18 Februari 2011

Dakwa Ekonomi Naik: PM Diminta Henti Perdaya Rakya


15 Rabiulawal 1432H [MOD]-

SHAH ALAM 17 FEB : Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berhenti memperdayakan rakyat dengan penggunaan angka yang tidak realistik pada masa kini. Menurut Dr Dzul, walaupun pertumbuhan ekonomi negara seolah-olah meningkat, namun permasalahan sebenar berhubung ekonomi masih membelit rakyat.

"Persoalan dalam ekonomi hari ini tidak hanya berlegar sekitar persoalan angka. Persekitaran tentang pertumbuhan. Pakar-pakar ekonomi sudah lama tidak mendewa dan bertuhankan angka ini.

Ujarnya, di kala rakyat masih dihimpit dengan beban sara hidup, tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh Najib dengan pencapaian sekitar enam peratus yang disuarakannya hari ini.

Bernama hari ini melaporkan, Najib sebagai berkata, negara telah menjangkaui sasaran pertumbuhan enam peratus tahun lalu walaupun dalam keadaan ekonomi yang malap.

"(Namun) persoalan yang menjadi pertikaian hari ini yang saya hendak katakan pada Najib, ia bukan hanya persoalan angka pertumbuhan. Permasalahan ekonomi yang memerlukan reformasi dan penambahbaikan, jangan pandang kepada satu-satu parameter sahaja. Itu hendak membodohkan rakyat namanya," bidas Dr Dzul.

Menurut Dr Dzul lagi, Najib terlebih dahulu harus menjawab tentang persoalan 40 peratus rakyat di negara ini yang masih 'terpenjara' dengan pendapatan kurang daripada RM1,500.

Dengan keadaan taraf hidup yang semakin tinggi, adakah soal kelangsungan hidup mereka diambilkira dalam kerangka pertumbuhan ekonomi setiap tahun negara, soal Dr Dzul.

Malah hutang isi rumah juga semakin meningkat kepada 77.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadikan jumlahnya RM577 bilion.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, ia merangkumi bebanan pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion) dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad kredit (RM200 bilion).

Tidak cukup dengan itu kata Dr Dzul, lebih malang apabila negara kita berada di tangga kelima dalam senarai negara yang terlibat dalam aliran keluar wang haram sekitar RM888 bilion bermula tahun 2000-2008.

Hal itu kata Dr Dzul menyebabkan dana sebesar itu tidak dapat digunakan bagi tujuan pembangunan negara.

"Kata pada Najib, janganlah hendak memperbodohkan rakyat. Kerap menyebutkan tentang ETP (Program Transformasi Ekonomi), ini pada kami, hanyalah sebutan gimik media untuk menyuntik 'feel good factor' pada pilihanraya. Menurut Dr Dzul, masalah ekonomi negara harus dibendung dengan kadar segera jika tidak mahu generasi akan datang hanya mewarisi kemiskinan negara.

"Kita sebenarnya mengorbankan kekayaan anak-anak kita.

"Pembaziran atau (penggunaan wang) tidak kena kepada keutamaan, subsidi kepada rakyat ditarik, pakar-pakar ekonomi bertanyakan mengapa berlaku sedemikian sementara subsidi kepada IPP diteruskan," tambahnya lagi.(TVS)

PR Perak Mengalu-alukan Bantuan RM2000 Kerajaan Pulau Pinang Kepada Pelajar Pulang Ke Mesir

15 Rabiulawal 1432H
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 18 Feb : Pakatan Rakyat Perak menyokong penuh usaha kerajaan negeri Pulau Pinang menyalurkan bantuan berbentuk wang sebanyak RM2000 kepada 318 pelajar negeri itu yang akan pulang ke Mesir tidak lama lagi, demikian respon dalam isu berkaitan oleh ADUN Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim.

“PR negeri Perak mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan bagi meringankan belanja kos pulang ke Mesir pelajar terbabit, beban rakyat adalah agenda utama PR, tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang di atas inisiatif murni ini,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri Pulau Pinang telah melakukan dasar kebajikan rakyat yang wajar serta munasabah berdasarkan kemampuan kewangan negeri melalui proksi badan zakat negeri.

"Sewajarnya asnaf fisabilillah dalam zakat digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah tersebut" katanya.

Beliau yang juga ketua Penerangan Pas Perak mengalu-alukan semua negeri lain mengambil langkah yang sama khususnya bagi negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat kerana rakyat berhak terhadap perkara tersebut.

“Langkah menyalurkan bantuan kepada rakyat yang menuntut diluar negera sepatutnya menjadi dasar induk bagi mana-mana kerajaan negeri mahupun pusat jika berlaku perkara yang diluar jangka seperti mana situasi di Mesir baru-baru ini,” katanya.

"Ibubapa dan pelajar sebetulnya tidak boleh dibebankan dengan isu tiket balik ke Mesir kerana masalah ini merupakan satu bentuk masalah yang perlu ditanggung bersama" Jelasnya

Menurutnya juga jika kerajaan sanggup berbelanja besar untuk membawa balik mereka dari mesir, kenapa pula mereka tidak boleh dibantu untuk membiayai tiket kembali ke sana.

“Kepada seluruh pelajar saya doakan semoga semuanya bersabar dan selamat sampai kembali ke Mesir dan dapat menyambung semula serta menumpukan pengajian seperti sedia kala,” ujarnya ketika mengakhiri sesi temuramah.

Saman ekor: Kerajaan cari duit haram dari rakyat

15 Rabiulawal 1432H [MOD] -
Oleh : Yunus Sauman Sabin
Saya sekadar ingin beritahu bahawa saya mempunyai perasaan untuk malas memiliki kereta tetapi ia adalah keperluan saya dan keluarga. Kenapa? Sebab saman ekor.

Adakah patut, kereta saya WPC9930 telah disaman ekor di Gombak-Selayang pada November 2008 sedangkan kereta tersebut telahpun saya hantar ke Sabah pada September 2008. Bermakna kereta tersebut berada di Sabah dan bukannya di Semenanjung.

Memandangkan pemilik saman yang tidak membayar saman akan disenaraihitamkan selepas 28 Februari ini, maka saya telah membayar saman-saman saya pada 16 Januari 2011 yang lalu. Tetapi saman yang satu ini saya tidak bayar dan saya telah merujuknya di Cawangan Trafik di Kuala Kubu Bharu.

Saya kemukakan bukti bahawa kereta tersebut telahpun dihantar ke Sabah dan kerani tersebut mengarahkan supaya saya merujuk perkara tersebut ke Ibu Pejabat Cawangan Trafik di Selayang.

Saya ke Selayang pada 18 Januari 2011 dan mengemukakan semua bukti dan saya meminta supaya saman tersebut dibatalkan sahaja. Mereka kata tidak boleh. Mereka mesti melihat gambarnya dahulu.

Saya menunggu lebih kurang 10 minit dan kerani di kaunter meminta saya menunggu selama 2 minggu kerana saman tembak tersebut dilakukan oleh Pejabat Bukit Aman. Katanya mereka akan menghubungi saya melalui nombor telefon bimbit saya dan saya juga boleh merujuk keputusan di Cawangan Trafik Kuala Kubu Bharu.

Sehingga kini, sudah sebulan saya menunggu, saya tidak ke Cawangan Trafik Kuala Kubu sebab saya boleh menyemaknya melalui internet. Sehingga kini saman tersebut masih ada dan belum dibatalkan. Apakah sebabnya? Saya boleh mengagak sebabnya tetapi saya tak mau cakap.

Sebentar tadi saya telah menyemaknya buat kesekian kalinya, masih belum dibatalkan dan sudah bertambah satu lagi saman. Kali ini di Kuala Lipis. Mungkin saman ini betul dan mungkin tidak. Saya menjadi ragu kerana kes yang pertama tadi.

Saya mula mengaitkannya dengan dakwaan pihak tertentu bahawa ada APCO (Yahudi) di Bukit Aman. Mungkinkah ini adalah salah satu hasil dari nasihatnya?

Atau sememangnya kerajaan dah tak ada duit, lalu mencari duit haram dari rakyat. Atau, adakah orang lain menggunakan nombor pendaftaran kereta saya. Kalau ya, di mana buktinya.

Namun, melalui bukti dokumen penghantaran kereta ke Kota Kinabalu yang saya berikan, tentulah kereta yang disaman itu sepatutnya bukan saya punya dan mesti dibatalkan. Terlalu banyak kemungkinan. Saya tidak tahu.

Apapun, mereka yang melakukannya mungkin boleh dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak amanah dalam tugas. Apakah yang perlu saya lakukan?

Sekarang dah menghampiri 28 Februari dan sekiranya saya tak bayar, mungkin saya akan disenaraihitamkan. Lesen memandu tidak boleh diperbaharui. Sedangkan saya perlu memandu. Cukai jalan juga tidak akan diperbaharui sedangkan kereta itu perlu bergerak. Kalau saya bayar, bermakna saya bersekongkol dan bersubahat dengan perbuatan keji ini.

Saya benar-benar kecewa.

Yunus Sauman Sabin,
Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Bukan Melayu tergugat, tapi ketuanan Umno terhakis

15 Rabiulawal 1432H [MOD] -
Oleh Hazayani Zakaria - KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kebimbangan Umno kononnya hak dan keistimewaan orang Melayu semakin terhakis di bawah kuasa Pakatan Rakyat adalah tidak berasas sama sekali sebaliknya sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak menyokong pakatan itu.


Sedangkan PAS dalam Pakatan Rakyat konsisten untuk mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdullah Karim berkata, golongan muda tidak harus terpengaruh dengan ketakutan yang ditimbulkan itu kerana perlembagaan bukanlah perkara yang boleh dipinda dengan sewenang-wenangnya.

"Secara realitinya, walaupun perlembagaan itu merupakan dokumen yang boleh dipinda tetapi kita semua tahu tidak cukup untuk dipinda kalau sekadar mendapat dua pertiga.

“Prosesnya cukup ketat, kena dapatkan kebenaran dari Majlis Raja-Raja sebagai contoh. Jadi apa yang nak dibimbangkan?

“Saya pernah sebut dalam PAS, kalau katakan DAP menang majoriti dalam Dewan Rakyat, mereka pun tak mampu buat kalau mereka kata nak pinda perlembagaan berkaitan perkara ini,” kata beliau dalam forum Ketuanan Melayu: Umno Rasis atau PR Retorik di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, Ketuanan Melayu kembali dicanangkan Umno selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan kemerosotan sokongan rakyat terhadap Umno BN.

Kenapa bising-bising (mengenai ketuanan Melayu) sekarang ini? Timbul hak Melayu makin terhakis, Raja Melayu semakin dipinggirkan?

“Sebabnya senang sahaja. Bukan sebab hak orang Melayu digugat tapi yang menjadi masalah besar ialah hilangnya ketuanan Umno,” katanya.

Menurutnya, tanpa melaungkan Ketuanan Melayu, PAS konsisten menjaga perkara yang termaktub dalam perlembagaan ini malah menjadikan perkara tersebut sebagai agenda dalam Pakatan Rakyat.

“Sikap PAS sejak puluhan tahun dulu sehingga sekarang, kita konsisten mempertahankan keistimewaan orang Melayu yang wujud dalam perlembagaan.

“Sebab itu PAS sanggup bersama dalam Pakatan Rakyat, kita tidak kompromi soal tersebut dan perjanjian dibuat bersama Pakatan Rakyat sebelum konvensyen pertama Pakatan Rakyat pada 2009,” katanya.

Sehubungan itu, golongan muda tegasnya tidak perlu terpengaruh dengan Ketuanan Melayu yang menjadi agenda politik sempit Umno.

“Momokan ini bagi orang muda yang semakin celik maklumat, kita akan faham bahawa segala kekalutan yang timbul ini semata-mata bersifat politik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Ketuanan Melayu hanya mementingkan kuasa politik dominan Melayu tanpa menyedari bahawa kekuatan Melayu yang sebenar ialah jati diri.

“Kuasa politik dominan orang Melayu dikatakan perlu untuk kononnya menjamin kedudukan orang Melayu.

“Kalau tak ada kuasa politik, hak dan kedudukan orang Melayu akan terjejas. Sebab itu Mac 2008 merupakan titik tolak yang sangat besar kerana dilihat berlaku hakisan dominan politik,” katanya.

Tambahnya, Melayu terus dilemahkan dengan kononnya terus memerlukan ‘tongkat’ dari kerajaan untuk maju dalam ekonomi selain diajar untuk mengambil hak bangsa lain jika ingin maju dalam ekonomi.

“Teras yang terus dipasakkan dalam pemikiran Melayu ialah orang Melayu terus perlukan tongkat untuk maju dalam ekonomi kerana tanpa bantuan berterusan dari kerajaan Melayu akan tenggelam.

“Untuk orang Melayu mendapat kedudukan dalam bidang ekonomi, kita perlu ambil bahagian orang lain. Itu yang menjadi teras Ketuanan Melayu yang perlu diteliti kembali,” katanya.

Ujarnya, perbincangan mengenai Melayu seringkali disensitifkan tanpa merujuk sejarah secara keseluruhan menyebabkan timbulnya sifat tidak senang Melayu terhadap kaum lain.

“Perbahasan tentang Melayu ini terlalu emosi dan diherotkan perbincangannya. Contohnya bila kita bercakap tentang ekonomi, kita tidak adil apabila menidakkan peranan kaum lain dalam membina ekonomi negara.

“Kalau baca sejarah negeri Johor, berapa ramai yang tahu bahawa dalam tahun 1850-an dan 1860-an lebih ramai orang Cina daripada orang Melayu di sana.

“Kita kena baca sejarah secara keseluruhan, jangan tinggalkan idea tokoh pimpinan dahulu yang banyak beri kesan kepada negara. mereka bukan Umno, bukan Perkasa tapi orang seperti Zaaba, mereka bawa kesedaran kepada rakyat bahawa orang Melayu tertekan dan dimangsakan golongan elit pemerintah dari dulu lagi,” katanya.

Turut menjadi panel pada forum yang dihadiri majoriti golongan muda itu ialah Naib Presiden Perkasa, Dr. Asyraf Wajdi dan blogger Umno Reform, Anuar Mohd Nor. (Hdaily)

Anwar - Persamaan Malaysia dan Mesir adalah sistemnya

15 Rabiulawal 1432H [MOD] -
GOMBAK, 17 Feb: Malaysia dan Mesir mempunyai persamaan yang jelas dari segi sistem walaupun dari segi ekonominya agak berbeza, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kalau di Mesir, sistem satu parti yang berkuasa yang menyebabkan isteri Husni Mubarak iaitu Susan dan anaknya, Gamal, menjadi kaya raya.

Di Malaysia juga, kata Anwar, mempunyai sistem yang sama iaitu satu parti yang kekal berkuasa mengkayakan sanak saudara kepada pemimpin negara yang ada.

"Dari segi ekonomi tak sama tetapi sistemnya sama. Satu parti yang berkuasa, sombong dan angkuh, kayakan anak isteri. Siapakah paling kaya di Mesir, Mubarak. Kemudian Susan isteri dia kemudian anak dia Gamal.

"Di sini, di kalangan umat Melayu beragama Islam, siapa paling kaya...anak Mahathir, Mokhzani. Yang kedua, adik Najib, Nazir
yang ketiga Tan Sri Syed Mokhtar," kata Anwar ketika melancarkan gelombang kedua Kempen Bantah Saman Ekor (KASE) di Gombak malam tadi.

Akhbar Umno, Utusan hari ini menyiarkan di muka depan 10 orang terkaya di Malaysia. Menurut Malaysian Busines sebelum ini, antara yang terkaya di Malaysia adalah Mokhzani Mahathir iaitu di tempat ke 20 terkaya di Malaysia.

Adik Perdana Menteri, Nazir Razak pula di tempat ke 40 terkaya di Malaysia.

Menurut Anwar, di Mesir sekarang, ketika melarikan diri, Mubarak bersama isterinya Susan dan anaknya Gamal membawa 40 - 70 bilion Dolar Amerika.

Di Tunisia pula, apabila Presidennya, Zine El Abidine Ben Ali lari meninggalkan negara itu bersama isterinya, Lella mereka membawa bersama 20 bilion dollar Amerika.

"Di Tunisia, berita Ben Ali sama naik sahaja dengan isterinya....Ben Ali, Lella..lepas itu Ben Ali, Lella, Lella, Lella...macam pernah dengarnya je macam ni ye...di mana?" tanya Anwar dengan diikuti ..."Malaysia, Najib Rosmah," jerit para penonton.

Anwar juga mempertikaikan kenyataan Najib kononnya Malaysia akan bangkrap jika melaksanakan rancangan 'Buku Jingga' yang dikemukakan Pakatan Rakyat.

"Mana ada di dunia negara bangkrap kerana tolong rakyat, yang bangkrap jika kerajaan tekan rakyat," kata Anwar Ibrahim.(HDaily)

PAS cabar Mahathir kemuka bukti Nik Aziz salah tafsir Islam

15 Rabiulawal 1432H [MOD] -
KUALA LUMPUR, 18 Feb – Pemimpin-pemimpin PAS mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad kemukakan bukti yang mengatakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalah guna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.

“Saya cabar beliau (Dr Mahathir) untuk kemukakan bukti yang mana kenyataan Nik Aziz selama ini bertentangan dengan ajaran Islam dan merugikan orang Islam.
“Tolong kemukakan bukti yang mana satu, kalau ada bukti baru boleh cakap,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Jelas beliau, PAS mempunyai banyak bukti yang menunjukkan Dr Mahathir dan Umno menghina Islam, agama rasmi negara ini.

“Kita ada banyak bukti, selama ini Dr Mahathir dan Umno ada kuasa tapi tidak melaksanakan tanggungjawab untuk mengangkat martabat rakyat dan Islam.
“Selama 53 tahun Umno memerintah tapi mereka gagal, jadi saya minta supaya Dr Mahathir kemukakan bukti dulu sebelum nak keluarkan apa-apa kenyataan,” katanya.

Dalam entri terbaru di blognya kelmarin, bekas perdana menteri menggesa Nik Aziz, Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.

“Saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.

“Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.,” kata bekas perdana menteri ini dalam jawapan panjang lebar menjawab tulisan Nik Aziz awal bulan ini.

Justeru, Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno memberitahu Nik Aziz, “bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihan raya.”

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata, Dr Mahathir tidak sepatutnya menyalahkan Nik Aziz dalam perkara tersebut.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Dr Mahathir perlu memperbaiki diri daripada bercakap soal agama Islam.

“Banyak pendedahan yang kita buat sebelum ini menunjukkan Dr Mahathir yang salah tafsir Islam, banyak kenyataan yang beliau keluarkan tidak bersandarkan kepada ajaran Islam.

“Jadi Dr Mahathir perlu perbaiki diri daripada kata Tok Guru (Nik Aziz) salah tafsir Islam demi kepentingan politik,” katanya.

Jelas Mahfuz, apa yang dibagkitkan Nik Aziz selama ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam, malah turut digalakkan.

“Politik ada dalam Islam, apa yang beliau (Nik Aziz) buat selama ini ikut Islam.

“Saya tidak nampak apa-apa yang dibangkitkan beliau selama ini bertentangan dengan ajaran Islam, tiada satu pun, malah tiada tindakan yang diambil terhadap beliau,” katanya.

Katanya, jika Nik Aziz menyalah guna dan menyalah tafsir Islam sudah pasti jabatan agama akan mendakwa beliau kononnya membawa ajaran sesat.

“Tapi tiada tindakan yang diambil, tidak pernah beliau disenaraikan sebagai pembawa ajaran sesat.

“Kalau ada sudah tentu beliau ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib berkata, bukan Nik Aziz yang salah tafsir Islam tapi Dr Mahathir sendiri yang tidak tahu Islam.

“Bukan Nik Aziz tapi Dr Mahathir sendiri yang tak faham Islam atau beliau sendiri memang tak faham apa itu Islam.

“Dr Mahathir tak faham Islam ... beliau memang tak faham sungguh, beliau tak belajar Islam sebab kalau faham Islam, mesti beliau tahu Islam mengamalkan politik, ekonomi, pendidikan dan banyak lagi.

“Tapi apa yang keluar dari mulut beliau ini seolah-olah menunjukkan beliau tidak tahu Islam, bagi saya beliau cakap atas dasar yang beliau sendiri tak faham,” katanya.

Awal bulan ini, Nik Aziz menjawab tuduhan Dr Mahathir ke atasnya dengan menegaskan, Umno yang selama ini “menzalimi orang-orang Melayu” dan menafikan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu Islam negara ini.

Sehubungan itu Nik Aziz berkata, Dr Mahathir sudah mula dijangkiti penyakit “Melayu Mudah Lupa” yang pernah disebutnya satu ketika dahulu, ketika menjadi perdana menteri dan presiden Umno.(MI)

Kempen BN di Merlimau guna wanita ?

15 Rabiulawal 1432H [MOD] -
BN guna strategi lawat rumah raih sokongan pengundi Merlimau. Strategi Terdesak BN di Merlimau. Baca dibawah.


JASIN - Barisan Nasional akan menggunakan strategi melawat rumah ke rumah untuk menarik pengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau pada 6 Mac ini.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata, strategi itu perlu digunakan oleh pemimpin yang hadir membantu kempen BN pada pilihan raya kecil itu.

"Saya syorkan pemimpin yang datang sini, malam boleh ceramah tetapi petang-petang datang melawat rumah ke rumah," katanya kepada pemberita pada Majlis Dialog BN Bersama Pesara Kerajaan di Kampung Pulai, Serkam di sini, hari ini.

Ahmad berkata, strategi itu juga berkesan untuk menarik sokongan pengundi "atas pagar".

Mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar semalam bahawa parti itu bertanding di Merlimau kali ini hanya untuk mengurangkan majoriti undi dan sebagai latihan, Ahmad berkata, kenyataan itu menunjukkan Pas sudah mengaku tidak boleh menang.

"Kalau mereka sudah rasa tidak boleh menang, saya ingin merayu kepada penduduk Merlimau jangan undi Pas. Untuk apa kita bagi undi pada orang yang tidak boleh menang, bukankah kita bazirkan undi kita," katanya.

Kerusi Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Febuari ini sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 6 Mac.(SH)

' Pas Ganti Umno ' yang terbaik untuk Malaysia - Dr Balachandran

15 Rabiulawal 1432H [MOD]-

KUALA TERENGGANU - Hanya tinggal kira-kira dua puluh peratus bukan Islam yang masih tidak menyokong PAS dan Pakatan Rakyat, selebihnya sudah mula mempelajari Islam yang dibawa PAS.

Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Kuala Terengganu berkata, Umno kini sudah menjadi 'ekstremis' berbanding dengan PAS yang dilihat sebagai 'moderate' dikalangan orang bukan Islam.

"Kita nampak Umno tidak ikut apa yang ada dalam Islam, kezaliman tidak ada dalam Islam, rasuah tidak ada dalam Islam,'penyangak' tidak ada dalam Islam,

"Umno sudah jadi sebaliknya, Umno sudah menjadi 'ekstremis' dan PAS sudah menjadi moderat, 20% (bukan Islam) masih terkonkong pemikirannya bersama Umno-BN, 80% sedang mempelajarai (Islam) tetapi dia tak nak BN,

"Bagi kita (bukan Islam) kita nak Islam, satu cara untuk Islam didirikan hanya cara PAS kerana itu PAS mesti ganti Umno, "jelasnya ketika bercakap kepada media, Rabu 16 Februari.

Beliau berkata, Umno-BN yang telah memerintah negara Malaysia tidak dapat memberikan keadilan, namun sebelum ini, bukan Islam dan bukan Melayu tidak ada 'platform' (saluran) untuk menyuarakan hasrat mereka.

"Sekarang sudah ada Pakatan Rakyat dan PAS di Terengganu, sudah tiba masnya kita betul-betul (berubah), kita bukan mahu mendengar apa orang kata,

"kita rujuk kepada Islam dan apa yang kita tahu, apa yang Umno lakukan memperlekehkan Islam,"ujarnya.

Menurutnya Umno akan menggunakan pelbagai taktik kotor, umpamanya memutarbelitkan dan mengelirukan masyarakat bukan Islam dengan hukum Hudud. Bagi Dr. Bala, hukum Hudud adalah pilihan kepada orang Islam itu sendiri.

"hukum Hudud, bagi kita, pilihan kita, kalau kita jahat, kita kenalah (hukuman), dan orang yang takutkan hukum hudud ialah orang Umno,

"dia orang memang takutkan hukum hudud sebab dia otrang yang 'penyangak' dia orang yang rasuah,"katanya. BO

Kompaun lalu lintas bakal tumbangkan BN


15 Rabiulawal 1432H [MOD] -
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Parti Rakyat Malaysia (PRM) berpendapat kadar kompaun yang bakal dikuatkuasakan akan menjadi salah satu sebab kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Pengerusi PRM Wilayah Persekutuan, Zulkarnain Abdullah berkata, BN akan tumbang jika kompaun itu tidak dikaji semula demi rakyat yang kini menghadapi masalah ekonomi yang sangat teruk.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku kononnya beliau prihatin terhadap rakyat, tetapi menaikkan kadar kompaun di waktu ekonomi negara sangat teruk.

PRM, katanya berpendapat bahawa kerajaan Barisan Nasional perlu lebih mengutamakan langkah-langkah keselamatan untuk menurunkan kadar jenayah yang kini sangat membimbangkan di negara ini berbanding dengan kompaun lalu lintas yang hendak diselaraskan pada 1 Mac 2011 nanti.

“Tidakkah ini bertentangan dengan apa yang digembar-gemburkan?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Jangan bebankan rakyat.

15 Rabiul Awal 1432H.
PAS Miri

SURAT TERBUKA KEPADA TIMBALAN PERDANA MENTERI TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

MIRI 17 Februari 2011 - Mutakhir ini, bandaraya Miri sering dikunjungi dengan lawatan rasmi menteri-menteri Kabinet dan baru-baru ini Perdana Menteri hadir ke Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang merangkap Menteri Pelajaran hari ini akan ke pedalaman daerah Limbang menghadiri majlis pengiktirafan salah sebuah sekolah cemerlang, SK Ulu Lubai (syabas dan tahniah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort II).

Dasar Pendidikan Negara Bantu Ringankan Beban Ibubapa

Memang diakui sudah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak-anak memperoleh yang terbaik terutama dalam pendidikan. Ibubapa terutama yang mempunyai ramai anak perlu bijak berbelanja agar mereka tidak dibebani kos perbelanjaan persekolahan anak. Ada juga pihak yang berpendapat bahawa beban dipikul ibubapa oleh kos persekolahan anak-anak disebabkan ibubapa tidak bijak membuat perancangan.

Tetapi dasar kerajaan terhadap pendidikan negara juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan lahirnya modal insan berilmu tinggi yang bakal menerajui kepimpinan negara. Dasar inilah yang sepatutnya membantu ibubapa di negara ini dalam menanggung beban pendidikan anak-anak mereka.

Saban tahun rakyat disajikan dengan bajet dan peruntukkan dalam Rancangan Malaysia (RMK) khususnya sumbangan tenaga pengajar iaitu guru dengan imbuhan demi imbuhan baik yang bertugas di kawasan bandar atau pedalaman. Ianya tidak dinafikan dan guru berhak mendapatkannya. Namun berjuta dan berbilion juga peruntukkan serta perbelanjaan oleh kerajaan samaada dalam soal bantuan makanan dan sokongan lain seperti pakaian dan buku teks, tetapi setiap kali sesi persekolahan bermula,
ibubapa masih juga dibebankan dengan bayaran tambahan dari pihak sekolah.

Mansuh Bayaran Tambahan

Setiap kali sesi persekolahan bermula, kedengaran rintihan ibubapa mengenai bayaran tambahan yang dikenakan pihak sekolah samada ianya telah ditetapkan dalam mesyuarat PIBG sesebuah sekolah atau adakah mengikut garis panduan perkeliling Kementerian Pelajaran atau tidak, ternyata kos bayaran tambahan ini membebankan ibubapa.

Ketika masyarakat kini sedang berhadapan dengan siri kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan asas, ditambah lagi dengan yuran tambahan yang tinggi dikenakan pada awal sesi persekolahan anak-anak ada kemungkinan ibubapa yang berpendapatan rendah khususnya di pedalaman Sarawak mempunyai masalah kewangan dan tidak mustahil ada yang menanggung hutang.

Secara puratanya, ibubapa akan menyediakan perbelanjaan untuk seorang anak berjumlah RM200.00 ke RM300.00 bagi menyediakan pakaian sekolah, daftar yuran, buku-buku dan peralatan lain. Setelah masuk beberapa minggu persekolahan, ibubapa menerima lagi surat menuntut pembayaran tambahan yang umum faham sesebuah sekolah perlu sedikit sumbangan ibubapa untuk menambahbaik lagi pembelajaran di sekolah. Apa yang dikhuatiri ialah bayaran-bayaran tambahan tersebut tidak diselaraskan dan bergantung kepada sesebuah sekolah untuk mengenakan jumlah bayaran.

Bagi mereka yang berkemampuan, ia bukan satu masalah tetapi bagaimana pula dengan ibubapa keluarga (anak) yang ramai, berpendapatan rendah, tiada pekerjaan tetap, perbelanjaan isi rumah yang tinggi?

Rakyat menuntut agar Tan Sri Muhyiddin Yassin MANSUH SEMUA BAYARAN
TAMBAHAN SEKOLAH

Permohonan sikaya dan simiskin

15 Rabiul Awal 1432H.
Tanbihul Ghafilin

Nabi Musa a.s. memiliki ummat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Mereka ada yang kaya dan juga ada yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa a.s.. Ia begitu miskinnya pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh berdebu.

Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa a.s., "Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah s.w.t. permohonanku ini agar Allah s.w.t. menjadikan aku orang yang kaya." Nabi Musa a.s. tersenyum dan berkata kepada orang itu, "Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t.".

Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, "Bagaimana aku mau banyak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu lembar ini saja"!. Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya.

Beberapa waktu kemudian seorang kaya datang menghadap Nabi Musa a.s.. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya. Ia berkata kepada Nabi Musa a.s., "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah s.w.t. permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu."

Nabi Musa a.s.pun tersenyum, lalu ia berkata, "Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t.". "Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah s.w.t.?. Allah s.w.t. telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. telinga yang dengannya aku dapat mendengar.

Allah s.w.t. telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya", jawab si kaya itu. Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian terjadi adalah si kaya itu semakin Allah s.w.t. tambah kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah s.w.t. mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mau bersyukur kepada Allah s.w.t.

17 Februari 2011

Jejantas: Surat terbuka Nurul Izzah kepada Datuk Bandar KL

14 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Nurul Izzah.

Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad Bin Ismail

Datuk Bandar Kuala Lumpur

Tingkat 27, Menara DBKL 1

Jalan Raja Laut

50350 Kuala Lumpur

Assalamualaikum w.b.t Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad ,

PENJELASAN BERKENAAN DENGAN PROJEK JEJANTAS YANG MENGHUBUNGKAN PUSAT KONVENSYEN KL DAN HOTEL IMPIANA KLCC

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Buat pengetahuan pihak Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad, saya telah melawat projek Jejantas yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Hotel Impiana KLCC, yang telah membawa saya kepada persoalan-persoalan berikut:

1. Merujuk kepada laporan Bernama (terbitan The Star bertarikh 8hb September 2010), yang menyatakan, “Petronas telah menyumbangkan RM100 juta kepada pembangunan kemudahan dua-fasa ini yang menyokong usaha kerajaan bagi menggalak dan merangsang pertumbuhan industri pelancongan. KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCC), sebuah subsidiari milikan-penuh Petronas telah ditugas mengurus peruntukan tersebut bersama DBKL sebagai penyelaras projek utama untuk laluan pejalan kaki di KL.”;

Adakah DBKL dikecualikan dari meluluskan reka bentuk projek tersebut? Dan jikalau ya, megapakah Sunway Construction Sdn Bhd telah dilantik untuk meneruskan projek jejantas (fasa kedua) dan adakah tender terbuka dilaksanakan sebelum mereka dipilih?


2. Merujuk kepada laporan The Star bertarikh 9 Februari, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail dan ketua pegawai eksekutif KLCC (Holdings) Sdn Bhd telah “menandatangani surat perjanjian untuk penyerahan jejantas ini dari KLCCH ke DBKL.”; 


Berapakah kos penyelenggaraan kemudahan ini (dan juga jejantas fasa kedua) pada tahun-tahun akan datang, dan siapa yang akan menanggung beban penyelenggaraan tersebut?

Saya amat berharap agar Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad dapat memberikan respon segera di atas persoalan dan permasalahan yang saya bangkitkan di dalam projek jejantas ini.

Segala kerjasama daripada pihak Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad, saya dahului dengan ucapan terima kasih dan mudah-mudahan segala kerja kita diberkati Allah S.W.T..

“Bersama Menegakkan Keadilan”

Sebuah Harapan Kepada Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau

14 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : DR. RAJIEE HADI.

SEORANG anak jati Merlimau di perantauan memberitahu saya bahawa beliau turut merasakan dengung gendang pilihan raya kecil (PRK) kian bergema di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka. Yang menang akan dituntut melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Setiap omong-omong kosong akan dinilai rakyat dari semasa ke semasa.

Sehubungan ini, kita akan menyaksikan beberapa peruntukan dan bajet pembangunan mengejut akan mencurah-curah datang; terutamanya fenomena mahu menambat hati pengundi bukan Melayu, pengundi atas pagar dan pengundi yang pandai bermain silap mata.
Apa yang kita tidak mahu, pihak yang menaburkan projek jangan terpedaya dengan kelicikan pengundi minoriti yang muncul secara tiba-tiba menangguk di air keruh. Keadilan bukanlah bermakna konsep kesamarataan tetapi keadilan hendaklah kena pada tempatnya.

Kita tidak mahu, masjid Kampung Simpang Pantai yang berusia hampir 100 tahun terbiar reput kerana dimamah usia. Kita juga tidak mahu sekolah agama rakyat yang masih berdinding kayu akan rebah menyembah bumi. Dan kita juga tidak mahu sepanjang jalan antara pekan Merlimau ke bandar Jasin, keadaannya bergelap pada malam hari dan membahayakan penggunanya.

lnilah senario yang patut difokuskan dan antara permintaan penduduk DUN Merlimau untuk kesejahteraan mereka. Usahlah mewawarkan berlebih-lebihan bantuan pembinaan dan penyediaan tapak SJK Tamil yang kelak menikam diri sendiri. Walhal anak-anak kaum lndia yang sekitar ratusan sahaja; biarlah dibantu mengikut peruntukan yang sederhana berdasarkan atas keperluan.

Kita tidak mahu projek jutaan ringgit yang ditaburkan akan lebih terarah kronisme dan korupsi. Kita tahu dan sedia akur dalam apa jua PRK usaha menambat hati pengundi menjadi agenda utama. Namun kita tidak mahu umpama 'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan'.

Justeru adalah lebih baik kempen dan janji diberikan untuk kesejahteraan rakyat yang menghadapi beban kenaikan harga barangan, minyak dan desakan hidup. Dan berusaha memberi jaminan kepada ribuan graduan menganggur mengisi peluang-peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta.

Dan tidak lupa memfokuskan usaha membela nasib anak-anak Melayu/lslam dan bumiputera selaras dengan hak-hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi lebih 60 peratus pengundi Merlimau terdiri pengundi Melayu/lslam.

Seperkara yang harus diingat, dalam sibuk-sibuk projek ditaburkan dan tender-tender mula dirangka, pernahkah para pemimpin Melayu /lslam dan bumiputera memikirkan sejenak betapa anak-anak pribumi di menara ganding terpaksa mengikat perut kerana wang pinjaman PTPTN terpaksa ditolak dengan bayaran yuran dan sewa asrama IPT yang mahal sekarang?

Apakah ini kesan dasar penswastaan yang menolak kebajikan rakyat? Jawapannya ada di tangan rakyat. Ketahuilah bahawa dengan wang pinjaman PTPTN yang berbaki kecil itulah digunakan oleh para pelajar yang tidak berkemampuan untuk perbelanjaan makan minum dan buku-buku yang tidak mencukupi.

Apalah salahnya memberi biasiswa kepada semua pelajar bumiputera IPTA dengan beberapa syarat sebagai dorongan motivasi kerana kejayaan mereka mengangkat maruah agama dan bangsa. Pada mulanya ramai antara kita tidak percaya akan keluhan para pelajar di IPT sekarang dan menuduh mereka tidak mahu berdikari.

Tetapi apabila saya sendiri meneliti bayaran-bayaran caj yang dikenakan oleh lPT sekarang, barulah saya akur akan penderitaan mereka. Harapan mereka walau tanpa biasiswa pun, paling kurang jika bayaran asrama dihapuskan atau diminimumkan cajnya sudah memadai.
Ketahuilah anak-anak bumiputera bakal di kelilingi beban hutang dan tekanan hidup pada masa mendatang. Bahkan mereka juga menghadapi pelbagai cabaran kehidupan era ICT ini sama ada yang terpaksa diterima atau ditolak.

lnilah salah satu bahagian episod kehidupan yang tidak pernah pun disentuh dalam PRK! ltu belum lagi masalah keruntuhan akhlak anak-anak remaja Melayu-lslam. Apakah ini kerana para pemimpin kini terlalu banyak politiking. Sebenarnya banyak masalah besar lagi di hadapan kehidupan kita!

Kemarahan Arab kini berpusat di Bahrain

14 Rabiul Awal 1432 H.

MANAMA - Selepas Tunisia dan Mesir, penunjuk perasaan antikerajaan di Bahrain pula memenuhi sebuah dataran di ibu negara itu, semalam, pada hari ketiga protes ganas yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut.

Penduduk negara itu menuntut Perdana Menteri, Sheikh Khalifa bin Salman al-Khalifa berundur selepas memegang jawatan itu selama empat dekad bermula semasa kemerdekaan Bahrain pada 1971.

Orang ramai juga enggan bersurai walaupun selepas pemimpin negara itu memohon maaf atas kematian dua penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis.

Selain itu, terdapat laporan awal mengenai jaringan internet di Bahrain mula disekat oleh kerajaan bagi menghalang penunjuk perasaan menganjurkan protes, sama seperti yang berlaku di Mesir, akhir bulan lalu.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Bulatan Mutiara di Manama yang berfungsi serupa dengan Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sebagai pusat protes.

Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al-Khalifa mengucapkan takziah atas kematian dua penduduk negara itu dan berjanji akan menyiasat pembunuhan mereka, Selasa lalu.

Sementara itu, Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan berhubung protes di Bahrain, iaitu sekutu kuat Washington.

Ribuan penduduk Bahrain mula memenuhi jalan raya di negara kecil itu sejak Isnin lalu selepas mendapat inspirasi daripada kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir.

Sinar Harian/-

Mahkamah tetapkan 28 Februari keputusan kes Aminul Rashid

14 Rabiul Awal 1432 H.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh keputusan di akhir kes perbicaraan kematian Aminul Rashid Amzah. Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, pagi tadi.

Sinar Harian/-