07 Februari 2011

Merlimau: PAS Melaka bersedia terima petugas

3 Rabiul Awal 1432H.
Ahmad Danial

JASIN, 7 Feb: Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Negeri (JPN) Melaka, Bahiki Ismail (gambar) berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menerima kontinjen dari seluruh negara yang akan berkampung di Merlimau bagi membantu gerak kerja pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau.

"Pihak kami telahpun menyediakan penginapan dan kelengkapan logistik untuk semua kontinjen negeri-negeri di mana semua negeri telah diberikan tugas berdasarkan kepakaran dan kekuatan masing-masing.

"Semuanya sudah siap sedia dan pihak kami hanya menunggu kedatangan tetamu untuk membantu kami," ujarnya yang juga Setiausaha PAS Kawasan Alor Gajah.

Ditanya tentang persiapan jentera, Bahiki berkata bahawa JPN memang sudah lama bersedia dan tidak ada masalah yang dihadapi oleh pihaknya bagi menggerakkan jentera di Dun Merlimau.

"Program Jom Turun Padang Mesra Rakyat telah dimulakan sejak awal 2010 lagi di mana ianya telah memberikan kesan yang amat baik kepada petugas-petugas di mana mereka telah mendapat latihan yang sistematik dan cukup untuk berhadapan dengan kerja-kerja pilihanraya.

"Negeri-negeri akan digabungkan dengan jentera tempatan dan gabungan ini sudah tentu akan bertambah mantap dengan kepakaran yang ada pada jentera masing-masing," tambahnya.

Menurutnya, JPN telah mengenalpasti beberapa strategi yang sedang dan akan dimainkan oleh Umno BN untuk mengelirukan rakyat di Merlimau di mana sebahagian besarnya adalah isu lama yang sudah muak dan tidak diterima oleh rakyat.

PAS, kata Bahiki yakin bahawa pengundi Merlimau bijak untuk membuat pilihan, di mana Dewan Undangan Negeri Melaka memerlukan pembangkang dari PAS bagi menegur dan menasihati kerajaan negeri dalam isu-isu berkaitan agama, sosial dan korupsi.

Bahiki juga mengharapkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat berlaku adil kepada semua parti yang bertanding demi kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

"Tidak ada guna kita adakan pilihan raya jika padang permainan tidak rata yang akhirnya menyebabkan imej negara tercalar kerana sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus," ujar Bahiki ketika ditemui di Bilik Operasi PAS di Merlimau pagi ini.

SPR menetapkan 26 Februari ini hari penamaan calon PRK Merlimau dan jika ada pertandingan, hari mengundi pada 6 Mac.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: