18 Mei 2011

Bagai kucing larang kawan jangan makan ikan

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat desakan Pemuda Umno Malaysia agar kerajaan tidak menaikkan harga petrol seolah-olah tindakan seekor kucing mendesak kawannya yang juga kucing untuk jangan memakan ikan.

Begitupun, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin (gambar) menyambut baik desakan Pemuda Umno itu.

Katanya, SAMM cuba menilai dari sisi positif desakan ini, yang nampaknya serius kerana ketuanya juga melalui akaun laman sosialnya turut menyatakan "telah mengarahkan mana-mana Pemuda Umno Bahagian yang belum bermesyuarat untuk membawa usul jangan naik harga petrol ini”.

Ini, ujarnya menggambarkan seriusnya mereka dalam tindakan itu.

“SAMM meyakini usul desak tidak naik harga petrol ini akan menjadi usul utama Mesyuarat Agung Pemuda Umno Malaysia kali ini kerana arahan telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini, tambahnya kerana cuba memahami tradisi dalam Umno yang tanpa arahan mereka akan diam walaupun kenaikan harga minyak tetapi apabila arahan itu berlaku pasti mereka akan bawa usul itu kerana arahan.

Menurutnya, memahami Pemuda Umno sebagai sebuah organisasi politik yang bertanding dalam pilihan raya mungkin saja tindakan itu ekoran untuk meraih populariti kerana mereka sedar kemarahan rakyat kepada parti penguasa yang amat tinggi ekoran siri kenaikan harga yang seolah tidak mampu dikawal rejim.

Namun, katanya itu urusan mereka, bagi SAMM selaku organisasi yang cuba menjadi organisasi massa muda sudah tentu turut bersama desakan tersebut bukan sahaja tidak menaikkan tetapi menurunkan semula harga minyak dengan penstrukturan semula subsidi negara dengan mengurangkan bantuan korporat.

“Namun dalam sisi yang lain ia seolah-olah tindakan seekor kucing mendesak kawannya yang juga kucing untuk jangan makan ikan,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

Beliau berkata, rakyat sudah tentu tidak lupa dengan tindakan ahli-ahli parlimen BN termasuk ahli parlimen dari pemuda Umno yang pernah mengangkat tangan dalam sesi undi belah bagi dalam parlimen Malaysia awal penggal ini yang menyokong kenaikan harga bahan bakar yang merupkakan pada ketika itu tertinggi dalam sejarah negara.

Menurutnya lagi, masalah sebenar negara ialah bukan harga pasaran dunia, selaku pengeluar minyak yang nilai kegunaan domestik masih jauh kurang dari yang dieksport maka sudah tentu kenaikan harga petroleum dunia boleh menjadi rahmat.

Masalah utamanya, kata beliau ialah pembaziran dalam pengurusan, ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan pengaliran wang haram yang didalangi oleh mereka yang rapat dengan rejim merupakan punca sebenar negara hilang daya saing dan daya mampan untuk menjaga kepentingan rakyat seperti mengawal harga bahan bakar.

“SAMM memandang serius perkara ini, kenaikan seolah tidak dapat dibendung. Regim begitu lemah seperti hilang kreativiti mentadbir ekonomi sehingga membiarkan rakyat lemas dalam pasaran terbuka.

“SAMM juga tidak menolak ini mungkin saja propaganda menjelang pilihan raya umum menteri akan mengumumkan di mana kononnya harga minyak akan dinaikkan tetapi oleh kerana desakan pemuda Umno, maka harga minyak kekal,” ujarnya.

Tambahnya, lebih malang lagi seperti biasa selepas pilihan raya harga naik mendadak pula.

Harakahdaily

Tiada ulasan: