09 Februari 2011

Ops Piramid : Jangan Jadi Gimik Politik Umno-BN

06 Rabiul Awal 1432 H.

PETALING JAYA 9 FEB: Usaha menyelamatkan pelajar-pelajar Malaysia yang terperangkap dalam pergolakan di Mesir menerusi Ops Pyramid dikhuatiri hanya sebagai gimik politik kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abas Awang pada sidang media.

Abas berkata, tumpuan harus diberikan kepada pelan tindakan susulan untuk pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir menghabiskan pengajian mereka selain saranan penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti masalah di peringkat universiti di negara itu.

"Ini memerlukan suatu jawatankuasa khas untuk meyelesaikan masalah peringkat-peringkat dan fakulti-fakulti yang terlibat dan mungkin kerjasama dengan universiti yang ada. Kerja-kerja ini adalah kritikal. Tapi saya percaya mereka ini mengambil glamour politik selepas itu sunyi sepi.

"Saya bimbang ini gimik politik. Yang selalu berlaku dia adalah sebagai kemuncak. Sambutan yang pelbagai tapi selepas itu sepi. Saya lama dalam pendidikan dan saya tahu perkara ini. Sedangkan masalah sebenarnya bagaimana nasib pelajar-pelajar ini. Bagaimana mahu diteruskan (pelajaran), nasib rumah-rumah mereka di sana?" tegas beliau kepada media.

Sementara itu dalam sidang media sama, kerajaan Pakatan Rakyat menggesa golongan pendidik menyokong usaha menaikkan gaji mereka sebanyak RM500 sepertimana termaktub dalam agenda 100 hari Pakatan Rakyat.

Abas berkata pendekatan ini mampu menarik minat lebih ramai tenaga pengajar berkualiti sekaligus menjadiakan profesion guru menjadi pilihan utama.

"Parti Keadilan memikirkan perlu kita memartabatkan profesion perguruan negara kita untuk menyelamatkan daripada krisis pendidikan dan masalah moral yang lahir daripada institusi pendidikan kita," jelas beliau lagi.

Biro Pendidikan PKR sebelum ini di bawah kelolaan Dr Mohd Nor Manuty telah melaksanakan pelbagai seminar untuk memperkasa taraf pendidikan negara.

Beliau turut menyentuh penurunan kadar pengambilan guru hingga mengakibatkan tenaga pengajar yang sedia ada dibebani dengan kerja justeru mengurangkan tumpuan kepada keberkesanan pembelajaran.

Abas turut menyebut perbandingan dengan negara Singapura yang mempunyai kualiti guru amat baik berikutan tawaran gaji yang lumayan sehingga mampu mengangkat sistem pendidikan negara itu ketahap tertinggi.

Tv Selangor/-

Penunggang motosikal maut digilis treler atas jambatan

06 Rabiul Awal 1432 H.

IPOH - Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas digilis sebuah treler membawa muatan kayu balak di atas jambatan di Km 12 Jalan Kuala Kangsar-Manong malam tadi.

Dalam kejadian 9.05 malam itu, Rosli Ali, 32, dari Kenas, Kuala Kangsar, dipercayai bertembung dengan sebuah bas ketika cuba memotong lori berkenaan, kata Ketua Polis Trafik Perak, Supt Wan Abdullah Ishak.

Rosli, yang bekerja sendiri, mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sinar Harian/-

Kekayaan keluarga Mubarak cecah RM212b

06 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH - Kekayaan keluarga Presiden Mesir, Hosni Mubarak boleh mencecah AS$70 bilion (RM212 bilion), di mana kebanyakan kekayaannya berada dalam Bank Britain dan Switzerland atau terikat dengan hartanah di London, New York, Los Angeles dan sepanjang pantai Laut Merah, menurut analisis Timur Tengah, kelmarin.

Selepas 30 tahun memerintah, Mubarak mempunyai akses kepada transaksi pelaburan yang membawa pulang keuntungan ratusan juta pound.

Agensi akhbar Arab, Al Khabar melaporkan, Mubarak mempunyai harta di Manhattan, New York dan Beverly Hills, California.

Profesor fakulti politik sains Universiti Princeton, Amaney Jamal berkata, anggaran kekayaan yang dimiliki Mubarak setanding dengan kekayaan pemimpin besar di negara Teluk yang lain.

"Keuntungan yang dikaut kebanyakannya daripada khidmatnya dalam tentera dan kerajaan di kumpul untuk kekayaan peribadinya. Berlaku banyak kes rasuah dalam rejim ini.

"Ini adalah corak diktator Timur Tengah supaya keyaan mereka tidak diambil ketika berlaku peralihan kuasa," katanya.

Laporan Al Khabar menunjukkan beberapa syarikat besar negara Barat yang bekerjasama dengan Mubarak, menghasilkan pendapatan sekitar AS$15 juta (RM46 juta) setahun.

Sinar Harian/-

'Rakyat sengsara, hutang isi rumah RM577 bilion'

06 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Joseph Sipalan.

Pakatan Rakyat akan mencadangkan "penyelesaian radikal" bagi mengurangkan bebanan cukai yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia mengikut Dasar Automotif Negara (NAP).

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata cadangan itu akan dibentangkan pada Persidangan Ekonomi Pakatan yang dijadualkan pada bulan depan.

Katanya, cadangan berkenaan bertujuan mengurangkan tiga jenis cukai yang sekarang membebankan pembeli dan melipat gandakan harga kereta. Ini termasuk cukai import, cukai eksais dan cukai jualan.

Katanya, walaupun kenderaan di bawah 1,500 cc, cukai yang dikenakan sekurang-kurangnya 60 peratus untuk eksais, 10 peratus cukai jualan manakala 30 peratus cukai import, 60 peratus cukai eksais dan 10 peratus cukai jualan untuk kereta import.

"Ini bermakna bagi setiap kereta paling kecil yang dijual oleh Perodua pada harga RM40,000, sebanyak RM16,500 cukai dibayar kepada kerajaan.

"Oleh itu, masanya telah tiba untuk rakyat menilai dasar-dasar baru yang radikal untuk mengurangkan harga kereta dan rumah," katanya pada sidang media mingguan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pagi tadi.

Beliau turun mendesak kerajaan Umno-BN memohon maaf kepada rakyat dan menjelaskan bagaimana rakyat dibebani dengan hutang sepanjang masa.

Azmin berkata hutang isi rumah yang tinggi sehingga mececah 74 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada November tahun lalu adalah bukti kurangnya pendapatan rakyat menerusi dasar ekonomi yang dilaksanakan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, polisi yang diamalkan tidak lagi relevan memandangkan setiap keluarga terpaksa menanggung hutang negara yang kini melebihi 50 peratus kepada KDNK selain hutang peribadi.

"Kita yakin kalau mahu menjana ekonomi, rakyat perlu ada kapasiti untuk belanja kerana hutang isi rumah yang tinggi," jelas beliau.

Ahli parlimen Gombak itu juga menjelaskan prospek malap ekonomi negara dan ketidakupayaan rakyat menikmati taraf hidup baik berpunca daripada tindakan melindungi kepentingan kroni.

Katanya, hutang isi rumah yang dicatat berjumlah RM577 bilion berdasarkan statistik bulanan Bank Negara Malaysia merangkumi bebanan pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion) dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad kredit (RM200 bilion).

Ini jelasnya membuktikan kadar perbelanjaan pendapatan rakyat semakin rendah setiap tahun dengan kadar hutang yang tinggi.

"Sikap Umno-BN dalam menangani maslaah harga kereta dan rumah yang mahal dihadapi rakyat adalah bukti mereka tidak mempedulikan kesengasaraan rakyat. Rintihan rakyat selama ini terpaksa menanggung perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan langsung tidak diendahkan," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Mesir: Perlu konsensus baru tekan Amerika

06 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Nazri Abdullah.

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Diskusi Ilmiah pergolakan Mesir yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini seperti menyimpulkan bahawa krisis tersebut hanya boleh diselesaikan jika Presiden Hosni Mubarak berundur dan diadakan pilihan raya baru yang adil.

Bagaimanapun, ketiga-tiga panel iaitu Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Exco Selangor, Dr. Halimah Ali dan Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Yusmadi Yusuf, berpendapat ianya mungkin sukar ekoran pemerintahan Mesir turut dikawal kuasa besar, Amerika Syarikat.

Syed Azman berkata, Amerika tidak akan membiarkan pemerintahan regim diganti pihak lain khususnya Ikhwan Muslimin-yang kini dilihat paling mendapat kepercayaan rakyat-ekoran kuasa besar itu mempunyai banyak kepentingan di negara teluk itu.

Ianya termasuk kepentingan ketenteraan, masa depan negara Israel dan kepentingan minyak dan gas di negara itu.

Ianya ditambah lagi, dengan sikap Amerika Syarikat yang sanggup menggadaikan prinsip demokrasi demi kepentingan strategik mereka.

"Sebab itu kita dapat lihat permainan politik kuasa barat sehingga boleh membuat pengarahan khusus kepada Mesir.

"Mereka terkejut dengan apa yang berlaku ini dan mereka menanamkan doktrin bahawa Ikwan Muslimin adalah bahaya dan ektrimis agama kerana tidak mahu pemerintahan regim diganti pihak lain," katanya yang juga Adun Ladang.

Sementara itu, Yusmadi yang juga ahli parlimen Balik Pulau melihat perlunya wujud konsensus baru bagi mengimbangi konsensus Washington yang diguna pakai oleh kebanyakan negara di dunia yang dilihat tidak sesuai dengan tuntutan negara-negara lain.

Selain itu, konsensus baru itu juga katanya mampu memberi tekanan kepada Amerika dalam isu yang sedang berlaku di Mesir.

"Pada saya, inilah saatnya dengan kekuatan yang kita ada hari ini untuk panggil semua pemimpin Timur Tengah, Asia Tenggara berkumpul tak kira lah di Kelantan ke, Kedah ke untuk kita tubuhkan konsensus kita sendiri.

"Parti PAS punya contoh cerminan terbaik untuk penubuhan konsensus baru ini dan perlu berkerjasama dengan parti-parti pembangkang Indonesia," katanya.

Dr. Halimah pula banyak membentangkan berhubung usaha-usaha kerajaan Selangor terhadap pelajarnya di Mesir.

Ianya termasuk mengkaji dan menyediakan ruang untuk pelajar-pelajar tersebut yang kini sebahagiannya telah kembali ke tanah air, untuk berkhidmat di negeri Selangor.

"Kita sedang berbincang dengan Unisel, Jais dan Yayasan Selangor untuk menyediakan kursus-kursus yang sesuai untuk mereka," katanya.

Diskusi ilmiah secara terbuka itu dianjurkan Harakahdaily dengan kerjasama Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dan dipengerusikan AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar.

Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa Ali turut hadir dan memberi ucapan aluan sebelum perbincangan dimulakan.

Lebih 50 orang sama ada individu atau mewakili pertubuhan masing-masing meyertai diskusi yang berlangsung hampir dua jam tersebut.

Ketika sesi perbincangan dibuka kepada umum, masing-masing memberi pendapat menjurus bahawa kebangkitan rakyat yang bermula di Tunisia kemudiannya kini di Mesir dan beberapa tempat lain, menunjukkan bahawa sistem pemerintahan lama yang bermula sejak merdeka, kini sudah tamat tempoh dan perlu diganti.

Harakahdaily/-

KEJAP PUJI, KEJAP KUTUK DAN PUJI LAGI, ITU KERJA AWANG SELAMAT

06 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

KESIHAN Awang Selamat Utusan Meloya yang diperbodohkan orang. Di dalam beliau memburukkan DS Anwar di dalam tulisannya, beliau memuji dan memuja Presiden PAS. Ada udang balik batu.

Tulisannya di petik, "Di Tenang, ceramah Anwar kurang mendapat sambutan. Cubaan beliau untuk bermain sentimen liar juga tidak berjaya. Malah Awang difahamkan, di sebuah kawasan Felda,

seorang pemuda yang hadir bangkit merampas mikrofon kerana membantah ketua pembangkang itu memburuk-burukkan Felda. Khabarnya, Anwar yang sedang berceramah ketika itu terpaksa menghentikan ucapannya kerana ternyata hadirin tidak memihak kepada beliau.

Cerita yang beliau katakan di atas itu dapat dari mana? Beliau tulis, `difahamkan' , siapa yang memahamkan beliau? Seorang Pengarang hebat kununnya tetapi boleh kutip cerita sampah seperti itu? Jika benar, masakan TV 3 suku tidak mainkan isu tersebut? Bukankah TV3 suku ini pantang mendapat berita sedemikian?

Nampaknya Awang Selamat tidak puas hati kerana PAS masih kuat di Johor, sebab itu impian Muhyiddin mahu majoriti mencecah 5 ribu tidak kesampaian. Awang Selamat cuba pula untuk melaga-lagakan PAS dengan PKR, terutamanya di antara Presiden PAS dengan DS Anwar.

Mengapa tidak dengan Tuan Guru Nik Aziz? Sebab, Awang Selamat tahu bahawa Mursyidul Am PAS itu tetap akan mempertahankan DS Anwar lebih-lebih lagi Tuan Guru Nik Aziz lebih `vokal' tidak mahu PAS bekerjasama dengan Umno dalam aspek politik.

Adakah Awang Selamat sangka Presiden PAS lebih mudah untuk dirunding dan `rujuk' kepada Umno? Jika itu andaian beliau, teramat bodoh Awang Selamat yang masih tidak mengenali Presiden PAS tersebut.

Usahlah Awang Selamat banyak buang masa untuk melaga-lagakan DS Anwar dengan pemimpin PAS. Buruk-buruk DS Anwar pun pada pandangan PAS, beliau jauh lebih baik dari Najib dan Muhyiddin yang pengecut itu.

Kerajaan PR Selangor- Teruskan pertahan amanah

06 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

AKHIRNYA MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bertolak ansur juga dengan apa yang telah terjadi. Nasi sudah menjadi bubur. Maka, MB Selangor mengambil keputusan untuk menjernihkan keadaan dengan menerima SUK yang beliau serta majoriti rakyat Selangor tidak `redhai' tetapi mendapat perkenan Sultan Selangor dan juga dari Pusat.

Bukan salah atau kealpaan Tuanku, tetapi semuanya kerana ada yang bersifat `khianat' terhadap seluruh rakyat Selangor dan orang yang `khianat' itu sudah pun bersara serta goyang kaki.

Mungkin merasa lega kerana `hasad dengki dan busuk hatinya' kini telah tercapai. Makanlah dia dengan wang pencennya selepas ini samada `halal' atau `haram' hasil dari sabotaj beliau sebelum meninggalkan Pejabat SUK.

MB Selangor mahu lupakan kisah yang `menyakit'kan itu, namun kerajaan harus hidup dan rakyat harus dibela. Maka, Tan Sri Khalid mengadakan perjumpaan dengan Datuk Khusrin selaku SUK yang baru.

Alhamdulillah, jika di Perak di bawah Dato Nizar, Kerajaan PR Perak tidak sempat mengenali `musuh dalam selimut', tetapi di Selangor lain situasinya. Samada Datuk Khusrin `musuh dalam selimut' atau tidak, semuanya bergantung kepada apa yang akan berlaku selepas ini.

Dalam pertemuan MB Selangor dan Datuk Khusrin, SUK ini telah diberi `test' pertama. Menteri Besar mengarahkan Mohamad Khusrin untuk memberi keutamaan kepada hartanah milik Kerajaan Selangor, terutamanya yang terbiar dan bermasalah.

Menteri Besar telah memberitahu Mohamad Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.

"Tan Sri Abdul Khalid juga menyarankan supaya Mohamad Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.

Mungkin banyak lagi ujian demi ujian yang akan diberikan kepada SUK baru ini, maklumlah beliau bukannya dari Pegawai Kerajaan yang asalnya ada kelayakan Gred A, tetapi sekadar mempunyai kelayakan Gred C, cuma `bernasib baik' melompat Gred ke Gred A.

Justeru itu, segala bidang tugasnya perlu diajar dan diuji. Nasiblah kali ini Kerajaan Selangor dapat Pegawai Kerajaan seperti beliau.

Cuma perlu diingatkan, untuk menjadi seorang `pengkhianat atau kaki sabotaj' tidak perlu kepada Gred A. Cukup sekadar mempunyai naluri seperti Syaitan yang penuh dendam, hasad dan dengki.

Saya yakin, Datuk Khusrin tidak akan meletakkan dirinya sampai ke tahap itu. Seandainya beliau cuba untuk menjadi seperti mantan SUK sebelum ini, nasib beliau mungkin malang sekali. Pisang takkan berbuah dua kali. Selaku bekas Pengarah JAIS, tentunya beliau sedikit sebanyak ada ilmu agama dan keimanan.

Walau bagaimanapun, MB Selangor tidak boleh `lena' walau sedetik pun selepas ini. Kesemua Ahli Exco Kerajaan Selangor juga mesti peka apa yang berlaku di sekeliling mereka.

PR Selangor khususnya, mesti menggenggam erat bucu takhta Kerajaan Negeri Selangor ini walau apa pun yang terjadi.

08 Februari 2011

Mubarak mungkin ke Jerman untuk 'lawatan perubatan'

5 Rabiul Awal 1432H.

BERLIN: Majalah Jerman, Der Spiegel hari ini melaporkan bahawa persiapan sedang dibuat untuk lawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak ke negara itu bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut kesihatannya.

Khabar angin bahawa Mubarak akan tiba di Jerman untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bertambah kuat sejak beberapa hari lalu, lapor majalah itu dalam edisi online.

“Perbincangan dengan beberapa hospital yang sesuai sedang diusahakan, khususnya di Klinik Max-Grundig di Buhl di Wilayah Bade-Wurtemberg," kata akhbar itu yang memetik sumber yang rapat dengan klinik berkenaan. Bila ditanya mengenai kemungkinan lawatan Mubarak, jurucakap kerajaan Jerman, Steffen Seibert berkata: “Setakat ini tiada permintaan rasmi atau tidak rasmi mengenai kedatangannya."

Mubarak, yang masih berdepan dengan kempen penunjuk perasaan yang memintanya berundur, sebelum ini pernah menjalani rawatan sekurang-kurangnya dua kali di Jerman. - AFP

Lebih 5,000 pelajar Mesir akan dihantar pulang dari Jeddah sebelum Ahad

5 Rabiul Awal 1432H.

JEDDAH: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berusaha mengeluarkan lebih 5,000 pelajar dari Mesir yang ditempatkan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj di sini, sebelum Ahad ini.

Setiausaha MKN, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab, berkata bagi menghargai jasa baik kerajaan Arab Saudi, pihak sekretariat yang bertanggungjawab membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir cuba menamatkan misi ini lebih awal.

"Ini adalah kali pertama kerajaan Arab Saudi mengeluarkan visa pada hari ketibaan atas semangat hubungan baik Kuala Lumpur dengan Riyadh. "Namun kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempergunakan kemudahan yang disediakan untuk melengahkan usaha membawa keluar rakyat kita di negara ini," katanya ketika dihubungi di Jeddah hari ini.

Beliau yang tiba dengan penerbangan terakhir misi membawa keluar pelajar menggunakan pesawat Hercules C130 TUDM semalam berkata, meskipun operasi di Mesir sudah ditamatkan, ia tidak bermakna Kerajaan tidak memantau perkembangan keselamatan di negara itu.

"Masih ramai pelajar kita yang mengambil keputusan tidak mahu pulang kerana misi ini adalah sekadar mengeluarkan mereka dari sana secara sukarela," katanya.

"Kita akan membuat keputusan lain andai keadaan bertambah buruk termasuk langkah memaksa mereka keluar dari Mesir. Bagaimanapun ketika ini keadaan di sana masih terkawal," kata beliau.
Tajudeen berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan dihantar pulang dalam masa terdekat kerana sudah tiada lagi keperluan untuk mereka berada di sini.

"Andai keadaan memaksa kita tiada masalah untuk menggerakkan mereka semula ke sini, berpandukan kepada pengalaman kita sebelum ini sewaktu Operasi Piramid bermula," menurutnya.BH/-

SPR pamer daftar pemilih mulai esok

5 Rabiul Awal 1432H.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Keempat 2010 mulai esok hingga 15 Februari di 1,006 tempat pameran di seluruh negara.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said, berkata pameran itu dibuat selaras dengan Peraturan 13(5A), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Rang Daftar Pemilih itu akan dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri (15 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (476 tempat), Kompleks/Pejabat Kerajaan (104 tempat), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (156 tempat), Majlis Daerah/Perbandaran (51 tempat), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (174 tempat) dan lain-lain tempat (30 tempat). Sabri berkata, dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat (Oktober hingga Disember) 2010, SPR menerima 292,444 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan suruhanjaya itu.

"Mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihat supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang dipamerkan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sabri berkata, warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.

Pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam rang daftar pemilih itu pula boleh mengisi Borang C, katanya.
"Borang-borang tuntutan itu hendaklah diserah kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan itu dipamerkan," katanya.

Beliau berkata, nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab telah meninggal dunia, lucut hak kewarganegaraan dan telah bersara daripada angkatan tentera atau polis, yang bermakna mereka hilang kelayakan sebagai pengundi pos juga akan dipamerkan.

Selain itu, katanya, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran mereka.

Sabri berkata, ini bertujuan memastikan pemilih-pemilih berkenaan didaftar di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih ataupun menukar lokaliti seseorang pemilih tanpa dipohon.

"Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti serta maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR melalui sistem aduan SPR di www.spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke ibu pejabat SPR di Putrajaya.

"Jika keadaan itu berlaku menjelang sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Bagi tujuan membersihkan Daftar Pemilih daripada nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia, SPR memohon kerjasama waris simati untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan JPN mengemaskini pangkalan datanya.

"Tanpa memperoleh pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telah meninggal dunia, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada pangkalan data Daftar Pemilih," katanya.

Bagi pemilih berdaftar yang bertukar alamat tempat bermastautin pula digalak untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan tempat kediaman masing-masing.

Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di pejabat pos berkomputer, melalui kaunter bergerak SPR, kaunter ibu Pejabat SPR, Putrajaya ataupun kaunter di pejabat pilihan raya negeri.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88856500 atau faks 03-88889117 atau menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri selain melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.BH/-

Undur atau mati!

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : M Hafizuddin Ikhsan.

ZULIYARANA menunjukkan hanya pasport dan satu beg berisi pakaian yang sempat dibawa pulang ke tanah air, dua hari lalu.

Pelajar cerita detik cemas kenderaan ditembak

KUCHING: Undur atau mati! – Itulah pilihan diberikan anggota tentera Mesir kepada tiga pelajar perempuan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, selepas kenderaan dinaiki mereka ditembak ketika cuba memasuki sempadan Iskandariah-Kaherah pada hari kedua perintah berkurung dikeluarkan di seluruh Mesir, baru-baru ini.

Sehari sebelum perintah berkurung dikeluarkan, ketiga-tiga pelajar berasal dari Sarawak, Zuliyarana Fauzi, 23; Siti Sarah Dahari, 23 dan Shahida Rashidi, 25, mengikut rakan mereka melawat perpustakaan di Universiti Iskandariah.

Ketiga-tiga mereka kemudian terpaksa berlindung tiga hari di rumah rakan sebelum berpindah ke Rumah Sabah di Iskandariah. Mereka tiba di sini, pagi kelmarin, dengan menumpang pesawat yang membawa pelajar tajaan Yayasan Sabah.

Menceritakan detik cemas itu, Zuliyarana berkata, mereka bercadang ke Iskandariah selama tiga hari dan tidak menyangka akan terperangkap selepas laluan kereta api dan lebuh raya ditutup.

"Kami nekad untuk pulang kerana semua pakaian dan kelengkapan lain berada di asrama Rumah Sarawak, Kaherah, namun sebaik tiba di kawasan tol berdekatan sempadan pada jam 10 pagi, kenderaan kami ditembak.

“Kami semua terpaksa tunduk selepas menyedari kenderaan ditembak sebelum beberapa anggota tentera mengarahkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota dinaiki tujuh penumpang segera berpatah balik ke Iskandariah jika mahu selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Asajaya di sini, semalam.

Apabila memeriksa kenderaan itu kemudian, mereka menemui tiga kesan tembakan pada bahagian lampu, sisi kenderaan serta pintu penumpang, namun mujur kenderaan masih mampu bergerak dan tiba di Iskandariah.

Siti Sarah yang berasal dari Kota Samarahan, berkata mereka panik ketika kenderaan ditembak menyebabkan mereka bertiga menjadi trauma sehingga tidak boleh melelapkan mata pada setiap malam sepanjang tempoh perintah berkurung.

Berita Harian/-

'Pelantikan Isa Samad buruk untuk pasaran'

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Aidila Razak.

Pelantikan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda menyebabkan pasaran menjadi tidak menentu, kata ketua pegawai eksekutif, Maybank Investment, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Terdapat banyak GLC yang mempunyai bekas ahli politik dilantik sebagai pengerusi tetapi bagi Felda, adalah kes yang jarang berlaku di mana pasaran bimbang dengan pelantikan itu. Ia memberi isyarat yang salah,” katanya.

Bercakap di forum anjuran badan pemikir, Ideas, Tengku Zafrul bagaimanpun berkata pelantikan berkenaan mungkin disebabkan kekurangan calon di mana jawatan utama di syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan mesti diisi oleh calon bumiputera.

Meskipun Tengku Zafrul agak berdiplomasi ketika memberika alasannya, rakan panel Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC), Zainal Aznam Mohd Yusof berkata rekod Mohd Isa yang terpalit dengan gejala rasuah adalah punca kebimbangan pasaran.

Mohd Isa didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti itu dan digantung jawatannya oleh lembaga disipin Umno pada 2005.

“Adalah hari yang sedih apabila Isa dilantik sebagai pengerusi Felda,” kata Zainal Aznam.

Malaysiakini/-

Bekas duta kecam Najib kerana ketegangan kaum

05 Rabiul Awal 1432 H.

Mantan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia John Malott mengecam kemunafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung slogan 1Malaysia dalam sebuah artikel pedas yang diterbitkan di Asia Wall Street Journal, hari ini.

Malott, seorang pengkritik kerajaan sejak menamatkan jawatannya selama tiga tahun sebagai duta besar Amerika pada tahun 1998, berkata Najib perlu "merenung lama di cermin" jika beliau serius mahu melihat matlamat 1Malaysia tercapai.

"Di sebalik slogan baru kerajaan, ketegangan perkauman dan agama hari ini adalah lebih tinggi hari ini berbanding ketika Najib dilantik pada 2009.

"Malah, ia lebih buruk daripada bila-bila masa sejak 1969, ketika sekurang-kurangnya 200 orang dibunuh dalam pergaduhan kaum antara masyarakat majoriti Melayu dan minoriti Cina," kata Malott dalam komentarnya di AWSJ.

Malott mempersalahkan peningkatan ketegangan kaum dan agama yang tercetus baru-baru ini kerana sikap "toleransi kerajaan dalam beberapa kes memprovokasi dan faksionalisme etnik melalui kata-kata dan tindakan kerajaan".

Sambil memberi beberapa contoh, beliau juga mengimbas kejadian di mana seorang pembantu kanan Najib - Hardev Kaur menyarankan supaya tidak ada salib dipamerkan semasa perdana menteri mengunjungi rumah terbuka hari Krismas di kediaman Paderi Besar Katolik Kuala Lumpur.
500,000 tinggalkan Malaysia

"Ms Kaur kemudian berkeras berkata saranannya itu satu permintaan dan bukannya arahan, seolah-olah seperti rakyat Malaysia boleh menolak permintaan daripada pejabat perdana menteri," keluh Malott.

Contoh lain berhubung ketidak sensitif kerajaan, kata Malott, termasuk tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang membela tindakan sekumpulan penduduk yang berarak membawa kepala lembu sebagai membantah pemindahan sebuah kuil Hindu di kawasan kejiranan mereka.

Malott juga menyentuh mengenai kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mempersoalkan "kurangnya patriotisme"di kalangan masyarakat Cina dan India di negara ini.

Turut dibidas bekas duta itu adalah akhbar Utusan Malaysia, milik Umno yang didakwa mencetuskan kebencian perkauman dengan secara teratur menyerang "ahli politik Malaysia berbangsa Cina dan bahkan mencadangkan seorang daripada mereka, ahli parlimen Teresa Kok, harus dibunuh".

Akibat ketegangan perkauman yang semakin memuncak, sebanyak 500,000 rakyat Malaysia meninggalkan negara itu antara tahun 2007 dan 2009 - jumlah itu kecam Malott, adalah lebih dari dua kali ganda jumlah profesional Malaysia yang tinggal di luar negeri.

Beliau juga berkata Najib terpikat untuk mempertahankan kumpulan pelampau seperti PERKASA yang secara terang-terangan menentang pembaharuan ekonomi atas nama 'ketuanan Melayu'.

Malaysiakini/-

Budak muntah makan coklat berulat

05 Rabiul Awal 1432 H.

AHMAD SAIFOL menunjukkan coklat yang sudah rosak.

TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) di sini akibat muntah dan mengadu sakit perut selepas memakan coklat berulat serta mempunyai serangga.

Ahmad Saifol Alimi, dari Kampung Langkap, dekat sini menjamah coklat berjenama terkenal yang dibeli bapanya dari sebuah pasar mini berdekatan rumahnya tanpa menyedari coklat itu sudah berada dalam keadaan tidak baik.

Bapa Ahmad Saifol, Alimi Tamin, 32, berkata anaknya begitu gembira ketika menjamah coklat itu pada 29 Januari lalu tetapi mengadu sakit perut dan terus muntah kira-kira 15 minit kemudian.

“Sebaik melihat dia muntah, saya terus membawa dia ke hospital dan doktor yang merawat Ahmad Saifol memaklumkan anak saya mengalami keracunan makanan.

“Apabila tiba di rumah, saya terus memeriksa tarikh luput coklat itu dan hairan apabila mendapati tarikh luputnya pada 11 Disember 2011.

“Isteri saya yang memeriksa coklat itu terkejut apabila mendapati sebahagian coklat yang saya beli itu sudah rosak, berkulat serta menemui beberapa ekor ulat dan serangga seperti anak kumbang di dalamnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Alimin yang berniaga gerai makanan berkata, dia setakat ini gagal mendapat penjelasan sewajarnya daripada pemilik pasar mini berkenaan.

Berita Harian/-

Nik Aziz anggap Jamil Khir keliru

05 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairan apabila membaca kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Jamil Khir Baharom di dalam Berita Harian hari ini.

“Jelas beliau keliru dengan rentetan isu ini,” tulis beliau di laman twitter.

Akhbar berkenaan melaporkan Jamil Khir Baharom berkata Nik Aziz tidak perlu mengheret pihak lain, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menegakkan kebenaran memadai berhadapan dengan Mohd Noor.

“Selesai dulu dengan Mohd Noor, soal agama ini bukan kira setaraf, layak atau tidak, dia (Nik Aziz) tak perlu babitkan orang lain, Majlis Fatwa kalau minta bagi fatwa bolehlah, tapi bukan atas permintaan individu tapi Raja. Itu peraturan fatwa, kalau dia nak cabar Majlis Fatwa, maknanya dia tidak faham fungsi dan peranan majlis,” kata Jamil.

Justeru, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengingatkan bahawa bukan beliau yang mengheret nama Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi orang lain yang mencadangkan pandangannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa.

“Saya hanya menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh wartawan,” jelasnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Harakahdaily/-