19 Mei 2011

Seratus UFO di Shinjuku

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


TOKYO - Sekumpulan cahaya misteri yang dipercayai objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar dengan laju di ruang angkasa Shinjuku, Tokyo, lapor laman Rocketnews24 semalam.

UfO itu muncul pada 8 April lalu pada pukul 4 petang dan klip video tersebut disiarkan di laman YouTube.

KIRA-KIRA 100 objek terbang tidak dikenali (berwarna putih) berlegar-legar di ruang udara Shinjuku, Tokyo pada April lalu.


Menurut individu yang merakamkan klip itu, sejumlah orang turut melihat UFO itu di luar rumahnya.

Dia berkata, terdapat 100 UFO yang bergerak sebelum ia berkurangan sehingga menjadi 20 buah sahaja.

Terdapat dua buah pesawat terbang berdekatan UFO itu tetapi objek tersebut mungkin berada pada altitud yang lebih tinggi, katanya. 

Agensi

Undian Myharakah.net online makin popular

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Keputusan pengundian tajuk muka depan Harakah bil. 1640, "PUTAR BELIT NAJIB" mencapai keputusan tertinggi setakat ini, iaitu sebanyak 1,089 undian mengatasi undian tajuk muka depan Harakah bil. 1637 “Bubar UMNO Masuk PAS” yang jatuh kepada tempat kedua tertinggi iaitu sebanyak 941 undian.

Keputusan yang bersetuju dengan tajuk tersebut juga meningkat kepada 94.31 peratus (atau 1,027 undian) berbanding dengan 92% (atau 866 daripada 941 undian) bersetuju dengan tajuk berkenaan.

Hanya 54 undian (4.96 peratus) sahaja yang tidak bersetuju dan 8 undian (0.73 peratus) pula tidak pasti.

Undian terhadap tajuk ini telah meningkat lebih 236 peratus berbanding dengan tajuk sebelumnya, "BATU API PERKAUMAN" digunakan sebagai tajuk berita utama yang mendapat sebanyak 460 undian.

Sejak undian dibuka kepada pembaca mulai 27 hingga 29 April selama 3 atau 4 hari bagi setiap tajuk muka depan Harakah, sambutannya semakin menggalakkan.

Untuk melihat keputusan terperinci, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

Tinjauan awam ini bermula bagi Harakah bil. 1635 dengan tajuk "UMNO PUJUK DAP" digunakan sebagai tajuk berita utama dengan mendapat 365 undian.

Keputusan terhadap undian, menunjukkan 226 daripada 365 atau 61.92 % pengundi bersetuju.

Manakala jumlah yang bersetuju telah meningkat 20 peratus berbanding Harakah bil. 1635 bagi tajuk muka depan ‘Bukan Kaedah Islam – Mubahalah Eskay dibenarkan Menteri dan pengarah Jawi’ dalam Harakah bil. 1636, iaitu 81.63 % bersetuju atau 280 daripada 343 undian.

Begitu juga dengan keputusan undian berhubung dengan tajuk muka depan Harakah bil. 1638, wajarkah perkataan Bertarung Secara Anak Jantan – Jangan guna taktik kotor rampas Selangor’ juga menunjukkan 81.69 % bersetuju atau 174 daripada 213 undian.

Manakala keputusan yang bersetuju paling rendah setakat ini adalah bagi tajuk "BATU API PERKAUMAN" menjadi tajuk berita utama dalam Harakah bil. 1639, iaitu 77.61 peratus, iaitu 357 daripada 460 undian.

Sekarang ini, undian dilakukan bagi tajuk wajarkah perkataan "NAK TAWAN KELANTAN TAPI JAMBATAN TAK SIAP" digunakan sebagai tajuk berita utama. Pembaca boleh setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Harakahdaily

Rombakan Besar-Besaran Kabinet S'pura

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SINGAPURA: Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Rabu telah melakukan rombakan besar-besaran ke atas barisan kabinetnya ekoran kemunculan generasi baru parti pembangkang yang berjaya membuat kejutan pada pilihan raya umum republik itu baru-baru ini.

Ia adalah keputusan pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak merdeka.

Sejurus selepas keputusan pilihan raya umum berkenaan, generasi lama yang diketuai oleh bapa Lee iaitu Lee Kuan Yew, 87, dan bekas perdana menteri, Goh Chok Tong, 70 - yang sebelum ini masih terus berkhidmat dalam kabinet telah mengumumkan persaraan mereka dari kerajaan.

Lee Kuan Yew yang memerintah selama 31 tahun sebelum ini masih terus menjadi sebahagian daripada anggota kabinet dengan memegang potfolio menteri mentor walaupun telah melepaskan jawatan perdana menteri.

Beliau telah memimpin PAP sejak pilihan raya pertama pada tahun 1959.

"Selepas memikirkan permintaan mereka (untuk bersara) dengan semasak-masaknya maka saya dengan ini menerima keputusan mereka untuk bersara dari kabinet kerajaan Singapura," ujar Perdana Menteri Lee.

Dengan persaraan kedua-dua negarawan itu, Lee, kini secara automatik menjadi anggota kabinet yang paling tua walaupun baru berusia 59 tahun.

Rata-rata anggota kabinet baru Lee berusia dalam lingkungan awal 50-an dengan yang paling muda berusia 42 tahun iaitu Chan Chun Sing, yang mengambil alih jawatan menteri Belia, Sukan dan Komuniti.

Lee juga turut membuat keputusan yang mengejutkan dengan menukar 11 daripada 14 kerusi menteri di dalam kabinetnya.

Sembilan penyandang jawatan sedia ada akan meninggalkan jemaah menteri manakala tujuh anggota baru daripada kalangan Anggota Parlimen yang dipilih semula dan yang baru dipilih pada pilihan raya umum 7 Mei lepas, dilantik menyertai Kabinet.

Beliau juga telah melantik Menteri Kewangan, Tharman Shanmugaratnam, 54, sebagai timbalan perdana menteri.

Tharman juga turut mengambil alih potfolio pengerusi bank pusat Singapura.

Bekas Menteri Luar George Yeo, 56, yang tewas di kawasan parlimen paling kontroversi iaitu AlJuned akan diganti oleh Menteri Undang-Undang K. Shanmugam, 52.

Kabinet baru Kerajaan Singapura ini dijadualkan mengangkat sumpah memegang jawatan pada Sabtu ini di hadapan Presiden S.R. Nathan di Kompleks Istana Presiden pada jam 7.30 malam.

Bercakap pada sidang akhbar di Istana, Lee berkata Kuan Yew dilantik sebagai penasihat kanan kepada Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC) manakala Goh dilantik sebagai penasihat kanan kepada Lembaga Kewangan Singapura (MAS) dan diberi gelaran Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.

Tiga lagi anggota Kabinet sebelum ini yang akan berundur ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional, Wong Kan Seng; Menteri Pembangunan Nasional, Mah Bow Tan dan Menteri Pengangkutan Raymond Lim yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Kedua.

Melalui pembentukan Kabinet ini, Singapura akan mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Teo Chee Hean, yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional. Seorang lagi ialah Tharman Shanmugaratnam, yang juga Menteri Kewangan dan Menteri Tenaga Manusia.

Menteri Luar yang baru ialah K.Shanmugam yang juga memegang jawatan Menteri Undang-undang. Beliau sebelum ini adalah Menteri Undang-undang dan Menteri Dalam Negeri.

Mej Jen Chan Chun Sing dilantik Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan selain Menteri Negara bagi Penerangan, Komunikasi dan Kesenian.

Menteri Pelajaran baru ialah Heng Swee Keat.Menteri Kesihatan sebelum ini Khaw Boon Wan pula dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara manakala Menteri Tenaga Manusia Gan Kim Yong menjadi Menteri Kesihatan yang baru.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Yaacob Ibrahim, akan menerajui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian manakala Menteri Penerangan, Komunikasi dan Keseniaan sebelum ini, Lui Tuck Yew, dilantik Menteri Pengangkutan dan Menteri Luar Kedua.

Anggota Kabinet baru lain ialah:

Vivian Balakrishnan - Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air.

Ng Eng Hen - Menteri Pertahanan.

Lim Hng Kiang - Menteri Perdagangan dan Industri.

Lim Swee Say - Menteri Di Pejabat Perdana Menteri.

S. Iswaran - Menteri Di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dan Industri Kedua.

Grace Fu - Menteri Kanan Negara bagi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air.

Heng Chee - Menteri Kanan Negara Di Pejabat Perdana Menteri.

Halimah Yacob - Menteri Negara bagi Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan.

Josephine Teo - Menteri Negara bagi Kewangan dan Pengangkutan.

Tan Chuan Jin dan Lawrence Wong - Menteri Negara.

Lawrence Wong - Menteri Negara bagi Pertahanan dan Pelajaran.

Amy Khor - Menteri Negara bagi Kesihatan.

Teo Ser Luck - Menteri Negara bagi Perdagangan dan Industri.

Lee Yi Shyan - Menteri Negara bagi Perdagangan, Industri dan Pembangunan Negara.

Masagos Zulkifli - Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Hal Ehwal Luar.

Sakit jantung sudah wujud pada zaman firaun

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


PARIS - Seorang puteri Mesir yang hidup di antara 1580 dan 1550 Sebelum Tahun Masihi merupakan manusia pertama dalam sejarah diketahui menghidap penyakit jantung koronari.

Penyakit itu dikesan menerusi imbasan komputer yang memberikan imej terperinci ke atas mumia Puteri Ahmose-Meryet-Amon yang meninggal dunia semasa berumur dalam lingkungan 40-an.

Menurut Persatuan Kardiologi Eropah, puteri itu didapati mempunyai aterosklerosis atau satu pengumpulan bahan lemak di dua dari tiga saluran koronari.

GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan salah satu mumia yang diimbas dengan menggunakan komputer di Muzium Kaherah Mesir pada 10 Mei lalu

"Pada hari ini, dia mungkin memerlukan pembedahan pintasan jantung," kata ketua analisis mumia itu, Gregory Thomas yang juga Pengarah Pendidikan Nuklear Kardiologi di Universiti of California di Irvine, Amerika Syarikat menerusi telefon.

Menurutnya, dia berasa terkejut dengan jumlah pengumpulan lemak yang ditemui itu.

Separuh daripada mumia yang dikaji itu menunjukkan terdapat tanda-tanda pengapuran dalam saluran arteri yang menunjukkan tanda aterosklerosis.

Purata kematian mumia itu ialah kira-kira 45 tahun. 

AFP

TAHNIAH ATAS KEJAYAAN HIMPUNAN PAS GANTI UMNO PERINGKAT ZON UTARA PERAK : PESURUHJAYA PAS PERAK

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, mengucapkan jutaan tahniah kepada seluruh jawatankuasa program yang terlibat atas kejayaan program himpunan PAS ganti UMNO peringkat negeri Perak yang dianjurkan pada 14 dan 15 Mei baru-baru ini.

Menurut beliau, komitmen yang telah diberikan oleh seluruh ahli jawatankuasa program serta sokongan dari seluruh ahli PAS Perak dapat menguatkan lagi istiqamah dan semangat PAS Perak untuk menyusun strategi bagi merealisasikan agenda PAS ganti UMNO selepas PRU 13 nanti

Beliau juga menyatakan, dengan kejayaan program PAS ganti UMNO ini,jelas menggambarkan PAS Perak sentiasa bersiap sedia untuk berhadapan dengan pilihanraya umum ke 13 pada bila-bila masa dari sekarang.

Memetik ucapan beliau “ PAS harus menjadi jauh lebih baik daripada Umno dan berlumba untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kita serius ingin menggantikan Umno dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti ”.

“PAS adalah Gerakan Islam yang membawa pakej perjuangan yang menarik, mengulangi pakej asal yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Pakej yang dimaksudkan ialah tarbiyah, dakwah dan siasah. Melalui pakej ini, PAS bergerak ke tengah medan lantas mengadun gerakkerja amal Islaminya secara seimbang berasas ramuan 3 elemen dari pakej tersebut”

Justeru beliau mengharapkan agar himpunan rayat PAS ganti UMNO yang akan diadakan di zon selatan ( Cenderung Balai Teluk Intan Perak ) pada 28-29 Mei 2011 akan dapat menarik lebih ramai lagi kehadiran ahli dan rakyat untuk sama-sama berpadu tenaga bagi menjayakan program tersebut.

mohd hafez sabri

Maut dirempuh kereta sewa

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Seorang bapa tidak menyangka akan bertemu dengan anaknya yang telah bertahun tidak bertegur sapa dalam keadaan menyayat hati apabila remaja itu meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya bersama rakan wanita dirempuh sebuah kereta sewa kelmarin.

Kejadian pukul 8.30 malam itu menyebabkan Mohd. Shazwan Yusrien, 19, mati di tempat kejadian selepas dia tercampak kira-kira 50 meter dari lokasi dia dirempuh di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai dekat sini.

ORANG ramai mengangkat motosikal Honda EX5 ditunggang Mohd. 
Shazwan yang maut dalam kemalangan di Kuala Terengganu


Rakan wanita Mohd. Shazwan bersama pemandu dan penumpang kereta sewa berkenaan turut cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang Mohd. Shazwan yang dalam perjalanan dari Jalan Tok Adis ke Masjid Tengku Tengah Zaharah telah melanggar lampu merah di persimpangan tersebut lalu dirempuh kereta sewa berkenaan. Kereta itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Chendering.

Yusuf Mohamad, 43, memberitahu, Mohd. Shazwan tidak menegurnya selepas dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan bekas isterinya beberapa tahun lalu.

Dua terkorban dalam letupan keretapi di Myanmar

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



YANGON 19 Mei - Satu letupan bom di sebuah keretapi berdekatan dengan ibu negara Myanmar mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang ketika lawatan utusan Amerika Syarikat (AS) ke kerajaan baru, hari ini.

“Ia merupakan bom masa. Kami merasakan pemberontak Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) yang melakukannya,” ujar pegawai kerajaan merujuk kepada kumpulan pemberontak yang telah menentang kerajaan selama berdekad.

Dua orang termasuk seorang wanita terkorban manakala tujuh orang lagi cedera dalam letupan bom yang berlaku awal petang tadi di Tatkone, Naypyidaw.

Letupan itu berlaku selepas Timbalan Penolong Setiausaha Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik AS, Joseph Yun, baru sahaja tiba di Myanmar bagi perbincangandengan Menteri Luar Negara, Wunna Maung Lwin di Naypyidaw. 

AFP

Serangan berani mati, 13 maut

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



JALALABAD, Afghanistan 19 Mei - Seramai 13 orang terbunuh manakala 20 orang lagi cedera parah apabila seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kereta berdekatan dengan sebuah bas polis di timur Afghanistan.

Serangan itu berlaku pada pukul 4.45 malam (8.15 malam waktu Malaysia) di timur wilayah Nangarhar, berdekatan dengan Jalalabad dan beberapa kilometer dari lapangan terbang Jalalabad.

Serangan itu didakwa dilakukan oleh Taliban apabila jurucakapnya, Zabiullah Mujahid mengakui salah seorang ahlinya telah mati syahid dengan menyerang sebuah bas yang membawa pelatih polis. 

AFP

Detik-detik cemas wanita mahu bunuh diri

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


HANGCHUN - Ratusan orang berkumpul untuk melihat detik-detik cemas seorang wanita yang memakai baju pengantin berwarna putih duduk di tepi tingkap apartmennya di sini kerana mahu membunuh diri kelmarin.

Wanita berusia 22 tahun itu cuba terjun dari tingkap di tingkat tujuh tetapi dia sempat diselamatkan oleh seorang pegawai tempatan.

LEHER wanita itu sempat ditarik daripada jatuh oleh seorang pegawai tempatan.

Dia dipercayai mahu membunuh diri selepas teman lelakinya selama empat tahun memutuskan hubungan selepas mereka merancang untuk berkahwin.

Namun, wanita itu akhirnya diselamatkan oleh seorang pegawai tempatan, Guo Zhong Fan yang pantas memegang leher, bahu dan gaun wanita tersebut.

Seorang lagi lelaki kemudian memanjat keluar dari satu lagi tingkap untuk menolak kaki wanita itu bagi membantu menyelamatkan mangsa. 

Agensi

Penyamun diberkas

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Rahsia sekumpulan enam penjenayah tegar termasuk dua wanita yang menjadikan sebuah rumah untuk menyimpan barang curi dan pelbagai senjata berbahaya terbongkar apabila diserbu polis di sebuah kondominium dekat Jalan Dutamas Raya di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 2 pagi itu, polis merampas pelbagai senjata berbahaya seperti pedang samurai, parang, pisau dan alat pemedih mata daripada suspek yang berusia di antara 26 dan 40 tahun terbabit.

ZAKARIA menunjukkan pistol dan senjata berbahaya yang dirampas daripada enam individu pada sidang akhbar di Sentul 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menjalankan risikan mengenai kes menyamar polis untuk menyamun menggunakan senjata pedang samurai dan pistol di sekitar daerah tersebut.

Katanya, ketika serbuan, terdapat seorang lelaki dan dua wanita sedang berehat di dalam rumah itu.

Kawan rosakkan kereta Lamborghini RM1.1 juta

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


SYDNEY - Seorang remaja berusia 22 tahun dilaporkan memandu sebuah kereta sport Lamborghini Murcielago bernilai AS$363,657 (RM1.1 juta) milik kawannya yang melanggar sebuah teksi, lapor sebuah akhbar semalam.

KERETA Lamborghini Murcielago yang remuk teruk dalam kemalangan di Sydney pada Ahad lalu.

Dia memandu kereta itu pada pagi Ahad lalu sebelum hilang kawalan di sebatang jalan raya di Sydney, Australia. Lebih malang lagi, kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah teksi yang mengakibatkan kedua-dua buah kereta mengalami kerosakan teruk.

Pemandu teksi itu merupakan wanita berusia 51 tahun dan dia terperangkap di dalam kenderaan lebih sejam sebelum diselamatkan dengan sebelah kakinya patah.

Pemilik kereta Lamborghini Murcielago yang berusia 30 tahun itu mungkin berdepan masalah untuk menuntut kerugian daripada syarikat insurans kerana kereta tersebut tidak diinsuranskan kepada pemandu berusia bawah 25 tahun.

Dia memberi pinjam kepada rakannya itu namun keretanya kini sukar untuk dikenali pasti kerana remuk teruk.

"Saya menganggap pemandu kereta itu berada (dirawat) dalam ambulans kedua. Sukar dipercayai dia masih boleh berjalan tanpa sebarang kecederaan," kata seorang saksi, Daisy Buckle.

Seorang lagi penumpang kereta sport itu yang berusia 26 tahun mengalami cedera ringan di bahagian dada.

Kereta sport Lamborghini Murcielago didedahkan kepada umum pada tahun 2002.

Pembuat kereta dari Itali itu menggunakan enjin bersesaran 6.2 liter V12.

Pihak polis sedang menyiasat kemalangan itu dan akan mendakwa pemandu tersebut kerana memandu secara berbahaya.

Seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Agensi

Menteri kata harga naik, rakyat kata tukar kerajaan.

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 18 Mei : Pengerusi Idham Care Yb Drs Khalil Idham Lim berkata langkah kerajaan BN membuat pengumuman awal kemungkinan RON 95 bakal dinaikkan harganya telah mencetuskan rasa curiga dan tanda tanya banyak pihak.

“Mengapa semasa kerajaan umno BN menaikkan harga RON 97 tidak dimaklum sebegini rupa,?” Katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak bahawa kenaikan RON 97 berulang kali tidak dihebah secara meluas sedangkan minyak jenis itu masih digunakan oleh sekelompok rakyat Malaysia serta masih dijual secara meluas.

"Gambaran sebenar kepada isu ini dilhat kepada keraguan pihak kerajaan untuk menghadapi protes rakyat kerana RON 95 lebih ramai penggunanya dan melibatkan kenderaan awam yang memberi resiko kepada kenaikan harga barang lain" katanya

Menurut beliau lagi, kerana itu BN dilihat sangat berhati-hati dalam perkara ini dan melakukan sesuatu untuk terus menipu rakyat.

“Senario ini telah memberikan kita dua andaian iaitu pertama , ini adalah lakonan pemimpin BN untuk raih sokongan rakyat.Mereka mungkin menarik semula cadangan ini dengan adanya bantahan dari beberapa orang pemimpin BN dan Pemuda Umno sendiri terhadap kenaikan yang bakal berlaku,” ujarnya.

“Keduanya rakyat memang akan dikenakan dengan kenaikan harga RON 95 yang naik dan alasan yang biasa digunakan untuk mengaburi mata rakyat ialah kerajaan terpaksa menarik semula subsidi yang sedia ada untuk tujuan penstrukturan semula harga minyak,” katanya lagi.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob berpesan supaya rakyat bersedia andai berlaku kenaikan harga minyak itu, saya yakin rakyat telah bersedia untuk itu dan saya ingatkan juga kepada pemimpin BN bahawa mereka juga sudah bersedia untuk menukar kerajaan yang sedia kepada Pakatan Rakyat", katanya.

Najib berlakon untuk buktikan sokong rakyat Palestin

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR 18 mei : Ketua Penerangan Pas Perak, Yb Drs Khalil Idham Lim berkata Perdana menteri, Dato' Seri Najib sekali lagi cuba berlakon untuk membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau pro terhadap rakyat Palestin yang dizalimi rejim Yahudi Tel Aviv.

Sedangkan realiti yang berlaku dimana tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia dengan menggunakan khidmat APCO Yahudi adalah tindakan yang mengkhianati perjuangan rakyat Palestin

“APCO yang terus menjadi memberi khidmat nasihat dengan bayaran RM70 juta kepada kerajaan umno BN di Malaysia membuktikan bahawa Barisan Nasional adalah pro rejim itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, jika kerajaan BN terus menyalurkan dana dengan melanggan atau guna produk atau apa-apa perkhidmatan yang ditawarkan Israel, dengan sendirinya telah menjelaskan kepada kita bahawa Najib Tun Razak bukan sekadar menyokong rejim itu malah membantu rejim itu.

“Sumber kewangan itulah yang diguna oleh Rejim zalim ini untuk membiaya segala bentuk kos senjata bagi melancarkan serangan terhadap umat Islam dan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan seterusnya rakyat palestin khususnya." jelasnya

Menurutnya lagi yang juga Pengerusi Idham Care, Najib Tun Razak dipetik sebagai berkata bahawa rakyat Malaysia, begitu gigih dan bersemangat membantu rakyat Palestin yang sekian lama hidup dalam keadaan tertekan dan menderita akibat tindakan kejam dan zalim tentera Israel.

“Jelas ini semua pembohongan dan tindakan kerajaan UMNO BN sedangkan realitinya mereka menyokong Rejim Tel Aviv merupakan sikap bermuka-muka,” jelasnya.

Sikap bersandiwara BN dengan menyokong perjuangan masyarakat dunia terhadap keganasan rejim tel aviv terhadap rakyat Palestin telah membuatkan rakyat bertambah menyampah.

“BN cuba tunjuk bahawa mereka menentang rejim Zionis Israel tetapi pada masa yang sama membantu ekonomi Israel, jelasnya lagi.

Felda Purun : Demonstrasi tidak membawa kesan, Sambutan hebat terhadap anwar.

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
http://wfauzdin.blogspot.com


Sejurus selesai Dato' Seri Anwar menghadiri Wacana Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk di Kuantan semalam, beliau telah bergegas pula untuk menghadiri satu program ceramah di kawasan Felda Purun di dalam Parlimen Bera. Sebelum itu, beliau sempat memberikan tazkirah maghrib di Masjid Batu 1, Temerloh.

Markas PAS Felda Purun

Sebelum ini, sekumpulan penunjuk perasaan yang kununnya mewakili suara masyarakat felda mengadakan demontrasi untuk menghalang program ceramah oleh Ketua Umum PKR tersebut. Namun PKR Negeri Pahang bertegas untuk mengadakan program yang dijadualkan malahan mencabar sesiapa sahaja dari golongan yang menentang kehadiran Dato' Seri Anwar agar hadir mengikuti ceramah bagi mendengar sendiri penjelasan isu semasa oleh Dato' Seri Anwar samada ianya boleh menggugat keselamatan negara atau sebenarnya menggugat kedudukan Umno/Bn.

Ceramah di Felda Purun hanya dibenarkan di dalam kawasan Markas PAS di situ walaupun telah dijangka kehadiran orang ramai pastinya tidak boleh ditampung oleh Markas PAS, namun pihak penganjur terpaksa mengadakan juga program tersebut dengan menyediakan kawalan keselamatan oleh Unit Amal PAS yang telah menjalankan tugas mereka dengan begitu baik sekali. Ketibaan Dato' Seri Anwar seperti diduga telah cuba diprovokasi oleh beberapa kumpulan yang menjerit umpama orang hilang akal dengan menghamburkan kata-kata lucah terhadap beliau. Alhamdulillah, kematangan dari pihak kita Pakatan Rakyat telah mengelak terjadinya sesuatu yang tidak diingini walaupun kedapatan pihak Polis di situ yang mengawal keadaan.

Dato' Fauzi
Sdr Mazlan Aliman

Sambutan orang ramai di luar jangkaan samasekali, lebih 2,000 telah memenuhi ruang dalam dan luar Markas PAS Felda Purun bagi mendengar pidato yang terdiri daripada Sdr Mazlan Aliman, Dato' Fauzi Abd Rahman, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan amanat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Adun Teriang, YB Leong Ngah Ngah juga turut hadir bersama lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat Pahang.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim

Dato' Seri Anwar Ibrahim

Orang ramai di luar Markas

Sdr Mazlan Aliman banyak menyentuh tentang isu nasib Peneroka Felda yang seringkali terkeliru dengan janji-janji pihak kerajaan. Beliau memberi jaminan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di Putrajaya, apa jua yang diperjuangkan oleh ANAK akan dilaksanakan. Pengerusi PKR Negeri Pahang menyebut tentang komitmen Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Pahang ini bagi merampas Negeri Pahang dari Umno/Bn. Beliau turut menyentuh tentang betapa takutnya pemimpin Umno kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim sehinggakan Ketua Pembangkang itu tidak pernah berehat dari diserang dengan berbagai fitnah. Selaku bekas pemimpin Umno dan juga bekas ahli kabinet di dalam Kerajaan Bn, beliau lebih mengenali Dato' Seri Anwar dan siapakah musuh-musuh di sekelilingnya.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pula lebih banyak mengupas tentang kaedah dan perundangan di dalam Islam berkaitan kes tuduhan zina/liwat dan bab bersumpah di dalam Islam. Beliau menjelaskan di dalam Islam, tiada pilihan lain bagi seseorang yang menuduh orang lain melakukan zina melainkan dengan membawa 4 orang saksi yang adil melainkan sekiranya ada pengakuan dari mereka yang berzina.


Hukum ini Allah tetapkan adalah kerana Allah teramat menjaga maruah hamba-hambanya dan mereka yang terlepas dari hukuman di dunia ini, mereka tidak boleh lepas dari hukuman di Akhirat kelak. Di dalam isu sumpah, di dalam isu menuduh orang berzina Islam tidak tidak menetapkan sumpah sebagai bukti menuduh. Jika amalan ini diamalkan, nescaya porak poranda masyarakat kerana Allah telah jelaskan akan ada golongan yang sanggup bersumpah kerana ingin menegakkan fitnah mereka.




Dato' Seri Anwar malam itu sungguh bersemangat walaupun keletihan kerana sehari suntuk program yang beliau hadiri. Beliau menjelaskan tentang apa yang terkandung di dalam Buku Jingga dan komitmen Pakatan Rakyat jika berjaya menguasai Putrajaya nanti. Beliau tidak hiraukan betapa banyak tekanan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya, malahan semakin melampau sehingga menekan isteri, anak dan keselamatan cucu beliau tetapi demi nasib rakyat beliau tetap akan lawan rejim Umno/Bn.

Beliau kesal kerana saban hari beliau diaibkan dan dituduh dengan berbagai tuduhan yang kadangkala tidak masuk akal, tetapi beliau kerapkali dikenakan sekatan untuk berjumpa rakyat bagi menjawab segala tuduhan jahat mereka. Cabaran debat yang tidak pernah disahut oleh Najib menunjukkan betapa takutnya pemimpin Umno itu sekiranya rakyat tahu bahawa di bawah Kerajaan Bn rakyat sebenarnya ditindas dan dihimpit dengan berbagai kesulitan. Sekali lagi Dato' Seri Anwar memberi jaminan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya, beliau hanya mahu tempoh satu hari sahaja sebelum mengumumkan harga minyak petrol diturunkan.

Secara berjenaka, beliau turut menyentuh tentang isu video seks yang membuatkan `wajah dan perut' beliau kini menjadi perhatian ramai. Tentang isu jam Omega, beliau tidak mahu melayani pertanyaan tentang isu berkenaan kerana terang-terangan itu merupakan satu cerita yang direka kerana terbukti jam tersebut berasal dari Taiwan dan dibeli sekitar tahun 2004. Ketika itu beliau masih dipenjara, mana mungkin ketika itu beliau boleh keluar dari penjara? Cubaan sabotaj terhadap kenderaan beliau dan ugutan terhadap anak beliau Nurul Izzah dan keluarganya sedikit pun tidak menggoyahkan semangat mereka sekeluarga untuk menentang kezaliman Umno/Bn.

