08 Februari 2011

Adakah pakaian kita sesuai dengan Islam atau tidak?

4 Rabiul Awal 1432H,
Ahmad Baei Jaafar

Meneliti gaya dan fesyen pakaian umat Islam kini kita dapati kebanyakannya tidak menepati citarasa Islam. Hal ini mungkin ada kaitan dengan ilmu pereka fesyen tentang aurat wanita. Mungkin sebahagian mereka tidak mengambil kira hukum sebenar, sebaliknya lebih melihat kepada peluang dan keuntungan yang boleh diambil.

Selain itu wanita Islam sendiri tidak begitu arif tentangnya lalu berpakaian mengikut cita rasa sendiri. Antara mereka ada yang memakai tudung sekadar tutup rambut, memakai tudung dengan memakai baju T yang berlengan pendek, memakai tudung dengan baju berserta keluar yang ketat. Pemakaian secara inilah yang menjadi kegemaran remaja masa kini.

Apakah cara ini diiktiraf oleh Islam? Di sini mari kita lihat apa kata hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku melihat kedua-duanya: iaitu seorang yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dia memukul manusia, dan satu lagi perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggok-lenggok, kepalanya bagaikan bonggol unta yang bergoyang. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapatkan baunya, sedangkan baunya boleh dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim).

Tutupkah aurat cara ini?

Kita fokuskan kepada perempuan yang berpakaian tetapi seperti telanjang. Ya sebagaimana yang disifatkan dalam hadis di atas adalah dia tidak menutup aurat.

Bukan itu sahaja, perempuan ini menari dan berpesta di khalayak ramai. Inilah sifat sebahagian wanita pada hari ini, mereka ini termasuk dalam kategori tidak berpakaian walaupun memakai tudung seperti berikut:

1. Pakai tudung tetapi nampak rambut, leher dan dada
2. Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju T berlengan pendek
3. Pakai tudung lengkap tetapi pakai kain ketat yang terbelah di bahagian bawah
4. Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju dan seluar yang ketat.

Selain itu terdapat juga pemakaian tudung masa kini yang menyerupai pakaian padri (sister). Perhatikan panduan memakai tudung yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

Dada yang perlu ditutup

“Wahai nabi katakanlah kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak wanita kamu juga wanita muslim supaya mereka melabuhkan tudung ke atas jilbab mereka, demikian itu lebih baik supaya dikenali sebagai wanita yang baik, dan Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih.” (Surah al-Ahzab : 59)

Berdasarkan firman itu, tudung mesti dilabuhkan ke atas baju sehingga menutup dada. Tetapi kalau seseorang itu memakai tudung sekadar menutup rambut dan masih nampak dada dan leher tidaklah menepati penutupan aurat. Bukan itu saja, pakaian seperti itu kalau kita amati hampir sama seperti tudung padri wanita.

Apakah umat Islam tidak sedar akan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia tergolong dalam golongan itu.” (Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Ulama dalam keadaan ini perlu mengambil pendekatan mengajak umat Islam khususnya wanita agar kembali menggunakan tudung yang benar-benar menutup aurat. Sudah sampai masanya semua umat Islam kembali berpakaian dengan niat menutup aurat bukan untuk kelihatan cantik di hadapan orang ramai.

Salah Faham Wanita

Lihatlah beza tudung ini.

Melihat panduan di atas, saya percaya ramai wanita Islam salah faham tentang konsep aurat dan konsep berpakaian dalam Islam. Sebab itu mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang dilihat di sekeling mereka? Kebanyakan wanita Islam tahu bahawa menutup aurat itu wajib tetapi tidak tahu bagaimana harus mereka pakai.

Kalau kita tanya seorang wanita yang memakai tudung sekadar menutup rambut, dia dengan tegas berkata, “aku pakai tudung ini sudah cukup menutup aurat.”

Kalau kita tanya mereka yang pakai baju kurang tetapi dadanya tidak ditutup, dia dengan berani berkata, “aku pakai baju kurung ini dah cukup menutup aurat, kan bersopanni.”

Begitu juga kalau kita bertanya wanita yang pakaiannya ketat, dia berkata, “aku sudah menutup aurat yang sempurna, mana nampak kulit dan rambut lagi.”

Salah faham ini mungkin kerana peluang ulama untuk menjelaskan hukum ini terbatas atau umat Islam tidak berpeluang untuk menuntut ilmu mengenainya. Jika benar begitu, bolehlah dimaafkan tetapi kalau ulama tidak begitu bertegas dalam menyampaikan ilmu sebenar, adalah suatu jenayah yang harus dibasmikan.

Selain itu ibu bapa juga dilihat sebagai tidak begitu serius dalam soal aurat. Ramai di sekeliling kita, para ibu yang memakai tudung malah ada yang berpurdah, tetapi anaknya sendiri dibiarkan tanpa menutup aurat. Adakah mereka berasa takut untuk mendidik anak ke arah menutup aurat atau rasa masih awal untuk dibuat teguran atau dirasakan, pemakaian itu soal individu.

Terdapat juga suami yang tidak ambil kisah tentang penutupan aurat, sama ada isteri hendak pakai tudung atau tidak, tidak mengapa. Ada juga suami yang tidak boleh kata apa-apa dengan sikap isteri yang tidak mahu menutup aurat. Tidakkah mereka sedar bahawa sikap itu hakikatnya adalah manusia dayus yang tidak dijamin syurga.

Wallahua’lam

Tiada ulasan: