16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 19 Mei: Membebankan rakyat kian terbukti menjadi candu yang ditagih oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kata PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata, subsidi bahan api seperti candu. Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah perbuatan membebankan rakyat tidak ubah seperti candu yang ditagih oleh kerajaan BN yang ketuainya.
"Subsidi hendak ditarik, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti tak sabar-sabar hendak dilaksanakan tanpa mempedulikan kesusahan rakyat, kenaikan harga barangan gagal dikawal,
projek-projek mewah hendak dilaksanakan termasuk projek-projek mewah dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikecam dan diperolok-olokkan oleh orang-orang Umno sendiri malah pelbagai perkara yang menyusahkan rakyat kian terbukti menjadi candu yang kian ditagih oleh kerajaan Najib.
"Nampak benar kerajaan Najib ketagih menyusahkan rakyat," katanya.
Dalam kenyataannya Selasa lalu, Najib berkata, subsidi bahan api seperti candu kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit belanjawan.
"Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu, sukar untuk mengikis tabiat buruk," katanya.
Mahfuz menyifatkan kenyataan Najib itu terang-terangan menghina rakyat.
"Terbukti Najib melihat rakyat seburuk penagih candu. Rakyat di mata Najib begitu hina sekali dan lebih buruk lagi dia menzahirkan jiwa menghina rakyatnya itu di luar negara," katanya.
Kenyataan Najib itu juga, katanya, semakin membuktikan bahawa kerajaan Najib bukanlah kerajaan yang berfikir untuk meringankan beban rakyat tetapi sebaliknya melihat usaha-usaha meringankan beban rakyat seperti candu yang ditagih oleh rakyat.
"Ia penghinaan yang amat besar kepada rakyat. Tetapi, mengenali Najib, saya tidak fikir dia akan meminta maaf kepada rakyat sebab rakyat di matanya adalah penagih-penagih candu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz juga mengecam Najib kerana terus menjamu kroni-kroni seperti pemilik-pemilik penjana tenaga bebas (IPP) dengan subsidi yang begitu besar dan tidak pernah didengari kerajaannya mencari jalan untuk menghentikan subsidi itu.
"Begitu juga kemewahan yang kini diratah habis-habisan oleh para pemimpin Umno dan isteri-isteri mereka dengan menjadikan kepentingan Melayu sebagai alasan untuk mempertahankan kemewahan yang mereka ratah itu, adakah kemewahan itu bukan candu yang mereka tagih?" beliau mempersoalkan.
Beliau menuntut kerajaan menyatakan secara detail ke mana dibelanjakan subsidi yang dipotong itu.
"Saya akan membangkitkan perkara itu dalam sidang Parlimen akan datang," kata Mahfuz.
Harakahdaily/-
Oleh : Abdul Aziz Mustafa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan