19 Mei 2011

PRU 13: SPR jangan main silap mata

16 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) merasa sangsi terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mahu menyekat sebaran maklumat awal keputusan pilihan raya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau telefon oleh ejen pilihan raya.

“Bagi DPPP, tindakan ini seakan menyekat kebebasan maklumat yang perlu diterima dan disampaikan oleh seseorang kepada orang lain,” kata Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) kepada Harakahdaily.

Dalam kepesatan teknologi hari ini, katanya maklumat perlu disebarkan secepat mungkin bagi memudahkan rakyat akses kepada maklumat.

Justeru, katanya DPPP mempersoalkan apakah motif SPR menghalang maklumat tentang keputusan pilihan raya disebarkan awal.

Soalnya lagi, apakah kerana keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak yang pada peringkat awalnya ada maklumat daripada ejen pilihan raya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan memenangi banyak kerusi setelah selesai pengiraan undi, tetapi sebaliknya berlaku setelah diumumkan keputusan rasmi oleh SPR.

Dalam hal ini, beliau menegaskan SPR tidak perlu khuatir kerana Borang 14 ada di tangan ejen tempat mengundi dan juga SPR, justeru sebarang keputusan perlu berdasarkan kepada Borang 14 tersebut.

“Atau mungkinkah SPR berniat bermain silap mata dalam pilihan raya ke 13 nanti?” tanya beliau yang juga ahli Parlimen Jerai.

Dalam kes Pilihanraya Negeri Sarawak, ujarnya Dun Senadin dalam parlimen Miri adalah contoh terbaik bagaimana berlaku silap mata terhadap keputusan pilihan raya di tempat tersebut.

Beliau berkata, banyak pertikaian berlaku di Dun Senadin seperti tong undi yang dicerobohi, SPR tidak membenarkan pengiraan semula walaupun majoriti kurang 5%, jumlah undi yang mencurigakan dan lain-lain lagi.

Sehubungan itu, katanya DPPP meminta SPR agar menumpukan isu yang jauh lebih besar dalam pilihan raya.

Menurutnya, dunia sedang memerhatikan perjalanan pilihan raya di Malaysia yang semakin tempang dan senget sebelah.

Sepatutnya, kata beliau peranan SPR adalah untuk memperbaiki imej perjalanan pilihan raya di Malaysia, agar rakyat di negara ini khususnya dan masyarakat dunia umumnya berpuashati.

Katanya lagi, isu seperti daftar pemilih automatik, undi pos yang didesak agar dihapuskan, membersihkan daftar pemilih, akses kepada media, serta celup jari jauh lebih penting untuk ditumpukan berbanding isu remeh seperti yang diperjuangkan oleh SPR.

DPPP, tambahnya mengingatkan SPR agar terus memainkan peranan sebagai pengendali pilihan raya tanpa perlu berpihak kepada mana-mana parti.

Katanya, ketika ‘mood’ rakyat semakin mahu kepada perubahan, SPR tidak sepatutnya menjadi ‘tali barut’ kepada Umno BN.

“SPR perlu bersikap berkecuali namun rakyat kecewa dengan sikap SPR yang senantiasa mencari alasan untuk mencipta undang-undang yang sebenarnya memihak kepada Umno BN.

“Biarlah pilihanraya berlangsung di atas ‘padang yang sama rata’,” ujarnya.

Tambahnya, sebarang tindakan SPR sentiasa dilihat dan rakyat tidak akan berdiam diri jika SPR terus berlaku curang terhadap sistem pilihanraya di Malaysia.

SPR, ujarnya perlu ingat bahawa rakyat semakin celik maklumat dan cerdik politik berbanding 10 tahun dahulu.

“PRU ke 13 nanti adalah masanya rakyat mengadili SPR dan perjalanan keseluruhan sistem pilihan raya di Malaysia,” katanya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: