18 Mei 2011

Pesara polis maut terjatuh tingkat 16 hotel elak dicekup pegawai Jawi

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel di ibu negara ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) yang melakukan operasi cegah maksiat di hotel berkenaan awal pagi Selasa.

Ketika cuba melarikan diri melalui tingkap biliknya yang terletak di tingkat 16 hotel itu di mana dia menginap dengan pasangannya, mangsa yang berumur 49 tahun itu terjatuh di beranda tingkat lima bangunan dalam insiden kira-kira 2 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman yang dihubungi hari ini mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata mangsa mati serta-merta di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Zulkarnain berkata pihak Jawi telah mengambil keterangan daripada pasangan mangsa yang dipercayai janda berumur lingkungan 40-an untuk membantu siasatan dan beliau enggan mendedahkan identiti pasangan terbabit. BERNAMA

Denda Lebih Berat Menanti Penunggang Motosikal Yang Degil

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Penunggang motosikal yang melanggar peraturan trafik serius seperti tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat merah dan tidak berhenti di lintasan pejalan kaki akan dikenakan denda maksimum RM300.

Di bawah peraturan yang berkuat kuasa bulan lalu, tiada lagi diskaun akan ditawarkan pihak polis mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal.

Sebelum ini, penunggang motosikal yang melakukan kesalahan sedemikian ditawarkan pengurangan denda antara RM70 dan RM100 bagi semua kesalahan lalu lintas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata hukuman tersebut dikenakan kerana pihak berkuasa sangat bimbang terhadap peningkatan jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun, kira-kira 12,000 penunggang dan pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalan raya.

“Sebagai contoh, kita tidak akan bertolak ansur dengan penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar kerana ramai yang maut dalam kemalangan jalan raya.

“Oleh kerana, harga sebiji topi keledar kurang daripada RM50, tiada alasan untuk mereka tidak memakainya dan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya,” katanya kepada The Star.

Kesalahan lain yang akan dikenakan denda sebanyak RM300 adalah menggunakan telefon bimbit, memotong dari arah kiri, mengekori pemandu kereta terlalu rapat dan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

“Amat menyedihkan lebih 60 peratus kematian jalan raya yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah berpunca daripada memandu melebihi had laju dan tidak memakai topi keledar. Kita perlu segera hentikan perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, bagi kesalahan-kesalahan lain masih ada diskaun yang ditawarkan apabila membayar denda.

“Kami akan mengurangkan denda sekiranya pesalah membuat bayaran segera bagi kesalahan yang tidak serius,”

Solah berkata penunggang motosikal yang membuat pusingan U ditempat yang tidak dibenarkan serta gagal berhenti di lintasan pejalan kaki kanak-kanak sekolah mereka akan diberikan diskaun dan hanya perlu membayar denda RM100 sekiranya mereka membayarnya dalam tempoh dua minggu.

Jumlah denda akan meningkat kepada RM250 sekiranya ia dibayar selepas tempoh dua minggu yang ditetapkan.

Bagi penunggang motosikal yang meletakkan kenderaan di sebelah pili bomba, di laluan pejalan kaji dan menghalang laluan jalan raya raya kompaun bagi kesalahan tersebut juga telah dinaikkan dari RM60 kepada RM100 sekiranya ia dibayar dalam tempoh dua minggu.

Sekiranya, mereka membuat bayaran dalam tempoh sebulan denda yang dikenakan adalah RM150 namun selepas tempoh tersebut denda yang dikenakan akan meningkat kepada RM250.

Bagi mereka yang gagal mempamerkan pelekat, ‘P’ pada nombor plat kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak mempamerkan nombor plat pendaftaran yang telah diubah suai denda yang akan dikenakan adalah antara RM60 hingga RM120.

Namun, diskaun sebanyak RM40 diberikan bagi denda yang dibayar dalam tempoh dua minggu dan RM70 bagi denda yang dibayar dalam tempoh sebulan daripada saman dikeluarkan.

Oleh SARBAN SINGH

Hampir 1,000 Rumah Di Kulim Dilanda Banjir Kilat

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KULIM: Hampir 1,000 buah rumah di beberapa kampung dan taman perumahan sekitar bandar ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan air beberapa sungai yang melimpah petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Ghazali berkata kawasan perumahan yang terlibat adalah Taman Merak, Taman Bistari Fasa I dan II, Taman Tiong (Mukim Sungai Ular) dan Taman Seri Kulim (Mukim Kulim) melibatkan kira-kira 900 buah rumah, dengan Taman Merak dan Taman Tiong yang paling teruk dinaiki air melibatkan hampir 500 rumah.

Sementara itu, kira-kira 100 buah rumah di Kampung Bukit Sarang Ayam (Mukim Sungai Seluang), Kampung Padang Limau, Bukit Puteh (Mukim Karangan), Kampung Bukit Kukus (Mukim Keladi), Paya Tok Betuk dan Kampung Teluk Sira (Mukim Sungai Ular) turut dinaiki air.

Ghuzlan berkata banjir kilat yang berlaku adalah ekoran hujan lebat mulai pukul 1 tengah hari hingga pukul 3 petang menyebabkan air Sungai Ular, Sungai Kulim dan Sungai Karangan melimpah dan beberapa aliran jalan seperti Jalan Sultanah Bahiyah ke arah Serdang dekat Taman Merak terpaksa ditutup buat sementara.

Aliran Jalan Taman Kota Kenari ke Sungai Ular juga terpaksa ditutup sejak pukul 5 petang ini akibat aliran air Sungai Kulim di jambatan Taman Tiong melimpah dan naik hampir 1.5 meter di atas jalan raya.

"Air banjir naik antara 0.8 meter hingga 1.5 meter di sekitar kawasan taman-taman perumahan, manakala dua keluarga di Kampung Bukit Kukus, Jalan Lunas terpaksa berendam dalam air setelah rumah mereka dinaiki air hampir satu meter," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ghuzlan berkata air di semua kawasan terbabit dijangka surut tengah malam ini walaupun masih hujan di beberapa kawasan sekitar daerah Kulim.

Sementara itu, Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Lunas S. Ananthan bersama Penyelaras Parlimen Padang Serai Chin Tung Lung melawat beberapa rumah yang mengalami banjir termasuklah di Kampung Bukit Kukus dan kawasan tebing parit monsun di Jalan Padang Serai-Kulim di Paya Besar (Kampung Siam) yang runtuh.

Kedua-dua mereka telah memaklumkan Pejabat Pembangunan Persekutan Zon Kulim/Bandar Baharu untuk mengatasi masalah banjir yang sering dialami keluarga dua buah rumah berkembar di situ.

"Perkara ini sering berlaku kerana setiap kali hujan lebat kedua-dua buah rumah ini akan digenangi air banjir, adakalanya banjir kilat berlaku sebulan empat kali," kata Zabidin Abu, 46, salah seorang penduduk rumah itu, yang tinggal bersama isteri dan sembilan anaknya di situ sejak 20 tahun lepas.

mStar/-

Menteri Minyak Libya belot

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

FOTO 27 Mei 2009 menunjukkan Shokri menjawab pertanyaan media sebaik tiba di Vienna untuk menghadiri sidang OPEC.
Libya nafi Shokri Ghanem berpaling tadah selepas lari ke Tunisia

TUNIS: Menteri Minyak Libya, Shokri Ghanem, sudah berpaling tadah daripada pentadbiran Muammar Gaddafi dan lari ke Tunisia, dakwaan yang disahkan oleh pemberontak tetapi dinafikan oleh Tripoli.

“Beliau berada di hotel dengan sekumpulan pegawai Libya lagi,” kata sumber di Tunisia kepada agensi berita manakala seorang lagi sumber keselamatan menyatakan Shokri, 68, dalam perjalanan ke Tunis.

Tetapi, seorang pegawai Libya di ibu negara Tripoli menegaskan, tiada tanda-tanda bahawa Shokri yang juga pengerusi Perbadanan Minyak Kebangsaan Libya (NOC) sudah belot.

“Saya tiada berita menyatakan beliau meletakkan jawatan, berpaling tadah atau seumpamanya. Sudah menjadi kerjanya untuk bergerak ke sana sini dan menghubungi syarikat minyak.

“Jadi, kami tidak mendengar apa-apa pun selain daripada beliau menjalankan tugas seperti biasa,” kata pegawai itu lagi yang dipetik agensi berita Reuters.

Menurut satu lagi laporan oleh agensi Agence France Presse (AFP), Shokri sudah melintasi masuk sempadan Tunisia menggunakan sebuah kereta dan berada di hotel pulau Djerba.
Pengurusan hotel itu memberitahu, pegawai kanan Libya berkenaan membawa anggota keluarganya tetapi tidak diketahui destinasi mereka.

Buat masa ini, Shokri belum menghubungi pegawai kerajaan Tunisia selepas melintas sempadan Ras Jedir.

Ada juga laporan memetik seorang pekerja hotel berkenaan sebagai memberitahu bahawa Shokri sudah mendaftar keluar hotel paling mewah di Djerba itu.

Anggota keselamatan di lapangan terbang Djerba berkata, Shokri tidak dikesan berada di terminal berkenaan.

Jika Shokri benar-benar belot, beliau adalah pegawai paling kanan meninggalkan kerajaan Gaddafi selepas pemberontakan meletus pertengahan Februari lalu.

Bekas Menteri Luar, Mussa Kussa berpaling tadah di Britain pada Mac lalu selepas keluar dari Libya dan masuk ke Tunisia.

April lalu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat membekukan aset lima pegawai kanan Gaddafi termasuk Shokri bagi memaksa orang kanan pemimpin itu belot. – AFP/Reuters

Bagai kucing larang kawan jangan makan ikan

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat desakan Pemuda Umno Malaysia agar kerajaan tidak menaikkan harga petrol seolah-olah tindakan seekor kucing mendesak kawannya yang juga kucing untuk jangan memakan ikan.

Begitupun, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin (gambar) menyambut baik desakan Pemuda Umno itu.

Katanya, SAMM cuba menilai dari sisi positif desakan ini, yang nampaknya serius kerana ketuanya juga melalui akaun laman sosialnya turut menyatakan "telah mengarahkan mana-mana Pemuda Umno Bahagian yang belum bermesyuarat untuk membawa usul jangan naik harga petrol ini”.

Ini, ujarnya menggambarkan seriusnya mereka dalam tindakan itu.

“SAMM meyakini usul desak tidak naik harga petrol ini akan menjadi usul utama Mesyuarat Agung Pemuda Umno Malaysia kali ini kerana arahan telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini, tambahnya kerana cuba memahami tradisi dalam Umno yang tanpa arahan mereka akan diam walaupun kenaikan harga minyak tetapi apabila arahan itu berlaku pasti mereka akan bawa usul itu kerana arahan.

Menurutnya, memahami Pemuda Umno sebagai sebuah organisasi politik yang bertanding dalam pilihan raya mungkin saja tindakan itu ekoran untuk meraih populariti kerana mereka sedar kemarahan rakyat kepada parti penguasa yang amat tinggi ekoran siri kenaikan harga yang seolah tidak mampu dikawal rejim.

Namun, katanya itu urusan mereka, bagi SAMM selaku organisasi yang cuba menjadi organisasi massa muda sudah tentu turut bersama desakan tersebut bukan sahaja tidak menaikkan tetapi menurunkan semula harga minyak dengan penstrukturan semula subsidi negara dengan mengurangkan bantuan korporat.

“Namun dalam sisi yang lain ia seolah-olah tindakan seekor kucing mendesak kawannya yang juga kucing untuk jangan makan ikan,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

Beliau berkata, rakyat sudah tentu tidak lupa dengan tindakan ahli-ahli parlimen BN termasuk ahli parlimen dari pemuda Umno yang pernah mengangkat tangan dalam sesi undi belah bagi dalam parlimen Malaysia awal penggal ini yang menyokong kenaikan harga bahan bakar yang merupkakan pada ketika itu tertinggi dalam sejarah negara.

Menurutnya lagi, masalah sebenar negara ialah bukan harga pasaran dunia, selaku pengeluar minyak yang nilai kegunaan domestik masih jauh kurang dari yang dieksport maka sudah tentu kenaikan harga petroleum dunia boleh menjadi rahmat.

Masalah utamanya, kata beliau ialah pembaziran dalam pengurusan, ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan pengaliran wang haram yang didalangi oleh mereka yang rapat dengan rejim merupakan punca sebenar negara hilang daya saing dan daya mampan untuk menjaga kepentingan rakyat seperti mengawal harga bahan bakar.

“SAMM memandang serius perkara ini, kenaikan seolah tidak dapat dibendung. Regim begitu lemah seperti hilang kreativiti mentadbir ekonomi sehingga membiarkan rakyat lemas dalam pasaran terbuka.

“SAMM juga tidak menolak ini mungkin saja propaganda menjelang pilihan raya umum menteri akan mengumumkan di mana kononnya harga minyak akan dinaikkan tetapi oleh kerana desakan pemuda Umno, maka harga minyak kekal,” ujarnya.

Tambahnya, lebih malang lagi seperti biasa selepas pilihan raya harga naik mendadak pula.

Harakahdaily

Penghuni flat Singapura minum air mayat

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

 BEBERAPA anggota polis memeriksa bumbung flat di Blok 686B,Woodlands Drive 73, Sembawang selepas mayat seorang amah Indonesia ditemui dalam sebuah tangki air

SINGAPURA - Penduduk di beberapa buah flat di Woodlands tidak menyedari bahawa mereka menggunakan air termasuk untuk memasak adalah daripada sebuah tangki air yang mengandungi mayat reput seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mati, lapor akhbar Straits Times semalam.

Mereka hanya mengetahui tangki air itu mengandungi mayat wanita tersebut selepas membuat aduan kerana air paip kelihatan berwarna kekuningan dan agak berbuih.

Empat penduduk flat itu di Blok 686B, Woodlands Drive 73, menghubungi Majlis Perbandaran Sembawang untuk membuat aduan tersebut.

Seorang jurucakap polis memberitahu agensi berita Associated French Press, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun telah ditangkap berhubung kematian pembantu rumah tersebut yang berusia 30 tahun.

Mayat wanita itu ditemui di dalam salah satu daripada lapan tangki air di atas bumbung flat setinggi 15 tingkat itu kelmarin selepas polis menerima panggilan daripada seorang pemberi maklumat dipercayai rakan lelaki Bangladesh tersebut.

"Kejadian ini amat menjijikkan. Semua keluarga saya memakan habis seperiuk sup kacang hijau yang dimasak pada pagi ini," kata seorang penduduk flat tersebut, Choi Ah Moi.

Seorang suri rumah berusia 33 tahun, Ally Lee pula berkata, pembantu rumahnya memasak mi sup untuk anak perempuannya dengan menggunakan air mayat tersebut. "Saya fikir saya mahu membawa anak perempuan saya berjumpa dengan doktor," katanya.

Pembantu rumah itu bekerja di sebuah flat di tingkat enam dan semasa ditemui mayatnya tersebut didapati mengalami luka di belakang badan selain memakai baju-T dan seluar bermuda.

Pengurus Besar Majlis Perbandaran Sembawang, Soon Min Sin berkata, semua air di lapan tangki itu dibuang dan dibasuh dengan menggunakan bahan pembersih kuman.

Agensi

Angkara 'Madey kutty', 'pandy kutty' dan Big Dog

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SEHARI dua ini negara Malaysia semakin dipopularkan dengan pelbagai istilah baru yang berkaitan dengan keburukan orang-orang politik dan juga beberapa gelaran yang sengaja dijadikan nama pena para bloggers tertentu.

Perihal gelar menggelar orang politik dengan nama-nama tertentu bukannya baru dalam politik Malaysia. Seingat penulis, gelaran yang ketara dibuat orang-orang politik kepada lawan politiknya, ialah pada era Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Gelar mengelar ahli politik dengan pelbagai nama yang buruk ini sebenarnya dimulakan oleh orang-orang Umno dan bekas orang-orang Umno.

Jika kita imbau kembali apa yang berlaku pada zaman 1980-an. Antara yang terbabit memaki hamun Dr Mahathir adalah di kalangan ahli politik parti haram Umno (diharam pada tahun 1988). Jika hendak dicatatkan di sini cukup ramai. Juga termasuk dengan bekas-bekas pemimpin muda KeADILan yang sudah mendapat laba yang besar dalam Umno.

Apa gelaran yang mereka tidak sebutkan sewaktu memaki hamun Dr Mahathir? Ada yang kata 'Madey Kutty' ada yang kata 'Mamak Tongkang' dan sebagainya.

Tercatat dalam sejarah PAS pernah bersama dengan pemimpin-pemimpin Parti Melayu Semangat 46 (1989-1995), sewaktu di dalam ceramah, mereka menggunakan bahasa yang kasar lagi kesat terhadap pemimpin Umno, khususnya Dr Mahathir.

Begitu juga sewaktu era reformasi sehingga 2003, di mana ramai pemimpin muda KeADILan, yang bersama PAS di atas pentas ceramah, menggunakan bahasa yang teramat kesat, yang tidak sanggup diulang dalam ruangan ini.

Sebahagian besar 'kaki hamput' Umno ini 'sudah menjilat ludah mereka sendiri'. Mereka kini menjadi pengampu Umno nombor wahid, bagi menjilat segala dosa yang mereka lakukan terhadap Umno.

Sewaktu era Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM juga berlaku gelar-menggelar. Bekas PM, Dr Mahathir digelar 'beruk yang menggoncangkan pokok' oleh menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Lebih teruk lagi apabila Umno Terengganu dengan sikap yang amat kurang ajar menggelar Sultan mereka sebagai 'binatang'. Ini fakta berfoto yang dirakam dalam demonstrasi penyokong Dato' Seri Idris Jusoh di hadapan Istana Terengganu di Kuala Terengganu.

Jika ditanya balik kepada semua penceramah dan pendemonstrasi yang kurang ajar ini, mengapa mereka mengeluarkan kata-kata kesat, kasar dan kurang ajar ini? Bukankah kerana amarah yang sudah tidak terbendung? Bukankah kerana tekanan hebat yang diterima?

Justeru apa yang dihairankan jika terkeluar kali ini istilah 'pandy kutty' daripada mulut Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau anak-beranak dikecam, dimaki hamun dan dicerca dengan begitu menjijikkan oleh pemimpin Umno, media tali barut Umno dan macam-macam lagi.

Walaupun KeADILan menafikan Anwar menggunakan perkataan 'pandy kutty' kepada Dato' Seri Najib Razak pada satu majlis di Klang, tetapi hakikatnya ia terkeluar akibat daripada tekanan yang melampau dikenakan Umno-BN ke atas beliau.

Kata Naib Presiden KeADILan, N Surendran,"Perkataan ini (pandy kutty) bermakna babi kecil. Saya berada di majlis tersebut dan mengesahkan di sini bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan perkataan tersebut terhadap Najib.

“Sebaliknya beliau menggunakan perkataan tersebut berkaitan dengan politik kotor dan jijik yang diamalkan oleh Barisan Nasional,” kata beliau yang juga seorang peguam.

Kata Surendran, "kami sekali lagi menuntut bahawa pemimpin BN hentikan politik kotor dan pengeluaran kenyataan palsu dengan segera."

Jadi soal gelaran anak babi ini benda kecil sahaja. Orang-orang Melayu, kadang-kadang kalau marah akan terpacul perkataan babi kepada orang yang dimarahi. Malah ada istilah dalam kamus Melayu disebut 'jahat macam setan (syaitan)'. Apa beza gelaran anak babi dengan syaitan jika diungkapkan kepada golongan yang jahat?

Penulis masih ingat sewaktu berada di sekolah menengah. Guru disiplin menangkap empat orang budak-budak nakal. Budak-budak yang nakalnya terlampau ini dibawa ke hadapan perhimpunan untuk dirotan.

Sebelum merotan budak-budak nakal ini, penulis mendengar dengan jelas celoteh guru disiplin terhadap mereka. Antara lainnya beliau mengatakan, "Kau orang ini, kalau syaitan jumpa kamu, mesti dia tabik kat kamu. Sebab kejahatan yang kamu lakukan, syaitan pun tak tergamak nak buat."

"Hahaha," gelak besar semua murid dan guru dalam perhimpunan tersebut.

Berbalik soal politik Malaysia, di sebalik gelaran-gelaran yang melampau ini, mutakhir ini tercetus pula polemik dalam negara apabila seorang blogger Zakhir Mohamed atau terkenal dengan gelaran Big Dog yang mencetuskan kontroversi isu negara Kristian baru-baru ini.

Zakhir menerusi blognya bigdogdotcom.wordpress.com mendedahkan, kononnya terdapat ikrar paderi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan dalam pertemuan mereka di Pulau Pinang baru-baru ini.

Posting yang dibuat oleh Big Dog disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, sekali gus boleh mencetuskan ketegangan agama di antara umat Islam dengan golongan Kristian.

Oleh kerana akhbar Utusan Malaysia dijadikan pegangan akidah sebahagian besar ahli-ahli Umno dan golongan pelampau Melayu, apa sahaja yang dipaparkan, walaupun ianya berita bohong dan jijik, akan ditelan bulat-bulat mereka.

Akibat daripada akidah yang diciptakan Utusan Malaysia, maka golongan pelampau yang jahat ini, dengan api yang bersemarak di hati mereka, mula membuat pelbagai ancaman dan kecaman kepada golongan Kristian dan kaum bukan Melayu.

Selain daripada penegasan pemimpin Pakatan Rakyat, menolak agenda jahat Utusan Malaysia dan Big Dog ini, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, terus menyerang Zakhir dalam satu posting di laman sosial Twitter.

Khairy selaku Ketua Pemuda Umno tidak dapat menyembunyikan kemarahan beliau terhadap blogger Big Dog.

Penulis mendapat khabar, di sebalik serangan Khairy terhadap Zakhir, difahamkan, pertikaian antara kedua mereka sudah lama berlaku.

Zakhir sememangnya diketahui sering menyerang Khairy melalui tulisannya di blog dan Twitter dan tidak hairanlah jika Khairy mengambil peluang kali ini untuk memulangkan paku buah keras terhadap Zakhir.

Dalam satu posting di Twitter 12 Mei lepas, Khairy mengulas saranan pihak tertentu supaya Zakhir ditahan kerana menimbulkan dakwaan berkenaan.

Namun, secara sinis beliau berkata Zakhir tidak sepatutnya ditahan bawah ISA di pusat tahanan Kamunting kerana tindakan itu hanya akan membazirkan wang.

"Bazir je duit rakyat nak kasi anjing tu makan tiap-tiap hari kat Kamunting. Setakat sepinggan nasi mana cukup!

"Sudahlah nak cover line. Dah kantoi la Fats. Proven liar (dibuktikan penipu). Pi pig out (pergi mentekedarah) kat (restoran) The Loaf," kata Khairy dengan nada yang agak keras.

Dalam reaksi kepada laporan Utusan Malaysia, Dr Mahathir mendakwa desakan daripada ekstrimis agama meningkat kerana Kerajaan Persekutuan (Umno-Barisan Nasional) berada dalam keadaan yang lemah.

"Semasa saya menjadi PM perkara ini tidak berlaku, saya mendapat sokongan daripada semua Kristian, Hindu, Buddha, tiada apa-apa desakan," kata beliau.

Bagaimanapun Dr Mahathir enggan mengulas lanjut kerana dakwaan paderi mahukan Kristian menjadi agama rasmi Malaysia, tidak ada bukti.

Apa pun jika kita fahami kata-kata mantan PM ini, jelas pada beliau, kerajaan yang dipimpin Dato' Seri Mohd Najib Razak sekarang ini berada dalam keadaan yang lemah.

Akibat kelemahan Najib, diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan kontroversi dan polemik agama dan perkauman.

Ada andaian Umno-BN sengaja menciptakan polemik ini, untuk menarik perhatian rakyat, kononnya dengan kembali menyokong Umno-BN sahaja, polemik ini akan dapat diselesaikan.

Masalah besar yang dihadapi Umno bukannya polemik yang dicetuskan oleh pihak luar kerajaan, sama ada daripada golongan Kristian, Hindraf, DAP dan sebagainya.

Hakikat sebenar yang cuba diselindungkan adalah kepercayaan komponen BN terhadap Umno selaku ketua mereka sudah tidak ada. Komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC sering berpolemik dengan Umno dalam banyak isu berkait hak kaum dan agama.

Umno tidak boleh menyelesaikan perkara ini. Apabila Umno gagal, ia cuba mencetus polemik lain di luar kerangka BN, untuk menarik sokongan rakyat pula.

Sebaliknya Umno tidak sedar bahawa cara politik mereka sudah tidak boleh diterima rakyat. Politik 'menyembunyikan pekung' sudah tidak wujud kerana rakyat sudah menghidu bau kebusukan daripada pemimpin Umno.

Justeru, untuk menghilangkan kebusukan ini, kita tiada cara lain, selain menumbangkan Umno-BN dalam PRU yang akan datang.

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my

Komen saya mengenai Pencalonan AJK PAS Pusat.

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Memberi respon segera semasa saya berada di luar kawasan menguruskan soal peribadi sempena dengan cuti wesak kelmarin bila menerima berita dari beberapa sms rakan karib mengenai saya dicalonkan dan layak bertanding AJK PAS Pusat saya menggunakan Blackberry kesayangan memberikan respon sebegini :-

"subhanallah, saya yg kerdil dan daif ini termasuk salah seorang dr senarai panjang yg layak bertanding jawatan ajk pas pusat spt yg diumumkan oleh jk pemilihan parti hari ini, insyaAllah saya akn menjawab samaada akn bertanding atau tdk selepas menerima surat tawaran utk pengesahan bertanding dalam tempoh terdekat.sebelum itu saya mengambil kesempatan utk ucapkan berbanyak tkasih kpd kaw pas yg telah mencalonkan saya".

Sebenarnya kalau saya renung dan fikirkan secara jujur dan ikhlas, siapalah saya yang sangat kerdil ini untuk diamanahkan menggalas amanah kawasan-kawasan pas seluruh negara khususnya yang telah mencalonkan saya untuk bertanding AJK PAS Pusat pada Muktamar PAS tidak berapa lama lagi.

Untuk kali pertama saya telah tersenarai dalam muktamar tahun 2009 dalam keadaan setahun jagung menjadi ADUN perak pada masa itu. Pada masa itu saya menjawab menerima pencalonan dan bertanding untuk pertama kalinya. Saya gagal dalam percubaan pertama itu.

Selepas lebih 3 tahun mengalas tugas sebagai ADUN Perak dan beberapa jawatan lain seperti Ketua Penerangan PAS Perak dan Ketaua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak saya sekali lagi calonkan untuk bertanding.

Minggu lepas saya bertemu dengan seorang aktivis PAS dan kebetulan rakan karib yang mengikuti perkembangan diri saya dalam pentas politik tanah air. Secara jujur saya bertanyakan kepadanya mengenai tahap dan kenapa saya dikenali sehingga keluar dari Perak pada masa ini.

Secara jujur dia mengatakan saya berada dipentas yang lebih terbuka dan luas malah sampai kepada penuntut dan pekerja malaysia yang berada diluar negara adalah kerana berada dalam platform sebagai Blogger yang aktif.

Kerana itu saya rasa lebih bersemangat dengan paltform itu malah sekarang saya menyediakan ruang yang lebih luas dengan menubuhkan ngo Idham Care untuk memberi bakti dan khidmat masyarakat yang tidak terbatas kepada sempadan politik , negara dan bangsa.

Selain itu saya juga rasa bertuah kerana penghormatan dari kawasan yang turut mencalonkan sama Dato' Anuar Tan sehingga keadaan ini membenarkan slogan Pas For All yang selama ini kita sama-sama laungkan. Ianya ternyata bukannya retorik namun realiti yang dizahirkan oleh PAS kawasan yang mencalonkan kami.

Kehadiran saya yang kerdil ini dan Dato' Anuar Tan bersama dalam senarai 83 orang yang layak bertanding bagi saya akan membuktikan kepada musuh politik dan memberi kefahaman yang mendalam kepada seluruh ahli PAS bahawa PAS sudah melangkaui benteng penguasaan hanya untuk orang melayu sahaja.

Keujudan Dewan Himpunan penyokong PAS (DHPP) adalah pukulan maut kepada UMNO yang selama ini menakutkan orang bukan Islam kepada PAS.

Sebagaimana slogan lapuk yang dilaungkan UMNO bahawa Islam hanya untuk orang melayu sahaja, sehingga sesiapa yang memeluk Islam disahkan dalam perhimpunan agong UMNO bertukar menjadi melayu.

Kini PAS telah bergerak lebih jauh sebagai bukannya parti perkauman dan dasar Islam yang diperjuangkan membuktikan Islam adalah bersifat "rahmatan lil alamin" bukannya "rahmatan lil melayu" seperti yang diperjuangkan UMNO yang rasis itu.

Kerana itu saya sangat menghargai kawasan PAS telah mencalonkan kami untuk bertanding dan tiada kata yang paling layak saya ucapkan melainkan bersyukur kerana Allah memberi hidayah dan petunjuk untuk memberi peluang kepada kami bagi memajukan PAS yang kita sayangi. Terimakasih kepada semua.

Sesungguhnya saya sangat sayangkan PAS bukan kerana semata-mata ianya berlambangkan bulan atau kerana yang lain melainkan kerana apa yang diperjuangkan PAS adalah "Islam" dan ianya adalah mata rantai dan kesinambungan dari perjuang para Nabi dan Rasul, khususnya Rasul akhir Zaman, Nabi Muhammad s.a.w.

Sebaliknya pejuangan UMNO adalah mata rantai dari perjuangan penjajah British dan ianya semestinya wajib ditentang secara bersungguh-sungguh.

InsyaAllah saya sedang menunggu surat tawaran dari JK Pemilihan dan menjawab sama ada mahu bertanding atau tidak bertanding. Semuga Allah memberi keputusan dan petunjuk yang terbaik kepada insan ciptaan Nya yang kerdil ini.

Khalil Idham Lim @ Cina Islam

Hosni Mubarak mahu minta maaf

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


KAHERAH - Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak dan isterinya yang kini ditahan kerana dakwaan rasuah akan memohon maaf kepada rakyat Mesir dan memulangkan aset mereka dalam percubaan terdesak untuk mendapatkan pengampunan, menurut satu laporan media.

Menurut laporan yang disiarkan akhbar tempatan Al-Shorouk semalam, Hosni dilaporkan akan menulis sepucuk surat yang akan disiarkan stesen-stesen televisyen Mesir untuk memohon maaf bagi pihak dirinya dan keluarga berhubung kesalahan yang pernah mereka lakukan terhadap rakyat Mesir.

Bekas presiden itu juga akan memohon maaf 'untuk sebarang tindakan yang berpunca daripada maklumat palsu yang diberikan kepadanya oleh para penasihatnya,' lapor Al-Shorouk yang memetik sumber pegawai-pegawai Mesir.

Hosni, 83, berada dalam tahanan di sebuah hospital di kawasan peranginan Laut Merah selepas dilaporkan mengalami serangan jantung semasa berdepan soal siasat kes rasuah.

Menurut akhbar berkenaan, Hosni turut berkata, beliau bersedia menyerahkan hartanya kepada negara.

"Surat bekas presiden itu dan hasrat untuk menyerahkan asetnya bertujuan untuk meminta pengampunan daripada Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata yang kini memerintah Mesir," tambah akhbar sama.

Sumber tentera memberitahu akhbar berkenaan bahawa banyak pihak, sebahagian Mesir dan sebahagian lagi Arab, sedang berunding bagi melaksanakan perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, isteri Hosni, Suzanne dibebaskan semalam selepas dia menyerahkan asetnya yang berjumlah sekitar AS$4 juta (RM12.1 juta) di dalam dua buah akaun bank di Mesir kepada pentadbiran negara manakala suaminya juga berikrar untuk melakukan perkara yang serupa.

Hosni meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir pada 11 Februari lalu selepas penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah selama 18 hari bagi menuntut pengundurannya selepas hampir 30 tahun beliau berkuasa. 

AFP

Subsidi: Alasan kerajaan untuk naik harga RON95

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : PAS mengharapkan kerajaan jangan menjadi alasan untuk menindas rakyat dengan mengurangkan subsidi sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang keperluan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang merungut kerajaan telah mengunjurkan kadar subsidi bagi tahun ini mencecah RM20.58 bilion berbanding RM10.32 bilion tahun lalu.

Menurut Muhyiddin, RM18 bilion daripada unjuran tahun ini adalah khusus untuk sektor berkaitan minyak seperti subsidi RON95, diesel dan gas memasak LPG berbanding RM8 bilion untuk kegunaan itu pada tahun lalu.

“PAS telah menjangka ini adalah alasan untuk kerajaan menaikkan minyak RON95 yang digunakan oleh kebanyakan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, kenapa kerajaan perlu mengeluh mengenai hal ini, apakah kerajaan sudah tidak mempunyai antibodi untuk memikirkan bagi kebahagiaan rakyat sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang mempunyai kekangan kewangan setiap saat memikirkan bagaimana untuk menyenangkan rakyat.

Katanya, Kelantan negeri yang sering didendangkan negeri miskin walaupun hakikatnya tidak, telah mencari dana untuk merakyatkan ekonomi dengan skim kifalah untuk warga emas dengan perbelanjaan tahunan sebanyak RM7 juta, skim al-ziwaj (bantuan perkahwinan) RM1.5 juta , skim it’am (bantuan beras kepada orang miskin).

“Inilah contoh kepimpinan rakyat yang prihatin kepada rakyat dengan memikirkan bagaimana untuk beri kepada rakyat bukan memikir untuk ambil hak rakyat.

“Kenapa kerajaan hanya hendak menyalahkan subsidi sehingga kerajaan rasa terbeban dengan pemberian subsidi kepada rakyat?” soalnya.

Justeru, ujarnya PAS ingin mengingatkan kepada pemimpin BN, tugas pemimpin (menteri) ialah khadam rakyat, bukan tuan rakyat.

Katanya, khadam yang dibayar dengan imbuhan yang besar setiap bulan tidak kurang RM50,000 mestilah berbaloi untuk memikirkan bagaimana untuk menyenangkan rakyat.

Menurutnya, rakyat tidak cemburu dengan imbuhan yang diperolehi, dengan syarat mestilah dibayar dengan pembelaan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang sepatutnya, bukan dengan menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi.

Baginya, jika tugas sebagai pemimpin hanya untuk ambil gaji dan beku otak untuk fikir menyelesaikan masalah rakyat, maka lebih baik diberi kuasa kepada mereka yang buta huruf.

Apa tidaknya, kata beliau gaji diambil, pembaziran dan ketirisan dibiarkan, apabila kerajaan tidak ada wang maka dibeban kepada rakyat.

“Kenapa jalan pintas yang diambil untuk tarik subsidi sehingga barang keperluan rakyat naik mendadak?

“Kenapa pemimpin BN tidak memerangi rasuah dan pembaziran?” soalnya lagi

Pemimpin BN, katanya tidak pernah mengambil nasihat dan memperbaiki segala teguran yang diberi setiap tahun seperti pembaziran dan ketirisan.

Tambahnya, teguran Ketua Audit Negara seperti negara kehilangan wang sebanyak RM28 bilion kerana ketirisan, sebanyak RM888 bilion wang haram hilang daripada negara perkara ini yang perlu diselesai dahulu.

“Sebelum potong subsidi rakyat kena potong dulu projek yang tidak menguntungkan majoriti rakyat seperti Menara Merdeka 100 tingkat (RM5 bilion), upah APCO Yahudi RM77 juta setahun, subsidi untuk IPP sebanyak RM 19 bilion setahun, Permata RM111 juta setahun,” ujarnya.

Soalnya, ke mana wang cukai Petronas yang diberi sejak 2007-2010 sebanyak RM325 bilion (hitung panjang setiap tahun kerajaan dapat RM80.1 bilion).

Beliau menambah, jika RM20 bilion diambil untuk subsidi maka terdapat lagi lebihan untuk perkara lain, tidak termasuk hasil getah, sawit, mutiara, balak, silikon dan sebagainya.

Persoalannya, kata beliau kenapa pemimpin negeri Pakatan Rakyat mampu. “Jawapannya kerana ada nilai amanah dan kesungguhan untuk rakyat,” ujarnya.

Harakahdaily

Rumah dirempuh kereta

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

 BEGINILAH keadaan kereta Proton Persona yang remuk setelah merempuh sebuah rumah di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Melaka



ALOR GAJAH - Tindakan tiga beradik yang tidak bermain di beranda rumah ekoran hujan lebat petang kelmarin dapat menyelamatkan mereka daripada maut apabila sebuah kereta Proton Persona tiba-tiba merempuh beranda tersebut tersebut dalam kejadian di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal di sini kelmarin.

Kejadian pukul 3.20 petang itu berlaku ketika tiga beradik berusia di antara 4 dan 17 tahun tersebut sedang berehat di belakang rumah bersama pemilik rumah yang juga ibu saudara mereka, Sabrina Taib, 36.

Menurut Sabrina, mereka berempat duduk di situ ekoran hujan lebat hingga menyebabkan tiga beradik tersebut tidak bermain seperti biasa di beranda berkenaan.

"Sedang kami berbual, kami dikejutkan dengan bunyi rempuhan dan kaca pecah sebelum mendapati sebuah kereta terbalik.

"Saya kemudian berlari ke rumah saudara yang terletak di bahagian belakang untuk mendapatkan bantuan," ceritanya di sini semalam.

Bertaruh nyawa rakam imej letusan gunung berapi

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


IMEJ Skarphedinn Thrainsson dirakamkan di sebuah gunung berapi yang meletuskan lava



REYKJAVIK - Seorang jurugambar Iceland, Skarphedinn Thrainsson mempertaruhkan nyawanya untuk merakamkan gambar letusan kawah gunung berapi di seluruh dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Berada dekat dengan aliran lahar mencecah suhu 1,000 darjah Celsius menjadi perkara biasa buat dirinya untuk membuat rakaman gambar letusan gunung berapi yang menakjubkan.

"Anda merasa amat kecil dan lemah apabila berada berhampiran sebuah gunung berapi," kata jurugambar berusia 39 tahun itu yang pernah dihujani abu panas semasa dia merakamkan imej letusan gunung berapi.

Dia pernah merakamkan gambar menakjubkan semasa gunung berapi glasier Eyjafjallajokul di Iceland meletus pada tahun lalu. 


Agensi

Ajal selepas sambut Hari Guru

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
 MOHD. AZLIZAN menunjukkan lokasi Mohd. Anuar dan Md. Iskandar menghembuskan nafas yang terakhir selepas cuba diselamatkan daripada lemas di Pantai Penunjuk, Kijal

KEMAMAN - Kegembiraan dua guru lelaki yang pergi mandi-manda di Pantai Penunjuk, Kijal di sini sempena cuti Hari Wesak dan sambutan Hari Guru berakhir tragedi apabila mereka ditemui lemas semalam.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Mohd. Anuar Harun, 28, dari Marang dan Md. Iskandar Arif, 26, dari Muar meninggal dunia selepas gagal diselamatkan daripada lemas ketika mandi di situ.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila salah seorang mangsa cuba membantu rakannya yang lemas sebelum kedua-duanya tenggelam di laut. Mereka ke situ tanpa ditemani guru-guru lain.

Mohd. Anuar mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Agama Islam manakala Md. Iskandar merupakan guru J-Qaf. Kedua-dua mereka bertugas di Sekolah Kebangsaan Kijal.

Sehari sebelum kejadian, Mohd. Anuar dikatakan telah menyanyikan lagu Andainya Aku Pergi Dulu dendangan Alleycats ketika menyambut Hari Guru di sekolah itu yang seolah-olah menjadi petanda ajalnya bakal tiba.

Perubahan sikap Md. Iskandar daripada seorang yang ceria kepada guru yang murung dengan hanya duduk di kerusi ketika sambutan hari berkenaan turut dikatakan petanda awal dia akan menemui ajal.

Man City pintas Arsenal

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


LONDON: Manchester City terus menyinar apabila menang 3-0 ke atas Stoke City, sekali gus memintas Arsenal di tempat ketiga Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Penyerang Argentina meledak dua gol diikuti gol ketiga menerusi Jolson Lescott.

Dengan kedudukan itu, City semakin hampir untuk layak secara automatik bertanding Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

City muncul juara Piala FA, Sabtu lalu selepas menewaskan Bolton. 

Isteri Mubarak dibebaskan dari tahanan

15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


KAHERAH 18 Mei – Isteri kepada bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak, Suzzane Mubarak dibebaskan dari tahanan semalam selepas menyerahkan asetnya namun dia masih berada di bawah siasatan, kata pihak berkuasa.

Suzzane yang menafikan dakwaan bahawa dia menggunakan pengaruh suaminya untuk kepentingannya dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu selepas mengalami serangan jantung.

Mubarak, 83, yang masih dalam tahanan juga disiasat ekoran menyalahgunakan kuasa di samping bertanggungjawab menyebabkan kematian penunjuk perasan ketika pergolakan selama 18 hari dalam menyingkirkannya sebagai Presiden. 

Reuters