Di akhir ucapannya, Dato' Seri Anwar mahu rakyat bangkit dan bekerja kuat demi kesejahteraan bersama. Beliau menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda yang dimainkan oleh media pencacai yang berada di bawah telunjuk rejim Umno/Bn. Tentang nasibnya di dalam kes fitnah Liwat II, beliau yakin jika Hakim memutuskan untuk menerima fakta memang jelas dan nyata bahawa kes tersebut wajib dibuang ke dalam tong sampah. Tetapi jika berlaku sebaliknya, beliau sudah bersedia untuk berdepan menentang kezaliman ini.

Beliau merasa bersyukur kerana semakin beliau diaibkan dan difitnah, sambutan rakyat terhadapnya bertambah kuat dan ini menguatkan semangatnya untuk terus berjuang sehingga rejim Umno/Bn dapat dikuburkan di dalam Pilihanraya Umum nanti. Dato' Seri Anwar turut mengucapkan berbanyak terima kasih di atas segala sokongan dan doa dari rakyat berbagai bangsa dan agama samada di dalam mahu pun di luar negara.

Ternyata, provokasi dari kumpulan yang berdemontrasi menentang kehadiran Dato' Seri Anwar ke Felda Purun malam semalam tidak memberi kesan kepada rakyat jelata yang ingin mendengar sendiri apakah benar Ketua Umum PKR ini seorang pengkhianat atau pemecah belah masyarakat. Rata-rata yang hadir menunjukkan kepuasan di wajah masing-masing selepas selesai program ceramah malam itu dan ini menandakan kawasan felda tidak selama-lamanya selamat buat Umno/Bn./blogger PKR Pahang

Kes Video lucah : Ust. Buniyamin didakwa fitnah Mahathir, Kenapa Trio Dato' T masih bebas ?



15 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Drs. Khalil Idham Lim

Saya rasa berbangga berada dalam agama islam yang benar dan merupakan agama yang dicadangkan bukan oleh manusia untuk jadi panduan hidup tetapi ianya dicadangakan oleh Allah SWT yang menjadikan manusia.

Dari zaman nenek-moyang kita sehinggalah ke hari ini, Allah s.w.t mengilhamkan kepada manusia dua jalan. Iaitu jalan kekufuran atau jalan keimanan. Setiap umat atau kaum manusia dari zaman Nabi Adam a.s sehingga umat akhir zaman ini telah diutuskan rasul-rasul membawa agama Islam dan Allah s.w.t menegaskan kesempurnaan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu utusan terakhir kepada umat manusia dan ianya meruapakan jalan yang dicadangkan oleh Allah SWT seperti Firman Nya di dalam al-Quran:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِيـنًا

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu dan Aku telah reda bahawa Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (QS. Al–Maidah: 3)

Kehidupan masyarakat Islam makin celaru.

Namun realiti yang kita saksikan didepan mata kehidupan masyarakat Islam khususnya sangat bercelaru dengan fitnah yang sengaja direka untuk mengaibkan seseorang. Islam yang benar itu kalaupun sesuatu perkara itu benar-benar tejadi mempunyai jalan bagi menghukum seseorang bukannya memilih jalan untuk mengaibkan saudaranya semudah mungkin.

Sayapun tidak pernah terfikir untuk berada dalam satu masa seperti sekarang bila pemimpin Melayu yang sanggup melakukan apa saja demi untuk mempertahan kuasa yang dimilikinya.

Politik megghalalkan apa saja cara dan jauh dari berpandukan dari panduan Al Quran dan Sunaah bagi saya akan menyebabkan orang melayu semakin terpinggir dari pengamalan islam yang syumul. Selagi ada pemimpin yang mengaku sebagai islam sebegini berada ditampuk kekuasaan selagi itu Islam akan semakin kabur dan terepinggir.

Mana mungkin orang yang lebih sayangkan jawatan dan kedudukan boleh membela Islam , dan mana mungkin mereka yang bersifat begini boleh mempertahankan Islam, malah bagi saya semakin merosak dan mecelarukan Islam.Ianya mesti ditentang secara habis-habisan dan tidak henti-henti oleh semua pihak yang cintakan kehidupan masyarakat yang harmoni dan lebih sempurna.

Kes Video Seks

Merujuk kepada kes Penyebaran dan penayangan Video seks saya kita sangat jelas untuk pihak polis bertidak pihak manakah yang bertanggungjawab menyediakan, menyebar dan menyiarkan video lucah yang ditayangkan kepada para wartawan untuk memburukkan dan saya yakin pihak polis sudah tahu siapakah sebenarnya yang terlibat dalam adegan tidak bermoral itu bagi menjawab kekeliruan kepada orang ramai.

Namun sangat menghairan sehingga sekarang tidak ada sebarang pertuduhan dan membawa kemuka pengadilan mana-mana pihak termasuk kepada kumpulan yang dipanggil sebagai trio Dato’ T. Lebih memalukan dan membimbangkan bila mereka semacam diberi peluang untuk terus aktif bergerak bagi menyakinkan masayarakat siapakan pelakon dam video itu.

Tindakan membenarkan Eskey yang saya sahkan dalam twitter saya adalah seorang yang memeluk islam tapi masih mengamalkan ajaran Hindu untuk masuk Mesjid dan bersumpah yang menyalahi hukum Islam dan adalah satu lagi tindakan tidak bermoral pihak terbabit, apa lagi semacam dilindungi.

Mereka masih bebas dan tidak dituduh dimakhamah kerana merekalah yang dengan jelas :

1. Menerbitkan video itu
2. Menayangkan kepada orang-orang yang terpilih
3. Kerana merekalah beberapa klip berkenaan disebarkan dalam youtube secara terancang

Nampaknya undang-undang Malaysia hanya berlaku kepada pemimpin Pakatan Rakyat dan tidak berlaku untuk mereka yang berkerja untuk BN dan UMNO.

Kes Arwah Ust. Buniyamin Yaacob.

Sedangkan kita mungkin masih tidak lupa dengan kes bekas Ahli parlimen Bachok dan penceramah tersohor PAS yang menjadi kegemaran banyak pihak, Almarhum Ust. Buniyamin Yaacob .

Ust. Bunyamin pada usia 56 tahun, yang juga pegawai penerangan PAS Kelantan pada masa itu dihadap di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu atas tuduhan memfitnah Dr Mahathir.

Beliau didakwa memfitnah Dr Mahathir dalam ceramahnya di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Kota Bharu, antara jam 10 malam dan 11.30 malam pada 15 Mac lalu 2002. Di dalam ceramah itu, Bunyamin dikatakan mendakwa Perdana Menteri menonton video lucah bersama cucunya.

Beliau dituduh mengeluarkan tohmohan pada 15 Mac lalu di antara jam 10 malam hingga 11.30 malam di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Kesiksaan yang membawa hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Isunya sekarang seperti yang dipertahankan oleh Ust. Buniyamin dengan menjelaskan bahawa beliau membuat kenyataan tersebut berdasarkan maklumat yang diperolehi dari sebuah akhbar harian (Gambar) , di mana Dr Mahathir menyatakan cucunya yang masih di peringkat tadika (lima atau enam tahun) juga terdedah kepada bahan lucah.
Pertahan diri.

Dalam kenyataan nya juga beliau menegaskan ungkapan yang dibuat mengenai isu yang berkaitan dengan masalah pornografi di dalam beberapa ceramah tersebut bukanlah merupa “isu utama” yang dibangkitkan tetapi hanya sekadar “selingan jenaka” untuk menarik perhatian penonton.

Beliau menjelaskan, sebagai penceramah pembangkang, agenda utamanya ialah menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa negara seperti penyelewangan wang rakyat dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin.

Bunyamin, yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua kali dari tahun 1984 hingga 1988, berkata, buat masa ini terpulanglah kepada polis untuk mengambil tindakan keatas beliau sekiranya beliau benar-benar melakukan kesalahan.

“Kalau saya dikatakan berbohong, maknanya akhbar harian (berbahasa Melayu) yang melaporkan kenyataan perdana menteri itu pun berbohong jugalah,” katanya.

Beliau menambah bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat penjelasan sekiranya didakwa di mahkamah.

Berita ini menjadi bahan kecaman dari pemimpin UMNO dan BN kepada PAS. Ianya mendapat liputan luas media pro UMNO unatuk meburukkan PAS dan pembangkang pada masa itu.

Timbalan Perdana menteri pada masa itu, Abdullah Ahmad Badawi menggesa polis mengambil tindakan ke atas Bunyamin yang dikatakan memfitnah perdana menteri.

Sayangnya sebelum kes ini habis dibicarakan di mahkamah, Ust. Bunyamin terlebih dahulu di panggil oleh Allah SWT.

Kenyataan MB Kelantan.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.

Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi pemimpin sebuah kerajaan negeri.

Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita mengenai pendedahan skandal terbabit -kerana ia dilaporkan oleh ¬semua media massa di negara ini.

“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.

“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas ¬menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan keaiban orang lain.

Realitinya.

Pihak Peguam Negara melalui pelbagai siasatan yang dilakukan kepada kumpulan Dato" T mesti bertindak dan mereka mestilah dihadapkan di mahkamah sesuai dengan undang-undang yang sedia ada dengan segera.

Kalau ini tidak berlaku Institusi Peguam Negara yang sekian lama dipertikaikan kewibawaannya apa bila dilihat melakukan pendakwaan terpilih sahaja semakin tidak dipercayai.

Kalau Arwah Ust. Bunyamin yang bercakap dalam ceramah mengenai isu yang jelas mengenai tersebar Video lucah secara berleluasa dalam masyarakat dan boleh ditonton oleh kanak-kanak, ternyatanya dalam kes Video Seks sekarang, sudah terang lagi bersuluh telah berlaku secara terancang oleh individu tertentu malah dengan niat yang jahat dan menjatuhkan maruah individu tertentu.

Kenapakah tindakan kepada pihak tersebut tidak diambil dengan segera ?.