14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
POLIS Ireland berkawal di sekitar Jalan O'Connell ketika Ratu Elizabeth memulakan lawatan rasmi selama empat hari. Gambar kiri atas menunjukkan Ratu Elizabeth disambut Presiden Ireland, Mary McAleese.
DUBLIN: Tentera Ireland meletupkan sebutir bom buatan sendiri yang ditemui dalam sebuah bas di luar kota Dublin, ketika Ireland melancarkan operasi keselamatan paling ketat untuk menerima kunjungan bersejarah Ratu Elizabeth ll selama empat hari mulai semalam.
Lawatan Ratu Britain itu, kali pertama dalam sejarah kerabat diraja British sejak Ireland mencapai kemerdekaan dari London pada 1921, bertujuan menunjukkan hubungan mesra di antara kedua-dua negara, menggantikan perasaan benci yang berlarutan sejak berabad lalu.
Bagaimanapun, penemuan bom dalam bas di sebuah bandar di luar Dublin dan beberapa amaran mengenai kemungkinan berlaku pengeboman di London, memberi isyarat bahawa masih ada segelintir pihak yang menentang keras pemerintahan Britain yang berterusan di Ireland Utara.
Pejabat Menteri Luar Britain menyatakan, lawatan Ratu Elizabeth tetap akan diteruskan di sebalik penemuan bom itu.
Jurucakap tentera berkata, bom terbabit ditemui di bandar Maynooth, 25 kilometer dari Dublin dan diletupkan unit pemusnah bom tentera di sebuah kawasan yang dikawal rapi. Sisa bahan peranti bom itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan.
Polis berkata, skuad bom tentera juga sedang menyiasat peranti kedua yang ditemui di sebuah stesen kereta api di Dublin.
Suasana aman di Ireland Utara selepas konflik selama beberapa dekad, membolehkan Ratu Elizabeth mengadakan lawatan rasminya selama empat hari, namun ingatan terhadap keganasan pada masa lalu tidak dapat dilupakan.
Ketibaan Ratu Elizabeth, bertepatan dengan ulang tahun ke-37 pengeboman di Dublin dan Monaghan berpunca daripada pertempuran antara penyokong parti berbeza di Ireland Utara. – Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan