan transkrip persidangan Parlimen dan DUN.

Kali ini, yang menjadi mangsa adalah ADUN Meradong dari DAP, Ting Fui Tze (gambar) yang mendakwa ucapannya sepanjang 13 perenggan hilang begitu sahaja.

Semalam, Ketua DAP Sarawak yang juga ahli parlimen Sibu, MP Wong Ho Leng melalui pesanan Tweet berkata ucapan ADUN Pending, Violet Yong bukannya satu-satunya yang turut lesap di Hansard.

Menurut Wong, 13 perenggan ucapan Ting yang lesap itu adalah berkisar ke atas speaker DUN, Datuk Awang Asfia Nasar dan Menteri Kewangan Kedua Wong Soon Koh.

Sebelum ini, Violet Yong berang kerana ucapannya yang menyentuh tentang kekayaan keluarga Ketua Menteri, Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan, telah dikeluarkan dari Hansard.

Dihubungi oleh Malaysiakini, Ting berkata bahawa 13 perenggan ucapannya yang dibuat ketika jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Sarawak bersidang, tidak direkodkan, atau lebih tepatnya, "dihapuskan" dari Hansard.

Malaysiakini/-

Merlimau: PAS Melaka bersedia terima petugas

3 Rabiul Awal 1432H.
Ahmad Danial

JASIN, 7 Feb: Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Negeri (JPN) Melaka, Bahiki Ismail (gambar) berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menerima kontinjen dari seluruh negara yang akan berkampung di Merlimau bagi membantu gerak kerja pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau.

"Pihak kami telahpun menyediakan penginapan dan kelengkapan logistik untuk semua kontinjen negeri-negeri di mana semua negeri telah diberikan tugas berdasarkan kepakaran dan kekuatan masing-masing.

"Semuanya sudah siap sedia dan pihak kami hanya menunggu kedatangan tetamu untuk membantu kami," ujarnya yang juga Setiausaha PAS Kawasan Alor Gajah.

Ditanya tentang persiapan jentera, Bahiki berkata bahawa JPN memang sudah lama bersedia dan tidak ada masalah yang dihadapi oleh pihaknya bagi menggerakkan jentera di Dun Merlimau.

"Program Jom Turun Padang Mesra Rakyat telah dimulakan sejak awal 2010 lagi di mana ianya telah memberikan kesan yang amat baik kepada petugas-petugas di mana mereka telah mendapat latihan yang sistematik dan cukup untuk berhadapan dengan kerja-kerja pilihanraya.

"Negeri-negeri akan digabungkan dengan jentera tempatan dan gabungan ini sudah tentu akan bertambah mantap dengan kepakaran yang ada pada jentera masing-masing," tambahnya.

Menurutnya, JPN telah mengenalpasti beberapa strategi yang sedang dan akan dimainkan oleh Umno BN untuk mengelirukan rakyat di Merlimau di mana sebahagian besarnya adalah isu lama yang sudah muak dan tidak diterima oleh rakyat.

PAS, kata Bahiki yakin bahawa pengundi Merlimau bijak untuk membuat pilihan, di mana Dewan Undangan Negeri Melaka memerlukan pembangkang dari PAS bagi menegur dan menasihati kerajaan negeri dalam isu-isu berkaitan agama, sosial dan korupsi.

Bahiki juga mengharapkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat berlaku adil kepada semua parti yang bertanding demi kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

"Tidak ada guna kita adakan pilihan raya jika padang permainan tidak rata yang akhirnya menyebabkan imej negara tercalar kerana sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus," ujar Bahiki ketika ditemui di Bilik Operasi PAS di Merlimau pagi ini.

SPR menetapkan 26 Februari ini hari penamaan calon PRK Merlimau dan jika ada pertandingan, hari mengundi pada 6 Mac.

Harakahdaily/-

27,737 mangsa banjir Johor masih di pusat pemindahan

3 Rabiul Awal 1432H.

Seramai 27,737 orang daripada 6,680 keluarga masih berada di pusat pemindahan banjir di empat daerah di Johorsehingga pagi ini.

Sehingga pukul 8 pagi tadi, kesemua mangsa di daerah Muar, Batu Pahat, Segamat dan Ledang itu ditempatkan di 100 pusat pemindahan, demikian menurut portal rasmi kerajaan negeri Johor, www.johordt.gov.my.

Daerah Muar mencatatkan mangsa teramai dengan 10,574 orang daripada 2,633 keluarga, diikuti Batu Pahat (8,775 orang, 1,944 keluarga), Ledang (6,750 orang, 1,698 keluarga) dan Segamat (1,638 orang, 405 keluarga).

Daripada 100 pusat pemindahan yang dibuka, 28 daripadanya adalah di Muar, 37 di Batu Pahat, 16 di Segamat dan 19 di Ledang.

Setakat ini lima orang dilaporkan lemas akibat banjir di Johor.

Hasutan: Shuhaimi tidak mengaku salah

3 Rabiul Awal 1432H.

SHAH ALAM, 7 Feb: Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pagi ini tidak mengaku bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam ekoran tulisan dalam blog peribadinya.

Beliau didakwa ekoran tulisannya pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Shuhaimi yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi diiringi para pengikutnya serta tujuh peguam yang membela beliau.

(Gambar: Shuhaimi dikerumuni wartawan selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadii)

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Shuhaimi dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.

Shuhaimi menulis tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi yang disifatkan oleh musuh politiknya sebagai menghasut membenci Sultan Selangor.

Jika sabit kesalahan ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Shuhaimi diwakili tujuh peguam, diketuai peguam hak asasi yang juga Exco Majlis Peguam, Edmund Bon.

Peguam lain, termasuk Lateefa Koya, Yusmaidi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.

(Gambar: N Surendran meminta kerajaan membuat pembaharuan terhadap Akta Hasutan)

Turut hadir pada prosiding di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali, Exco Dr Haji Yaakob Sapari, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, Manickavsagam dan Exco, Teresa Kok serta Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Hapus Akta Hasutan

Kerajaan Malaysia didesak memperbaharui sistem perundangan negara dengan menghapuskan Akta Hasutan peninggalan penjajah kerana ternyata tidak memberikan keadilan kepada rakyat negara ini.

Salah seorang peguam yang dilantik mewakili Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, peguam N Surendran berkata, sudah sampai masanya undang-undang negara ini digubal semula untuk menjamin hak setiap rakyat untuk bersuara.

Surendran berkata demikian sebaik sahaja keluar dari ruang bicara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini pagi tadi selepas Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan mengikut Seksyen 4 (1) berikutan siaran pandangan peribadinya di blog beliau pada 31 Disember lepas.

Dalam pada itu, Shuhaimi dalam kenyataan kepada Harakahdaily ketika menanti wang jaminan disiapkan menyatakan, rupanya akta ciptaan penjajah British masih 'mulia' walaupun negara merdeka sudah 53 tahun.
Harakahdaily/-

Gelombang Merah, angan-angan Mat Jenin

4 RabiulAwal 1432H [MOD]..
KUALA LUMPUR, 6 Feb: PAS berpendapat hasrat BN merampas semula Kelantan dengan pelancaran Gelombang Merah bagi memikat sejumlah besar anak muda negeri itu sebagai angan-angan Mat Jenin.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata beliau yakin anak muda Kelantan yang terkenal sebagai golongan terpelajar dan memenuhi pusat-pusat pengajian tinggi sukar menerima BN yang telah terbukti gagal mengurus tadbir negara sejak lebih 50 tahun lalu.

"PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda Kelantan hanya angan-angan mat jenin sahaja.

"Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka anti penindasan, diskriminasi dan penyelewengan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelancaran projek Gelombang Merah oleh Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Umno mensasarkan 400,000 belia Kelantan akan bersama mereka pada PRU itu nanti.

Strategi tersebut juga dilihat sama sewaktu Gelombang Biru yang dilancar Umno Terengganu pada tahun 2004 untuk merampas kerajaan negeri yang pada waktu itu diterajui PAS.

Kata Idris lagi, orang Kelantan juga sangat sukar untuk menerima Umno BN ekoran beberapa fakta diskriminasi oleh kerajaan pusat ke atas negeri itu.

Ianya termasuklah isu peruntukan kepada kerajaan negeri, isu sekatan 118 projek sejak Rancangan Malaysia ke enam pada tahun 1991dan terbaru isu royalti yang sehingga kini sangat perit dirasai rakyat negeri itu.

"Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, padahal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan.

"Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima Umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Mustapa, agar melihat dahulu negeri-negeri di bawah BN termasuk Sabah dan Sarawak yang masih tinggi kadar kemiskinan.

"Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN.

"Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN. Umno janganlah jadi tikus membaiki labu," nasihatnya.