08 Jun 2011

Lelaki belasah isteri enggan makan bersama

6 Rejab 1432H. [MOD] -



KUANTAN: Akibat menolak pelawaan suami untuk makan tengah hari bersama, seorang suri rumah berusia 25 tahun cedera dibelasah lelaki terbabit menggunakan lesung batu di rumah mereka di Kampung Cenderawasih, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa cedera di paha, dagu dan kepala akibat dipukul dengan objek keras itu sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa enggan makan bersama suaminya yang berusia 28 tahun sehingga berlaku pertengkaran sesama mereka, malah perselisihan faham antara pasangan itu berlarutan dan menjadi semakin serius.

Berikutan gagal mengawal kemarahan, lelaki terbabit nekad mengambil lesung batu lalu memukul mangsa hingga menyebabkan wanita itu cedera dan terpaksa dirawat di HTAA sebagai pesakit luar.

Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, pada hari sama selain mahu menuntut fasakh dan tinggal berasingan dengan suaminya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Suspek sudah dipanggil untuk diambil keterangan dan kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Haris berkata, seorang mandur warga Bangladesh teruk dibelasah tiga pekerja bawahannya dalam kejadian di sebuah rumah berhampiran sebuah ladang sawit dekat Rompin, kira-kira jam 3 petang, Sabtu lalu.

Beliau berkata, tiga suspek terbabit yang juga warga Bangladesh bengang apabila mangsa tidak datang menjemput mereka di ladang selepas tamat waktu bekerja sebelum menyerang lelaki terbabit di rumah.


“Suspek menggunakan buluh sebagai senjata untuk memukul mangsa menyebabkannya cedera di bahu kiri, lengan dan kaki sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Selancar, Rompin dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kuasa undi anak muda boleh tawan Putrajaya

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 7 Jun: Pemuda PAS Kelantan kini mempergiatkan usaha mendaftar anak-anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih bagi mencapai matlamat melangkah ke Putrajaya.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) berkata, tanpa ada usaha secara serius sasaran menguasai Putrajaya tidak akan menjadi kenyataan.

Oleh itu katanya golongan muda perlu diberi kesedaran bagi membolehkan mereka menggunakan peluang yang berbaki sekarang mendaftar sebagai pemilih.

“Peluang yang ada sekarang perlu direbut anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih. Tanpa disenarai sebagai pemilih mereka tidak mampu melaksanakan tanggungjawab besar menafikan kuasa politik Barisan Nasional (BN) sekarang.

“Saya berharap jentera pemuda di seluruh jajahan mengesan anak-anak muda yang belum mendaftar sebagai pengundi,” ujarnya di sini.

Menurutnya pendaftaran perlu dibuat segera bagi membolehkan anak muda melaksanakan tanggungjawab demi masa depan mereka.

“Anak muda yang mencecah umur 21 tahun hendaklah beramai-ramai mendaftar sebagai pemilih. Mereka menjadi penentu masa depan negara,” katanya.

Kata beliau sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan hujung tahun ini, pengundi baru masih berpeluang mengundi memandangkan proses pendaftaran sebagai pemilih dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.

Beliau yang juga Adun Mengkebang berharap jentera Pemuda di setiap kawasan memikul tanggungjawab bagi menyedarkan anak muda yang belum berdaftar.

Abdul Latiff juga bimbang usaha pihak tertentu menggunakan jentera kerajaan bagi mendaftar warga asing sebagai pemilih seperti yang dibongkar di Selangor baru-baru ini.

Harakahdaily/-

Lintah raksasa serang kampung Jawa Tengah

6 Rejab 1432H. [MOD] -


SEORANG pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo menunjukkan seekor lintah raksasa yang melekat pada tangan kirinya di Desa Timbol Sloko, Demak, Jawa Tengah semalam.

DEMAK - Penduduk di Desa Timbul Sloko, Demak, di Jawa Tengah kini berada dalam kebimbangan ekoran serangan lintah raksasa di kawasan berair dan jalan yang basah akibat hujan, lapor akhbar dalam talian, Kompas.com semalam.

Seorang penduduk kampung itu, Satiman, 36, berkata, bentuk lintah tersebut kelihatan berbeza dengan lintah darat.

Ratusan haiwan tersebut muncul selepas banjir kilat surut.

Menurut Satiman, kehadiran lintah yang bersaiz lima kali ganda daripada biasa itu menyebabkan penduduk kampung buntu untuk mencari cara bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Ketua Tentera Daerah Kecil Sayung, Arief Sudaryanto berkata, lintah yang sama turut ditemui di Desa Sidogemah dan Sriwulan.

Dia menjelaskan bahawa jenis lintah itu belum diketahui tetapi penduduk kampung tidak perlu bimbang kerana ia tidak membahayakan mereka.

Seorang lagi pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo berkata, penduduk kampung tidak perlu takut kerana lintah tersebut tidak menghisap darah.

"Sudah 15 minit ia melekat di tangan, lintah ini tidak menggigit saya," katanya. 

Agensi

Faekah: BN tak fikir sebelum beri TOL tanah rizab

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Keputusan pentadbiran BN Selangor memberikan lesen menduduki sementara kepada pengusaha di tapak rizab di Sg Buloh sebelum ini dibuat tanpa memikirkan keselamatan rakyat, kata setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin.

Faekah menjelaskan, kawasan yang menjadi tapak perusahaan tapak semaian itu merupakan rizab keselamatan kerana menempatkan paip bertekanan tinggi bagi menampung bekalan air kepada lebih sejuta penduduk.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memeliharanya demi mengelak kemungkinan kemalangan besar berlaku.

"Malangnya kerajaan Umno BN ketika itu, entahkan cuai atau mungkin begitu cetek ilmu telah mendesak pegawai kerajaan mengeluarkan TOL dan mengarahkan pengusaha tapak semaian berpindah ke tapak tersebut," kata Faekah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan "celupar" timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak prihatin dalam isu berkenaan.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri itu sepatutnya membela masalah penduduk berkenaan dengan memperbaharui TOL untuk mengusahakan tanah rizab Jabatan Bekalan Air itu.

"Beliau perlu ingat bahawa tapak semaian asal seluas 75.16 ekar dan dihuni oleh 50 pengusaha yang dipaksa pindah ke Sungai Buloh oleh kerajaan BN Selangor pada 1999. Tapak tersebut telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah hospital," kata Faekah.

Katanya lagi, kerajaan Pakatan Selangor tidak berniat untuk menghalang usaha pembinaan hospotal berkenaan, namun arahan kepada Pebadanan Kemajuan Pertanian Selangor untuk mengeluarkan TOL untuk mengusahakan tanah berkenaan bercanggah dengan peruntukan undang-undang tanah negeri.

Jelasnya, kawasan yang menempatkan paip bertekanan tinggi sepanjang 16 km itu perlu dipelihara bagi mengelakkan kemalangan besar berlaku.

Menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula sebelum ini memutuskan supaya perusahaan tanaman pokok itu boleh diteruskan dan turut memberi jaminan bahawa hak pengusaha berkenaan akan diambil kira walau tidak diberikan TOL

Malaysiakini/-

Pasangan campak bayi diburu

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan sepasang kekasih dipercayai suspek utama yang bertanggungjawab mencampak seorang bayi lelaki baru dilahirkan dari tingkat lima hingga menyebabkan kepala mangsa berkecai di sebuah pangsapuri di Sentul Utara, di sini, akhir bulan lalu.

Hasil bedah siasat terhadap bayi itu sebelum ini mendapati bayi malang berkenaan masih lagi bernyawa ketika dicampak dan ia jelas menunjukkan satu kes bunuh yang sangat kejam. Difahamkan, pasangan terbabit ‘ghaib’ selepas kejadian dan polis belum mengetahui status mereka sama ada sudah berkahwin atau sekadar pasangan kekasih.

Menurut sumber, pasangan berusia 20-an itu dipercayai meloloskan diri ketika orang ramai kelam-kabut berikutan penemuan mayat bayi berkenaan pada malam kejadian.

“Pada malam itu, ketika polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lokasi bayi berkenaan dijumpai, sebuah kereta dipandu secara mengundur dikesan meninggalkan kawasan pangsapuri itu dengan tergesa-gesa melalui satu-satunya pintu masuk ke kawasan berkenaan.

“Penduduk yang menyedari kehilangan pasangan itu turut berasa curiga sebelum memaklumkan perkembangan itu kepada polis,” katanya.

Sumber berkata, polis yang menerima maklumat segera memeriksa setiap rumah di blok berkenaan, namun gagal menemui pasangan itu kerana dipercayai mereka sudah meninggalkan kawasan perumahan itu.

Karpal sekat hudud: Saifudin kata Dr Mahathir haprak

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) sebagai ahli politik yang haprak apabila menuduh Karpal Singh berjaya menyekat PAS laksana hudud.

Ini kerana, ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang jenayah Syariah II yang di dalamnya terkandung undang-undang hudud, Dr Mahathir yang menyekat pelaksanaannya.

Ia disekat melalui satu surat amaran yang dihantar beliau selaku Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pada tahun 1993 lalu.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.

Selepas muktamar PAS baru-baru ini, Tun Dr Mahathir melalui blognya menulis dengan berkata, Karpal yang berjaya menyekat mendirikan negara Islam yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah tercapai.

"yang menang besar ialah tokoh yang tidak hadir dan bukan pun ahli PAS. Ianya ialah Karpal Singh. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam PAS yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai," tulis Mahathir.

"Dr M hantar surat amaran kepada TG Nik Aziz jangan laksana hudud, aneh hari ni Dr M kata Karpal berjaya sekat PAS jalankan hududd...haprak!" tulis Saifudin (gambar kanan) dalam Twitternya.

Bagi beliau, Dr Mahathir tidak layak bercakap Karpal anti Islam.

"Mesej saya mudah Dr M tak layak langsung cakap Karpal anti Islam sebab rekod Dr M sendiri paling membenci Islam," tegas Saifudin yang juga anggota Parlimen Machang, Kelantan.

Menurut beliau, Dr Mahathir pernah berkata kalau dibuat hukum hudud habis orang Islam mundur sebab kena potong tangan..."hari ini Dr Mahathir salahkan Karpal."

Bagi beliau, Karpal sekurang-kurangnya tidak menyekat bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat namun Dr Mahathir membuatnya!

"Sebab katanya sekolah agama ajar murid benci pemerintah ...siapa sebenarnya benci Islam?" soal Saifudin.

Bagi Saifudin, kalaupun Karpal tolak negara Islam dan Hudud beliau boleh memahaminya sebab dia bukan Muslim, tetapi Dr Mahathir tentang negara Islam dan Hudud, ini yang beliau tidak dapat faham.

Surat Dr Mahathir

Surat Dr Mahathir sampai kini masih diingati oleh Tuan Guru Nik Aziz hatta dalam satu majlis baru-baru ini.

“(Tun) Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.

“Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran… Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua,” katanya.

“Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran… dan kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik,” kata Nik Aziz dalam satu dialog bersama penulis blog dan facebook di Hotel Grand Season di ibu negara, baru-baru ini.

Mursyidul am PAS itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan.

Dengan mengumpamakan tindakannya itu sebagai seguni beras, katanya, sekiranya tidak mampu untuk membawanya, maka “diambil secupak-secupak” sehingga habis.

“Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS,” katanya yang mendapat tepukan kira-kira 130 penulis blog dan pemilik Facebook.

Harakahdaily/-

MP: Salah guna duit rakyat bagi risik kahwin anak

6 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, : Kerajaan Negeri Selangor terus mempelbagaikan promosi konsep negeri itu yang terkenal dengan Negeri Idaman; Maju, Sejahtera dan Berkebajikan, kali ini dengan menganjurkan Pertandingan Blog Kreatif yang menawarkan hadiah lumayan.

Dengan kerjasama penuh Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Universiti Industri Selangor (Unisel), Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Hajah Halimah Ali melancarkan pertandingan itu petang tadi.

Hadiah lumayan yang ditawarkan untuk keseluruhan kategori berjumlah RM16,300 dan hadiah iringan yang lain.

Dr Halimah berkata, dengan adanya pertandingan yang terbuka kepada tiga kategori pelajar sekolah, penuntut institut pendidikan tinggi dan umum, diharapkan dapat mencapai banyak manfaat berkaitan dengannya.

(Gambar: Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali melancarkan Pertandingan Blog Kreatif, petang tadi)

Katanya, bermula hari ini hingga 31 Oktober 2011, pertandingan itu dibuka kepada warganegara Malaysia mengemukakan penyertaan mereka mengikut syarat-syarat tertentu.

“Objektif pertandingan untuk menggalakkan penggunaan internet secara positif oleh pelajar-pelajar sekolah dan IPT, memberikan ruang seluasnya untuk semua lapisan rakyat khususnya golongan muda berbicara dan meluahkan pendapat serta impian mereka dalam pembikinan Selangor sebagai sebuah Negeri Idaman.

Selain itu, jelasnya, ia bertujuan menyediakan ruang perbincangan maya untuk membangunkan Selangor agar idea terbaik boleh dicetus, dikembang serta dikongsi bersama dalam perbincangan konstruktif.

“Pertandingan ini juga bertujuan membentuk masyarakat berilmu dan gemar menulis kerana kemahiran ini merupakan elemen utama di dalam pembentukan masyarakat cintakan ilmu.

“Lebih dari itu, pertandingan ini juga menyediakan ruang luas kepada masyarakat menyatakan bagaimana bentuk Negeri Selangor Impian yang mereka inginkan agar dapat diberi perhatian oleh pimpinan di peringkat kerajaan negeri,” tegasnya.

Untuk info awal, Kategori Pelajar Sekolah Menengah terbuka semua pelajar sekolah di seluruh Malaysia yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Manakala semua pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia yang berumur antara 18 hingga 25 tahun boleh menyertainya dan kategori umum pula terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia.

Penyertaan adalah secara individu yang hanya boleh mendaftarkan satu laman blog sahaja dengan menggunakan sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Peserta bebas menggunakan sebarang aplikasi, tool atau perisian untuk membina blog masing-masing.

Kandungan blog mestilah asli dan jika diambil daripada sumber lain, perlu dinyatakan sumber tersebut dengan jelas.

Kandungan yang diambil sepenuhnya daripada sumber lain tanpa kredit kepada sumber asli akan dikira batal.

Kriteria penilaian blog melibatkan kreativiti termasuk penggunaan teks dan elemen multimedia yang mampu menarik perhatian, kadar maklumat yang diposkan pada blog dan bilangan pelawat yang melawat blog.

Maklumat lanjut pertandingan boleh didapati di www.selangor.idamanku.com

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Letusan debu gunung berapi dirakam dari angkasa lepas

6 Rejab 1432H. [MOD] -


BEBERAPA cahaya kilat muncul di kawasan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile.

SANTIAGO - Imej kepulan debu yang dikeluarkan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile pada Sabtu lalu dapat dilihat dari angkasa lepas.

Kepulan debu itu dirakamkan menerusi satelit Aqua sejurus selepas ia meletus buat kali pertama sejak 1960. Pada 1960, gunung itu meletus akibat gempa bumi kuat berukuran 9.5 Richter di Chile.

Sementara itu, gambar kilat di sekitar gunung itu kelmarin juga dapat dirakamkan oleh jurugambar agensi AgenciaUno yang disiarkan agensi berita AP semalam.

Letusan itu yang masih berterusan kelmarin menyebabkan 4,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berdekatan gunung tersebut. 

Agensi

Presiden Yemen cedera parah

6 Rejab 1432H. [MOD] -



WASHINGTON 8 Jun – Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh dilaporkan mengalami kecederaan lebih serius berbanding laporan sebelum ini, selepas Istana Presiden diserang pemberontak pada 3 Jun lalu.

Saleh yang menerima rawatan di Arab Saudi pada awalnya dilaporkan hanya cedera ringan dan menurut Naib Presiden Yemen, beliau akan kembali ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, Saleh sebenarnya cedera parah dengan lebih 40 peratus badannya terbakar. 

REUTERS

Banjir: 13 maut di Haiti

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

PORT-AU-PRINCE 8 Jun – Banjir akibat hujan lebat yang melanda Haiti semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.

Yolaine Surena dari agensi perlindungan awam Haiti berkata, hujan yang dikatakan terburuk untuk tahun ini melanda ibu negara Port-Au-Prince.

Menurut Surena, dua orang dilaporkan mati di Haiti selepas kem sementara berhampiran kediaman Presiden yang musnah dinaiki air, manakala dua kanak-kanak tertanam apabila rumah mereka runtuh dan enam lagi maut di daerah Petionville. 

AFP

Masjid di Palestin dibakar di Tebing Barat

6 Rejab 1432H. [MOD] -


SEJUMLAH wartawan dan penduduk Palestin melihat sebuah masjid yang terbakar di Tebing Barat semalam.

RAMALLAH - Beberapa orang bertindak membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat awal pagi semalam dan menconteng dinding dengan perkataan Ibrani.

Menurut Ketua Kampung el-Mughayer, Faraj al-Nassan, penduduk kampung mengetahui mengenai kebakaran itu semasa mereka pergi untuk bersolat subuh.

Karpet masjid itu terbakar tetapi kebakaran tersebut tidak merebak.

Menurut ketua kampung itu, pembakaran itu yang menggunakan tayar di dalam kawasan masjid sebenarnya bertujuan untuk menyebabkan bangunan masjid terbakar.

Bagaimanapun, tiada seorang pun yang mengaku untuk bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Namun, penduduk Yahudi dipercayai menjadi suspek yang membakar masjid berkenaan kerana terdapat contengan perkataan Aley Ayin yang merupakan kawasan penempatan haram Yahudi.

Kawasan penempatan haram itu diarahkan kosong oleh pemerintah Israel pada minggu lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk percubaan untuk membakar masjid itu. 

Agensi

Gambar Lucah Dalam Yasin, Angkara Siapa?

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Kepala Batas - Hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah di sini yang bersiap memulakan majlis bacaan surah Yasin malam semalam terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah.

Gambar itu dilekatkan sekeping di halaman berlainan 21 naskhah surah berkenaan.

Setiausaha qariah masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdullah berkata, gambar lucah dilekatkan dengan kemas.

“Selain ukuran sama besar, gambar itu dilekatkan menggunakan pelekat dua hala.

“Ini menunjukkan pelakunya mempunyai perancangan rapi dari segi masa untuk melekatkannya di dalam naskhah surah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, gambar lucah bersaiz 4 sentimeter lebar dan 5 sentimeter panjang setiap satu itu, mempamerkan pelbagai aksi ranjang membabitkan pasangan luar negara, dipercayai dimuat turun dari laman sesawang dari Internet.

“Gambar itu dipercayai dicetak mengikut saiz sebelum di-gunting dan dilekatkan di dalam surah berkenaan.

“Kami tidak tahu motifnya dan kenapa Yasin di masjid ini dijadikan pilihan,” katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis dan kesemua 21 naskhah terbabit diambil polis untuk disiasat.

Imam 1 masjid berkenaan, Ahmad Zawawi Ali berkata, majlis bacaan surah Yasin itu diadakan malam semalam untuk menggantikan kuliah agama dan dihadiri 75 lelaki dan 25 wanita.

“Selesai solat Isyak, naskhah surah Yasin itu diambil dan diedarkan kepada jemaah. Seorang daripada jemaah lelaki menyedarinya dan memberitahu Abdul Rahman.

“Suasana majlis bertukar menjadi riuh apabila lebih ramai jemaah menemui gambar itu di dalam naskhah masing-masing,” katanya.

Gambar lucah itu tidak ditemui di dalam naskhah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan laporan polis yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan. Sehingga kini belum ada tangkapan.

“Kita ingin menasihati jemaah dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau meminta pentadbir masjid lebih berhati-hati menjaga masjid dan meletakkan pengawal untuk mengelak pencerobohan. -SH

MP: Salah guna duit rakyat bagi risik kahwin anak

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Penggunaan duit rakyat atau dana awam bagi membiayai lawatan Perdana Menteri dan rombongannya ketika merisik perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Kazakhstan adalah salah dari segi moral, kata ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi.

"Ini pula bukan pertama kali. Semasa anaknya menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika dia dan keluarga juga ke sana dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," katanya.

Menurut pemimpin PAS itu, tidak menjadi kesalahan bagi perdana menteri merisik perkahwinan anaknya di Kazakhstan tetapi Najib sepatutnya mengambil cuti rasmi dan tidak membelanjakan dana awam.

Nooryana Najwa dijadualkan berkahwin dengan seorang pembesar kerajaan Kazakhstan.

Dalam sejarah Islam, kata Dzulkefly, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mempunyai dua batang lilin berlainan yang ditempatkan di sisi katilnya.
Guna duit sendiri

Jika baginda dikejutkan pada waktu malam kerana urusan rakyat, Khalifah Umar akan menyalakan lilin yang dibeli dari dana awam. Sebaliknya jika dikejutkan oleh kawan-kawan atau ahli keluarganya untuk membincangkan hal peribadi, baginda menggunakan lilin yang dibeli melalui wangnya sendiri.

"Mana pergi good governance, intergriti kepimpinan dan ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada beliau," kata Dzulkefly.

Menurut beliau jika Najib dan isterinya, Datin Seri Rosnah Mansor benar-benar bertanggungjawab, mereka berdua akan menyusun jadual cutinya untuk kepentingan keluarga dan peribadinya bukannya mengambil kesempatan atas urusan kerajaan.

"Hentikanlah, cukuplah tu.....susunlah cuti dengan baik, guna duit sendiri untuk lunas tanggungjawab kepada anak dan keluarga, inilah mulanya penyelewengan....bila kepimppinan tertinggi tunjukkan sikap hodoh dan buruk," katanya sambil menambah perbuatan mereka itu sebagai langkah yang 'tidak ada kelas langsung'.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat pernah dibangkitkan perbelanjaan besar yang dibuat oleh Rosmah.

"Dari segi moralnya ia sangat salah," kata Dzulkefly.

Sementara itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Najib supaya telus dan tidak mengambil kesempatan di atas urusan rasmi untuk sebarang urusan peribadi apatah lagi apabila menggunakan wang kerajaan yang juga wang rakyat.

"Kalau benda (dakwaan) ini betul kenapa Najib nak rahsiakan? Beliau kena cakap terus teranglah. Kalau betul beliau ke sana atas urusan peribadi janganlah guna harta kerajaan dan harta rakyat. Jangan berselindung di sebalik lawatan rasmi.

"Kalau betul anaknya akan berkahwin dengan anak pembesar Kazakhstan saya ucapkan tahniah tapi gunalah duit sendiri yang sudah banyak tu..tak payahlah guna duit rakyat.," kata beliau kepada Harakahdaily.

Hadi tak mahu jawatan PM jika Pakatan menang

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

“Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam.

Memetik laporan Bernama, Abdul Hadi mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz bahawa perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam Pakatan Rakyat, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan Nazri juga mendakwa peluang Umno untuk meraih lebih banyak undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih cerah selepas PAS menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam tetapi sebaliknya memperjuangkan 'negara berkebajikan' di mana Umno sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Abdul Hadi juga menafikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai liabiliti kepada parti setelah beliau dipilih oleh perwakilan pada pemilihan ketika muktamar PAS minggu lalu.

“Bagi Umno, Mohamad Sabu adalah satu peluang untuk menjatuhkan PAS. Tetapi bagi PAS, Mohamad Sabu adalah satu senjata untuk menjatuhkan Umno,” katanya.

Abdul Hadi turut menafikan bahawa wujudnya anggota parti yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan parti itu setelah beliau mengumumkan belum tiba masanya PAS menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu selama ini.

Sebaliknya, katanya PAS mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan Pakatan Rakyat.

Malahan, katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya.

Malaysiakini/-

Himpunan Bersih : Hishammuddin tidak bertanggungjawab.

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
Pejabat ADUN Titi Serong

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein saya lihat sebagai seorang menteri yang tidak bertanggunjawab apabila dia dipetik sebagai berkata bahawa perhimpunan gerakan Bersih kedua yang bakal diadakan pada 9 Julai ini sebagai tindakan terdesak Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan.

Sebenarnya Umno BNlah yang terdesak dengan mengguna polis untuk menyekat perhimpunan bersih semata berkepentingan untuk survival umno BN bagi terus berkuasa.

Rakyat sepatutnya diberi kebebasan berhimpin dengan aman untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sinario politik tanah air yang menjengkelkan sejak Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini SPR menolak mentah-mentah permintan untuk menggunakan dakwat kekal serta penghapusan undi pos dan pernah menggunakan polis untuk menghalau para peserta himpunan oleh BERSIH yang diadakan sebelum ini.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam portfolio polis sepatutnya dia bersikap matang dengan mengarahkan pasukan Polis menjaga keselamatan rakyat yang pergi ke perhimpunan itu nanti kerana demonstrasi itu dijalankan secara aman.

Sebaliknya Tindakan Hishammuddin yang mengecam serta mengugut penunjuk perasaan yang akan ke perhimpunan bersih julai nanti merupakan tindakan terdesak Umno BN yang khuatir dengan kebangkitaan rakyat.

Bersih yang dianjurkan bertujuan untuk mendesak kerajaan yang telah zalim dalam isu pilihan raya, bukannya perhimpunan yang semata mencetus situasi tegang seperti rusuhan atau yang seumpama dengannya seperti yang dianggap banyak pihak..

Rakyat keluar beramai-ramai untuk menyatakan rasa tidak puas hati, kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan bersama rakyat secara terbuka, bukannya terus menidakkan suara yang datangnya dari rakyat.

Pakatan Rakyat komited membela hak rakyat melalui saluran politik yang bersih, isu ini tidak akan selesai jika kerajaan Umno BN terus enggan menawarkan ketelusan dalam perjalanan pilihan raya, lebih-lebih lagi PRU 13 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 8 Jun 2011