14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KULIM: Hampir 1,000 buah rumah di beberapa kampung dan taman perumahan sekitar bandar ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan air beberapa sungai yang melimpah petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Ghazali berkata kawasan perumahan yang terlibat adalah Taman Merak, Taman Bistari Fasa I dan II, Taman Tiong (Mukim Sungai Ular) dan Taman Seri Kulim (Mukim Kulim) melibatkan kira-kira 900 buah rumah, dengan Taman Merak dan Taman Tiong yang paling teruk dinaiki air melibatkan hampir 500 rumah.
Sementara itu, kira-kira 100 buah rumah di Kampung Bukit Sarang Ayam (Mukim Sungai Seluang), Kampung Padang Limau, Bukit Puteh (Mukim Karangan), Kampung Bukit Kukus (Mukim Keladi), Paya Tok Betuk dan Kampung Teluk Sira (Mukim Sungai Ular) turut dinaiki air.
Ghuzlan berkata banjir kilat yang berlaku adalah ekoran hujan lebat mulai pukul 1 tengah hari hingga pukul 3 petang menyebabkan air Sungai Ular, Sungai Kulim dan Sungai Karangan melimpah dan beberapa aliran jalan seperti Jalan Sultanah Bahiyah ke arah Serdang dekat Taman Merak terpaksa ditutup buat sementara.
Aliran Jalan Taman Kota Kenari ke Sungai Ular juga terpaksa ditutup sejak pukul 5 petang ini akibat aliran air Sungai Kulim di jambatan Taman Tiong melimpah dan naik hampir 1.5 meter di atas jalan raya.
"Air banjir naik antara 0.8 meter hingga 1.5 meter di sekitar kawasan taman-taman perumahan, manakala dua keluarga di Kampung Bukit Kukus, Jalan Lunas terpaksa berendam dalam air setelah rumah mereka dinaiki air hampir satu meter," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Ghuzlan berkata air di semua kawasan terbabit dijangka surut tengah malam ini walaupun masih hujan di beberapa kawasan sekitar daerah Kulim.
Sementara itu, Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Lunas S. Ananthan bersama Penyelaras Parlimen Padang Serai Chin Tung Lung melawat beberapa rumah yang mengalami banjir termasuklah di Kampung Bukit Kukus dan kawasan tebing parit monsun di Jalan Padang Serai-Kulim di Paya Besar (Kampung Siam) yang runtuh.
Kedua-dua mereka telah memaklumkan Pejabat Pembangunan Persekutan Zon Kulim/Bandar Baharu untuk mengatasi masalah banjir yang sering dialami keluarga dua buah rumah berkembar di situ.
"Perkara ini sering berlaku kerana setiap kali hujan lebat kedua-dua buah rumah ini akan digenangi air banjir, adakalanya banjir kilat berlaku sebulan empat kali," kata Zabidin Abu, 46, salah seorang penduduk rumah itu, yang tinggal bersama isteri dan sembilan anaknya di situ sejak 20 tahun lepas.
mStar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan