16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
SINGAPURA: Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Rabu telah melakukan rombakan besar-besaran ke atas barisan kabinetnya ekoran kemunculan generasi baru parti pembangkang yang berjaya membuat kejutan pada pilihan raya umum republik itu baru-baru ini.
Ia adalah keputusan pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak merdeka.
Sejurus selepas keputusan pilihan raya umum berkenaan, generasi lama yang diketuai oleh bapa Lee iaitu Lee Kuan Yew, 87, dan bekas perdana menteri, Goh Chok Tong, 70 - yang sebelum ini masih terus berkhidmat dalam kabinet telah mengumumkan persaraan mereka dari kerajaan.
Lee Kuan Yew yang memerintah selama 31 tahun sebelum ini masih terus menjadi sebahagian daripada anggota kabinet dengan memegang potfolio menteri mentor walaupun telah melepaskan jawatan perdana menteri.
Beliau telah memimpin PAP sejak pilihan raya pertama pada tahun 1959.
"Selepas memikirkan permintaan mereka (untuk bersara) dengan semasak-masaknya maka saya dengan ini menerima keputusan mereka untuk bersara dari kabinet kerajaan Singapura," ujar Perdana Menteri Lee.
Dengan persaraan kedua-dua negarawan itu, Lee, kini secara automatik menjadi anggota kabinet yang paling tua walaupun baru berusia 59 tahun.
Rata-rata anggota kabinet baru Lee berusia dalam lingkungan awal 50-an dengan yang paling muda berusia 42 tahun iaitu Chan Chun Sing, yang mengambil alih jawatan menteri Belia, Sukan dan Komuniti.
Lee juga turut membuat keputusan yang mengejutkan dengan menukar 11 daripada 14 kerusi menteri di dalam kabinetnya.
Sembilan penyandang jawatan sedia ada akan meninggalkan jemaah menteri manakala tujuh anggota baru daripada kalangan Anggota Parlimen yang dipilih semula dan yang baru dipilih pada pilihan raya umum 7 Mei lepas, dilantik menyertai Kabinet.
Beliau juga telah melantik Menteri Kewangan, Tharman Shanmugaratnam, 54, sebagai timbalan perdana menteri.
Tharman juga turut mengambil alih potfolio pengerusi bank pusat Singapura.
Bekas Menteri Luar George Yeo, 56, yang tewas di kawasan parlimen paling kontroversi iaitu AlJuned akan diganti oleh Menteri Undang-Undang K. Shanmugam, 52.
Kabinet baru Kerajaan Singapura ini dijadualkan mengangkat sumpah memegang jawatan pada Sabtu ini di hadapan Presiden S.R. Nathan di Kompleks Istana Presiden pada jam 7.30 malam.
Bercakap pada sidang akhbar di Istana, Lee berkata Kuan Yew dilantik sebagai penasihat kanan kepada Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC) manakala Goh dilantik sebagai penasihat kanan kepada Lembaga Kewangan Singapura (MAS) dan diberi gelaran Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.
Tiga lagi anggota Kabinet sebelum ini yang akan berundur ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional, Wong Kan Seng; Menteri Pembangunan Nasional, Mah Bow Tan dan Menteri Pengangkutan Raymond Lim yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Kedua.
Melalui pembentukan Kabinet ini, Singapura akan mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Teo Chee Hean, yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional. Seorang lagi ialah Tharman Shanmugaratnam, yang juga Menteri Kewangan dan Menteri Tenaga Manusia.
Menteri Luar yang baru ialah K.Shanmugam yang juga memegang jawatan Menteri Undang-undang. Beliau sebelum ini adalah Menteri Undang-undang dan Menteri Dalam Negeri.
Mej Jen Chan Chun Sing dilantik Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan selain Menteri Negara bagi Penerangan, Komunikasi dan Kesenian.
Menteri Pelajaran baru ialah Heng Swee Keat.Menteri Kesihatan sebelum ini Khaw Boon Wan pula dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara manakala Menteri Tenaga Manusia Gan Kim Yong menjadi Menteri Kesihatan yang baru.
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Yaacob Ibrahim, akan menerajui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian manakala Menteri Penerangan, Komunikasi dan Keseniaan sebelum ini, Lui Tuck Yew, dilantik Menteri Pengangkutan dan Menteri Luar Kedua.
Anggota Kabinet baru lain ialah:
Vivian Balakrishnan - Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air.
Ng Eng Hen - Menteri Pertahanan.
Lim Hng Kiang - Menteri Perdagangan dan Industri.
Lim Swee Say - Menteri Di Pejabat Perdana Menteri.
S. Iswaran - Menteri Di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dan Industri Kedua.
Grace Fu - Menteri Kanan Negara bagi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air.
Heng Chee - Menteri Kanan Negara Di Pejabat Perdana Menteri.
Halimah Yacob - Menteri Negara bagi Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan.
Josephine Teo - Menteri Negara bagi Kewangan dan Pengangkutan.
Tan Chuan Jin dan Lawrence Wong - Menteri Negara.
Lawrence Wong - Menteri Negara bagi Pertahanan dan Pelajaran.
Amy Khor - Menteri Negara bagi Kesihatan.
Teo Ser Luck - Menteri Negara bagi Perdagangan dan Industri.
Lee Yi Shyan - Menteri Negara bagi Perdagangan, Industri dan Pembangunan Negara.
Masagos Zulkifli - Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Hal Ehwal Luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan